Labels

Pages

Thursday, July 9, 2015

Ramadan - Bulan Tarbiyah



Ramadan Yang Intensif Dan Insentif
Ramadan adalah sebagai sebuah kilang pembinaan rohani yang intensif, dipenuhi dengan insentif-insentif khas buat memperteguhkan binaan dalaman setiap Mukmin agar mereka keluar daripadanya sebagai pahlawan agama yang begitu perkasa dan penuh dengan semangat juang yang tinggi. Apabila kita menjenguk kepada sirah Baginda dan bagaimana Baginda menyusun kehidupan di kota Madinah sepanjang bulan Ramadan, kita akan melihat bagaimana ia telah menjadi satu medan tarbiyah para sahabat yang begitu solid untuk sebuah projek dakwah. 

Bulan Al-Quran
Di dalam Al-Quran, secara jelas Allah telah menyatakan kelebihan bulan Ramadan adalah kerana peristiwa penurunan Al-Quran kepada manusia. Ia diturunkan pada satu malam yang penuh barakah daripada malam-malam Ramadan. Ia adalah Lailatul Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan. Demi kemuliaan dan keagungan, maka bulan Ramadan diangkat tarafnya menjadi bulan anugerah khas buat umat Muhammad S.A.W, umat akhir yang diturunkan kepada mereka kitab dari langit.
Maka difardhukan ibadah puasa adalah kerana kesannya yang begitu mendalam di dalam memperteguh rasa cinta dan tanggungjawab mensyukuri dan mengamalkan Al-Quran. Ertinya kefardhuan ibadah puasa bukanlah semata-mata pemenjaraan dan hukuman terhadap nafsu perut dan syahwat, juga bukan sekadar bertujuan melaparkan perut agar diingati nikmatNya yang banyak oleh orang-orang kaya dan dikasihani pula golongan yang miskin, bahkan ia mempunyai hikmah dan matlamat yang lebih besar iaitu memandu diri untuk mengenali, merasai dan menikmati keagungan Al-Quran sebagai panduan hidup duniawi.

Jalan Menuju Taqwa
Kesan pensyariatan ibadah puasa di bulan Ramadan mempunyai matlamat yang jelas sebagaimana dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran  iaitu agar orang-orang yang beriman mencapai darjat taqwa. Ia adalah satu seruan yang nyata agar setiap yang berpuasa di bulan Ramadan agar memberi tumpuan kepada proses pembinaan hati yang ikhlas dan berada di tahap yang paling tinggi demi kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
Taqwa adalah mengambil sesuatu yang dapat mengelak murka Allah dan azabNya dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Apabila ia dikaitkan dengan Al-Quran di bulan Ramadan, maka adalah jelas betapa Al Quran-lah sebaik-baik jalan dan petunjuk buat mencapai darjat taqwa.

Bulan Kesabaran
Puasa disebut oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadisnya sebagai bulan sabar. Sabar adalah kunci yang membuka segala kesukaran dan memperoleh kejayaan. Ia adalah di antara sifat-sifat mulia yang paling tinggi nilainya di sisi Allah kerana pengaruhnya yang besar di dalam melaksanakan matlamat agung manusia di dunia ini iaitu beribadah dan berdakwah di jalan Allah.
Melalui puasa, seseorang Mukmin akan melatih diri mengawal nafsu dan dorongannya yang kuat untuk mencapai keseronokan yang dekat dan segera. Ia menjadi punca yang menyekat seseorang Muslim untuk melakukan ketaatan kepada Allah yang kelihatan jauh hasilnya dan menjauhi maksiat yang manis pada pandangan zahirnya.

Agama Yang Mudah
Ramadan mempromosikan Islam sebagai agama yang mudah dan tidak membebankan. Dengan pandangan zahir bahawa ibadah puasa adalah cukup berat untuk dilaksanakan, Allah menegaskan sebaliknya dengan mengulangi hakikat bahawa Islam tidak pernah mendorong penganutnya untuk melakukan perkara yang sukar dan tidak terpikul, bahkan akan menyalurkannya kepada jalan-jalan yang mudah.
Allah juga telah menegaskan konsep keringanan dan kemudahan di dalam agama dengan menyebutnya secara jelas di dalam ayat puasa bahawa, “Dia mahukan kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahukan kepayahan untuk kamu”. Begitulah penekanan yang ditunjukkan agama bahawa agama ini sesekali tidak memberatkan para penganutnya.
Adalah menjadi kewajiban para du'at di jalan Allah untuk memperhalusi konsep keringanan di dalam agama ini dengan betul dan sempurna. Ini akan cukup membantu medan dakwah kepada Allah di dalam mengajak umat Islam kembali kepada Islam. Antara punca ketakutan mereka adalah serangan musuh yang berusaha menggambarkan Islam sebagai agama yang sukar dan membebankan dengan kewajiban dan larangan yang menyekat kebebasan manusia.

Kekuatan Rohani Yang Unggul
Kekuatan rohani lebih agung daripada kekuatan fizikal. Ini dilihat secara nyata melalui peristiwa perang Badar yang berlaku di bulan Ramadan pada tahun kedua Hijriah yang juga merupakan tahun pertama kefardhuan ibadah puasa ke atas umat Islam. Jika puasa itu bererti keletihan dan kerehatan, sudah pasti agama yang sifatnya memudahkan dan meringankan itu tidak akan mensyariatkan al-jihad di bulan para sahabat Ar-Rasul berpuasa untuk kali pertamanya.
Para sahabat memasuki medan Badar dengan persiapan fizikal yang cukup lemah apabila mereka tidak pun mempersiapkan diri dengan senjata dan peralatan perang disebabkan tujuan asal keluar dari Madinah adalah bukan untuk menghadapi peperangan yang begitu sengit seperti di medan Badar. Ditambah pula dengan jumlah para sahabat yang sedikit, adalah mustahil untuk tentera Islam memenangi pertempuran di medan Badar.
Tetapi, perang Badar akhirnya menjadi batu tanda yang bersinar buat membina keyakinan bahawa kekuatan rohani yang antara sebabnya adalah hasil binaan madrasah Ramadan sebagai faktor terulung di dalam menjamin kemenangan kepada Islam dan umatnya. Semoga aura kehebatan ahli Badar mampu diresapi ke dalam jiwa kita dalam membangkitkan roh kemenangan berlandaskan taqwa kepada Yang Agung. Justeru, lembaran Ramadhan yang kita lalui ini menjadi satu titik tolak ke arah perubahan taqwa yang lebih solid. InsyaAllah.

-Petikan daripada ruangan Fokus Iskandariah Intelectual Student edisi Ramadan.