Labels

Pages

Tuesday, August 27, 2013

Menyingkap Permasalahan Khilaf Pandangan Ulama Dalam Isu Rampasan Kuasa 3 Julai 2013 ~ MANHAL http://www.manhal.pmram.org/2013...

Sunday, August 25, 2013

Menyingkap Permasalahan Khilaf Pandangan Ulama Dalam Isu Rampasan Kuasa 3 Julai 2013





Pandangan para ulama  mengenai isu rampasan kuasa 3 Julai

1- Pandangan ulama yang menyokong pelan tentera

Syeikhul Azhar, Syeikh Dr.Ahmad Thayyib[1] telah mengeluarkan qarar(ketetapan) bahawa Al-Azhar sebagai institusi agama terbesar dan bersejarah di Mesir menyokong pelan peralihan kuasa kerajaan Mesir yang dilaksanakan oleh angkatan tentera Mesir pada 3 Julai 2013. Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi semua perkara kerana perjalanan umat dan masa depan negara bukannya milik individu dan kehormatan jiwa manusia ialah perkara yang tidak boleh dilanggar. Beliau menjelaskan bahawa peristiwa keganasan, pembunuhan serta pertumpahan darah yang telah berlaku di negara ini adalah perkara yang ditolak dan tidak layak bagi sejarah tamadun rakyat Mesir.

Syeikh Ahmad Thayyib menambah lagi bahawa demonstrasi aman dibenarkan oleh syarak dan perlembagaan selagi mana bebas daripada segala bentuk keganasan, pertumpahan darah serta seruan terhadapnya dengan apa juga cara sekalipun. Beliau juga menyeru rakyat Mesir daripada pihak penyokong dan pembangkang supaya berjaga-jaga dengan bahaya terjerumus ke dalam kancah perang saudara yang telah menunjukkan tanda-tandanya. Beliau memberi amaran tentang kesan buruk yang tidak selayaknya bagi sejarah Mesir dan perpaduan rakyat. Beliau menyokong pelan mengadakan pilihan raya awal bagi menyelesaikan masalah politik terkini di Mesir. Beliau menyatakan bahawa pilihan raya yang bakal diadakan dijamin ketulusan perjalanannya oleh hakim-hakim, angkatan tentera dan polis Mesir.


2- Pandangan ulama yang menentang rampasan kuasa dan pelan tentera

a- Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi

Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi tidak menyokong rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera Mesir. Sebelum rampasan kuasa berlaku beliau telah menyeru rakyat Mesir supaya bersatu padu. Beliau berkata jika Presiden Mursi melakukan sesuatu perkara yang ternyata ianya adalah maksiat kepada rakyat dan negara maka jangan mentaatinya akan tetapi jika beliau masih lagi seorang presiden yang menjalankan hak rakyat dan negara serta membawa ke arah kebaikan maka wajib untuk rakyat Mesir mentaatinya.

Selepas peristiwa pembunuhan di Rabaah Al-Adawiyah pada 27 Julai 2013, beliau dengan lantangnya mengkritik kerajaan sementara di bawah pimpinan Presiden sementara Adly Mansour dan Naib Presiden Muhammad Al-Baradaie. Beliau dengan lantang mengutuk pembantaian di Rabaah Al-Adawiyah yang meragut nyawa kurang lebih 5000 pro-demokrasi termasuk wanita dan kanak-kanak. Beliau mengkritik Menteri Pertahanan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi kerana membunuh rakyat Mesir serta menggantung Perlembagaan Mesir 2012 dan mahu menggantikannya.

Selain itu, beliau menyeru kepada Syeikh Al-Azhar, Haiah Kibar Ulama[2] dan Majmak Buhus Islamiah[3] untuk kembali ke jalan kebenaran dan bersama rakyat Mesir dalam isu ini. Beliau juga menyeru seluruh rakyat Mesir dari semua wilayah untuk datang ke medan Rabaah Al-Adawiyah tanpa rasa takut kerana Allah bersama mereka. Beliau menyatakan ganjaran orang syahid di jalan Allah sangat besar dan termaktub di dalam Al-Quran.

Beliau mengritik media Mesir seperti saluran radio, televisyen dan akhbar yang masih berdiam diri dan menutup mata terhadap kerosakan negara dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Mesir. Beliau menyatakan apakah media tidak nampak bahawa rakyat Mesir yang menyokong penggulingan Presiden Mursi hanya di Medan Tahrir sedangkan penyokong Presiden Mursi atau Syar'iyyah berada di 35 medan himpunan seluruh wilayah Mesir.

Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU) dan seluruh dunia untuk bertindak terhadap isu Mesir. Beliau juga menyeru umat Islam di Indonesia, Malaysia, Algeria dan negara Islam yang lain untuk menyokong kebenaran. Beliau menyeru umat Arab dan kerajaan-kerajaan Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE)[4], Bahrain dan Kuwait kembali kepada jalan kebenaran dalam isu ini. Akhirnya, beliau menegaskan bahawa Allah pasti akan memenangkan Presiden Mursi dan memenangkan kebenaran mengatasi kebatilan.

b- Dr.Muhammad Imarah

Dr.Muhammad Imarah[5] salah seorang ahli Haiah Kibar Ulama memberikan pandangannya dalam isu ini. Beliau menyatakan bahawa angkatan tentera Mesir adalah punca kepada krisis yang berlaku di Mesir pada masa kini yang merupakan krisis terbesar di Mesir pada era moden. Angkatan tentera sepatutnya tidak melibatkan diri dalam politik negara dan kerajaan. Beliau membandingkan Mesir dengan negara lain seperti China, India dan Korea[6]. Negara-negara ini menurutnya telah berjaya membangunkan masyarakat mereka dari segi keilmuan dan kemajuan pembangunan akan tetapi Mesir semakin mundur dan terkebelakang apabila negara ini telah menjadi “negara polis” yang merosakkan keinginan rakyatnya sendiri.

Beliau menyatakan bahawa rakyat telah memberikan pentauliahan kuasa kepada Presiden Mursi secara sah. Perlembagaan Mesir yang baru dikeluarkan tahun lalu juga telah disokong oleh 63% suara rakyat melalui referendum (proses pungutan suara) di mana Perlembagaan Mesir telah menjadi perlembagaan yang mendapat suara majoriti rakyat tertinggi di dunia dan lebih tinggi dari Perlembagaan Itali yang mendapat sokongan 61% rakyatnya. Beliau menggesa supaya hak syari'yyah[7] dan demokrasi dipulihkan semula. Beliau menyatakan rasa terkejutnya apabila kelompok liberal boleh bersama tentera dan pihak gereja Mesir di dalam isu ini. Beliau berdoa supaya Allah menyatukan rakyat Mesir di atas kalimah persamaan dan peyatuan.

c- Muktamar Ulama di Istanbul, Turki[8]

Pada 10 Julai 2013 bersamaan 1 Ramadan 1434 yang lalu, para ulama sedunia telah berhimpun dalam sebuah muktamar di Istanbul, Turki. Saluran Al-Jazeera telah menyiarkan muktamar ini. Para ulama telah mengeluarkan ijtihad berkenaan perkara berkaitan isu rampasan kuasa oleh tentera Mesir pada 3 Julai yang lalu. Perkara yang dibincangkan ialah :

1) Pembekuan Perlembagaan Mesir untuk sementara waktu.

2) Penggulingan Presiden Mursi.

3) Pelantikan Ketua Mahkamah Agung sebagai pemimpin untuk memimpin tempoh peralihan.

Para ulama mengutuk kejadian pembunuhan beramai-ramai penyokong syar'iyyah ketika waktu Subuh di masjid berdekatan bangunan Pengawal Republik (Hars Al-Jumhuri). Maka ulama telah menyepakati beberapa perkara iaitu :

1) Kepimpinan Presiden Mursi adalah kepimpinan yang masih lagi sah dan wajib bagi seluruh rakyat Mesir untuk mendengar dan mentaati serta menolongnya. Perkara ini sesuai dengan batasan yang telah oleh syarak dalam bab kepimpinan.

2) Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah sudah menetapkan bahawa haram hukumnya untuk memberontak terhadap pemimpin Islam dengan merebut kuasa dan menjatuhkannya dengan cara rampasan kuasa atau kudeta kecuali jika jelas kekufuran yang nyata padanya.

3) Setiap penganut agama di Mesir khususnya Islam wajib mengembalikan Presiden Mursi ke posisi kepimpinan negara dan menolak kezaliman yang berlaku.

       Di dalam hadis Qudsi menyatakan “Wahai hamba-hambaku, aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriku dan aku telah jadikan kezaliman haram bagi kamu semua. Maka janganlah kamu semua berlaku zalim.”

Imam Al-Mawardi rahimahullah juga menyatakan : “Ketika seorang pemimpin sudah ditetapkan sebagai pemimpin maka wajib bagi seluruh umat untuk menyelamatkannya kerana mereka memiliki kewajipan untuk membantunya.”

Di atas perkara tersebut maka perkara yang dilakukan oleh pihak tentera bersama dengan parti-parti sekular, Islam[9] dan tokoh-tokoh agama, sebahagian kelompok Kristian serta kelompok lain merupakan perkara kerosakan. Kerosakan dibimbangi akan terus merebak ke seluruh negara sehingga tahap berlakunya perang saudara.

Oleh itu, para perwakilan dari persatuan ulama Islam sedunia telah mengeluarkan dua ketetapan iaitu :

Pertama: Kewajipan syarie bagi pihak tentera untuk mengembalikan kuasa kepada pihak yang berhak ke atasnya dan menutup pintu kerosakan terhadap rakyat Mesir. Pemberontakan terhadap Presiden Mesir akan menyebabkan kehancuran kecuali Allah mahukan perkara lain terjadi. Maka kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berada dalam keburukan.

Kedua: Wajib secara syarie bagi seluruh ulama Mesir terutamanya ulama Al-Azhar untuk melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan iaitu menyampaikan hal kebenaran terhadap manusia. Haram menjatuhkan pemimpin Islam yang dipilih secara sah dan wajib mengembalikan semula syariat. Kewajipan bagi semua pihak untuk mendengar dan mentaatinya. Allah berfirman :

“Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri (ulama dan pemerintah) di antara kamu….”

