Labels

Pages

Thursday, December 13, 2012

KEMUDAHAN YANG MENYUSAHKAN


Facebook, Blog, Handphone 3g, dan seumpamanya adalah bentuk-bentuk kemudahan yang dihasilkan oleh manusia untuk mengindahkan dan memudahkan lagi kehidupan seharian kita di abad ini. Banyak perkara menjadi pantas dan segera dengan adanya pelbagai gadjet yang ada di pasaran.
Walaupun kedudukan seorang berada di selatan, beribu batu jaraknya dan seorang laginya berada di utara, dengan kecanggihan yang ada kedua-duanya dapat berhubung dengan mudah tanpa perlu bersusah payah menempah tiket untuk sebuah pertemuan. Murah dan cepat! 
Alhamdulillah, pada mereka yang memilihnya sebagai ruang berdakwah kepada manusia lain, meluaskan hubungan dan jaringan (network), merapatkan ukhwah yang jauh dan berkasih sayang sesama manusia. Namun , adalah amat mengecewakan apabila kecanggihan teknologi ini lebih menjadikan penggunanya banyak membuang masa, chatting yang tiada hadnya dengan isi perbincangan yang lebih ke arah 'merapuh' dan sia-sia. Hanya 'borak kosong' sebagai kesimpulan dan point ceritanya. Hal ini, sebenarnya  meragut nilai-nilai murni dan kesedaran sivik pengguna yang mejoritinya banyak berlaku di kalangan anak-anak muda. 
Di sebalik kebaikan padanya juga ada keburukan. Semuanya terletak pada diri pengguna itu sendiri sejauh mana ianya digunakan. Teknologi ini adakalanya membunuh fitrah manusia, kerana semakin ianya mudah untuk menghubungkan seseorang dengan seseorang yang lain, maka semakin besarlah cabaran yang tersedia. 
Dengan kemudahan komunikasi yang semakin meluas, ianya juga seakan memberi ruang kepada 'syaitan' untuk menyelinap di hati, membakar-bakar emosi dan nafsu yang pada mereka yang suka mencuba. Daripada cubaan 'berkenal-kenalan' sehinggalah cubaan ke fasa yang lebih menyeronokkan. Pada mulanya 'bersendirian' dan apabila adanya 'pertemuan' demi 'pertemuan', maka tidak mustahil akan ada pula adengan yang mungkin sahaja lebih 'berani' dilakukan.
Bagi yang mempunyai laman sosial facebook, dialog dialog ini tidak berhenti di sini. Dihiasi dengan pameran kemesraan yang diterjemahkan dalam gambar intim berdua sebagai tanda kesaksian percintaan mereka untuk dikongsi bersama dengan kenalan-kenalan facebook yang ada. Laman sosial yang sepatutnya digunakan untuk perkara-perkara yang baik dan perkongsian ilmu lebih digunakan sebagai 'mewarwarkan' kemesraan dan keintiman bagi pasangan belum ada apa-apa ikatan menghalalkannya.
 Selain itu, ada juga yang menjadi model-model yang tidak dibayar oleh mana-mana syarikatmodeling . Menjadi model pada photographer tidak bertauliah dengan memberikan aksi-aksi istimewa untuk paparan umum. Pelbagai gaya manja, cantik, senyuman menggoda dari pelbagai sudut di paparkan tanpa batasan di uploadkan tanpa sekelumit perasaan sedangkan ianya hanyalah merugikan diri sendiri dan menjadi asbab bertambahnya dosa dan noda mazmumah dalam diri. Rasanya kalau ditonton pada keluarga mesti ada yang mengucap panjang.
Umumnya,  aurat itu di dalam bahasa arab membawa maksud  'aib' atau 'malu' iaitu lebih merujuk kepasa sesuatu yang memalukan. Sesuatu yang 'aib' fitrahnya melibatkan perkara-perkara yang membawa maksud kepada 'kekurangan', 'kelemahan' dan sesuatu perkara yang boleh 'memalukan' seseorang.
Maka, memperlihatkan 'aurat' di kalayak ramai walaupun secara maya samalah seolah-olah dengan rela hati memperlihatkan ' kelemahan' dan 'kekurangan' diri sendiri yang mana ianya boleh memalukan diri sendiri. Walaupun, adakalanya dengan sepuluh orang yang memuji/ like gaya gedik mereka, membuatkan mereka terasa di awang-awangan, namun tanpa mereka sedari seribu orang malah lebih pula yang merasa geli dan jijik dengan tingkah mereka. 
Semua ini tidak mungkin terjadi jika iman mendahului emosi. Ya, tanpa pengawasan ibu bapa juga , kalian sewenang-wenangnya menekan keyboard tanpa berfikir akan membawa imej keluarga dan agama bersama. Namun segala-galanya bermula dari hati sendiri. Hati yang bersih akan menterjemahkan perilaku yang bersih. Demikianlah dinding-dinding facebook yang ada sebagai 'petunjuk' kepada diri seseorang itu. Andai imannya mendahului emosi, sudah pastilah dinding-dinding (wall) itu dipenuhi dengan perkongsian yang bermanfaat.
Rasulullah SAW bersabda;
"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain "
(Hadis Riwayat Ahmad,Thabrani, Daruqutni. Dishahihkan Al Albani dalam As-Silsilah As-Shahihah)
Kesimpulannya, berhati-hatilah dengan kemudahan yang ada. Manfaatkanlah kebaikan di ruang maya supaya dapat memberikan kebaikan berterusan pada diri kita dan kepada orang yang membacanya. Hiasilah akhlak dengan perasaan malu untuk memelihara tingkah laku mahupun aurat kerana hanya orang tertentu sahaja layak melihatnya.
Firman Allah yang berbunyi;
"Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka..."
(Surah an-Nur ayat 31)
Ayuh! Sama-sama kita manfaatkan kemudahan ke arah yang lebih baik demi maruah agama dan keluarga, ke arah menjadi mukmin yang berjaya! Ketika azan berkumandang, tinggalkanlah dahulu 'kemudahan-kemudahan' dunia yang mengasyikkan kerana ianya hanyalah bersifat sementara.
Jangan hanya kemudahan itu dapat memberikan kemudahan untuk kita di dunia sahaja, tetapi 'menyusahkan' diri kita apabila berada di alam yang lebih abadi nanti asbab diri kita sendiri yang 'kurang bijak' menggunakannya. 
"Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu' mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya"
(Surah al-Mukminun ayat 1-3)

