Labels

Pages

Wednesday, August 29, 2012

Kenyataan Rasmi Terhadap Isu BKPJM




Bismillahirrahmanirrahim…

Sepertimana firman Allah Taala yang bermaksud :
dan pasti kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta,jiwa,dan buah-buahan.Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar  (Surah Al-Baqarah : 155 )
Dalam mengharungi satu perjalanan yang dinamakan sebagai jalan perjuangan, tidak pernah lekang daripada mehnah, ujian dan dugaan. Jalan perjuangan ini juga tidak pernah dibentangkan dengan permaidani berwarna merah dan dibiarkan dalam keadaan selesa, bahkan dibentangkan dengan duri-duri perjuangan. Barangsiapa yang berjuang, yang merasakan dirinya dalam keadaan selesa,maka itu bukanlah dinamakan perjuangan.
Acapkali kita mendengar Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) diuji dengan bermacam-macam ujian. Bermulanya dengan BKAN Selangor, Terengganu,  Perak, Melaka  dan sebagainya, sehinggalah kini Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Mesir (BKPJM)  pula diuji dengan ujian yang tersendiri. Antara ujian yang dihadapi oleh Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) adalah seperti ujian seputar hak mahasiswa, hak berorganisasi, salah laku pegawai anak negeri dan sebagainya. Kami di peringkat  Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah turut merasa kecewa dan terkilan dengan tindakan yang tidak sepatutnya daripada pihak-pihak tertentu terhadap mana-mana  Badan Kebajikan Anak Negeri dan kini pula kepada keluarga kita, BKPJM. Sekiranya kita lihat, sepatutnya hak mahasiswa ini dilunaskan dengan sebaiknya oleh mereka yang diberi amanah untuk menjaga anak-anak Malaysia disini, akan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Dalam hadith ada menyebut : “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal mencintai,saling mengasihi dan menyayang,bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan merasa lemah” (Riwayat Muslim)
Untuk BKPJM, kami di peringkat Pmram Cawangan  Iskandariah akan tetap bersama kalian. Janganlah kalian merasa sedih hati dan berputus asa dalam membawa agenda dakwah Islam ini. Semoga kalian terus kuat dan thabat dalam perjalanan yang dinamakan jalan perjuangan ini. Moga langkah-langkah kita ini mendapat keredhaan Allah Taala, insyaAllah.

“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

Sirru ‘ala barakatillah
Nur Amnani faten Bt Paiman,
Pengerusi
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah
Sesi 2012/2013

Haflah Aidilfitri PMRAM Dibanjiri Ribuan Mahasiswa

 




KAHERAH, 27 Ogos 2012-- Lebih 2,000 mahasiswa mahasiwi Malaysia dari pelbagai bidang pengajian telah membanjiri  Majlis Rumah Terbuka, Haflah Aidilfitri PMRAM 2012 (HATI '12)  yang diadakan di  Dataran Rumah Negeri Hayyu Asyir di sini semalam.
Walaupun majlis tersebut diuar-uarkan bermula pada jam 1 petang, namun mahasiswa dan mahasiswi Malaysia sudah mula kelihatan tiba di kawasan dataran seawal jam 12.30 tengahari.
 
Majlis yang sepatutnya berlangsung sehingga pukul 4.30 petang itu juga telah dilanjutkan sehingga jam 5.30 petang disebabkan kehadiran tetamu yang tidak surut henti.
 
Tetamu kehormat yang turut mengunjungi rumah terbuka PMRAM kali ini ialah TYT Duta Besar Malaysia Ke Kaherah, Prof. Dato' Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti dan isteri,  pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK), pegawai-pegawai Education Malaysia Egypt (EME), Pegawai-pegawai Hal Ehwal Pelajar Negeri, pimpinan pelajar luar negara, dan pimpinan PMRAM Cawangan.
 
TYT Duta Besar Malaysia Ke Kaherah sempat mengambil peluang beramah mesra dengan tetamu yang hadir dan memberikan ucapan mewakili kerajaan Malaysia. Turut hadir ialah mantan Presiden PMRAM 2011 merangkap penasihat PMRAM 2012, saudara Muhammad Zuhaili Bin Saiman dan keluarga.
 
Selain berpeluang menjamu selera dengan pelbagai jenis juadah, tetamu turut dihidangkan dengan persembahan nasyid daripada Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM), deklamasi sajak, tayangan video dan pelbagai pengisian yang menarik.
 
Barisan Badan Pengurus PMRAM yang diketuai oleh Presiden PMRAM 2012, saudara Abdul Aziz bin Ali mengambil peluang bersalam-salaman dengan tetamu yang hadir serta beramah-mesra.
 
Sebelum majlis bersurai pada jam 5.45 petang, pelaksana program diwakili Timbalan Pengarah HATI '12, saudari Siti hajar Aishah binti Sakdon mengambil kesempatan untuk  mengucapkan selamat hari raya kepada seluruh tenaga pelaksana termasuk mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program penuh bermakna tersebut.
 