Hendaklah mereka menyatukan kalimah, menyatukan barisan serta menjaga darah rakyat Mesir. Pada akhirnya, ulama sedunia telah memberikan nasihat kepada sebahagian bangsa Arab yang menyokong rampasan kuasa terhadap Presiden pilihan rakyat. Islam yang dianuti sepatutnya menjadikan mereka membantu kepemimpinan Islam dan kesempatan untuk memperbaiki perkara tersebut masih terbuka bagi membantu golongan yang menentang kezaliman dan mengembalikan Presiden ke posisinya. Para ulama juga mendoakan supaya Allah menjaga Mesir dari sebarang fitnah yang berlaku dan menjaga darah rakyat Mesir.

Antara persatuan ulama yang hadir di muktamar ini ialah:

1- Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia
2- Ikatan Ulama Muslimin
3- Ikatan Ulama Syariah Negara Teluk
4- Majlis Dakwah Dan Kebajikan Sedunia
5- Kesatuan Ulama Afrika
6- Ikatan Muslimin Eropah
7- Majlis Tertinggi Dakwah Islam Indonesia
8- Kesatuan Pendakwah Antarabangsa
9- Majlis Syura Ulama Mesir
10- Ikatan Ulama Ahlus Sunnah
11- Pertubuhan Pendokong Kebenaran Dan Kesejahteraan
12- Pertubuhan Ulama Yaman
13- Ikatan Ulama Syam
14- Ikatan Syariah Ulama Dan Pendakwah Sudan
15- Pertubuhan Ulama Sudan
16- Ikatan Pendakwah Kuwait

Selain itu, para ulama dan perwakilan gerakan Islam seluruh dunia telah berhimpun di Istanbul, Turki pada 14 Julai 2013 bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Presiden Mursi.[10]

3- Pandangan lain

Darul Ifta` Al-Misriah[11] telah mengeluarkan kenyataan bertarikh 3 Julai 2013 lalu dengan memberikan kepercayaan kepada angkatan tentera Mesir dan menyeru semua pihak untuk memikul tanggungjawab negara pada ketika ini. Darul Ifta` juga menegaskan bahawa seluruh rakyat wajib untuk menjaga perpaduan pada masa kini. Semua orang perlu memastikan nyawa seluruh rakyat dapat dijaga. Semua pihak juga mesti menjayakan kehidupan bermasyarakat yang sebenar, keadilan sosial, kebebasan tanggungjawab, demokrasi terpimpin dan kesejahteraan negara.

Darul Ifta` menghargai usaha angkatan tentera untuk mempertahankan Mesir. Tentera telah menyeru rakyat Mesir untuk bergerak menuju keamanan dan menjaga darah rakyat. Darul Ifta` memberikan kepercayaan kepada tentera bagi merealisasikan “pelan peralihan kuasa” yang baru demi menjaga keamanan negara dan nyawa rakyat. Selain itu, Darul Ifta` juga menyeru semua pihak untuk mengelakkan kepentingan peribadi dan politik kepartian yang sempit. Semua perkara ini adalah untuk mencapai kepentingan tertinggi dan terutama untuk negara.

Darul Ifta` Mesir  telah mengeluarkan kenyataan lain berbentuk peringatan dan nasihat kepada  rakyat Mesir yang sedang mengalami pertembungan pemikiran dan kepartian. Perkara yang mesti diambil perhatian oleh semua pihak ialah:

1) Darul Ifta` Mesir menegaskan bahawa demonstrasi secara aman dibenarkan bahkan ianya menunjukkan kematangan dan sifat keterbukaan rakyat. Demonstrasi ini dibenarkan dengan syarat ianya diadakan secara aman  dan tidak merosakkan harta awam dan persendirian.

2) Darul Ifta` menyeru semua pihak supaya mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan kepartian yang sempit.

3) Menolak sebarang bentuk pertumpahan darah dan menekankan kehormatan jiwa manusia.

4) Walaupun Darul Ifta` mengakui kebenaran untuk berdemonstrasi tetapi seluruh rakyat perlu memahami bahawa negara ini tidak maju melainkan dengan kerjasama dan usaha gigih semua pihak.

5) Darul Ifta` menyokong pendirian Al-Azhar yang menentang keganasan dan mencari titik perpaduan parti-parti politik. Al-Azhar akan terus menjadi benteng dan rujukan bagi seluruh rakyat pada waktu krisis berlaku.

6) Media massa perlu bersifat amanah dalam menyampaikan  sesuatu berita pada masa ini. Media massa perlu  menyelediki perkara yang ingin disampaikan dengan mendalam. Sesungguhnya setiap perkataan yang dikeluarkan akan dihisab oleh Allah.


Revolusi 2011[12]

Pada Revolusi 2011 yang lalu, Syeikh Ahmad Thayyib mengeluarkan kenyataan bahawa haram bagi rakyat Mesir menyertai demonstrasi bagi menggulingkan pemerintahan Presiden Husni Mubarak. Beliau menyifatkan demonstran yang mengadakan revolusi sebagai menentang negara, kerajaan dan rakyat. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi pula menyokong revolusi rakyat Mesir pada 2011.


Penjelasan khilaf ulama dalam isu ini

Khilaf di kalangan ulama sememangnya perkara yang telah berlaku sejak zaman yang lampau. Ulama banyak berbeza pandangan terutamanya dalam permasalahan perkara cabang atau furu`. Oleh sebab itu, muncullah pelbagai mazhab di dalam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Akan tetapi, kita perlu memahami bahawa para ulama berkhilaf di dalam perkara yang tidak mempunyai nas atau dalil yang jelas di dalam Al-Quran dan sunnah. Perkara yang utama dan sudah jelas hukumnya seperti hukum pengharaman arak, judi, pensyariatan solat, kewajipan membayar zakat, perlaksanaan hukum hudud serta qisas dan sebagainya merupakan perkara yang telah dinyatakan oleh Allah mengenai kewajipan melaksanakannya dan tiada khilaf dibenarkan dalam perkara tersebut.

Adapun perkara ijtihad berkaitan perkara dunia yang tiada nas atau dalil maka dibolehkan berijtihad dengannya. Perkara ini termaktub di dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W berkaitan proses perkahwinanan atau kacukan antara pokok[13].

“Daripada Talhah R.A meriwayatkan: Aku telah berjalan bersama Rasulullah S.A.W lalu bertemu dengan orang yang berada di atas pokok tamar. Maka aku berkata : Apakah yang kamu sedang lakukan?Lalu mereka menjawab: Kami sedang mengahwinkannya dengan meletakkan putik pada benang sari supaya segera berbuah. Maka Rasulullah S.A.W berkata: Aku menyangka perkara tersebut tidak diperlukan. Lalu aku berkata: Kemudian mereka diberitahu tentang sabda Rasulullah S.A.W lalu mereka meninggalkan perkara tersebut. Selang beberapa hari kemudian Rasulullah S.A.W diberitahu bahawa pokok tamar tersebut tidak berbuah. Maka Rasulullah S.A.W berkata: Jika perkara tersebut (perkahwinan pokok) memberi manfaaat kepada kamu maka lakukannya. Sesungguhnya aku hanya mengeluarkan pendapat peribadi dengan sangkaan (dzhan) maka jangan mengambil sesuatu yang bersifat sangkaan daripadaku. Akan tetapi apabila diberitahu kepada kamu daripada Allah tentang sesuatu perkara maka ambillah perkara tersebut. Maka sesungguhnya aku tidak sekali-kali melakukan pendustaan terhadap Allah Azza wa Jalla[14].”

Hadis ini menunjukkan kepada kita beberapa perkara iaitu :

1- Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa tiada pilihan bagi manusia untuk memilih sama ada untuk menerima atau menolak sesuatu hokum atau perkara yang telah termatub dalam wahyu. Manusia wajib melakukan perkara yang disuruh Allah.

2- Ijtihad Rasulullah S.A.W berlaku pada perkara yang bersifat duniawi sahaja. Ijtihad hanya berlaku jika perkara tersebut bersifat sangkaan (dzhan) sahaja.

3- Sesungguhnya para sahabat Radiyallahu Anhum sememangnya mengetahui secara mendalam  perkara berkenaan “perkahwinan pokok tamar”. Walaupun begitu, mereka tetap tidak menyangkal Rasulullah S.A.W pada mulanya bahkan mereka mengikuti pandangan baginda. Perkara ini menunjukkan betapa beradabnya mereka dengan baginda serta ketinggian makam kenabian Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W juga membenarkan para sahabat untuk berijtihad pada sesetengah perkara dan mewasiatkan beberapa jalan yang perlu diikuti dalam perkara ijtihad tersebut[15].

“Rasulullah S.A.W ingin mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman lalu baginda bertanya: Bagaimanakah cara kamu menghukum jika dibentangkan kepadamu sesuatu perkara? Beliau menjawab: Aku akan menghukum perkara tersebut dengan kitab Allah. Baginda berkata: Maka jika tidak ada penyelesaiannya pada kitab Allah? Beliau menjawab: Dengan sunnah Rasullah S.A.W. Rasulullah bersabda: Maka jika perkara tersebut tidak ada pada sunnah Rasulullah S.A.W dan kitab Allah? Beliau menjawab: Aku akan berijtihad dengan pandanganku dan tidak akan menguranginya. Maka Rasulullah S.A.W telah menepuk dadanya lalu bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan petunjuk kepada utusan Rasulullah untuk melakukan apa yang membuatkan Rasulullah reda[16].”

Hadis ini menerangkan kepada kita beberapa perkara iaitu:

1- Menerangkan manhaj ijtihad yang diredhai Rasulullah S.A.W.

2- Hadis ini sebagai dalil untuk membuang sifat jumud dan keperluan untuk berijtihad ketika ketiadaan hukum dalam Al-Quran dan Sunnah.

3- Hadis ini menerangkan tentang perihal timbulnya permasalahan berbeza-beza dan tidak serupa. Syarak telah mewakilkan kepada mujtahid untuk berijtihad dengan pandangannya.

4- Rasulullah S.A.W tidak memberikan peringatan kepada Muaz tentang kesalahan pada ijtihad atau kesempitan pada batas-batas ijtihad. Boleh berijtihad selagimana tidak melampaui batasan Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.

Perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai isu rampasan kuasa 3 Julai di Mesir merupakan salah satu perkara yang telah terjadi. Perbezaan pendapat atau ijtihad dapat dilihat berlaku dalam kalangan ulama Mesir terutamanya. Bagaimana kita mengatasi dan meneliti kepelbagaian pandangan para ulama?