Disediakan oleh:
Unit Penerangan dan Penerbitan
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah

Wednesday, November 21, 2012

Tahukah ANDA?


3 golongan manusia

MANUSIA dibahagikan kepada tiga golongan iaitu :
v Hidup demi dunia semata-mata
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “ Dan tentu mereka akan mengatakan (pula): ‘Hidup ini hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja,dan kita sekali-kali akan dibangkitkan.” (surah al-An’am 6:29) golongan ini ialah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan mengingkari hari kebangkitan.
v Golongan yang percaya kewujudan akhirat namun…
Namun mereka tidak berusaha ke arah mencapai kebahagiaan “di sana”, mereka bersuka ria dan berhibur di dunia tanpa berusaha gigih untuk menggapai kebahagiaan di akhirat.
v Golongan yang menganggap dunia ini ladang akhirat.
Mereka menanam di sini untuk menuai di akhirat kelak. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (surah al-An’am 6:32)

DI MANA agaknya kita?
Tepuk dada tanya iman.

Disediakan oleh : Unit Pengetahuan DPMI 2012/2013

Friday, November 9, 2012

Lirik Lagu DPMI

DPMI
Megah Mengukir Nama
Sejarah Silam Terukir Indah
Serikandi Gigih Melangkah
Di Pesisiran Mediterraean....

Merentas Onak Dan Duri Di Hadapan
Jiwa Tetap Dididik Agar Tabah
Mengharungi Denai Berliku
Hidayah Ilahi Sentiasa Dipohon
Semoga Langkahan Dalam Rahmat-Nya...