"Menu istimewa sempena HATI '12 adalah Nasi Minyak Mesra Desa. Ianya unik kerana ia dimasak mengikut Zon Taakhi, dimana setiap zon mewakili 4 buah negeri dan 3 muhafazah" ujar Pengarah Haflah Aidilfitri PMRAM 2012 (HATI '12), saudara Muhammad Al-Amin Bin Haji Salleh.  
 
Menurut beliau sebanyak 10 guni beras dan lebih 250 ekor ayam serta beberapa menu tambahan telah dimasak bagi menyediakan makanan kepada tetamu yang hadir. Manakala tenaga kerja pula melibatkan seramai 100 AJK pelaksana termasuk 60 tukang masak terpilih.

Ulasan MANHAL PMRAM Terhadap Isu Hudud Di Malaysia

 









Isu hudud yang menjadi topik perbincangan hangat di Malaysia baru-baru ini masih berterusan dan semakin mendapat perhatian apabila ia melibatkan parti-parti politik di Tanah Air sama ada pihak kerajaan atau pembangkang serta masyarakat muslim dan non-Muslim. Hal ini bermula dengan kenyataan " tok guru " di sebuah pondok iaitu Abdullah Sa'amah yang mengeluarkan kenyataan bahawa " haram bagi umat Islam di Malaysia memberikan undi kepada parti DAP " sehingga menjadi isu dan tercetus isu hudud sebagaimana yang terus diperbincangkan sehingga ke hari ini.
MANHAL PMRAM melihat isu ini yang bermain di media memberikan kesan positif dan negatif bergantung kepada jawapan dan olahan yang diberikan oleh pihak-pihak terbabit. Isu yang hangat diperkatakan ini dilihat sebagai peluang dalam menyebarkan penerangan dakwah kepada masyarakat muslim yang masih kabur serta non-Muslim mengenai konsep perlaksanaan hudud serta keadilan yang terdapat dalam hukum jenayah Islam.
 
Namun begitu, isu ini juga dilihat sebagai peluru oleh sesetengah pihak dalam memberikan gambaran yang salah kepada non-Muslim terutamanya sehingga boleh menyebabkan penerimaan mereka terhadap Islam semakin berkurangan.
 
Walau apa pun, jika golongan ulama serta cendekiawan Islam dapat memainkan peranan dengan menguasai medium penerangan ia memberikan kredit besar kepada perjuangan Islam dalam memahamkan manusia dengan lebih jelas dan cerah berhubung keadilan Islam dalam hukum jenayah terutama yang melibatkan hudud.
 
Melihat kepada senario yang berlaku setelah membuat penelitian secara ilmiah tanpa melihat kepada kecenderungan parti politik, MANHAL PMRAM mengambil pendekatan untuk turut bersama-sama dalam menyuarakan hasil perbincangan secara ilmiah dalam memberikan saham kepada perjuangan Islam dengan cara memberikan penerangan mengenai isu hudud yang diperkatakan.
 
Ulasan MANHAL PMRAM terhadap isu ini ialah :
 
1- Hudud merupakan kewajipan ke atas umat Islam dan menjadi tanggungjawab pemerintah Islam untuk melaksanakannya. Hal ini demikian kerana suruhan-suruhan berkaitan perlaksanaan hudud merupakan nas muktamad (qath’ie) iaitu tidak boleh digantikan atau ditukar dengan sistem perundangan yang lain.[1]
 
Maka inilah konsep wasatiyah yang sebenar dalam Islam iaitu melaksanakan secara tetap terhadap nas yang muktamad dan mengolah secara baik terhadap nas zhanni (yang mempunyai banyak tafsiran. Maka nas ini dilihat kepada perubahan masa, tempat dan masyarakat dalam menjaga maslahat).
 
Mereka yang meninggalkan hudud dengan beralasan perundangan yang sedia ada sudah cukup dan memadai menjaga keamanan adalah mereka yang lari daripada manhaj wasatiyah dalam Islam bahkan mereka digelar sebagai perosak agama sebagaimana yang disebutkan oleh Dr Yusuf al-Qardhai dalam kitab beliau iaitu as-Siyasah as-Syar’iyah.
 
2- Hudud merupakan sebahagian dalam syariat Islam yang wajib dilaksanakan sebagaimana juga kewajipan-kewajipan yang lain seperti solat, zakat, puasa, pernikahan, kehakimana dan sebagainya. Hal ini jelas kerana syariat Islam itu berbentuk menyeluruh dan komprehensif dalam kehidupan manusia.
 
Islam bukan hanya agama yang berbentuk kepercayaan serta ibadah di masjid semata-mata.[2] Namun Islam adalah satu cara hidup yang merangkumi segala aspek kehiduapan bermula sekecil-kecil urusan sehingga sebesar-besar urusan, maka termasuklah juga hudud kerana ia berada dalam konteks hukuman jenayah dan kehakiman dalam Islam.[3]
 
Maka meninggalkan hudud bererti meninggalkan sebahagian syariat Islam, dan ia merupakan kelakukan yang tercela sebagaimana celaan Allah ke atas Yahudi yang beriman dengan sebahagian syariat yang diturunkan ke atas mereka dan meninggalkan sebahagian yang lain sebagaimana ayat ke-85 dalam Surah Al-Baqarah.
 
