Labels

Pages

Friday, October 26, 2012

“Lambang Sebuah Kecintaan”


Puji dan syukur kita panjatkan kembali kepada Allah SWT yang telah banyak memberikan kenikmatan  kepada kita sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Lantaran itu, kewajipan kita adalah memanfaatkan segala kenikmatan dari Allah untuk mengabdikan diri kepada-Nya sebagai manifestasi dari rasa syukur itu. Antaranya adalah ibadah korban pada Hari Raya Aidil Adha iaitu 10 Zulhijjah saban tahun dan hari-hari tasyrik.

Takbir, tahlil dan tahmid bergema di seluruh muka bumi Allah SWT tika hari itu tiba sekaligus menyertai saudara-saudara kita yang pergi menyahut panggilan agung ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji.

 Ketika umat Islam melaksanakan ibadah haji di Baitullahil Haram, kita disini juga melaksanakan ibadah yang berkait dengan ibadah mereka  iaitu puasa pada hari Arafah, penyembelihan binatang korban setelah solat sunat Aidil Adha, dan melaungkan takbir,tahlil dan tahmid selama hari tasyrik. Apa yang dilakukan itu maqasidnya adalah sama iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Aidil Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

 Nabi Ibrahim diuji untuk memilih antara melaksanakan perintah Allah atau mempertahankan putera kesayangannya. Ketika dua insan agung ini pasrah dan redha dengan perintah Tuhan mereka, akhirnya digantikan dengan seekor kibas.

Kalau difikirkan, sebagai seorang manusia yang waras akalnya, mana mungkin sanggup mengorbankan seorang anak kalau bukan kerana perintah Allah SWT. Justeru, banyak ibrah yang dapat dikutip dalam  peristiwa agung ini.

 Antaranya untuk mendapatkan kebahagiaan dan keharmonian dalam kehidupan dunia dan akhirat, kita memerlukan sebuah pengorbanan.

Berkorban adalah memberikan sesuatu untuk membuktikan kecintaan kepada orang lain meskipun kadang-kadang kita terpaksa menderita. Nabi Allah, Ibrahim sanggup mengorbankan puteranya Ismail a.s demi mencapai kecintaan kepada Khaliqnya sehingga baginda digelar khalilullah (kekasih Allah).

 Peristiwa agung ini juga mengingatkan kepada kita semua yang bergelar ibadullah bahawasanya kehidupan dunia ini akan hancur binasa pada suatu masa yang dirahsiakan. Kadang-kadang Allah berikan kepada kita sesuatu yang kita cintai, namun cepat pula Allah mengambilnya semula. Kadang-kadang Allah berikan kita sesuatu yang tidak disukai walaupun kita sering berdoa agar Allah jauhkannya.

Tidakkah pernah kita mendengar firman Allah yang bermaksud: “ boleh jadi apa yang kamu benci itu baik untuk kamu dan apa yang kamu suka itu buruk untuk kamu.”  Maka sama-samalah kita bermuhasabah agar diri kita semakin hari semakin dekat dengan Allah SWT. moga kita semua digolongkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh, amin...

Selamat menyambut Aidil Adha 1433H buat seluruh umat Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wasallam. Kullu ’Am Wa Antum Bikhair.


Disediakan oleh:
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan 
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2012/2013


Eidul Adha 1433 H

Saturday, October 13, 2012

Peringatan buat Sahabat...

Jangan Lupa Membaca al-Quran Walaupun Satu Ayat.
     

ISLAMOPHOBIA: Benarkah Ia Membelenggu Negara-Negara Barat?


إِنَّ الدِّيْنَ عِنْدَ اللهِ الإِسْلاَم
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah adalah Islam”
Surah Ali Imran: ayat 19

Apakah yang dimaksudkan dengan Islamophobia??
Merujuk kepada http://en.wikipedia.org, Islamophobia ialah suatu perasaan sangsi atau kebencian atau takut terhadap orang-orang Islam. Perkataan ‘Islamophobia’ kian meluas semenjak berlakunya peristiwa serangan 11 September 2001 ke atas negara Amerika.