Inilah masalah utama yang berlaku pada sepanjang zaman. Kadangkala ulama saling berlapang dada dengan perbezaan pendapat akan tetapi masyarakat yang berada di luar kelompok ulama seperti orang awam, pelajar, media massa dan sebagainya sering berbalah dan kadangkala menghina pandangan ulama yang berbeza dengan pandangan yang dipegangnya.

Perkara pertama yang perlu kita ketahui ialah kedudukan ulama di sisi Islam . Al-Quran telah merakamkan ketinggian martabat ulama[17] :

“Allah menyatakan bahawasanya tiada tuhan melainkan-Nya yang menegakkan keadilan.Para malaikat dan orang-orang berilmu (juga menyatakan perkara demikian). Tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Surah Ali Imran: 18

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara para hamba-Nya hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Surah Fatir: 28

Kedua-dua ayat ini menjelaskan kedudukan ulama yang tinggi di sisi Allah. Selain itu, Allah juga menyeru kita supaya memuliakan ulama.

“Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri di antara kamu….”

Surah An-Nisa`: 59

Perkataan “ulil amri” di dalam ayat ini bermaksud ahli-ahli fiqh dan agama ataupun ulama. Ini adalah pandangan Abdullah bin Abbas dan juga para tabiin seperti Mujahid , Atha`, Hasan Al-Basri dan Abu Al-Aliah. Selain itu, golongan salafussoleh juga berpandangan memuliakan ulama merupakan sebahagian daripada sunnah.

Imam Ibnu Taimiyyah juga memberi pandangan bahawa wajib bagi umat Islam untuk mengikuti orang mukmin selepas mengikuti Allah dan Rasulullah S.A.W terutamanya golongan ulama kerana mereka merupakan pewaris para anbiya`. Allah telah menjadikan kedudukan para ulama seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk ketika kegelapan malam di lautan dan daratan[18].


Ijtihad yang benar dan salah

Jika ulama telah meneliti dan mengkaji dengan bersungguh-sungguh sambil menggunakan kaedah yang sahih di dalam berijtihad maka baginya tetap ada pahala sama ada ijtihadnya benar atau salah.

“Daripada Amru bin Al-Ash sesungguhnya beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Jika seseorang pemerintah ingin mengeluarkan hukum maka dia berijtihad kemudian jika ijtihadnya benar maka baginya dua pahala. Jika dia mengeluarkan hukum dan berijtihad kemudian ternyata ijtihadnya salah maka baginya satu pahala[19].”

Hadis ini telah menunjukkan kepada kita bahawa berijtihad ialah satu ibadah sama ada hasilnya benar atau salah dengan syarat telah menggunakan kaedah yang betul.

Akan tetapi, amaran daripada Rasulullah S.A.W jika berijtihad dengan sambil lewa.

“Daripada Ubaidillah bin Abi Jaafar berkata : Rasulullah S.A.W telah bersabda : Siapa yang paling tergesa-gesa dalam mengeluarkan fatwa merekalah yang paling cepat menuju ke neraka[20].”


Pendirian Islam mengenai penghinaan terhadap ulama

                Islam telah mengharamkan untuk menghina ulama dengan sesuka hati. Imam Syafie Rahimahullah menyatakan bahawa jika bukan ulama yang menjadi wali-wali Allah maka tiadalah wali yang lain di sisi Allah. Saidina Abdullah bin Abbas juga berpandangan bahawa barangsiapa yang menyakiti seorang faqih maka dia telah menyakiti Rasulullah S.A.W dan barangsiapa yang menyakiti Rasulullah S.A.W maka dia telah menyakiti Allah[21].

Menghina ulama akan menatijahkan kemurkaan Allah Taala dan akan menyebabkan hilangnya sifat kepercayaan masyarakat terhadap Islam kerana golongan ulama merupakan golongan yang memberi petunjuk kepada masyarakat tentang Islam. Oleh itu, kita perlu berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam perkara ini.


Menilai kebenaran di sebalik perbezaan pandangan dan ijtihad

Perkara paling utama yang ingin dicapai ialah kebenaran di sebalik ijtihad yang telah dikeluarkan oleh para ulama yang saling berbeza pandangan berkenaan sesuatu perkara. Ijmak ulama merupakan sumber paling utama dalam menilai pandangan yang paling benar pada masa kini. Pada masa kini, kita boleh melihat para ulama berijtihad dalam menentukan fatwa paling benar atau rajih mengikut keadaan semasa dan bertepatan dengan kehendak Al-Quran dan sunnah.

 Oleh itu, banyak muktamar yang telah diadakan untuk membincangkan isu-isu penting yang perlu diselesaikan. Contohnya, Majmak Fiqh Antarabangsa yang pernah bersidang di Malaysia pada 2007 untuk menyelesaikan masalah berkaitan penggunaan ubat bagi pesakit lelah atau inhaler sama ada ianya membatalkan puasa atau tidak.

Ulama berkhilaf pada masalah ini dan pada mulanya hampir kebanyakannya berijtihad untuk memutuskan ianya membatalkan puasa kerana mendapati gas inhaler tersebut mempunyai serbuk yang boleh sampai ke rongga perut. Akan tetapi, para ulama bersidang semula dan mendapatkan hasil kajian yang lebih terperinci daripada pakar perubatan. Akhirnya, ulama bersepakat bahawa penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa kerana kajian mendapati serbuk gas tersebut hanya sampai ke paru-paru dan ulama juga membenarkannya kerana penggunaan ubat untuk tujuan menjaga nyawa adalah perkara yang diberi keutamaan.

Perkara yang berlaku di Syria juga menarik perhatian kita untuk dibahaskan. Fakta menunjukkan hampir 95% ulama Syria menyokong revolusi rakyat Syria menggulingkan pemerintahan Presiden Basyar Al-Assad. Akan tetapi ada juga sebilangan kecil ulama Syria yang tidak menyokong revolusi. Akan tetapi, perbezaan pendapat ulama mengenai Revolusi Syria tidak dibahas panjang. Rakyat Syria menilai pandangan yang menjurus kepada kebenaran dan perkara yang berlaku di Syria adalah pertembungan di antara yang hak dan batil. Menjatuhkan kerajaan Basyar Al-Assad lebih diutamakan oleh rakyat Syria berbanding perbahasan mengenai khilaf ulama Syria.

Hakikat yang ingin dicapai oleh kita ialah kebenaran dalam perbezaan pandangan terutamanya yang melibatkan pertembungan yang penting seperti hal ehwal kenegaraan. Oleh itu, Syeikh Muhammad Abduh[22] di dalam Tafsir Al-Manar pernah memberi pandangan berkenaan masalah ini[23]. Pertembungan sesama umat Islam bukanlah perkara baru dan telah berlaku sejak zaman beliau. Beliau menyatakan bahawa dalam kebanyakan pandangan ulama terdapatnya petunjuk dan cahaya. Jika umat Islam mengikut jalan tersebut pastinya dapat mengeluarkan diri daripada kesempitan khilaf dan perbalahan kepada medan penyatuan dan permuafakatan.

Adapun sebab terus berlaku khilaf dan pertembungan pemerintah ialah tersebarnya kejahilan dan ketaksuban golongan berkedudukan dalam kalangan ulama kepada mazhab atau aliran yang diikuti mereka. Dengan terang lagi nyata mereka menghidupkan, memuliakan serta mendokong para umara` (pemimpin) dan penguasa-penguasa untuk menundukkan seluruh umat. Mereka juga memutuskan jalan kebebasan pemikiran dan pemahaman umat. Oleh kerana mereka telah membantu pemerintahan kuku besi lalu mereka telah mengukuhkan  kedudukan golongan yang cintakan kerosakan dan kesesatan.

Justeru, ulama perlu mencapai penyatuan pandangan bagi memastikan pemerintah tidak berlaku zalim dan mengikuti jalan kebenaran. Pemerintah mesti mengikuti pandangan ulama kerana jika golongan yang khas (ulama) bersatu nescaya orang awam akan mengikutinya. Ini adalah satu-satunya wasilah bagi menghalang pemerintahan kuku besi.

Maka agama menyeru untuk menghindari perbalahan dan pertembungan serta berpegang dengan agenda kesatuan. Allah telah berfirman:

“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai”.

Surah Ali Imran: 103

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan…”

Surah Al-Anfal: 46

Nabi S.A.W telah bersabda: “Janganlah kamu kembali kafir sesudah (kewafatanku). Sebahagian kamu akan memenggal leher sebahagian yang lain”

Menurut Syeikh Muhammad Abduh lagi[24]: “Sesungguhnya kita telah berpecah dan bertembung kerana kita telah membelakangkan nas-nas ini. Kita juga telah memerangi satu sama lain dengan nama agama kerana kita berada dalam aliran dan mazhab yang berbeza. Setiap kumpulan taksub dengan fahaman mereka dan seluruh kelompok Muslimin melampaui batas bagi mempertahankan kelompoknya dengan mendakwa mereka adalah penolong agama sambil mengkhianatinya dengan memecah-belahkan kesatuan umat Islam. Golongan Sunni memerangi Syiah, Syiah memerangi Ibadiyah, khalaf memerangi pengikut salaf dan sebagainya.”

Seluruh umat Islam bergaduh sehingga jauh dari jalan kebenaran dan mengikut langkah-langkah syaitan seakan-akan mereka tidak membaca firman Allah Taala:

“…Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu”

Surah Al-Baqarah : 168

Langkah-langkah syaitan ialah setiap perkara yang bercanggah dengan jalan kebenaran, kebaikan dan maslahah.

Jika berlaku perselisihan maka kita perlulah untuk mengembalikan diri kepada penghakiman Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah Taala :

Surah An-Nisa` : 59

Sesungguhnya kebenaran itu hanyalah satu. Maka, wajib bagi kita untuk mencarinya dengan keikhlasan, tanpa berat sebelah dan perdebatan sehinggalah kita berjaya mencapai kebenaran dan menutup pintu syaitan. Wajib bagi kita  mengkaji dan meneliti kebenaran dengan syarat ianya bukanlah bertujuan untuk memusuhi orang yang menentangnya. Oleh itu, sebaiknya kita cuba untuk mencari jalan ke arah penyatuan ijtihad sebaik mungkin.


Kesimpulan

1) Pertembungan ulama mengenai isu rampasan kuasa di Mesir bukanlah isu utama yang sepatutnya dibahaskan pada masa kini. Perkara yang perlu diberi keutamaan pada masa kini ialah pertembungan antara Islam dengan sekularisme di Mesir. Sepatutnya kita perlu memberi keutamaan pada pertembungan ini kerana ianya merupakan pertembungan antara kebenaran dan kebatilan.

