Labels

Pages

Saturday, November 20, 2010

AIDILADHA 1431H DI PERKAMPUNGAN ISKANDARIAH



ISKANDARIAH 16 Nov: PMRAM Cawangan Iskandariah dengan kerjasama Unit Mutazawwijin Iskandariah (UMI) mengadakan Solat Sunat Aidiladha secara berjemaah di Dewan Zajlatul Abidah, bermula jam 7.00 pagi. Kehadiran jemaah memenuhi dewan dan dimulai dengan laungan takbir raya yang menggegar di jiwa setiap insan. Seterusnya kami bersama-sama menunaikan Solat Sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Saudara Akli Bin Ahmad. Setelah itu, Imam Solat Sunat Aidiladha menyampaikan khutbah Raya yang penuh dengan nasihat dan pengajaran yang baik. Dalam khutbah tersebut khatib menyentuh berkenaan dengan isi kandungan khutbah Haji Wada’ baginda Rasulullah S.A.W. Antaranya mengenai hak darah, harta sesama muslim, persamaan darjat sesama muslim, hak dan maruah wanita dan lain-lain lagi. Khatib turut mengingatkan jemaah yang hadir perihal kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan anak baginda, Nabi Ismail A.S. serta pengajaran yang dapat di ambil daripadanya untuk dijadikan panduan kepada jemaah dalam kehidupan seharian.
Majlis diteruskan lagi dengan perutusan Aidiladha Presiden PMRAM 2010 yang disampaikan oleh pemangku wakil mandub PMRAM DPMI, saudara Mohd Khairul Nizam Md.Rozali dengan penuh penghayatan. Seterusnya AJKT PMRAM Cawangan Iskandariah memenuhi jemputan ke rumah terbuka ahli sebanyak 7 buah rumah.Setelah selesai semuanya,kami pulang ke markaz DPMI.
Berikutnya, pada hari raya kedua acara sembelihan binatang korban dan aqiqah dilaksanakan dengan penuh kesyukuran di Bait Mona Mandarah, dimulai dengan ucapan Pengarah PAKAR x5 oleh saudara Muhammad Rezman Mohd Sobery. Seluruh ahli Unit Mutazawwijin Iskandariah (UMI) mengambil tempat dalam gotong-royong tersebut dengan ukhuwah yang telah dibina sehingga selesai pengagihan daging korban ke setiap rumah ahli. AJKT DPMI pula meneruskan lagi ziarah raya ke rumah terbuka ahli dan juga beberapa rumah mutazawwijin di Iskandariah.
PAKAR x5 diakhiri pada hari raya ketiga dengan solat Zohor berjemaah dan bacaan tahlil. Seterusnya, tetamu yang hadir dikalangan ahli diraikan dengan hidangan juadah yang disediakan oleh AJKT DPMI dan UMI. Turut hadir ke kenduri korban dan aqiqah tersebut adalah 3 orang wakil Badan Pengurus PMRAM iaitu saudara Abdul Aziz bin Ali.Mohd Faizzudin bin Ghazali,dan Mohd Solehuddin bin Mohd Safien serta 3 orang wakil AJKT HEWI PMRAM,saudari Samihah binti Abdullah,Atiyqah binti Yusoff dan Nik Norazma binti Nik Abdullah, jiran terdekat kami PMRAM Cawangan Damanhur serta pelajar perubatan memeriahkan lagi suasana hari raya Aidiladha. Sasaran hampir 200 orang tetamu yang hadir ke majlis. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi dengan nikmat Iman dan Islam kami merasai manisnya nikmat kesatuan dan ukhuwah yang terjalin antara ahli PMRAM Cawangan Iskandariah kini.
Kami dibarisan AJKT DPMI mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh ahli PMRAM Cawangan Iskandariah yang menjemput kami dan menghidangkan pelbagai juadah raya. Mohon maaf jika ada rumah-rumah yang tidak dapat kami ziarahi pada hari raya tersebut. Insyaallah kami akan teruskan dengan jaulah AJKT yang akan datang. Harapan kami dengan nikmat kesatuan dan ukhuwah ini dapat dipereratkan lagi dalam lindungan Allah SWT. Semoga dengan sambutan hari raya ini, sama-sama kita mengingati sirah yang mana pengorbanan yang telah ditonjolkan oleh Nabi Ibrahim A.S.