Pelbagai andaian timbul berkenaan agama Islam semenjak itu. Antara persepsi negatif ‘non-muslim’ terhadap Islam ialah:

1)    Islam adalah agama yang menggalakkan keganasan.
2)    Islam mengamalkan diskriminasi terhadap wanita.
3)    Islam merupakan agama yang ketinggalan zaman.

Persepsi-persepsi buruk ini berleluasa kerana peranan media barat yang sering memburuk-burukkan agama Islam, sedangkan agama Islam adalah agama yang mencintai keamanan. Malah, agama Islam juga yang membela kaum wanita. Sebagaimana kisah pada zaman jahiliyyah yang membunuh anak-anak perempuan kerana menganggap anak perempuan adalah satu keaiban bagi mereka. Kemudian, kemunculan agama Islam mengubah amalan tersebut dengan menaikkan martabat seorang wanita.

Hadis Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa “syurga itu berada dibawah telapak kaki ibu”. Bukankah ibu itu seorang wanita?. Betapa mulianya Islam kerana mengangkat martabat wanita. Terdapat banyak lagi hadis yang mengangkat martabat wanita. 

Diketahui umum, benua Eropah adalah antara lubuk sentimen Islamophobia. Namun, kebelakangan ini Islam makin bersinar di lubuk tersebut. Sebagai contoh, rakyat negara Britain menerima baik penyebaran Islam di sana. Daripada pemerhatian, kebanyakan rakyat Britain tidak menganut agama atau aties. Selain itu, kemasukan rakyat dari negara-negara Islam juga menjadi faktor Islam diterima di sana.

Terdapat sebuah wilayah di Britain menerima muallaf hampir setiap minggu. Namun, tidak dinafikan terdapat negara-negara yang prejudis terhadap agama Islam. Malah, pemakaian juga telah mengundang perasaan prejudis tersebut.

Serangan 11 September 2001 sebenarnya memiliki negatif dan positifnya. Walaupun istilah Islamophobia meluas digunakan namun, kerana serangan tersebut jugalah, ‘non-muslim’ kian  mendekati Islam.

Jika dahulu, sesetengah negara Eropah menolak sepenuhnya pemakaian hijab. Kini, hijab diterima dengan baik di sesetengah negara. Isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan Islam juga membuka mata dunia bahawa Islam bukan seperti yang di uar-uarkan.


Menurut data yang diambil daripada The Pew Forum on Religion & Public Life pada tahun 2010, sepuluh negara yang memiliki majoriti rakyat Islam adalah:

1.  Indonesia : 182,570,000 orang
2.  Pakistan : 134,480,000 orang 
3.  India : 121,000,000 orang
4.  Bangladesh : 114,080,000 orang
5.  Turki : 65,510,000 orang
6.  Iran : 62,430,000 orang
7.  Mesir : 58,630,000 orang
8.  Nigeria : 53,000,000 orang
9.  Algeria (Al-Jazair) : 30,530,000 orang
10.  Maroko : 28,780,000 orang

Walaupun majoriti rakyat Islam bukanlah daripada negara barat, namun kebanyakan mereka kini bersikap terbuka terhadap Islam dan tidak lagi seperti ‘katak dibawah tempurung’ yang menerima bulat-bulat persepsi negatif sesetengah pihak.

Wallahua’lam


Manchester Central Mosque



Rujukan:  1) al-Quran
                 2) http://en.wikipedia.org/wiki/Islamophobia
                 3) http://en.wikipedia.org/wiki/Islam_in_England
                 4) The Pew Forum on Religion & Public Life


“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

Disediakan oleh:
Unit Penerangan dan Penerbitan
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2012/2013

Tuesday, October 2, 2012

Petua Merawat Batuk Berkahak


Pilihan 1: Daun Pegaga - Ambil setengah genggam daun pegaga dan rebus daun tersebut dengan 4 gelas air. Biarkan mendidih sehingga menjadi tinggal separuh. Tapiskan dan minum segelas, dan amalkan meminumnya 3 kali sehari.

