Labels

Pages

Wednesday, February 1, 2012

PERKAHWINAN SUATU DAKWAH


الزواج هو الدعوة~~

Perkahwinan. Tujuan ibadah bukan sekadar suka-suka mencari teman hidup atau menghalalkan hubungan lelaki dan wanita. “ Perkahwinan melengkapkan separuh dari agama ”. Pernah dengar bukan sebaris ayat ini? Maka perkahwinan membawa makna yang lebih besar dalam Islam iaitu menyebarkan dakwah Islam agar terus dirasai semua ummat manusia . Oleh itu, pasti ada garis panduan khas yang telah Islam tetapkan dalam isu perkahwinan ini.

Menurut kitab Al-Usrah Kama Yuriduha Islam karangan Syeikh Yusuf Al- Qaradhawi, perkahwinan membawa matlamat meluaskan agama Islam. Maka, suatu rumahtangga perlu memiliki ciri-ciri Islam. Tetapi persoalannya bagaimana?

Perkahwinan yang stabil dan harmoni

Perkahwinan merupakan ikatan syari’e yang dinyatakan antara lelaki dan wanita dan diumumkan kepada semua orang bagi mengelak sebarang fitnah. Hal ini berbeza dengan pertunangan di mana ia perlu dirahsiakan bagi menjaga nama baik kedua-dua pihak. Fitrah manusia malah makhluk-makhluk lain juga diciptakan berpasang-pasangan. Maka sememangnya manusia ditakdirkan Allah untuk hidup bersama-sama suami isteri dalam suasana sakinah, mawaddah dan rahmah. Terdapat 4 ciri-ciri keluarga harmoni yang digariskan oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradawi iaitu:

Ø Bijak Memilih. Kriteria utama yang perlu diambil berat dalam mencari pasangan hidup ialah baik akhlak dan agamanya. Kenapa bukan kerjaya atau rupa paras? Ya, realitinya inilah yang berlaku sekarang, dimana manusia berlumba-lumba memilih kecantikan dan pangkat sebagai pilihan utama sedangkan ‘mind set’ seperti inilah yang harus dibuang. Bukan tidak boleh, tetapi disini kita perlu melihat dimana keutamaannya yang perlu kita pertimbangkan.

الدنيا متاع وخير متاعها المرءة الصالحة

Maksudnya : dunia itu perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.

Selain itu, perlu juga mencari pasangan yang serasi. Bagaimana mengukur keserasian? Kaedah yang dibolehkan ialah mengadakan pertemuan dengan cara yang betul. Contoh yang jelas ialah melalui Unit Bait Muslim. Dalam pertemuan ini, mereka akan bertaaruf dan berbincang malah dibenarkan lelaki melihat wanita demi mencapai keserasian antara kedua-duanya.

Faktor kesetandingan turut perlu diambil berat dalam mencari pasangan. Ini penting bagi menjamin keamanan rumahtangga di masa hadapan. Dengan ini, jelaslah Islam telah meletakkan garis panduan yang cukup teliti dalam urusan perkahwinan.

Ø Bebas Memilih. Islam satu agama yang adil, dibuktikan dengan mengangkat martabat kaum Hawa di muka bumi berbeza dengan situasi penindasan yang berlaku semasa zaman Jahiliyah. Wanita diberikan hak memilih siapa pasangan hidupnya. Wanita juga boleh menolak calon pilihan bapanya sekiranya dia mahu dan tidak jatuh hukum menderhaka didalam situasi ini. Perkara ini juga berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. dimana baginda menghalang seorang bapa yang ingin menjodohkan anaknya dengan seorang lelaki yang tidak disukai oleh anaknya.

Ø Menjaga hak pasangan. Hak dalam rumahtangga terdiri daripada hak fizikal seperti makan minum dan tempat tinggal dan hak rohani iaitu tarbiyah. Kedua-dua hak ini harus ditunaikan sama rata, tidak terlebih atau terkurang. Menjadi tanggungjawab suami mendidik isteri terutamanya dalam hal agama. Maka seruan kepada mempersiapkan diri dengan ilmu agama sebagai persediaan mendirikan rumahtangga. Tidak kurang juga para wanita, didikan atau tarbiyah anak tanggungjawab utama kalian sebagai insan yang paling dekat dengan mereka.

Ø Menjaga kehamonian rumahtangga. Perkahwinan sebagai satu ibadah dalam Islam. Maka hanya Islam yang dapat menjamin keharmonian institusi ini. Jika timbul sebarang masalah ditengah-tengah pelayaran bahtera rumahtangga, maka kembalilah kepada Islam, muhasabah apa kesilapan di sisi Islam dan kembalilah kepada tuntutan Islam dalam bab perkahwinan. Perkara ini perlu diambil berat sama ada sebelum dan selepas berumahtangga. Jika asas yang dibina sudah menyalahi tuntutan syariat Islam seperti bercouple, maka tunggulah kehancuran yang bakal berlaku kerana asas pembinaannya jelas sudah salah.

Pelengkap naluri keibuan dan kebapaan

Tidak lengkap sesuatu rumahtangga tanpa kehadiran cahayamata. Sememangnya tujuan perkahwinan untuk meramaikan umat Nabi Muhammad S.A.W. dengan melahirkan zuriat yang ramai. Namun begitu, anak-anak kurnian Allah buat pasangan yang berkahwin demi Allah dan demi Islam bukanlah untuk disimpan di dalam rumah tetapi untuk tujuan diinfaqkan ke jalan Allah S.W.T dan menjadi pejuang agama Allah. Maka inilah sebabnya mengapa anak-anak kecil Palestin menjadi sasaran peluru Israel laknatullah, menghapuskan ancaman bagi mereka.

Buat kalian yang menyimpan hasrat membina masjid, ayuh Tanya diri kita. Apa niat asal kita? Apa asas yang kita letak dalam membinanya kerana asas inilah yang akan menjadi kekuatan dan pembantu dalam melayari hidup berumahtangga. Moga masjid yang kita bina dipandang oleh Allah S.W.T dan diberkati di dunia dan akhirat.


(sumber : UBM PMRAM)

No comments:

Post a Comment