3- Hudud merupakan hak umat Islam dan kewajipan ke atasnya dan non-Muslim mesti menghormati hak umat Islam. Dalam sistem demokrasi yang dijalankan di negara kita yang memperuntukkan dalam Perkara 3 Fasal 1 bahawa Islam agama bagi Persekutuan dalam masa yang sama non-Muslim diberikan kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama mereka kerana hak sivil mereka dilindungi dalam Perkara 3 Fasal 4.
 
Justeru, non-Muslim mesti menghormati kebebasan bagi umat Islam mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuk hudud sebagaimana non-Muslim diberikan ruang dalam mengamalkan kepercayaan mereka. Dan perkara ini diperuntukkan dalam perlembagaan dan dijaga hak antara setiap warganegara.
 
4- Adapun perbincangan mengenai hukuman hudud ke atas non-Muslim,maka ia terpulang kepada non-Muslim tersebut dan mereka tidak dipaksa. Hal ini demikian kerana mereka tidak menganut akidah Islam maka bagaimana mungkin mereka dipaksa mengamalkan ajaran dalamya.
 
Bahkan ayat ke-42 dalam Surah Al-Maidah menjelaskan mengenai keterbukaan Islam terhadap non-Muslim dalam menjalani hukuman jenayah Islam atau tidak.
Bahkan ulama’ menyatakan bahawa jika non-Muslim dengan rela ingin mengikut perundangan Syariah sepenuhnya, maka bergantung kepada pemerintah untuk melaksanakannya atau menjatuhkan dengan hukuman selain Islam ke atas non-Muslim tersebut.
 
Selain itu, sejarah Islam ketika wujudnya Khilafah Uthmaniyah menunjukkan bahawa terdapat 2 jenis mahkamah[4] iaitu mahkamah khas untuk umat Islam dan mahkamah yang diperuntukkan untuk non-Muslim. Hal ini menunjukkan ketegasan Islam bahawa umat Islam mesti menjalani hukuman mengikut syariat dan keterbukaan terhadap non-Muslim dalam menjalani hukuman mana yang mereka rela.
 
5- Dalam membincangkan isu hudud, umat Islam mesti berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan serta dakwaan. Hal ini demikian kerana sebarang bentuk kepercayaan, perbuatan serta percakapan yang menghina dan mempersenda hudud yang merupakan hukum Allah boleh menyebabkan terkeluar daripada agama.
 
Begitu juga dengan hukum tidak melaksanakan hudud (sekiranya mampu laksanakannya), maka ulama membahagikan kufur kepada kufur besar yang menyebabkan keluar daripada agama  serta kufur kecil yang tidak menyebabkan sehingga terkeluar namun berdosa besar bahkan tergolongan dalam kalangan zalim dan fasik. Hal ini berdasarkan kepada tafsiran bagi ayat ke-44, 45 dan 47 dalam Surah Al-Maidah.[5]
 
Antara sebab yang boleh menyebabkan terjatuh dalam kufur besar ialah ingkar akan kewajipan melaksanakannya, melaksanakan hukuman selain Islam kerana bertujuan menentang syariat Islam, meyakini hukum selain Islam lebih relevan berbanding hukum Islam, meyakini hukum selain Islam adalah sama taraf dengan hukum Islam serta percaya bahawa melaksanakan hukum yang bercanggah dengan Islam adalah diharuskan dan tidak haram.[6]
 
6- Isu Kafir Harbi dalam negara Malaysia tidak timbul kerana istilah Kafir Harbi tidak wujud selagimana tidak wujud negara Islam sebagaimana yang diperkatakan oleh ulama serta tokoh ilmuan iaitu Dato Dr Haron Din. Hal ini demikian kerana melihat kepada Malaysia yang merupakan pada hakikatnya adalah negara umat Islam kerana tidak memenuhi syarat negara Islam iaitu meletakkan perlembagaan tertinggi adalah syarak dan melaksanakan syariat secara menyeluruh.[7]
 
Hal ini jelas apabila peruntukkan bidangkuasa bagi Mahkamah Syariah juga terbatas. Ia dapat dilihat pada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya berkuasa membicarakan perkara-perkara di mana hukuman yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi 3 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM 5000.00 atau sebat tidak lebih 6 sebatan atau gabungan hukuman-hukuman tersebut.[8]
 
Maka non-Muslim yang berada di negara Malaysia realiti sekarang, lebih sesuai dengan istilah muwatinah iaitu warganegara. Justeru mana-mana warganegara dalam sesebuah negara dipelihara kehormatan dan hak mereka selagimana mereka mengikuti perlembagaan negara tersebut. Dan warganegara yang non-Muslim juga berkongsi hak dengan warganera muslim dari sudut keistimewaan bagi seseorang warganegara sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan seperti kebebasan menganut mana-mana ajaran, perlindungan diri, jiwa dan harta serta sebagainya. Ini dapat dirujuk kepada sirah Nabi SAW di awal pembinaan negara di Madinah yang menunjukkan tidak ada lagi istilah ahli zimmi ke atas Yahudi yang berada di Madinah.[9] Bahkan mereka sama sebagaimana masyarakat yang lain dari sudut kewarganegaraan mereka. Yang berbeza adalah dari sudut akidah dan syariat.
 