Wednesday, November 17, 2010

Satu Dalam Seribu : PMRAM Dan Tribulasi



Dunia berorganisasi pada hari ini sentiasa wujud dan berada dimana-mana. Adalah menjadi keperluan bagi mahasiswa dalam berorganisasi apabila di sesuatu tempat itu terdapat perkumpulan manusia yang memerlukan satu pengurusan stategik bagi membantu perjalanan hidup mereka terurus dan tersusun.

Penubuhan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai persatuan mahasiswa di Ardul Kinanah ini boleh dijadikan satu contoh organisasi yang terbaik.

Misi dan visi PMRAM tidak lain tidak bukan terutamanya adalah untuk meyatukan suara anak-anak Melayu yang tinggal di Republik Arab Mesir. PMRAM bukanlah satu organisasi yang bersikap memilih tetapi menerima siapa sahaja yang ingin berada dibawah naungannya.

PMRAM adalah persatuan induk yang cukup terkenal sama ada di Mesir ataupun di Malaysia amnya. Hak keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Mesir ke atas PMRAM tidak boleh disangkal dan dinafikan.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora. Menjadi asam garam dalam perjuangan PMRAM dengan mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran. Di sepanjang kehidupan PMRAM telah menjadi kelaziman menghadapi segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan. Beberapa isu yang berlaku baru-baru ini dan tahun lepas masih lagi terasa bahang kepanasannya dan berlegar-legar di kotak pemikiran ahli - ahli PMRAM. Antaranya :

1) Isu Qiraat - berlaku sekitar bulan April tahun ini, berkenaan nama-nama pelajar yang tidak naik menyebabkan ramai tidak dapat menjalani peperiksaan seperti yang dijadualkan.

2) Fitnah Pegawai JPMK terhadap Pengerusi DPMT yang kononnya mendakwa sebagai wakil kedutaan kepada pihak Keselamatan Mesir.

3) Isu Kutub Sittah - menghalang program dengan memfitnah PMRAM sebagai pembangkang

4) Isu pemusatan mahasiswa - tiada pentauzikan pelajar baru ke muhafazah menyebabkan permasalahan sara hidup, penempatan dan sebagainya.

5) Masalah integriti dan salah laku beberapa orang pegawai negeri – ugut zakat dan menghalau dari asrama pelajar.

6) Tindakan Pengarah JPMK yang menandatangai surat sokongan bagi penubuhan 'Academy Center' di Tanta merupakan tindakan yang tidak profesional.

7) Tindakan Pegawai Atase Pendidikan JPMK mengedar borang Kelab UMNO ketika taklimat biasiswa.

8) Isu hak mahasiswa yang dinafikan - penggunaan ARMA dengan keberadaan pelajar menetap di sana.

9) Sikap pegawai JPMK yang tidak profesional lebih-lebih lagi terhadap mahasiswa yang melibatkan diri dengan PMRAM

10) Isu Imtihan Qabul - Bermula tahun 2009 yang menjadi kejutan bagi pelajar STAM dan tahun ini ramai tidak lulus secara mendadak.

11) Isu kebajikan mahasiswa diabaikan oleh beberapa pihak.

Walaubagaimanapun perkara ini tidak sekali-kali melemahkan hati dan meruntuhkan jiwa pendukung-pendukung PMRAM, malah PMRAM terus bangkit kehadapan dan menjadi semakin matang dalam menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku.

Sebagai sebuah gerakan mahasiswa PMRAM telah menyediakan pelbagai agenda untuk ahli - ahlinya iaitu yang berbentuk tarbiah dan dakwah, pengajian dan tafaqquh, program bermasyarakat, rehlah dan ziarah, mengajak ahli mendepani isu semasa dan berkebajikan.