2) Para ulama seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Hasan Syafie dan para ulama yang menghadiri muktamar ulama sedunia di Istanbul tidak melemparkan penghinaan terhadap ulama yang berijtihad menyokong tentera akan tetapi menyeru mereka kepada kebenaran. Setakat ini masih belum ada lagi pandangan ulama yang menghina ulama lain dalam isu ini.

3) Kebenaran yang hakiki merupakan perkara utama yang perlu dicari dalam setiap pandangan ulama. Menilai dan meneliti setiap pandangan dan hujah ulama adalah perkara yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim dan bukannya menghina pandangan ulama walaupun tidak bersetuju dengan pandangan mereka.

4) Seorang muslim perlu menjaga dirinya daripada melemparkan penghinaan terhadap muslim yang lain tanpa mengira golongan. Golongan ulama bukanlah golongan yang boleh dihina dengan sewenang-wenangnya begitu juga dengan muslim yang lain.






[1] Syeikh Dr.Ahmad Thayyib dilahirkan di wilayah Qana, Mesir dan mempunyai salasilah keluarga sehingga ke Saidina Hasan bin Ali bin Abi Talib. Beliau telah mendapat ijazah dalam bidang Aqidah Dan Falsafah Islamiyah di Universiti Al-Azhar pada 1969, mendapat Sarjana (M.A) pada 1971 dan Phd pada 1977. Pernah menjadi pensyarah di Fakulti Pengajian Islam dan Arab di Qana, Dekan Fakulti Pengajian Islam di Aswan, Dekan Fakulti Usuluddin di Universiti Islam Antarabangsa, Pakistan. Beliau pernah menjadi mufti Republik Arab Mesir, Rektor Universiti Al-Azhar serta ahli Majmak Buhus Islamiah. Beliau telah dilantik sebagai Syeikhul Azhar pada 2010.

[2]   Haiah Kibar Ulama ialah himpunan ulama Mesir. Ketuanya ialah Syeikhul Azhar. Presiden Jamal Abdul Nasser telah memansuhkannya dan menggantikannya dengan menubuhkan Majmak Buhus Al-Islamiah. Haiah Kibar Ulama telah ditubuhkan semula selepas Revolusi 2011.

[3] Majmak Buhus Islamiah ialah badan tertinggi ulama dalam bidang penyelidikan Islam di bawah Al-Azhar. Ianya berfungsi untuk memperbaharui kajian ilmiah dan meluaskan pengkajian ilmu di semua bidang. Badan ini tidak dipengaruhi oleh ketaksuban politik dan mazhab. Badan ini juga berfungsi untuk menyelesaikan masalah dalam masyarakat seperti masalah berkaitan mazhab atau aqidah.

[4] Kerajaan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu merupakan antara negara yang menyokong kuat gerakan menjatuhkan Presiden Mursi dan Ikhwan Muslimun.

[5] Dr.Muhammad Imarah merupakan salah seorang ahli Haiah Kibar Ulama. Beliau banyak menulis buku dan penulisannya banyak terdapat di dalam majalah bulanan Al-Azhar. Beliau banyak mengupas isu semasa umat Islam dari sudut ilmiah seperti isu politik dan sebagainya.

[6] Republik Rakyat China dan India telah menjadi negara membangun dari segi ekonomi setelah sebelumnya mengalami kemunduran. Korea Selatan pernah mengalami krisis politik sekitar era 1980-an setelah tentera merampas kuasa akan tetapi kini telah menjadi sebuah negara maju di dunia. Mereka juga berjaya bangkit setelah mengalami kemusnahan teruk dalam Perang Korea pada 1950-1953 yang mengorbankan tiga juta nyawa.

[7] Syar'iyyah ialah dokongan kepada Presiden Mursi sebagai presiden yang sah.

[8] Turki ialah sebuah negara yang bebas. Gerakan Islam serta ulama mudah bergerak di Turki dan Eropah berbanding di negara Islam yang lain. Turki telah menjadi kekuatan Islam yang terbaru setelah kemenangan Parti Keadilan Dan Pembangunan (AKP) pimpinan Recep Tayyip Erdogan pada 3 November 2002.

[9] Parti Nour sebuah parti berfahaman Salafi telah menyokong pelan “road map” atau pelan peralihan kuasa tentera Mesir setelah krisis 3 Julai 2013 berlaku. Dr.Muhammad Imarah dalam temubual dengan Al-Jazeera pada 8 Ogos 2013 menyifatkan Parti Nour tersalah langkah dan membuat kesalahan besar. Parti Nour ialah parti Islam kedua terbesar di Mesir selepas Parti Kebebasan Dan Keadilan (FJP). Parti ini merupakan sayap politik kepada pertubuhan Dakwah Salafiyah.

[10] Perwakilan gerakan Islam seluruh dunia berkumpul di Turki bagi menyokong kepimpinan Presiden Mursi. Wakil Malaysia ialah Tuan Guru Dato` Seri Haji Abdul Hadi Awang.

[11] Darul Ifta` Al-Misriah ialah Jabatan Fatwa Mesir.

[12] Revolusi 2011 juga dikenali Revolusi 25 Januari. Ulama juga berkhilaf di dalam masalah tersebut seperti isu rampasan kuasa 3 Julai 2013.

[13] Lihat : Ustaz Dr Ahmad Buud, Al-Ijtihad Baina Haqaiq At-Tarikh Wa Mutathollibat Al-Waqie`, Dar As-Salam, 2005, m.s 22

[14] Sahih Muslim, Kitab Al-fadail

[15] Ibid, m.s 23

[16] Sunan Abi Daud, Kitab Al-Aqdhiah

[17] Lihat : Dr.Talaat Muhammad Afifi, Al-Ulama Baina At-Tauqir Wa At-Tathowwul, Dar As- Salam, 2002, m.s 13

[18] Ibid, m.s 27

[19] Op. cit, Ustaz Dr.Ahmad Buud, m.s 24

[20] Ibid, m.s 25

[21] Op. cit, Dr.Talaat Muhammad Afifi, m.s 47-48

[22] Syeikh Muhammad Abduh dilahirkan pada 1849 di Buhairah, Mesir. Beliau belajar di Madrasah Ahmadi dan kemudiannya Universiti Al-Azhar. Antaranya guru-gurunya ialah Syeikh Darwish Khudr, Syeikh Hassan Tawil dan Syeikh Jamaluddin Al-Afghani. Beliau ialah seorang tokoh reformis atau tajdid Islam pada zamannya. Beliau berani mengemukakan ideanya walaupun mendapat rintangan. Ideanya telah membawa perubahan kepada Al-Azhar dan sistem mahkamah Mesir. Beliau terlibat dalam Revolusi Urabi yang ingin menggulingkan British di Mesir. Beliau dibuang negara pada 1882. Beliau pernah menjadi Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Mesir, anggota Majlis Pengurusan Al-Azhar dan Mufti Mesir pada 1899-1905. Beliau banyak memberi idea dalam mereformasikan pendidikan. Penulisannya cukup berpengaruh ke serata dunia Islam. Tanah Melayu juga terkesan dengan pemikiran beliau ketika itu. Sebuah dewan di kampus Universiti Al-Azhar Kaherah dinamakan sempena namanya.

[23] Lihat : Dr.Abdul Jalil Isa, sisipan Majalah Al-Azhar Keluaran Ramadan 1434H: Ma La Yajuzu Fihi Al-Khilaf Baina Al-Muslimin, Majmak Buhus Al-Islamiah, m.s 84

[24] Ibid, m.s 85


Rujukan :

1) Al-Ijtihad Baina Haqaiq At-Tarikh Wa Mutathollibat Al-Waqie`, Ustaz Dr.Ahmad Buud, Dar As-Salam, 2005.

2) Al-Ulama Baina At-Tauqir Wa At-Tathowwul, Dr.Talaat Muhammad Afifi, Dar As- Salam, 2002.

3) Sisipan Majalah Al-Azhar Keluaran Ramadan 1434H: Ma La Yajuzu Fihi Al-Khilaf Baina Al-Muslimin, Dr.Abdul Jalil Isa, Majmak Buhus Al-Islamiah, Julai/Ogos 2013.

4) Terjemahan Sunan Tis`ah berbahasa Indonesia.

5) Kamus Miftah Arab-Melayu-Inggeris

6) dar al-ifta.org



9) www.alazhar-assyarif.gov.eg

10) Facebook Al-Azhar

11) Facebook R.N.N.




Disediakan oleh:
Barisan Felo MANHAL 
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013


"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Saturday, August 17, 2013

HIKMAH-HIKMAH AIDILFITRI

HIKMAH-HIKMAH AIDILFITRI




Pendahuluan

Eidul fitri adalah salah satu perayaan umat Islam yang terbesar dan paling meriah disambut di Malaysia khasnya dan di setiap negara umat Islam amnya. Memahami hikmah-hikmah pensyariatannya, amalan-amalan yang dianjurkan padanya sudah semestinya menjadi satu kewajipan bagi setiap individu muslim. 

Realitinya, masih ramai yang tidak mengetahui makna disebalik Eidul fitri itu selain hanya menganggapnya sebagai hari memuaskan nafsu perut yang dikekang selama sebulan pada bulan Ramdhan. Ramai juga yang menjadikan Eidul fitri sebagai masa memperagakan fesyen pakaian yang terkini tanpa mengambil kira aspek aurat dan sebagainya dalam pemakaian. Perkara-perkara songsang seumpama ini mungkin disebabkan kejahilan terhadap erti Eidul fitri dalam Islam di samping faktor-faktor lain yang turut menyumbang ke arah kesongsangan tersebut.


Sejarah Hari Raya Dalam Islam

Sebelum kedatangan Islam, manusia sudahpun mengenal erti perayaan dan mengadakan perayaan. Setiap masyarakat di dunia ketika itu mempunyai perayaan yang tersendiri. Sewaktu ketibaan Rasulullah S.A.W ke kota Madinah, Baginda S.A.W mendapati masyarakatnya menyambut dua jenis perayaan. Lalu kedua-dua jenis perayaan tersebut telah digantikan dengan hari raya puasa dan hari raya korban. 

Hari raya pertama yang diraikan di dalam Islam ialah Eidul fitri iaitu pada tahun kedua Hijrah. Bermula dari detik itu, umat Islam semakin memiliki imej yang tersendiri sebagai masyarakat yang bertamadun.