Hal ini demikian kerana wujudnya istilah ahli zimmi (non-Muslim yang berada bawah naungan negara Islam) apabila wujudnya negara Islam dan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka antaranya ialah membayar jizyah (cukai ke atas ahli zimmi). Maka di Malaysia mereka (non-Muslim) tidak ada dikenakan bayaran jizyah dan Malaysia pada hakikatnya adalah negara umat Islam.
 
Namun begitu, realiti hari ini, negara-negara umat Islam juga turut mengguna pakai istilah negara Islam[10] apabila melakukan hubungan luar kerana mereka membawa imej Islam apabila bertemu sesama mereka dalam membincangkan hal-hal yang berkaitan isu umat Islam serta apabila berhadapan dengan negara bukan Islam (negara kafir iaitu negara yang diperintah oleh orang kafir yang tidak ada peruntukan Syariah dalam perlembagaan mereka walau sebahagian)[11].
 
Namun ia hanya untuk hubungan luar bagi mendatangkan maslahat kepada Islam. Dari sudut hakikat ia tetap sebagaimana negara umat Islam yang mana kewajipan ke atas wargenara muslim mesti memperjuangkan sehingga negara mereka menjadi negara Islam dengan melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh.
 
7- Kewajipan warnegara muslim dalam negara umat Islam ialah menyebarkan dakwah dalam menerangkan hakikat sebenar perlaksanaan Islam yang dituntut iaitu secara menyeluruh kepada umat Islam khususnya. Selain itu meneruskan gerak kerja untuk menegakkan syariat Islam di negara mereka agar menjadi negara Islam dengan melaksanakan seluruh syariat Islam. Bahkan mempertahankan negara yang sedia ada dimiliki oleh umat Islam daripada dijajah oleh pihak musuh.[12]
 
Justeru, umat Islam mesti memahami bahawa tidak memadai dengan hanya negara umat Islam sahaja bahkan gerak kerja mesti diteruskan sehinggalah tertegaknya syariat Allah di atas muka bumi ini bermula dengan negara mereka sebagaimana pada ayat ke-193 dalam Surah Al-Baqarah dan ayat ke-39 dalam Surah Al-Anfal. Maka wajib berusaha menegakkan syariat Islam dengan menukarkan negara umat Islam yang sedia ada kepada negara Islam.Wallahu a’lam
 
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman (Pengerusi Felo MANHALPMRAM 2012)
‘Izzati Farhana Mahadzir (Penasihat HEWI PMRAM 2012)
 
Rujukan  :
 
1- Dr Munir Muhamad al-Ghabban, Qadaya Islamiah Mu’asirah, cetakan Dar as-Salam.
2- Dr Yusuf al-Qardhawi, Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, cetakan Maktabah Wahbah
3- Dr Yusuf al-Qardhawi, Min Fiqh ad-Daulah Fi al-Islam, cetakan Dar as-Sharouq
4- Dr Yusuf al-Qardhawi, ar-Riddah Wa ‘Uqubatuha, cetakan Maktabah Wahbah
5- Dr Wahbah az-Zuhaily, al-Fiqh al-Islami Wa Adlillatuh, jilid pertama, cetakan Dar al-Fikr
6- Dr Shadiq Syeif Nukman, al-Khilafah al-Islamiyah Wa Qadhiyah al-Hukm Bima Anzala Allah, cetakan Dar as-Salam.
7- Dr Zalikha Md Nor dan Zaini Nasohah, Pentadbiran Undang-undang Islam Di Malaysia, Pusat Pegajian Jarak Jauh UKM
8- Prof Madya Dr Abdul Samat Musa dan Zuliza Kusrin, Undang-undang Perlembagaan Dan Pentadbiran, Pusat Pegajian Jarak Jauh UKM
9- Muhamad Zuhaili Saiman, Fiqh Politik Islam, m/s 131-132, cetakan 2012, izin terbit oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

