Labels

Pages

Thursday, February 16, 2012

Urusan Visa: Dua Hari Untuk Mahasiswa



KAHERAH, 13 Feb– Hasil bancian yang telah dilakukan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) baru-baru ini terhadap isu pembaharuan visa yang berlaku, PMRAM telah melakukan tindakan susulan terhadap permasalahan berkenaan.

PMRAM telah menghantar surat aduan berkenaan isu pembaharuan visa yang berlaku beserta hasil bancian ke peringkat kedutaan dan bertemu dengan Muqaddim Jalal, Mudir di Pejabat Imigresen Mesir yang bertempat di Madinah El-Behoos El-Islamiah, Kaherah bagi menghantar surat aduan dan berbincang dengan lebih lanjut berkaitan tindakan penyelesaian yang dicadangkan di peringkat PMRAM.

Dalam pertemuan hari ini sekitar jam 10.30 pagi yang diwakili oleh Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman dan juga Naib Presiden III PMRAM, saudara Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi bersama Mudir di Pejabat Imigresen Mesir tersebut.

PMRAM telah dimaklumkan bahawa hari urusan visa bagi pelajar Malaysia telah ditambah kepada dua hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad berbanding sebelum ini di mana pelajar Malaysia hanya boleh membuat urusan untuk memperbaharui visa pada hari sabtu sahaja.

PMRAM juga turut dimaklumkan, bagi mahasiswa dan mahasiswi yang telah mempunyai raqam atau tarikh pengesahan mereka digalakkan untuk segera ke Pejabat Imigresen bagi mendapatkan cop pengesahan visa.

“Peruntukkan dua hari yang diberikan bagi mahasiswa dan mahasiswi Malaysia untuk melakukan urusan pembaharuan visa tentunya akan melegakan dan memberi keselesaan kepada seluruh Mahasiswa dan Mahasiswi untuk mendapatkan visa sekaligus dapat belajar dengan aman dan tenteram di bumi Mesir ini."

Selain itu, kejayaan ini juga membuktikan bahawa PMRAM sentiasa optimis untuk menjayakan agenda kebajikan untuk ahli selaras dengan subtopik dalam ucapan dasar Presiden PMRAM iaitu ‘Kebajikan Untuk Semua’, ujar saudara Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi, Naib Presiden III, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2011 ketika dihubungi selepas pertemuan tersebut.

( sumber : PMRAM )

No comments:

Post a Comment