Anas bin Malik meriwayatkan: Setibanya Rasulullah S.A.W ke kota Madinah, mereka - iaitu penduduk Madinah - mempunyai kebiasaan meraikan dua jenis hari dalam setahun. Baginda S.A.W bertanya: "Apakah dua hari ini? Mereka menjawab: " Kami selalu bersuka ria padanya sejak zaman jahiliah lagi". Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhhya Allah S.W.T telah menggantikan buat kamu dengan dua hari yang lebih mulia daripada kedua-dua hari tersebut iaitu hari al-Adha dan hari  al-Fitr".       
[Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, Kitab Solat, Bab Solat Dua Hari Raya, jil:1, m/s:295, no:1134].

Sebahagian ulamak berpendapat, dua hari yang digantikan dengan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji itu ialah Hari Mihrijan dan Hari Nairuz. Mihrijan adalah hari-hari pada awal bulan Oktober dan Nairuz pula adalah hari-hari pada permulaan tahun dalam kalendar-kalendar yang berasaskan peredaran matahari. Dikatakan, cuaca pada kedua-dua hari tersebut adalah sederhana sementara waktu siang dan malamnya juga adalah seimbang sama seperti di negara-negara beriklim khatulistiwa. 

Justeru, para cendekiawan silam menjadikan kedua-duanya sebagai perayaan tahunan. Perbuatan ini kemudiannya diikut oleh orang awam dengan sangkaan apa yang dilakuakan oleh para cendekiawan itu sudah tentu berdasarkan pertimbangan akal yang sempurna. Apabila para nabi dan rasul diutuskan, perayaan-perayaan seumpama itu telah dihapuskan dan digantikan dengan perayaan-perayaan yang syar`ie seperti Eidul Adha dan Eidul fitri.


Maksud Eidul fitri

Eidul fitri adalah gabungan dua perkataan Arab yang biasa diterjemahkan sebagai hari raya puasa. Apakah maksud perkataan ini sebenarnya? Eid (عيد) berasal daripada suku kata (عاد يعود عودا) yang bermaksud kembali. Disebabkan sesebuah perayaan itu sentiasa berulang setiap kali bergantinya tahun dan ia datang membawa kegembiraan kepada manusia, maka ia dinamakan Eid

Fitr (فطر) pula merujuk kepada perkataan iftar (إفطار) yang bermaksud berbuka puasa. Disebabkan pada hari raya puasa tidak dibenarkan berpuasa, bahkan digalakkan pula bersarapan sebelum menunaikan solat, maka ia dinamakan fitr iaitu perayaan berbuka puasa.


Maqasid  Atau Hikmah di Sebalik Eidul fitri

Ada beberapa nilai utama yang tersurat dan tersirat disebalik pensyariatan Eidul fitri itu dan ianya seperti berikut:


Hikmah Pertama: Penghambaan atau Ubudiyyah

Inilah nilai terbesar sebuah perayaan dalam Islam. Bagi seorang muslim yang mukmin, tingkatan ubudiyyah adalah setinggi-tinggi tingkatan. Ia merupakan tujuan asal mengapa kita semua dijadikan di dunia ini. Allah S.W.T berfirman:

"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menghambakan diri kepadaKu..." [ Az-Zariyat, ayat 56 ]

Tingkatan ubudiyyah membawa seseorang itu bebas dan merdeka dari cengkaman perhambaan sesama hamba dan seterusnya menjadikannya seorang insan yang tinggi dan mulia.

Selaku umat Islam, kita menyambut lebaran pada satu Syawal disebabkan ia merupakan ketetapan syarak. Bukan disebabkan kita mendapat cuti pada hari itu. Realitinya ramai yang tidak mendapat cuti pada hari tersebut tetapi tetap beraya. Bukan juga kerana dilahirkan pada hari tersebut. Realitinya ramai manusia yang lahir pada hari lain namun tetap menyambut lebaran pada satu Syawal. Bukan juga kerana hari itu kita bergembira. 

Realitinya ramai yang bersedih pada hari raya di atas musibah yang menimpanya atau orang yang tersayang. Walau bagaimanapun hari raya tetap jatuh pada satu Syawal. Inilah yang dinamakan pengaruh ubudiyyah.

Kita meraikan Eidul fitri dengan adab-adab tertentu disebabkan oleh tuntutan syarak. Begitu juga sebelum Eidul fitri, kita berpuasa selama sebulan kerana tuntutan syarak. Semua yang dilakukan dalam menjayakan Eidul fitri bertitik tolak daripada ajaran dan perintah syarak. Maka kita melakukannya di atas kesederan sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Inilah tujuan terbesar Eidul fitri diraikan.


Larangan Berpuasa

Sebagai menyempurnakan maksud ubudiyyah pada hari Eidul fitri, Kita dilarang sama sekali berpuasa pada hari tersebut. Seorang tabi`ie yang bernama Abu Ubaid berkata: "Aku menyaksikan hari raya bersama Umar bin al-Khattab R.A, lalu beliau berkata: "Dua hari ini adalah hari-hari yang dilarang oleh Rasulullah S.A.W daripada berpuasa, hari kamu berbuka setelah berpuasa. Manakala hari yang kedua ialah hari kamu memakan binatang sembelihan kamu padanya".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Puasa, Bab Puasa Hari Aidil Fitri, jil. 2, m/s 702, no.1889].

Imam al-Bahgawi R.H (516 H) berkata: " Ulamak sepakat mengatakan tidak harus berpuasa pada hari raya. Jika seseorang itu bernazar untuk berpuasa pada hari tersebut, nazarnya itu tidak sah di sisi kebanyakan ulamak. Ahlu ra`yi (gelaran yang lazim bagi ulama Iraq) berpendapat, nazarnya itu sah tetapi dia mesti berpuasa pada hari lain".      [Syarh as-Sunnah, jil. 6, m/s 349].


Bersarapan Sebelum Keluar ke Masjid atau Musalla

Sunnah ini menguatkan lagi larangan berpuasa pada hari lebaran. Anas bin Malik R.A berkata: "Biasanya Rasulullah S.A.W tidak akan keluar pada pagi Eidul fitri melainkan setelah Baginda S.A.W bersarapan dengan buah tamar. Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil".              
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Dua hari Raya, Bab Bersarapan Pada Hari raya al-Fitri Sebelum Keluar, jil. 1, m/s 325, no.910].

Justeru, kebanyakan ulamak di kalangan sahabat R.A dan tabi`in berpandangan sunat menjamah makanan sebelum berangkat ke musalla atau ke masjid bagi mengerjakan solat sunat raya. Sesetengah mereka berpendapat, hikmah disebalik amalan ini ialah supaya tidak disangka orang bahawa puasa itu berterusan hukumnya sehinggalah selesai mengerjakan solat sunat raya.


Hikmah Kedua: Kegembiraan dan Kesyukuran

Puasa merupakan salah satu petua yang diturunkan oleh Allah S.W.T berguna bagi mengekang hawa nafsu dan melawan pujuk rayu iblis dan konco-konconya. Selama sebulan kita menahan diri daripada perkara-perkara yang harus (المباحات) akhirnya kita diberi bonus meraikan perjuangan sebulan kita itu dengan menyambut Eidul fitri. Eidul fitri adalah hari kemenangan kita ke atas musuh tradisi dan hawa nafsu yang sering membuatkan kita menyimpang dari landasan yang betul.

Oleh yang demikian, sewajarnya kita menyambut Eidul fitri dengan rasa bersyukur dan gembira atas nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Inilah antara nilai yang mahu ditonjolkan di dalam sunnanul eid (سنن العيد).

Bersyukur satu tuntutan agama. Dalam hal ini, Allah S.W.T berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik, yang telah Kami kurniakan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembah-Nya". [al-Baqarah, ayat 172]

Rasulullah S.A.W bersabda: "Barang siapa yang tidak berterima kasih kepada manusia bererti dia tidak bersyukur kepada Allah S.W.T".                 
[Hadis riwayat at-Tirmizi di dalam Sunannya, Kitab Berbuat baik dan Menghubungkan Silatur rahim, Bab Berkaitan Dengan Berterima Kasih Kepada Orang Yang Berbuat Baik Kepadamu, jil. 4, m/s 339, no.1954]

Ada banyak cara kita melahirkan kesyukuran dan kegembiraan kita sewaktu menyambut Eidul fitri. Berikut adalah sebahagian daripada cara bersyukur dan bergembira yang dianjur Islam:


Mandi di Pagi Raya

Imam Ibnu al-Mulaqqan R.H (804 H) menyatakan hadis-hadis berkaitan dengan mandi pada hari raya semuanya daif dan terdapat atsar melalui jalur yang elok daripada para sahabat mengenainya[1]. Imam asy-Syaukani R.H (1250 H) pula menyebut di dalam Nailul Autsar, bahawa tiada satu hadispun yang boleh dijadikan hujah bagi sebarang hukum mengenai mandi pada hari raya sama ada wajib mahupun sunat[2]. Pun begitu, Imam as-Syafi`ie R.H (204 H) di dalam al-Umm menyatakan, mazhab Said bin Musayyab dan Urwah bin Zubair bahawa mandi pada hari raya itu sunat disebabkan ia lebih elok, lebih dikenali, lebih bersih di samping ia dilakukan oleh beberapa orang yang soleh. Ia bukan disebabkan ia adalah sunnah Rasulullah S.A.W[3].

Antara golongan terdahulu yang mengamalkan mandi di pagi raya ialah Ali bin Abu Talib R.A, Abdullah bin Umar R.A dan Salamah bin al-Akwa` R.A seperti yang disebut oleh Imam al-Baghawi[4].

Sebahagian ulamak menyatakan, sunat mandi pada pagi raya berdasarkan hukum mandi pada pagi jumaat. Ia disamakan dengan hukum mandi pada pagi jumaat dengan kaedah qias. Menurut mereka, kedua-duanya bertujuan untuk solat berjemaah di masjid.

Sebahagian buku-buku Mazhab Syafi`ie pula menyebut, mandi pada pagi raya tujuannya adalah untuk berhias dan menzahirkan kegembiraan.[5] Justeru ia bukan sahaja digalakkan kepada orang yang menghadiri Solat Raya, bahkan orang yang tidak menghadirinya juga digalakkan mandi dan membersihkan diri bagi tujuan tersebut. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Imam as- Syafi`ie dengan katanya "lebih elok, lebih dikenali, lebih bersih".