 
[1] Dr Yusuf al-Qardhawi, Fi Fiqh Dirasat as-Syariah, cetakan Dar as-Sharouq
[2]  Dr Munir Muhammad al-Ghadhban, Qadaya Islamiah Mu’asirah, jilid pertama, m/s 183, cetakan Dar as-Salam
[3]  Dr Wahbah az-Zuhaily, al-Fiqh al-Islami Wa Adlillatuh, jilid pertama, cetakan Dar al-Fikr
[4]  Dr Yusuf al-Qardhawi, Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, m/s 44, cetakan Maktabah Wahbah
[5] Dr Shadiq Syeif Nukman, al-Khilafah al-Islamiyah Wa Qadhiyah al-Hukm Bima Anzala Allah, cetakan Dar as-Salam, m/s 319. Dr Yusuf al-Qardhawi, ar-Riddah Wa ‘Uqubatuha, cetakan Maktabah Wahbah
[6]  Muhamad Zuhaili Saiman, Fiqh Politik Islam, m/s 131-132, cetakan 2012, izin terbit oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
[7] Dr Munir Muhamad al-Ghabban, Qadaya Islamiah Mu’asirah, jilid pertama m/s 257, cetakan Dar as-Salam. Dr Yusuf al-Qardhawi, Min Fiqh ad-Daulah Fi al-Islam, cetakan Dar as-Sharouq
[8] Dr Zalikha Md Nor dan Zaini Nasohah, Pentadbiran Undang-undang Islam Di Malaysia, m/s 225, Pusat Pegajian Jarak Jauh UKM
[9]  Dr Munir Muhamad al-Ghabban, Qadaya Islamiah Mu’asirah, jilid ke-2, 687 m/s 257, cetakan Dar as-Salam.
[10]  Dr Munir Muhamad al-Ghabban, Qadaya Islamiah Mu’asirah, jilid pertama m/s 333, cetakan Dar as-Salam.
[11]  Dr Munir Muhamad al-Ghabban, Qadaya Islamiah Mu’asirah, jilid pertama m/s 258, cetakan Dar as-Salam.
[12]  Dr Munir Muhamad al-Ghabban, Qadaya Islamiah Mu’asirah, jilid pertama m/s 259, cetakan Dar as-Salam.

Sunday, August 12, 2012

Himpunan Aktivis PMRAM Medium Penyatuan Gerak Kerja Aktivis

 
KAHERAH, 11 Ogos 2012 -- Dalam memastikan kelangsungan sebuah organisasi terus bertahan lebih teguh maka generasi penggerakknya perlu sentiasa berkualiti dalam setiap perancangan dan gerak kerja.
 
Oleh yang demikian, pada 9 Ogos yang lalu satu program telah dianjurkan di bawah Lajnah dan Unit Perancang &  Panitia PMRAM 2012. Program yang dinamakan sebagai Himpunan Aktivis PMRAM -Siri Pertama ini telah berjaya mengumpulkan Pengarah dan Timbalan Pengarah unit-unit yang berada dibawah PMRAM.
 
Dengan tema "Jiwa Besar Terasi Dasar " program ini direncanakan oleh Pusat Sumber Tenaga PMRAM ( PESAT ) bagi memastikan aktivis-aktivis PMRAM diberikan pengisian yang terbaik dalam memastikan budaya kerja dilaksanakan dengan amanah dan konsisten.
 
Himpunan Aktivis PMRAM yang diadakan di Wisma Sultan Muhammad  V ini, memberikan beberapa pengisian penting untuk aktivis lebih memahami peranan dan fungsi mereka dalam gerak kerja di setiap posisi unit masing-masing. 
 
Penerangan fungsi dan unit-unit PMRAM telah disampaikan oleh Timbalan Presiden PMRAM 2012, Saudara Zulhafeez Ahmad Zahidi juga merangkap sebagai Ketua Lajnah Perancang dan Panitia PMRAM 2012. Sesi perbincangan dua hala juga memberikan peluang kepada aktivis untuk berkongsi permasalahan dan cadangan yang dirasakan perlu bagi memastikan PMRAM terus bertahan .
 
Penghasilan kertas kerja yang berkualiti pula telah dibentangkan oleh Setiausaha Agung PMRAM 2012, Saudara Norhalis Syafiq bin Ahmad. Pelbagai persoalan telah diperbincangkan bersama aktivis terutamanya berkenaan dengan pengurusan setiap unit.
 
"Aktivis adalah tulang belakang kepada PMRAM dalam memastikan perjalanan PMRAM bergerak sebaik mungkin.  Kalian perlu merasakan bahawa peranan dan posisi aktivis bukan satu perkara picisan bahkan menjadi aset sangat penting untuk pentadbiran PMRAM" ujar Saudara Abdul Aziz Bin Ali, Presiden PMRAM 2012 di dalam ucapan perasmian sekaligus merasmikan Himpunan Aktivis PMRAM 2012.
 
-

Saturday, August 11, 2012

Memperkasa Uslub Dakwah Fasilitator PMRAM


KAHERAH, 4 Ogos 2012 -- Jabatan Fasilitator PMRAM (JATA) yang bernaung di bawah Lajnah Dakwah Dan Pembangunan Insan PMRAM telah menganjurkan Ijtima’ Fasilitator PMRAM yang berlangsung di Dewan Masjid Rabaah, Kaherah pada 29 Julai lepas.
Menjadi kebiasaanJATA PMRAM akan mengadakan program ini sebulan sekali. Objektif Ijtima’ Fasilitator PMRAM kali ini adalah memperkasa uslub dakwah Fasilitator PMRAM.
 
Antara pengisian program ini adalah ujian tahap kefahaman fasilitator, diskusi buku berjudul ‘Dakwah Fardiah’ karangan Mustafa Masyhur  yang telah dibentangkan oleh Ustaz Azlan Bin Hj. Alias, serta gerak kerja berkumpulan menghasilkan kertas kerja berkenaan ‘Dakwah Fardiah’ dan lain-lain.
 