Kebanyakan mahasiswa yang menggabungkan diri dengan PMRAM tidak akan jemu dan menyesal kerana dasar Islam yang dibawakan oleh PMRAM. Bahkan dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah mengukuhkan lagi kepercayaan mereka ini untuk terus bersama PMRAM.

Apatah lagi aktivis-aktivis yang lahir daripada didikan PMRAM telah banyak bergiat dan memberikan sumbangan kepada agama. Mereka ini sepatutnya mesti dicontohi oleh generasi mahasiswa sebagai pelapis yang mana Ulama’ itulah pewaris kepada Nabi-Nabi.

Selagimana Islam yang dijulangkan oleh PMRAM dalam setiap agendanya, selagi itulah Allah akan menjaga dan memelihara PMRAM . Oleh kerana keyakinan pengerak-pengerak PMRAM itulah yang menyebabkan PMRAM sehingga ke hari ini masih bertahan dengan usia yang mencecah 80 tahun.

Berderau hati mereka apabila mendengar laungan ini, “Hidup-hidup..hidup Islam, bangkit-bangkit.. bangkit mahasiswa”, slogan yang dilaungkan oleh ahli PMRAM pada malam penerangan isu-isu semasa baru-baru ini jelas membuktikan kekuatan PMRAM masih kukuh dengan sokongan yang diberikan oleh ahli. Tiada siapa akan menduga ahli - ahli PMRAM sehingga kini masih lagi setia bersama PMRAM, kerana disebabkan kefahaman dan kesedaran mereka akan perjuangan yang dijulangkan oleh PMRAM.

Keberhasilan tema yang digarapkan pada tahun ini “Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah” jelas berjaya disemaikan ke dalam hati ahli - ahli yang menyintai PMRAM. Tema yang diterapkan ini adalah kesinambungan daripada tahun - tahun sebelum ini dan natijahnya terserlah kini. PMRAM satu dalam seribu, tidak terdapat di tempat - tempat yang lain.

PMRAM akan terus bertahan dan mengorak langkah demi mengukuhkan kedudukannya di mata masyarakat rakyat Malaysia di sini. PMRAM diteguh, ISLAM tertegak.

sumber:PMRAM.org

Monday, November 15, 2010

SOLAT SUNAT AIDILADHA DAN KENDURI KORBAN&AQIQAH





PMRAM Cawangan Iskandariah dan anjuran bersama Unit Mutazawwijin Iskandariah akan mengadakan Program Aqiqah dan Korban (PAKAR). Dijemput ahli PMRAM yang berada diIskandariah bagi meraikan sambutan Aidiladha pada:

10 Zulhijjah 1431H / 16 November 2010

7.00 pagi: Kehadiran
Solat sunat Aidiladha
khutbah Raya Aidiladha
Perutusan Presiden PMRAM 2010
ziarah

11 Zulhijjah 1431H / 17 November 2010

7.00 pagi: Ucapan pengarah PAKAR dan taklimat ringkas mengenai cara penyembelihan
sembelih haiwan aqiqah dan korban
gotong-royong melapah daging
3.00 ptg : pengagihan daging korban
4.30 ptg : Penutup

12 Zylhijjah 1431H / 18 November 2010

11.30 pagi : kehadiran tetamu
Solat zuhur berjemaah
Bacaan Tahlil
Jamuan
3.00 ptg : Bersurai

disediakan oleh: Timbalan Unit Promosi PAKAR DPMI

Thursday, November 11, 2010

DPM Tanta & Shibin El-Kom Tuan Rumah Bagi Konvensyen DPM Ke-IV




KAHERAH, 10 Nov - Antara 3 Resolusi Tindakan yang terhasil daripada Konvensyen PMRAM pada 3 November lepas ialah mengadakan Konvensyen DPM ke-IV. Ia bertujuan bagi membincangkan lagi susulan mengenai permasalahan isu pemusatan mahasiswa/wi baru di Kaherah yang berkait rapat dengan survival masa depan DPM.