Berpakaian Baru

Umar bin al-Khattab R.A telah mengambil sehelai baju sutera yang dijual di pasar, lalu beliau membawanya kepada Rasulullah S.A.W dan berkata: "Wahai Rasulullah! Belilah baju ini agar engkau dapat berhias dengannya pada hari raya dan ketika menerima rombongan tetamu". Rasulullah S.A.W bersabda: "Ini adalah pakaian orang yang tidak bernasib baik di akhirat kelak". Setelah berlalu beberapa ketika, Rasulullah mengutuskan seseorang untuk membawa pakaian sutera kepada Umar. Lalu Umar membawa pakaian tersebut menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: "Wahai Rasulullah S.A.W! Engkau telah mengatakan sebelum ini bahawa pakaian ini adalah pakaian orang yang tidak bernasib baik di akhirat kelak tetapi engkau telah menghantarkannya kepadaku". Rasulullah S.A.W bersabda: " Kamu boleh menjualnya dan membeli keperluan mu dengan harganya".                     
[Hadis Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Dua Hari Raya, Bab Berkaitan Dengan Dua Hari Raya dan Berhias Padanya, jil. 1, m/s 323, no.906].

Dalam hadis di atas, Rasulullah S.A.W tidak mengingkari maksud Saidina Umar R.A yang mahu Rasulullah S.A.W memakai baju yang cantik dan baru pada hari raya. Tetapi Baginda S.A.W hanya mengingkari jenis baju yang dicadangkan oleh Saidina Umar R.A. Hal ini disebabkan kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian sutera yang hanya dibenarkan untuk kaum wanita. Selain itu, pakaian yang dicadangkan tersebut mengandungi dua unsur lain yang menyebabkan ia tidak syar`ie iaitu pembaziran dan kesombongan.

Nafi` R.H, seorang tabi`ie, (117 H) berkata: " Biasanya Ibnu Umar akan mandi pada hari raya seperti mandi junub. Kemudian beliau akan memakai wangian sekiranya ada dan pakaian yang paling bagus yang beliau miliki".[6]


Bertakbir

Pada hari Eidul fitri, disunatkan bertakbir di dalam solat sunat raya sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua sebelum membaca al-Fatihah. Takbir-takbir ini tidak termasuk Takbiratul Ihram dan Takbiratul Intiqal. Bentuk solat sebegini merupakan amalan sebahagian sahabat nabi R.A dan mazhab sebahagian ulamak seperti Imam-imam Malik bin Anas R.H (179 H), as-Syafi`ie R.H dan Ahmad bin Hanbal R.H (241 H). 

Walau bagaimanapun jika seseorang itu terlupa melakukannya, solatnya tetap sah. Amalan ini berdasarkan hadis Amru bin Auf R.A yang berbunyi: "Bahawa Nabi S.A.W bertakbir dalam solat sunat raya sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama sebelum membaca surah. Pada rakaat kedua pula, baginda S.A.W bertakbir sebanyak lima rakaat sebelum membaca surah".           
[ Hadis riwayat at-Tirmizi di dalam Sunannya, kitab Solat, Bab Yang Berkaitan Dengan Takbir Pada Dua Hari Raya, jil. 2, m/s 416, no.536 ].

Sebahagian ulamak berpendapat, sunat bertakbir pada malam dan pagi raya ketika berjalan ke musalla atau masjid sehinggalah solat sunat raya mahu didirikan. Pendapat ini berdasarkan beberapa hujah, antaranya ayat ke 185 daripada Surah al-Baqarah dan hadis daif yang diriwayatkan secara mursal oleh az-Zuhri (124 H), salah seorang tabi`ie yang masyhur. Ia juga disokong oleh amalan sesetengah sahabat seperti Abdullah bin Umar R.A. 

Selain itu, ia juga berdasarkan dalil bertakbir pada hari Eidul Adha. Dalil bertakbir pada hari tersebut turut dijadikan dalil bagi amalan bertakbir pada pagi Eidul fitri berdasarkan kaedah qias. Mereka berhujah, kedua-duanya merupakan hari raya yang digalakkan padanya membesarkan Allah S.W.T. Jika bentuk solat sunat raya pada Eidul fitri sama seperti solat sunat Eidul Adha dari segi jumlah rakaat dan takbir, maka dalam soal takbir ketika menuju ke masjid atau musalla juga begitu. 

Demikian antara sandaran bagi pendapat yang memandang sunat bertakbir pada pagi Eidul fitri.


Mengerjakan Solat Sunat Raya

Solat Raya hukumnya adalah sunat yang dituntut. Ia mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Ia disunatkan kepada orang yang bermuqim dan bermusafir mengikut pendapat mazhab Syafi`ie. Sebahagian ulamak berpendapat, sunat dikerjakan solat sunat raya di kawasan yang terbuka (musalla). Waktu solat sunat raya bermula setelah terbit matahari sehinggalah ia tergelincir dari dada langit. 

Solat sunat raya sedikit berbeza daripada solat-solat sunat yang lain yang mana setelah diangkat takbiratul ihram, disunatkan bertakbir sebanyak tujuh kali. Antara satu takbir dengan yang lain dipisahkan dengan senyap seketika (saktah). Pada rakaat yang kedua pula, setelah mengangkat takbiratul intiqal, disunatkan bertakbir sebanyak lima kali dengan cara yang sama pada rakaat pertama.

Solat sunat raya merupakan agenda utama pada hari Eidul fitri. Semua orang Islam sama ada lelaki atau perempuan, besar atau kecil, tua atau muda, malah yang uzur syar`ie seperti kedatangan haid juga digalakkan berhimpun di kawasan berhampiran musalla bagi meninggikan syiar Islam pada hari tersebut.

Abu said al-Khudri R.A (63 H) berkata: " Kebiasaanya Rasulullah S.A.W akan keluar ke musalla pada hari Eidul fitri dan Eidul Adha. Perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda S.A.W adalah solat. Kemudian Baginda S.A.W akan berdiri berhadapan dengan orang orang ramai dalam keadaan mereka semua duduk dalam saf masing-masing, lalu menasihati mereka, berpesan dan memberi arahan kepada mereka. Jika Rasulullah S.A.W mahu mengutuskan pasukan tentera, Baginda akan lakukan ketika itu atau mahu mengarahkan sesuatu, Baginda akan memberikan arahan ketika itu juga. Kemudian Baginda S.A.W akan pulang ke rumah".
[ Hadis riwayat Imam al-Bukhari, kitab Solat Dua Hari Raya, Bab Keluar ke Tempat Solat Tanpa Mimbar, jil1, m/s326, no913 ].


Memeriahkan Solat Raya
Dalam hadis sebelum ini Abu said al-Khudri R.A berkata: " Kebiasaanya Rasulullah S.A.W akan keluar ke musalla pada hari Eidul fitri dan  Eidul adha. Perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda S.A.W adalah solat.

Maksud asal musalla ialah tempat solat. Namun, ulamak menyebut, musalla yang dimaksudkan di dalam hadis di atas ialah kawasan lapang yang dapat dilihat oleh semua orang. Sementara masjid pula ialah tempat yang tertutup yang mungkin tidak dapat dilihat oleh sebahagian orang[7].

Sebahagian ulamak menyebut, tujuan diadakan solat sunat raya di kawasan terbuka adalah supaya dapat menampung jemaah yang lebih ramai berbanding di masjid. Boleh jadi, keluasan masjid yang terbatas menyebabkan ramai orang tidak dapat mengerjakan solat sunat raya bersama dengan imam. Namun, jika sesebuah masjid itu mampu menampung seluruh jemaah dalam satu-satu kawasan, tidak mengapa jika dilakukan solat sunat raya di dalamnya.


Bersuka Ria
Aisyah R.A (57 H) berkata: "Abu Bakar R.A (13 H) masuk ke rumahku dan bersamaku ketika itu dua orang wanita Ansar sedang menyanyikan lagu kaum Ansar pada hari Buath". Aisyah R.A meneruskan lagi: "Kedua-duanya bukanlah penyanyi. Lalu Abu Bakar R.A berkata: " Nyanyian Syaitan di dalam rumah Rasulullah S.A.W? Ketika itu adalah hari raya. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: " Wahai Abu Bakar! Setiap kaum itu mempunyai perayaannya dan ini adalah perayaan kita".
[Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitab Solat Dua Hari Raya, Bab Kelonggaran Dalam Berhibur Yang Tidak Berunsur Maksiat Pada Hari-Hari Perayaan, jil. 2, m/s 607, no.892 ].

Hari Buath merujuk kepada peperangan yang melibatkan suku Aus dan Khazraj pada zaman jahiliyah. Pada asalnya, ia adalah nama salah sebuah kubu milik suku Aus.

Lagu yang didendangkan oleh dua wanita Ansar itu adalah rangkap-rangkap syair yang menonjolkan sifat keberanian dan kepahlawanan. Ia bukan dari jenis lagu yang menaikkan nafsu dan memuji-muji wanita sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi pada waktu itu. Justeru, Aisyah menyifatkan, kedua-duanya bukanlah penyanyi. Maksudnya, kedua-dua mereka bukanlah pandai menyanyi dan hanya melagukan syair-syair kepahlawanan yang lazimnya tidak dinamakan lagu di sisi masyarakat arab tetapi ia lebih sinonim dengan nama nasyid.

Oleh itu, Rasulullah S.A.W tidak mengingkari perbuatan tersebut disebabkan ia tidak bertentangan dengan lunas-lunas Islam dan semangat Eidul fitri. Mungkin kita harus menilai semula lirik-lirik lagu yang selalu didendangkan pada masa kini setiap kali menjelangnya Syawal. Lagu-lagu yang mengundang kesedihan, yang menggalakkan percampuran lelaki dan perempuan tanpa batasan, yang memancing nafsu ke arah pembaziran dan kemaksiatan tidak sepatutnya dimainkan pada hari raya.

Faedah yang dapat diambil daripada hadis di atas ialah, hiburan itu dibenarkan khususnya sewaktu perayaan asalkan ia tidak bercampur dengan maksiat.

Sebahagian ulamak menjadikan hadis di atas sebagai hujah kepada keharusan amalan berziarah pada hari raya.