Pilihan 2: Bunga Raya - Ambil 2 kuntum bunga raya dan potong halus bunga tersebut. Ambil setengah gelas air masak dan sedikit garam lalu campurkan dengan potongan bunga itu tadi. Perah dan tapiskan. Minum air tapisan 3 kali sehari.

Pilihan 3: Sembung - Ambil 15 gram daun sembung, sepotong bidara upas dan 20 gram daun pegaga. Potong halus kesemua bahan ini dan campurkan dengan 2 cawan air masak. Perah dan tapis. Minum secawan, 3 kali sehari.

Pilihan 4: Rendamkan sedikit kerak nasi dalam air suam. Apabila nasi menjadi kembang, minum airnya setiap pagi.

Pilihan 5: Rebus beberapa biji pisang masak. Setelah lembik, campurkan santan secukupnya, sedikit garam dan perasa vanila. Kacau rata dan diminum airnya.

Pilihan 6: Tumbuk segenggam daun pegaga hingga lumat dan tapis untuk mendapatkan airnya yang pekat. Campurkan dengan gula dan embunkan selama 1 malam. Air itu hendaklah diminum 2 kali seminggu.

Pilihan 7: Campurkan 2 sudu teh madu lebah asli dengan air suam. Kacau sehingga sebati dan minum air tersebut 3 kali sehari.

Pilihan 8: Ambil 2 sudu nasi panas yang baru masak. Masukkan nasi itu ke dalam cawan dan campurkan sedikit air. Embunkan nasi tersebut selama semalaman dan minum airnya pada esok paginya.

Pilihan 9: Ambil sebiji limau sunkist dan buatkan lubang berbentuk pangkah di bahagian tengahnya. Masukkan gula batu di lubang tersebut. Letakkan limau tersebut di dalam periuk di tengah-tengah nasi yang telah kering dan tutup periuk tersebut. Setelah nasi itu masak, ambil buah limau itu dan makan sambil didahului dengan selawat. Ulang setiap kali memasak nasi sehingga sembuh.

Pilihan 10: Perah sebiji limau nipis dan campurkan dengan sedikit madu. Minum campuran ini setiap pagi sebelum sarapan. Amalkan sehingga batuk dan kahak hilang.

Rawatan & Penjagaan Batuk Berkahak
Banyak aspek boleh dikaitkan dengan penyakit batuk berkahak terutamanya di bahagian sistem saraf tiroid. Bahagian-bahagian saraf tiroid merangkumi sistem pernafasan. Apabila sistem pernafasan terganggu ia mudah dijangkiti kuman yang boleh mendatang lendir. Sistem pernafasan pula melibatkan ronga-ronga badan seperti berikut:

a. Hidung
b. Mulut
c. Telinga

Di bahagian inilah permulaannya punca batuk berkahak berlaku kerana ia adalah rongga yang mengambil oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida.Tetapi sekiranya sistem ini terganggu ia akan memudaratkan pernafasan manusia sehingga lendiran yang dipanggil kahak akan bertempelan di liang-liang paru-paru.Di bahagian paru-paru pula adalah bahagian terpenting dalam pernafasan manusia. Di peringkat awal yang boleh dikenalpasti ketika anda mengalami keadaan seperti berikut:

Gatal di bahagian tekak
Demam panas
Alergi yang tidak terkawal
Selsema
Batuk yang berleluasa

Pengambilan yang perlu dielak:
1. Mengurangkan pengambilan makanan segera
2. Air yang bergas
3. Minuman yang berais

Amalan yang perlu dilakukan selalu:
a. Minum air suam secukupnya
b. Senaman
c. Mengambil vitamin tambahan seperti vitamin C

Rujukan: Petua Ensiklopedia Melayu Lama

Di sediakan oleh :
Unit Pengetahuan 
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2012/2013

TOLAK PENGHINAAN TERHADAP RASULULLAH SAW



Penghinaan terhadap Baginda Nabi Muhammad SAW bukan suatu perkara yang baru, malah ia telah berlaku sejak awal Baginda SAW diutuskan lagi.

Pelbagai cacian, dan penghinaan yang dilakukan musuh Islam dalam cubaan untuk menjatuhkan satu-satunya agama yang diredhai Allah SWT.

