Anda inginkan petua-petua untuk menjadi PELAJAR CEMERLANG walau di mana sahaja anda
berada ?
Mari bersama kita renungkan beberapa tips atau petua kejayaan yang Allah SWT
titipkan di dalam Surah Al-Mu’minun,yang merupakan surah ke-23 dalam al-Quran al-Karim.
1.Firman Allah Taala : Sesungguhnya
berjayalah orang-orang yang beriman. [23:1]
* Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama.
Maka IMAN adalah faktor utama untuk mencapai kejayaan. Manakala keyakinan yang
tinggi inilah yang akan melahirkan sikap-sikap positif.
2.Firman Allah Taala : Iaitu mereka yang khusyuk dalam solat. [23:2]
* Fokus dalam melakukan satu-satu perkara dalam
satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke arah yang tidak sepatutnya. Lakukan
dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.
3.Firman Allah Taala : Dan orang-orang yang menjauhkan
diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna).[23:3]
* Kebiasaannya dalam menghadapi musim
peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan
minda dengan hiburan, menonton, dan seumpamanya sehinggakan
melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan. Sebaik-baiknya
kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita
dengan perkara-perkara yang berfaedah.
Adalah lebih baik jika
kita menggunakan masa rehat itu dengan mengambil wudu', melakukan solat sunat
dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dan dekat dengan
Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha
kita mengulangkaji pelajaran.
4.Firman Allah Taala :
Dan orang-orang yang menunaikan zakat. [23:4]
*Walaupun sedang berada di saat-saat genting,
janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan
yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu,
kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.
5.Firman Allah Taala:
Dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap
isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan
hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka
itulah orang-orang yang melampaui batas.
[23:5,6,7]
* Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari
batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan
mengulangkaji pelajaran berdua-duaan, atau berchatting antara satu
sama lain. Sedangkan Allah SWT itu sentiasa ada, sentiasa melindungi dan
sentiasa menolong jika kita mencari dan memohon pada-Nya.
6.Firman Allah Taala: Dan orang-orang yang memelihara
amanah-amanah dan janjinya. [23:8]
* Bukankah kita telah berjanji dengan pihak
penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi,
bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang
kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada
kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat
bekalan di akhirat sana?
7.Firman Allah Taala: Dan
orang-orang yang memelihara solatnya. [23:9]
* Konsep yang boleh diambil dalam
konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar
dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti
dan produktiviti harian kita. Kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam
pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali
sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa di
pertengahan jalan.
Namun janganlah kita
hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan
utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT
kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan
berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. WALLAHU A’LAAM.
SALAM IMTIHAN,SALAM JUANG !
Disediakan oleh : BAKTI &
UNIT PENDIDIKAN ISKANDARIAH 2012/2013