Program ini yang bermula pada jam 9.30 pagi telah ditamatkan dengan ucapan penutup oleh Naib Pengerusi HEWI II PMRAM, Ketua Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM 2012, Ustazah Siti Sarah Binti Bushari.
 
“Fasilitator adalah mata rantai perjuangan para nabi dan para rasul yang membawa risalah dakwah. Jalan dakwah dipenuhi dengan kesukaran dan rintangan seperti golongan terdahulu. Antara tugas fasilitator PMRAM adalah membina generasi pelapis yang menggerakkan kerja dakwah. Fasilitator juga perlu memperkasa uslub dakwah untuk menjadikan dakwah yang berkesan serta mesti memberi komitmen dengan Ta’limul Mu’allim PMRAM (TM) untuk keselarasan Manhaj Muzakarah Berkelompok PMRAM” ujar Naib Pengerusi HEWI II PMRAM dalam ucapan penutup.

Friday, August 10, 2012

PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI: MESYUARAT AGUNG TAHUNAN DPMI KALI KE-20



Iskandariah, 6 Ogos 2012- Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah (DPMI) kali ke-20 telah berlangsung dengan jayanya. Tepat 8.30 pagi, mesyuarat tersebut telah dimulakan dengan perarakan masuk barisan HEWI PMRAM 2012 dan pimpinan DPMI sesi 2011/2012 seterusnya mesyuarat dimulakan dengan ucapan daripada pengarah program, Saudari Nor Saadah Mohd San. Mesyuarat diserikan lagi dengan perasmian yang telah disempurnakan oleh Saudari Nurul Hasanah binti Yahuza, Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM 2012. Turut hadir, Saudari Norhashima Majid selaku Ketua Unit Muhafazah HEWI PMRAM 2012 bersama HEWI Angkat bagi PMRAM Cawangan Iskandariah iaitu Saudari Nurul Nadhirah Aw. Mohd Noor dan Saudari Nur Hidayah Mohd Akhir. Mesyuarat Agung Tahunan DPMI kali ke-20 turut dihadiri oleh Saudara Nur Ahmad Wafiy bin Noor Azri selaku Ketua Lajnah Muhafazah PMRAM 2012 beserta pengiring.
Setelah majlis perasmian, mesyuarat diteruskan dengan agenda utama iaitu sesi muhasabah aktiviti tahunan Jabatan dan Unit  DPMI  bagi sesi 2011/2012. Antara muhasabah yang diutarakan ahli ialah isu kekurangan ahli di Iskandariah ini yang mana pentauzikan terakhir ke muhafazah ialah pada sesi 2009/2010. Perjalanan mesyuarat berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan mendapat kerjasama yang baik daripada semua ahli yang hadir.
Mesyuarat Agung Tahunan DPMI kali ke-20 ini telah menerima dua usul bertulis. Namun, satu usul telah diterima sebagai cadangan. Sementara itu, usul ke-2,yang  diutarakan oleh Saudari Syarifah Nasyitah binti Syed Hassan iaitu ‘Gerak Gempur Bersama Unit Biah Solehah, HISBAH dan Bait Muslim’ telah diterima sebulat suara oleh  semua ahli untuk dijayakan bersama pada sesi 2012/2013.
Kemuncak mesyuarat menyaksikan semua ahli mendengar amanat akhir daripada AJKT DPMI sesi 2011/2012 dan seterusnya perletakan jawatan secara rasminya. Diikuti juga kalam harapan daripada wakil Badan Pengurus dan HEWI PMRAM 2012 yang turut hadir. Mesyuarat hampir ke penghujungnya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya bagi cawangan Iskandariah 2012 mengumumkan perlantikan AJKT DPMI bagi sesi 2012/2013 dan telah berakhir tepat jam 6.20 petang dengan ucapan pembukaan Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2012/2013, Saudari Nur Amnani Faten Paiman.
SELAMAT MENJALANKAN TUGAS BUAT KEPIMPINAN BARU DPMI SESI 2012/2013.
SIIRU ALA BARAKATILLAH.

Disediakan oleh,
Siti Nadiah Abdul Mutalib
(Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMI 2012/2013)

Thursday, August 2, 2012

Usul Bertulis MAT DPMI kali ke-20 Dibuka


Assalamualaikum warahmatullah. Untuk makluman seluruh ahli PMRAM Cawangan Iskandariah, Jabatan Setiausaha Agung Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah telah membuka Usul Bertulis kepada semua ahli bersempena Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-20 seperti mana berikut :




KEADAAN UMAT AKHIR ZAMAN




Serangan Musuh Islam

Sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924 yang berpusat di Turki, kita telah melihat umat Islam diserang di segenap penjuru. Penjajahan dan peperangan telah meletus dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua yang menyebabkan negara-negara yang dimiliki umat Islam telah dijajah dan dirampas segala hasil mahsul kekayaannya.