Sehubungan itu, Konvensyen DPM ke-IV yang dirancang pada sesi 2011 akan dilaksanakan di muhafazah Tanta dengan menjadikan DPM Tanta & Shibin El-Kom sebagai tuan rumah.

Pemilihan tuan rumah bagi Konvensyen DPM ke-IV tersebut merupakan hasil perbincangan antara semua Pengerusi DPM bersama-sama dengan Ketua & Unit Muhafazah PMRAM pada 7 November lalu, Hari Ahad.

Konvensyen terakhir yang dijalankan adalah pada tahun 2007 yang lepas di muhafazah Mansurah. Bahkan sebelum ini Konvensyen DPM ke-II yang dijalankan pada tahun 1998 turut juga berlangsung di muhafazah Mansurah, begutu juga dengan Konvensyen DPM pertama yang dibakalkan pada tahun 1995 yang dijadualkan sepatutnya berlangsung di muhazafah Mansurah.

Konvensyen yang bakal diadakan ini bakal membincangkan beberapa agenda khusus berkaitan dengan DPM bagi merancang dan memperkasakan DPM di bawah kesatuan PMRAM di masa hadapan.

Naib Presiden II, merangkap Ketua Lajnah Muhafazah, Saudara Azlan Haji Alias menyifatkan bahawa Konvensyen DPM ke-IV ini merupakan satu agenda yang sangat besar dan penting dalam merangkan survival DPM di masa hadapan lebih-lebih lagi apabila pada tahun ini, mahasiswa/wi baru di pusatkan di Kaherah.

Bahkan beliau turut mengingatkan semua mahasiswa/wi agar tidak kalut dan lari fokus terutama dalam tempoh peperiksaan ini mengenai masalah yang berlaku.

Mengenai meklumat lanjut berkaitan dengan Konvensyen DPM ke-IV akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

sumber:pmram.org

Saturday, November 6, 2010

PMRAM Mengadakan Pertemuan Dengan TYT Prof Madya Dr Fakhruddin Abd Mukti




KAHERAH, 5 Nov - Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) telah menerima kunjungan rasmi daripada PMRAM yang diketuai oleh Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) saudara Shahrizan Mohd Hazime.

Antara Badan Pengurus yang turut sama dalam kunjungan hormat itu Timbalan Presiden PMRAM saudara Zuhaili Saiman, Naib Presiden II PMRAM saudara Azlan Haji Alias dan saudara Mohd Adlan Mokhtarudin, Setiausaha Agung PMRAM saudara Mohd Taufik Mohd Dahlan serta saudara Mohd Solehuddin Mohd Safien Ketua Badan Kebudayaan Keseniaan dan Sukan PMRAM.

Prof Madya Dato Fakhruddin bin Abdul Mukti Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir yang baru sahaja dilantik menggantikan En Shaiful Anuar Muhammad begitu berbesar hati menerima kunjungan rasmi dari PMRAM ini, kedatangan Presiden beserta rombongan ini menggambarkan PMRAM optimis untuk bersungguh-sungguh untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat lagi antara PMRAM dan KBMK.

Pertemuan yang berlangsung dalam suasana ceria itu berlangsung selama 2 jam. Kunjungan ini turut sama memberi peluang yang Tuan Yang Terutama lebih mengenali persatuan yang banyak berjasa di Mesir ini.

Beliau menyifatkan kedatangan PMRAM ini, satu perkembangan yang baik antara PMRAM dan KBMK dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Perlembahan Nil sambil mengulas peranan kepimpinan PMRAM dalam mencorak kepimpinan negara sekarang dan berharap supaya mahasiswa fokus dengan apa yang dikehendaki oleh Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato Seri Najib Abd Razak.

"PMRAM akan memberi kerjasama yang sepenuhnya dengan KBMK perkara yang melibatkan kebajikan dan pendidikan mahasiswa/wi di timur tengah ini", ujar Presiden PMRAM ketika diminta mengulas pertemuan 2 mata ini.