Biarpun Kita Seorang Wanita
Biarpun Kita Kaum Yang Lemah
Namun Tetap Kan Melangkah
Bersama Menuju Ke Puncak Jaya

Buktikan Kau Muslimah Sejati
Suri Perjuangan Islam Hakiki
Daulah Islami Kan Tertegak Nanti
Dengan Jejari Halusmu Nan Suci

Ukhuwwah Dipupuk Tarbiah Dipadu
Moga Mantap Syakhsiah Diri
Biar Apa Pun Yang Menghalang Di jalan
Terus Mara Ke Medan Juang

Thursday, November 8, 2012

Dimana Sensitiviti Kita??


Sejarah Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) kian pudar daripada ingatan pendokong dan penyokong PMRAM. Adakah kita mengetahui betapa bernilainya ARMA kepada PMRAM? bagaimanakah tahap pengetahuan kita terhadap sejarah ARMA?

ARMA, begitu gah namanya. Namun, peredaran masa menyebabkan kita perlahan-lahan melupakan hak kita terhadap ARMA. Sejarah membuktikan PMRAM pernah bertapak disitu hasil pengorbanan 65 orang sukarelawan dikalangan anak Melayu yang membantu Mesir dalam peperangan tiga serangkai ketika itu.

Namun, hak kita diceroboh. Dalam penggubalan dasar-dasar pentadbiran asrama dinyatakan dalam Bab 2, ceraian 2.3 yang berbunyi: “dasar pentadbiran asrama ini diputuskan oleh sebuah jawatankuasa, terdiri daripada pengarah JPM (Pengerusi), Penyelia Asrama (Setiausaha), Pegawai Kebajikan (1) JPM, Pegawai Kebajikan (II) JPM, Juruwati Asrama dan tiga orang wakil PMRAM.”

Amat mendukacitakan apabila peruntukan-peruntukan yang mirip perjanjian ini telah dihapuskan daripada peraturan-peraturan terbaru tahun 1999. Ianya telah digubal oleh KBMK tanpa pengetahuan pihak PMRAM. 28 April 1992 adalah tarikh bersejarah bagi  PMRAM apabila PMRAM tidak dibenarkan memasuki Pejabat PMRAM seakan diusir daripada rumah sendiri.

Oleh itu, seringkali PMRAM meguar-uarkan isu ARMA supaya kita tidak lupa akan hak kita terhadap ARMA. Antara usul yang telah disepakati dalam muktamar sanawi PMRAM ialah mengembalikan hak PMRAM di ARMA. Bagi menjayakan usul ini, tiga tuntutan perlu dilunaskan iaitu:

1) Pejabat PMRAM di Anjung ARMA
2) 3 Wakil Badan Pengurus dalam jawatankuasa dasar ARMA
3) Fakta sejarah yang telah diselewengkan.

‘Sejarah Perlu Diketahui Sebelum Kita Mencipta Sejarah’. Andai kita lupa akan sejarah, bagaimana kita ingin mencipta sejarah?. Penguasaan sejarah perlu kita ukuri tanpa ianya meniti dibibir sahaja. Usah kita lupa sejarah ARMA dan sama-sama kita kembalikan hak kita yang telah lama dicerobohi.

"Menghayati Sejarah Mempertahankan Maruah"
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

Rujukan: www.pmram.org
                Realiti Gelombang Mahasiswa & Hak Kita ‘ARMA’

Disediakan oleh:
Unit Penerangan dan Penerbitan
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2012/2013


Iklan Unit Sambutan dan Rehlah


Iklan Kuliah Jumaat Minggu Ini..


Makluman Daripada Kuliah

Assalamualaikum warahmatullah.
Kepada semua mahasiswi Al-azhar Cawangan Iskandariah (wafidat), Kelas Intensif Bahasa Arab dibawah anjuran pihak kuliah secara percuma akan bermula pada:
Tarikh: 10 November 2012
Hari: Sabtu
Masa: 1 Petang
Tempat: Mudarraj 3, Mabna Qodim. Sebarkan. Syukran.