Imperialis Britian, Amerika, Rusia, Perancis, China, dan lain-lain menjadi penjajah serta menjadi kuasa besar yang bertanggungjawab membunuh umat Islam diseluruh dunia. Kekuatan umat Islam menjadi lemah dan ranap, pemimpin-pemimpin di negara Islam dijadikan boneka setelah penjajah pulang ke negara masing-masing. Sekiranya negara tersebut ingin mendapatkan kemerdekaan dari penjajah, pemimpin-pemimpin negara Islam tadi mesti menjalankan agenda musuh setelah pulangnya penjajah.

Realitinya pada hari ini, kebanyakkan negara yang mendapat kemerdekaan daripada penjajah pemimpin-pemimpinnya terdiri dari kalangan mereka yang sudah rosak akhlaknya. Rasuah, judi, seks, arak menjadi hidangan para pemimpinnya, rakyat pula diberikan bentuk-bentuk hiburan yang menggilakan, pusat-pusat judi diberikan lesen, arak dijual ditempat terbuka, pelacur-pelacur diimport dari luar negara, anak-anak mudanya diberikan rokok dan dadah, kes zina dan rogol meningkat, agama hanya pada urusan tertentu sahaja, dan sebagainya.

Serangan pemikiran juga telah menjalar dalam jiwa umat Islam sehinggakan umat Islam tidak mampu bangkit. Sistem pemerintahan Barat dipaksakan ke atas seluruh manusia termasuk ke atas orang-orang Islam. Ideologi-ideologi moden dan sesat diserap masuk dalam pemikiran masyarakat, aliran falsafah dan teori-teori mengenai urusan negara, ekonomi atau kemasyarakatan dengan pelbagai nama seperti, Sekularisme, Liberalisme, Kapitalisme, Sosialisme, Nasionalisme, Pargamatisme dan sebagainya telah memecah belahkan masyarakat Islam daripada tali agama Allah.

Hakikatnya, kekuatan umat Islam telah hilang. Kebanyakkan umat Islam hari ini berpegang dengan pemikiran-pemikiran dan ideologi-ideologi sesat yang meranapkan akidah dan jatidiri umat Islam. Gerakan Zionis, Orientaslis, Kristianisasi telah menjadikan umat Islam hari ini sudah tidak berpaut pada agama. Akidah di dalam jiwa umat Islam dicabut sedikit demi sedikit, umat Islam juga meninggalkan persoalan jihad dan sunnah Nabi Muhammad SAW bahkan juga mengikut kesesatan musuh satu persatu.

Realiti Hari Ini

Sabda Nabi SAW :

عَنْ ثَوْبَانَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا ، فَقَالَ قَائِلٌ : وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ ؟ قَالَ : بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ ، فَقَالَ قَائِلٌ : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ ؟ قَالَ : حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ " .

“Akan datang suatu masa umat lain akan memperebutkan kamu ibarat orang-orang lapar memperebutkan makanan dalam hidangan.” Sahabat bertanya, “Apakah lantaran pada waktu itu jumlah kami hanya sedikit Ya Rasulullah?”.Dijawab oleh baginda, “Bukan, bahkan sesungguhnya jumlah kamu pada waktu itu banyak, tetapi kualiti kamu ibarat buih yang terapung-apung di atas laut, dan dalam jiwamu tertanam ‘Al Wahn’ (kelemahan jiwa).” Sahabat bertanya, “Apa yang dimaksudkan ‘Al Wahn’ (kelemahan jiwa), Ya Rasulullah?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati!”.(HR Abu Daud)

Kuasa Barat telah berjaya melemahkan kekuatan umat Islam sedangkan umat Islam hari ini cukup ramai. Banyak perancangan musuh yang dirancang berjaya ditambah lagi dengan keadaan umat Islam yang meninggalkan jihad dan terlalu cintakan dunia dan takutkan mati menyebabkan segala perancangan musuh berjaya dilaksanakan sehingga ke hari ini. Antaranya yang boleh diketahui dalam Muktamar Eropah yang berlangsung di Berlin dalam tahun 1978. Antara resolusi melemahkan umat Islam adalah dengan :-

1.    Menghancurkan Khilafah Uthmaniah
2. Mengoyak rabakkan negara-negara Islam menjadi negara-negara kecil yang dibataskan dengan garisan sempadan yang sengaja dicipta.
3.    Menyokong aliran-aliran fahaman yang berusaha menjatuhkan Islam
4. Menyokong golongan Kristian yang menetap di negara-negara Islam serta memonopoli mereka kea rah mewujudkan fitnah dan keadaan tidak stabil di negara-negara tersebut.

Realitinya, perancangan ini sudah berjaya dan apa yang berlaku di depan mata kita hari ini jelas terbukti.

Umat Islam Malas Membaca Dan Mengkaji

Di dalam buku Aina Khalal karangan Prof Dr Yusof Qardahwi pernah menceritakan kisah seorang Jeneral Tentera Israel Zionis membongkar rahsia kelemahan umat Islam hari ini. Moshe Dayan, juga seorang pemimpin negara Israel, ketika mana beliau menghadiri satu pertemuan tertutup Gerakan Zionis Antarabangsa bagi memerangi umat dan merampas tanah-tanah Islam di Palestin, maklumat yang diterima dalam pertemuan tersebut sangat sulit dan tidak dibenarkan maklumat tersebut diberitahu pada sesiapa.