Beliau juga berharap pertemuan ini akan terus mengeratkan hubungan yang sedia ada ini dan seterusnya dapat meneruskan agenda kerajaan Malaysia dalam melaksanakan dasar kerajaan Malaysia sendiri "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan"

Majlis itu diakhiri dengan penyampaian cenderahati PMRAM kepada Tuan Yang Terutama Prof Madya Dr Fakhruddin Abd Mukti.

sumber:PMRAM.org

Monday, November 1, 2010

Bencana Tsunami & Gunung Merapi : PMRAM Menghulurkan Kerjasama Bantuan Bersama PPMI



29 Okt, KAHERAH - PMRAM hari ini menghulurkan jalinan kerjasama dengan Persatuan pelajar dan Mahasiswa Indonesia (PPMI) demi menyalurkan bantuan kepada Mahasiswa Indonesia yang berada di Mesir setelah kejadian Tsunami di Kepulauan Mentawai dan Gunung Merapi berlaku tempoh hari. Kunjung hormat dari Presiden PPMI Saudara Falahuddin Nurhalim tersebut telah berlansung di Pejabat PMRAM.

Dalam pertemuan tersebut, beliau selaku Presiden PPMI amat terharu dan berbangga dengan jalinan yang dihulurkan oleh PMRAM.

Semasa perbincangan tersebut, PMRAM yang diwakili sendiri oleh Presiden Saudara Shahrizan Mohd Hazime serta Timbalan Presiden Saudara Muhammad Zuhaili meminta gambaran sebenar kejadian yang telah berlaku.

Keadaan yang dimaklumkan agak teruk dengan kesukaran proses bantuan dan menyelamat disebabkan masalah cuaca buruk dan kekurangan fasiliti kemudahan perhubungan yang baik.

Sehingga kini, pihak PPMI masih menanti laporan lengkap mengenai penglibatan keluarga mahasiswa Indonesia di Mesir dalam kejadian terbabit.

Sumbangan yang dilancarkan nanti akan diberi kepada ahli keluarga mangsa yang berada di Mesir bagi meringankan bebanan yang dihadapi.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut, Naib Presiden III Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan Saudara Mohd Farkhan Md Zain berkongsi pandangan mengenai isu ini.

Perkongsian maklumat dari kedua-dua pihak amat perlu dan penting untuk keselarasan penerangan.

Kesempatan tersebut juga, beliau sempat menunjukkan penerangan rasmi PMRAM bagi isu semasa umat Islam diseluruh dunia.Blog map2care.blogspot.com bertindak sebagai saluran maklumat mengenai isu semasa Islam di bawah seliaan Unit Kemanusiaan PMRAM.

Mengulas perkara ini, Naib Presiden III PMRAM menyatakan, peringkat PMRAM kita akan melancarkan tabung derma kilat khusus bagi mengumpul dana membantu ahli keluarga mangsa yang berada di Mesir.

Bantuan tersebut bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa di Indonesia yang dilaporkan kebanyakannya hilang tempat tinggal.

Di bawah seliaan Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM, tabung terbabit akan dilancarkan di Pusat Sukan (Nadhi Riyadhi) bersempena hari ketiga Majlis Pembacaan Hadith Kutub Sittah anjuran PMRAM.

Terdahulu, PMRAM telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi melahirkan rasa simpati atas kejadian yang menimpa penduduk Indonesia di Yogyakarta dan Kepulauan Mentawai. Sebelum ini juga, PMRAM telah berjaya menghulurkan bantuan dana kewangan kepada mangsa bencana gempa bumi di Padang tahun lepas.

PROGRAM AQIQAH DAN KORBAN PERDANA



PAKAR kembali lagi, kerjasama diantara Unit Mutazawwijin Iskandariah dan PMRAM Cawangan Iskandariah akan mangadakan PAKAR X5 sesi ini pada 11 Zulhijjah 1431H bersamaan 17 november 2010. Tempahan bahagian korban dan aqiqah telah dibuka, kepada Mahasiswa/wi Iskandariah yang berminat boleh terus menghubungi pengarah program saudara Muhammad Rizman Mohd Sobery 011 6836788 dan setiausaha program saudara Muhammad Majdi Sulaiman 011 9257632.