Labels

Pages

Friday, May 31, 2013

Kalam Pimpinan DPMI 2012/2013


Sakinah Binti Ramli
Ketua Unit Perumahan


PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ


Segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun, tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan Israk dan Mikraj. Dalam satu riwayat menyatakan Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.
Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ke tujuh.
 Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Reaksi Sayyidina Abu Bakar R.A apabila mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahukan oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya".
Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar As-Siddiq yang membawa maksud pembenar. Diriwayatkan, Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, namun roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih kurang meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam hari ini.
Sahabat yang dimuliakan,
Israk dan Mikraj adalah ujian dan mukjizat yang membuktikan Kudrat atau Kekuasaan Allah Subhanahu Wata’ala. Seharusnya kita mengambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis, Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi yang penuh barakah kerana di situlah terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam. Dalam perjalanan yang begitu istimewa ini, terlalu banyak yang dilihat oleh Baginda Rasulullah S.A.W. dan begitu banyak pengajaran yang dapat kita teladani bersama. Antaranya ialah kita sebagai hamba Allah hendaklah sentiasa bermuhasabah dan menilai kembali hubungan kita dengan-Nya dan sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik.
Menyingkap kembali peristiwa Israk dan Mikraj ini, Nabi telah ditimpa beberapa kesulitan sebelum terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk dan Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah Subhanahu Wata’ala.  Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah kita sentiasa beristiqamah, terus-menerus melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya dan bukan menjadi orang taat hanya pada waktu susah dan melupakan Allah pada waktu senang.

Kehidupan seorang pejuang pasti akan dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Ia tidak akan sentiasa mudah tetapi kita akan berhadapan dengan kesusahan terlebih dahulu.

Namun, semua yang berlaku itu demi untuk mengukur dan menilai keimanan kita di dalam hati. Adakah kita sanggup menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran atau kita tergolong dalam golongan yang mudah berputus harapan?






Firman Allah SWT  dalam surah Al- Insyirah: Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu bahawa) Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): sesungguhnya tiap-tiap kesukaran ada disertai kemudahan”

Seperti yang ditunjukkan Allah SWT kepada kekasih-Nya yang tercinta, bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang ikhlas dan benar berjuang keseorangan. Dia akan dibantu dan akan diberikan kegembiraan oleh Allah Subhanahu Wata’ala bahkan akan diangkat darjat dan kedudukan di sisi-Nya.

Pengajaran yang besar juga daripada Isra’ dan Mikraj ini ialah kewajipan untuk menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah s.a.w. telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.Baginda melihat pelbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang di alami oleh berbagai kaum akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan semasa hidup di dunia.

Nabi juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, orang yang suka memfitnah dan lain-lain lagi perihal keadaan manusia. Ini semua memberi iktibar kepada kita yang masih diberi peluang untuk hidup di dunia ini agar tidak melakukan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah s.w.t. amatlah dahsyat.

Nabi Muhammad SAW juga diperlihat dengan segolongan kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum dituai lagi. Lalu ditanya kepada Jibrail, dan jawabnya: “Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak”
Akhir kalam, marilah sama-sama kita renungkan sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: “ beramallah kamu sepertimana yang kamu mahukan, namun ingatlah kamu akan dipersoalkan dengan apa yang kamu telah kerjakan, cintailah sesiapun yang kamu mahu cintai, tapi ingatlah kamu akan berpisah dengannya juga suatu hari nanti, dan hiduplah sesuka hati kamu sepertimana yang kamu inginkan, namun ingatlah kamu pasti bertemu dengan Allahu Azza Wajalla suatu hari nanti”
Justeru, jadikanlah Al-quran dan As-sunnah sebagai pegangan hidup kita buat selamanya. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Siiru ala barakatillah.

DISEDIAKAN OLEH : UNIT DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN PMRAM CAWANGAN ISKANDARIAH SESI 2012/2013