Hikmah Ketiga: Persaudaraan Islam

Allah S.W.T berfirman:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Oleh itu, perdamaikanlah antara dua saudara kamu. Bertakwalah kepada Allah S.W.T, mudah-mudahan kamu dirahmati". [al-Hujurat, ayat 10]

Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi sesuatu yang baik untuk saudaranya sebagaiman dia mengasihinya untuk dirinya sendiri".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Iman, Bab Di Antara Iman Itu Ialah Mengasihi Untuk Saudaranya Sebagaimana Dia Mengasihi Untuk Dirinya Sendiri, jil. 1, m/s 14, no.13]

Hakikatnya, Eidul fitri menyemai dalam diri kita semangat persaudaran berteraskan akidah keimanan kepada Allah S.W.T, Tuhan yang telah menciptakan manusia daripada seorang bapa yang bernama Adam. Biar apa sekalipun latar bangsa dan keluarga mereka, yang menjadi ukuran di sisi Allah S.W.T hanyalah ketakwaan kepada-Nya. Kepelbagaian bahasa dan bangsa tidak lain hanyak sebagai wasilah untuk mereka saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Allah S.W.T berfirman:

"Wahai manusia! Sesungguhnya kami telah menjadikan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan. Kami juga telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan dan bersuku-suku agar kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah S.W.T ialah yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Mengetahui lagi Maha Menghalusi".


Perhimpunan Umum di Pagi Raya

Antara agenda Eidul fitri yang mampu menautkan ikatan persaudaraan Islam ialah berkumpul di masjid dan musalla bagi menunaikan solat sunat raya dan mendengar khutbah raya. Semua golongan dan lapisan masyarakat digalakkan meramaikan perhimpunan pagi ini. Mereka yang tidak mampu menunaikan solat atau tidak mencukupi syarat wajib dan sah solat juga digalakkan bertandang ke musalla bagi meramaikan perhimpunan tersebut.

Ummu Athiyyah R.A berkata: " Kami diperintah untuk membawa keluar gadis dan anak dara ( iaitu ke musalla pada hari raya ), sementara perempuan yang sedang haid hendaklah berada jauh daripada tempat solat".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, kitab Solat Dua hari Raya, Bab Perempuan Yang Suci dan Yang kedatangan Haid keluar ke Musalla, jil. 1, m/s 331, no.931]

Ibnu Abbas R.A berkata: "Aku pernah keluar bersama Rasulullah S.A.W ke Musalla pada Hari Raya Fitri dan Adha. Kemudian Rasulullah S.A.W menyampaikan khutbah. Sesudah itu Baginda S.A.W mendatangi kaum wanita lalu memberi nasihat dan peringatan kepada mereka serta memerintah mereka untuk bersedekah".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, kitab Solat Dua hari Raya, Bab Kanak-kanak Keluar ke Musalla, jil. 1, m/s 331, no.932]

Perlu diingat, Ibnu Abbas R.A tergolong di kalangan sahabat kecil atau dalam kata lain kanak-kanak sahabat ketika menyaksikan peristiwa di atas. Walau bagaimanapun, Rasulullah S.A.W tidak pernah menghalau atau mengarahkan beliau pulang ketika menghadiri upacara solat sunat raya.


Solat Berjemaah
Solat sunat raya dikerjakan secara berjemaah. Walau bagaimanapun berjemaah bukanlah syarat sah solat sunat raya sebagaimana Solat Jumaat. Justeru, barang siapa yang terlepas solat sunat raya secara berjemaah, sunat baginya mengerjakannya secara bersendirian di rumah.

Sebahagian ulamak menyatakan, tiada qadha` atau solat ganti bagi orang yang terlepas solat sunat raya bersama Imam. Ibnu Rusyd (595 H) menyatakan, hal disebabkan mereka mensyaratkan berjemaah dan imam dalam solat sunat raya. Namun, kebanyakan ulamak tidak mensyaratkan berjemaah dalam solat sunat raya[8].

Sejak awal disyariatkan solat sunat raya, Rasulullah S.A.W melakukannya secara berjemaah bersama para sahabat. Faktor jemaah dalam solat itu penting. Selain menjamin ganjaran yang lebih besar, ia mampu mengeratkan ukhuwah sesama muslim. Tindakan-tindakan seperti bersentuh bahu, memberi salam kiri dan kanan di akhir solat, mengaminkan al-Fatihah yang dibacakan imam secara serentak, mendoakan kesejahteraan untuk saudara-saudara seislam ketika tasyahhud dan sebagainya boleh menautkan hati sesama jemaah yang menghadiri solat.


Hikmah Keempat: Kebajikan Masyarakat

Islam adalah agama yang menitik beratkan kebajikan yang seimbang. Ia tidak pernah sekalipun menindas hak individu sebagaimana fahaman Komunis. Dalam masa yang sama Ia turut menjaga kepentingan awam dan tidak mengabaikannya sebagaimana fahaman Kapitalis. Dalam banyak hukum yang wujud dalam Islam, hak awam itu dinamakan sebagai hak Allah S.W.T. Hal ini bererti melanggar hak awam samalah seperti melanggar hak Allah S.W.T itu sendiri. Dalam soal pembahagian harta rampasan perang contohnya, satu perlima daripadanya dinamakan sebagai hak Allah S.W.T. Hak ini sebahagiannya diperuntukkan kepada golongan miskin, anak-anak yatim, golongan yang keputusan bekalan semasa dalam permusafiran seperti pelajar dan seumpamanya.

Begitu juga sebahagian daripada undang-undang jenayah dalam Islam seperti Hudud dan Qisas dinamakan sebagai hak Allah S.W.T. Jika diperhatikan secara halus hikmah di sebalik perlaksanaanya, ia adalah untuk menjaga kepentingan umum.


Membayar Zakat Fitrah

Antara bentuk khidmat masyarakat yang diwajibkan pada Eidul fitri ialah membayar zakat fitrah. Zakat fitrah ialah sejumlah harta daripada ketagori tertentu yang wajib dikeluarkan ketika terbenamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan dengan syarat-syarat tertentu. Ia wajib ke atas setiap orang Islam sama ada besar atau kecil, lelaki atau perempuan, merdeka atau hamba. Setiap ketua keluarga wajib membayar zakat untuk dirinya dan mereka yang berada dibawah tanggungannya. Dalam hal ini Abdullah Bin Umar R.A berkata: "Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu bekas (صاع) tamar atau gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar di kalangan umat Islam. Rasulullah S.A.W memerintahkan agar ia diserahkan sebelum orang ramai mengerjakan solat (sunat raya)".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari, Kitab Zakat, Bab Kewajipan Zakat Fitrah, jil. 2, m/s 547, no.1432].

Tentang hikmah diwajibkan zakat fitrah, Abdullah Bin Abbas R.A berkata: " Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa daripada perkara lagha dan keji, sebagai makanan kepada golongan miskin. Barangsiapa yang membayarnya sebelum solat, ia adalah zakat yang diterima. Barangsiapa yang membayarnya selepas solat, ia hanyalah salah satu daripada sedekah".
[Riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, Kitab Zakat, Bab Zakat Fitrah, jil. 2, m/s 111, no.1609].

Seperti solat sunat raya dan puasa bulan Ramadhan, zakat fitrah juga mula-mula disyariatkan pada tahun kedua selepas penghijrahan Rasulullah S.A.W ke bumi Madinah.

Para ulamak telah menetapkan beberapa syarat berkaitan dengan zakat fitrah. Syarat asasinya ialah Islam. Hal ini bermakna zakat fitrah tidak diwajibkan ke atas orang kafir. Ia wajib dibayar bermula pada malam raya sehingga sebelum solat raya didirikan. Namun, harus hukumnya apabila disegerakan pembayaran zakat fitrah semasa bulan Ramadhan lagi.

Seseorang itu hanya wajib membayar zakat fitrah apabila memiliki lebihan harta setelah ditolak keperluannya dan mereka yang berada di bawah tanggungannya selama sehari semalam iaitu tempoh menyambut hari Eidul fitri. Lebihan harta tersebut mestilah sekurang-kurangnya sebanyak kira-kira dua kilo empat ratus gram makanan ruji masyarakat tempatan mengikut sukatan hari ini. 

Zakat tersebut boleh dibayar dalam bentuk makanan seperti beras dan boleh juga dibayar dalam bentuk wang ringgit mengikut mazhab Imam Abu hanifah R.H. Pada hari ini, wang ringgit dilihat lebih bermanfaat bagi golongan fakir miskin. Justeru, kebanyakan umat Islam hari ini memilih untuk membayar zakat dalam bentuk wang berbanding bahan makanan seperti beras atau gandum.


Hikmah Kelima: Meninggikan Syiar Islam

Allah S.W.T berfirman:

"...barang siapa yang membesarkan syiar Allah S.W.T, maka sesungguhnya ia sebahagian daripada perbuatan orang yang memiliki hati yang penuh ketakwaan".
[Al-Hajj, ayat 32].

Sebahagian ulamak menafsirkan syiar itu sebagai ibadah-ibadah yang diperintahkan oleh Allah S.W.T bertujuan mendekatkan diri hamba kepada-Nya.

Jika demikian tafsiran syiar, maka Eidul fitri dan segala yang bersangkutan dengannya adalah sebahagian daripada syiar Islam. Membesar dan memeriahkannya dikira sebagai meninggikan syiar Islam dan ia salah satu daripada sifat orang yang bertaqwa.


Pergi dan Pulang dari Solat Raya Menggunakan Jalan yang Berbeza

Jabir bin Abdullah R.A berkata: " Kebiasaannya Rasulullah S.A.W akan menggunakan jalan yang berbeza pada hari raya ".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, kitab Dua Hari Raya, Bab barang siapa yang menggunakan jalan yang berbeza apabila pulang dari mengerjakan Solat Raya, jil. 1, m/s 334, no.943]

Hadis yang pendek ini telah menarik perhatian ramai ulamak untuk mengulas hikmah disebalik perbuatan Rasulullah S.A.W. Lebih daripada dua puluh hikmah disebut oleh mereka seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani[9]. Berikut adalah antara yang disebut oleh para Ulamak:

  1. Menzahirkan syiar Islam.
  2. Menzahirkan zikrullah.
  3. Membuatkan golongan munafiq dan yahudi merasa marah dan sakit hati.
  4. Memberi ketakutan kepada mereka dengan menzahirkan betapa ramainya pengkut Nabi Muhammad S.A.W.

Hikmah Keenam: Jati Diri dan Identiti Islam

Sejarah membuktikan bangunnya sesebuah bangsa itu dengan sebab Islam dan jatuhnya pula disebabkan meninggalkan Islam. Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata: "Sesungguhnya kita dahulu adalah sehina-hina bangsa. Lalu Allah S.W.T memuliakan kita dengan Islam. Seandainya kita menuntut kemuliaan selain daripada yang telah dikurniakan Allah S.W.T, nescaya kita akan dihina oleh Allah S.W.T".
[Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak, Kitab Iman, jil.1, m/s 130, no.207].