Ketika mana menghadiri satu proram terbuka, didedahkan rahsia tersebut yang menyebabkan pegawai risikan sangat terkejut dengan tindakan Moshe Dayan yang mendedahkan rahsia yang sangat sulit sehingga beliau ditegur dalam satu majlis yang dibimbanginya akan diketahui oleh orang-orang Arab serta mengetahui perancangan tersebut.

Apa yang disebut oleh Moshe Dayan “Bertenang semua….kamu jangan bimbang dengan orang-orang Arab dan umat Islam, mereka malas membaca, kalau membaca pun mereka tak faham apa yang dibaca, kalau faham pun mereka tak akan buat apa yang dibaca, kalau buat pun, mereka tak bersungguh dalam buat kerja, kalau bersungguh pun belum tentu mereka akan berterusan dalam melakukan kerja”

Umat Islam pada hari ini perlu lebih banyak membaca dan mengkaji selain menambahkan ilmu pengetahuan, antara kejayaan musuh Islam hari ini berjaya menyelinap masuk dalam pendidikan di negara-negara umat Islam. Salah satu kejayaannya, iaitu berjaya menerapkan teori-teori palsu yang tabiatnya bertentangan dengan tuntutan Islam ke dalam ilmu-ilmu biologi, psikologi, sosiologi dan ekonomi. Dalam bidang sejarah pula, dicuaikan sejarah Islam serta mengambil berat tentang sejarah barat dan mengkajinya secara mendalam. Akhirnya, umat Islam telah berjaya didoktrin pemikirannya secara tak langsung dan berjaya dikuasai oleh musuh.

Umat Wajib Membebaskan Diri Dari Sistem Jahiliyah Moden

Sesungguhnya Allah telah menetapkan orang-orang Islam tidak akan dikuasai oleh musuh-musuh mereka yang dapat menghancurkan kekuatan mereka kecuali dari diri mereka sendiri.

Manhaj Islam adalah satu-satunya manhaj yang berjaya membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia tetapi ada dalam manhaj sekular ciptaan manusia, iaitu manusia mengabdikan diri sesama manusia.

Zaman fitnah yang sedang diharungi ini telah memperlihatkan beberapa krisis kemanusiaan telah hilang, banyak sistem yang dicipta telah memperhambakan manusia secara tidak sedar. Hanya Islam penyelesaian, banyak contoh sistem kuffar di dunia telah gagal dan tidak mampu menyelesaikan masalah manusia malah menambahkan kerosakan dan kefasadan di muka bumi ini. Misalnya, sistem kapitalis yang diamalkan oleh negara-negara Eropah hari ini telah menunjukkan kegagalan sistem ini. Negara Greece contohnya hampir muflis disebabkan hutang yang sangat banyak. Matawang dollar Amerika bila-bila masa sahaja akan jatuh, dan sekarang sedang menunjukkan isyaratnya serta hutangnya trillioon dolar kepada Federal Reserve iaitu sebuah bank Yahudi menunjukkan kegagalan sistem Kapitalis.

Sistem jahiliyah juga kita dapat lihat banyak penyakit-penyakit melanda masyarakat sekular Eropah juga melanda masyarakat Islam yang melaksanakan sistem sekular. Antaranya :-

1.    Ketandusan pemimpin yang berakhlak
2.    Ketagihan dadah
3.    Penyakit-penyakit saraf dan jiwa
4.    Jenayah-jenayah yang tidak berperikemanusiaan
5.    Hubungan jenis yang dahsyat
6.    Bunuh diri.

Akhir sekali Allah membalakan umat manusia hari ini dengan penyakit taun baru iaitu AIDS dan HIV yang melanda seluruh negara-negara di dunia ini.

Colin Wilson pernah menulis dalam bukunya “Keruntuhan Tamadun” : 

“Peradaban kita yang kaya dari sudut material telah bergerak perlahan-lahan mencipta masyarakat babi yang terbina dengan kekayaan yang cemerlang dalam menggerakkan aktiviti barunya dan kemampuannya yang wajib dalam menyahut dugaan-dugaan jasadnya, tetapi tidak mempunyai apa-apa kelayakan atau kemampuan dalam membentuk hubungan rohani atau memasukkan dorongan-dorongan perasaan”

Penutup

Kita mendoakan supaya giliran umat Islam pula mengalahkan kembali musuh-musuh Allah SWT  dan memberi taufik kepada umat Islam dalam menuju kemenangan.

Firman Allah SWT ;

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima darinya dan ia pada hari akhirat dari orang-orang yang rugi” (Ali Imran : 85)

Wallahu a'lam

Disediakan oleh,

Mohd Faizzudin Ghazali
Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan:

1.    Aina Khalal - Dimana Kesilapan, Prof Dr Yusof Qardhawi
2.  Strategi Musuh Menentang Islam : Dr Saaduddin Al-Sayyid Salih, Universiti Al-Azhar Kaherah