Bentuk-bentuk mengeji Baginda SAW berlaku mengikut peredaran zaman. Bermula daripada zaman Baginda SAW sehingga kini.

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan kebiadaban seorang penerbit filem berbangsa Yahudi Amerika, Sam Bacile yang telah menerbitkan filem yang berjudul “Innocence of Muslims” yang mana filem itu telah dihasilkan sepenuhnya dengan tujuan untuk menghina Baginda SAW sekaligus menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Antara kandungan filem tersebut ialah, dengan mewatakkan Baginda SAW sebagai ‘womaniser’ iaitu seorang lelaki yang gilakan wanita, kejam dan tidak adil terhadap isteri-isterinya. Bukan itu sahaja, bahkan filem itu turut menghina sumber perundangan Islam, iaitu al-Quran dan Sunnah, serta para sahabat Baginda SAW.

Jika diteliti sejarah semasa zaman perutusan, Baginda SAW telah dihina dengan pelbagai cara. Antaranya, dicerca dan dituduh dengan pelbagai tuduhan yang menghina dan mengeji batang tubuh kekasih Allah.

    Antara bentuk tuduhan tersebut ialah :

•    Baginda SAW dituduh sebagai seorang penyair yang mereka-reka qasidah (al-Quran) yang indah untuk memikat masyarakat Quraisy pada masa itu.
•    Dituduh sebagai seorang yang tidak waras. Abu Jahal telah mengupah para samseng dan pencaci untuk menghina Baginda SAW melalui medium seni, di antaranya ialah An Nadhar Bin Al Harith.
•    Dituduh sebagai seorang tukang sihir.
•    Didakwa bahawasanya Baginda SAW tidak layak untuk menjadi wakil Tuhan.

Walaupun banyak kejadian yang menyakiti dan menghina Baginda SAW, kasih sayang Allah SWT sentiasa mengiringi Baginda SAW. Melalui pengajaran atas kebiadaban musuh-musuh Islam, sebagai contoh, kisah Ummu Jamil binti Harb bin Umayyah,isteri Abu Lahab yang selalu mencela dan menyakiti Baginda Sallallahua’laihiwasallam dengan meletakkan duri-duri di jalanan dan di laman rumah Baginda, sehingga diturunkan ayat al-Quran yang mencela suaminya, Abu Lahab.
Setelah penurunan ayat yang mencela dirinya dan Abu Lahab tersebar, bergegas Ummu Jamil mencari Nabi dengan niat untuk melontar batu ke arah Baginda SAW. Akan tetapi, dengan kuasa Allah s.w.t , tertutup pandangan Ummu Jamil dari melihat Baginda SAW,sedangkan dia telah berada berhadapan dengan Baginda SAW, yang mana ketika itu Baginda telah ditemani Saidina Abu Bakar r.a.

Kata Saidina Abu Bakar r.a ,”Wahai Rasulullah, apakah dia (Ummu Jamil) melihatmu?’
Sabda Baginda s.a.w ,”Dia (Ummu Jamil) tidak melihatku. Sesungguhnya Allah SWT telah menutup pandangannya terhadapku”

    Dengan kisah tadi, terbuktilah kecintaan  Allah SWT pada kekasihNYA dan betapa hinanya golongan yang mencerca Baginda Sallallahua’laihiwasallam..

Selaku mahasiswa/wi Islam kita seharusnya mendalami sirah, sunnah dan hadithnya. Demi memartabatkan ketinggian Islam, juga sebagai bukti cinta kita selaku umat Baginda SAW,umat akhir zaman.
   
    Ingatlah, sekiranya kita berpaling, nescaya Allah SWT akan menggantikan kaum yang lain, jauh lebih baik untuk memperjuangkan agamaNya, dan kaum yang bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kehormatan Baginda SAW, keluarga dan para sahabat.

    Sesungguhnya, mulianya kita kerana perbuatan dan kepercayaan dalam menjaga adab dalam Islam, dan hinanya kita apabila luntur keyakinan dan pegangan kepada agama Islam.



Disediakan oleh
Unit Penerangan dan Penerbitan
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2012/2013