Sejarah juga membuktikan tiada bangsa yang dapat lari daripada tunduk kepada agama pemerintah melainkan berpegang dengan ajaran Islam. Dengan kehebatan Islam, akhirnya tentera Monggol yang menjajah negara umat Islam memeluk agama rakyat jajahannya. Buku-buku sejarah Islam mencatatkan nama-nama pemerintah dan kerajaan Islam yang berasal daripada bangsa Monggol.

Untuk melahirkan jati diri yang kuat dan kebal seperti ini memerlukan usaha yang lama dan berterusan. Justeru, Rasulullah S.A.W sangat menitik beratkan soal jati diri ini dan secara berterusan mengarahkan para sahabat agar mengekalkan jati diri muslim mereka di dalam masyarakat Madinah yang berbilang kaum dan suku.

Antara hadis-hadis dan peristiwa-peristiwa yang mengandungi gesaaan ini adalah seperti berikut:


Menginai Rambut

"Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak menginai rambut mereka. Oleh itu, hendaklah kamu berbeza daripada mereka".
[ Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Para Nabi, Bab Cerita Berkaitan Dengan Bani Israel, jil. 3, m/s 1275, no.3275 ].


Puasa Asyura`

Abdullah bin Abbas R.A berkata: "Ketika Rasulullah S.A.W berpuasa pada hari Asyura` dan memerintah para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata: " Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ia adalah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani". Rasulullah S.A.W bersabda: "Jika diizinkan Allah pada tahun depan kita juga akan berpuasa pada hari kesembilan".
[Riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Puasa, Bab Hari Apakah yang digalakkan berpuasa pada hari Asyura`, jil. 2, m/s 797, no.1134].


Pensyariatan Azan

Abdullah bin Umar R.A berkata: " Tatkala umat Islam tiba di Madinah, mereka biasanya akan berhimpun untuk menunggu waktu solat disebabkan tiada yang menyeru orang ramai untuk memberitahu waktu solat. Suatu hari mereka berbincang mengenainya. Setengah mencadangkan: "Gunakan loceng seperti kaum nasrani". Setengah yang lain pula mencadangkan: "Bahkan gunakan trumpet seperti kaum yahudi". Lalu Umar R.A berkata: "Kenapa kamu tidak melantik seseorang yang melaungkan kepada orang ramai tentang waktu solat? Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: "Wahai Bilal! Bangun dan serulah ( azan ) orang ramai untuk solat".
[Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Azan, Bab Permulaan Azan, jil. 1, m/s 219, no.579].

Di atas hanyalah sebahagian daripada perkara-perkara yang merujuk kepada pengukuhan Jati Diri umat Islam yang dilaksanakan di zaman Rasulullah S.A.W.


Penetapan Hari Raya Buat Umat Islam

Setibanya Rasulullah S.A.W ke Madinah, Eidul fitri antara pemulihan budaya yang dilakukan oleh Baginda S.A.W. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W bersabda seperti yang telah disebut di awal perbahasan: "Sesungguhhya Allah S.W.T telah menggantikan buat kamu dengan dua hari yang lebih mulia daripada kedua-dua hari tersebut iaitu hari al-Adha dan hari al-Fitr".        
[Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, Kitab Solat, Bab Solat Dua Hari Raya, jil. 1, m/s 295, no1134].

Sebahagian ulamak menyifatkan tindakan menggantikan dua perayaan jahiliah penduduk Madinah dengan Eidul fitri dan Eidul Adha sebagai satu langkah yang halus bagi menggantikan hiburan yang tidak direstui dengan ibadah yang menjadi tema utama Eidul fitri dan Eidul adha. Menggantikan sesuatu budaya lama dengan budaya yang baru pada hakikatnya mengandungi larangan daripada mengikuti budaya lama tersebut, meskipun tiada lafaz larangan yang jelas diucapkan.

Sebahagian ulamak berpendapat, hadis di atas tidak bermakna Islam menlarang hiburan. Bahkan Eidul fitri dan Eidul Adha juga mengandungi banyak unsur hiburan. Tetapi hiburan itu mestilah dikawal oleh syarak dan diletakkan pada tempatnya yang sesuai. Eidul fitri dan Eidul Adha adalah contoh hiburan yang seimbang yang direstui oleh Islam.

Pemilihan Eidul fitri sebagai perayaan tahunan juga telah menyerlahkan identiti tersindiri umat sebagai umat pertengahan. Perayaan disambut setelah menahan diri daripada keseronokan dunia selama sebulan. Ia dimulakan dengan zikir dan solat yang sederhana sifatnya sebagai tanda kesyukuran kepada tuhan yang telah menganugerahkan kegembiraan. 

Selepas solat umat Islam secara beramai-ramai mendengar khutbah yang mengandungi nasihat dan pesanan berkaitan isu-isu seputar Eidul fitri. Tiada tindak-tinduk yang melampau dan menjengkelkan sepanjang merayakan hari Eidul fitri dengan syarat mereka mematuhi sepenuhnya perintah agama. Ke semua ini menampakkan keseimbangan berbudaya di dalam Islam.


Penentuan Tarikh Hari Eidul fitri Berdasarkan Kaedah Rukyah

Antara perkara yang menampilkan jati diri umat Islam yang tersendiri dalam hal menyambut Eidul fitri ialah cara penentuannya. Berbeza daripada kebanyakan perayaan di dunia, Eidul fitri ditentukan melalui pencerapan anak bulan atau hisab falaki. Pencerapan anak bulan bagi menandakan awal bulan dalam Islam mestilah disaksikan oleh dua orang yang adil. Ini adalah pendapat kebanyakan ulamak. Sebahagian mereka berpendapat memadai dengan penyaksian seorang yang adil.

Hisab falaki ialah penentuan anak bulan berdasarkan kaedah ahli astronomi. Bulan-bulan dalam taqwim hijri ditentukan berdasarkan peredaran bulan dalam sebulan. Ia berbeza dengan kalendar masihi yang menjadikan peredaran matahari dalam setahun sebagai asas.

Adapun tentang penetapan Syawal dan Ramadhan berdasarkan rukyah hilal (melihat atau mencerap anak bulan), Rasulullah S.A.W bersabda: "Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan. Berbukalah (iaitu berayalah) dengan melihatnya juga. Jika ia terlindung, lengkapkanlah bulan Syaaban selama tiga puluh hari".
[Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Puasa, bab Sabda Nabi S.A.W: "Jika kamu melihat anak bulan maka berpuasalah, jil. 2, m/s 674, no.1810].


Penutup

Demikianlah beberapa nilai penting yang dapat dicungkil melalui beberapa amalan wajib dan sunat yang disyariatkan pada hari Eidul fitri. Semoga ia menjadi panduan kita dalam menyambut hari lebaran. Hakikatnya, hikmah-hikmah Eidul fitri lebih banyak lagi daripada apa yang telah disebutkan sebelum ini. Pemahaman terhadap hikmah-hikmah raya ini sedikit sebanyak dapat membetulkan cara kita merayakan Eidul fitri selari seperti yang dianjurkan oleh Islam. isu "raya sebulan kerana puasa sebulan" tidak timbul lagi jika kita benar-benar memahami erti raya sebagai mana yang diajar oleh Islam.

Eidul fitri seharusnya dijadikan hari ibadah sebagaimana kita menjadikan Ramadhan sebagai bulan ibadah. Ibadah itu bukan sahaja solat dan puasa tetapi ia meliputi segala gerak-geri, tutur kata, dan qasad di hati kita sepanjang mengharungi kehidupan. Jika kita memahami ibadah dengan sebenar-sebenarnya, ia akan menjadi hiburan yang sangat menenangkan buat kita. Itulah nilai terbesar yang mahu ditampilkan pada Eidul fitri.



[1]  Khulasoh al-Badrul Munir, 1/231
[2]  Nailul awtor, 1/297
[3]  Al-Umm, 1/232
[4]  Syarhus sunnah, 2/167
[5]  Mughnil Muhtaj, 1/312
[6]  Syarhus sunnah, 4/302
[7]  Fathul bari, 2/450
[8]  Bidayatul mujtahid, 1/159
[9]  Fathul bari, 2/473


 Rujukan:

1. Al-Quran al-Karim
2. Al-Kasyif An Haqaiqis Sunan; al-Hussain b. Abdullah at-Tibiy, Maktabah Mustafa al-Baaz, Makkah al-Mukarramah.
3. Al-Umm; Muhammad b. Idris as-Syafie, Darul Ma'rifah, Beirut
4. An-Nihayah fi Gharibul Athar; Ibnul Athir al-Jazari, al-Maktabah al-Ilmiah, Beirut.
5. Bidayatul Mujtahid; Ibn Rusyd al-Hafid al-Qurtubi, Darul Fikr, Beirut.
6. FaEidul Qadir; Muhammad Abdur Rauf al-Munawi, Maktabah at-Tijariyah al-Kubra, Mesir.
7. Fathul Bari; Ibn Hajar al-Asqalani, Darul Ma'rifah, Beirut
8. Fiqh Manhaji; Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali as-Syarbaji, Darul Qalam, Dimasyq.
9. Khulasoh al-Badrul Munir; Umar b. Ali Ibn al-Mulaqqan, Maktabah ar-Rusyd, Riyadh.
10. Mughnil Muhtaj; Muhammad al-Khatib as-Syarbini, Darul Fikr, Beirut.
11. Nailul Awtor; Muhammad b. Ali as-Syaukani, Darul Jeil, Beirut.
12. Sunan Abu Daud; Sulaiman b. al-Asy'ath as-Sijistani, Darul Fikr, Beirut.
13. Sahih al-Bukhari; Muhammad b. Ismail al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut.
14. Sahih Muslim; Muslim b. Hajaj an-Naisaburi, Dar Ihya' at-Turath al-Arabi, Beirut.
15. Sunan Tirmizi; Muhammad b. Isa at-Tarmizi, Dar Ihya' at-Turath al-Arabi, Beirut.
16. Syarhus Sunnah; al-Hussain b. Mas'ud al-Baghawi, al-Maktab al-Islami, Beirut.
17. Umadatul Qari; Badruddin al-Aini, Dar Ihya' at-Turath al-Arabi, Beirut.



Disediakan oleh:
Rabiatul Adawiyah binti Samsudin
Felo MANHAL
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
 http://www.manhal.pmram.org/2013..