Makluman Penting

Assalamualaikum warahmatullah.
Kepada mana-mana ahli DPMI yang baru tiba dari Malaysia, anda dikehendaki mengambil borang Tahlil Dam di markaz pada waktu urusan. Seterusnya membuat urusan di Kaherah sendiri kerana pihak DPMI tidak dapat menyediakan koster atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Sebarang permasalahan, boleh merujuk Pemangku Unit Pendidikan, Saudari Nur Atiqah binti Azman di talian ( 01116455682). Sebarang kesulitan yang berlaku amatlah dikesali. Sebarkan. Syukran.

Tuesday, November 6, 2012

MAKLUMAN

Assalamualaikum warahmatullah. 
MAKLUMAN : Pengajian Ustaz Akli Ahmad pada esok hari akan ditangguhkan seketika dan akan berjalan seperti biasa pada hari rabu (7/11/2012) pada jam 3.45petang. 
Segala kesulitan amatlah dikesali. sebar-sebarkan. syukran.

Friday, October 26, 2012

“Lambang Sebuah Kecintaan”


Puji dan syukur kita panjatkan kembali kepada Allah SWT yang telah banyak memberikan kenikmatan  kepada kita sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Lantaran itu, kewajipan kita adalah memanfaatkan segala kenikmatan dari Allah untuk mengabdikan diri kepada-Nya sebagai manifestasi dari rasa syukur itu. Antaranya adalah ibadah korban pada Hari Raya Aidil Adha iaitu 10 Zulhijjah saban tahun dan hari-hari tasyrik.

Takbir, tahlil dan tahmid bergema di seluruh muka bumi Allah SWT tika hari itu tiba sekaligus menyertai saudara-saudara kita yang pergi menyahut panggilan agung ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji.

 Ketika umat Islam melaksanakan ibadah haji di Baitullahil Haram, kita disini juga melaksanakan ibadah yang berkait dengan ibadah mereka  iaitu puasa pada hari Arafah, penyembelihan binatang korban setelah solat sunat Aidil Adha, dan melaungkan takbir,tahlil dan tahmid selama hari tasyrik. Apa yang dilakukan itu maqasidnya adalah sama iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Aidil Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

 Nabi Ibrahim diuji untuk memilih antara melaksanakan perintah Allah atau mempertahankan putera kesayangannya. Ketika dua insan agung ini pasrah dan redha dengan perintah Tuhan mereka, akhirnya digantikan dengan seekor kibas.

Kalau difikirkan, sebagai seorang manusia yang waras akalnya, mana mungkin sanggup mengorbankan seorang anak kalau bukan kerana perintah Allah SWT. Justeru, banyak ibrah yang dapat dikutip dalam  peristiwa agung ini.

 Antaranya untuk mendapatkan kebahagiaan dan keharmonian dalam kehidupan dunia dan akhirat, kita memerlukan sebuah pengorbanan.

Berkorban adalah memberikan sesuatu untuk membuktikan kecintaan kepada orang lain meskipun kadang-kadang kita terpaksa menderita. Nabi Allah, Ibrahim sanggup mengorbankan puteranya Ismail a.s demi mencapai kecintaan kepada Khaliqnya sehingga baginda digelar khalilullah (kekasih Allah).

 Peristiwa agung ini juga mengingatkan kepada kita semua yang bergelar ibadullah bahawasanya kehidupan dunia ini akan hancur binasa pada suatu masa yang dirahsiakan. Kadang-kadang Allah berikan kepada kita sesuatu yang kita cintai, namun cepat pula Allah mengambilnya semula. Kadang-kadang Allah berikan kita sesuatu yang tidak disukai walaupun kita sering berdoa agar Allah jauhkannya.

Tidakkah pernah kita mendengar firman Allah yang bermaksud: “ boleh jadi apa yang kamu benci itu baik untuk kamu dan apa yang kamu suka itu buruk untuk kamu.”  Maka sama-samalah kita bermuhasabah agar diri kita semakin hari semakin dekat dengan Allah SWT. moga kita semua digolongkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh, amin...

Selamat menyambut Aidil Adha 1433H buat seluruh umat Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wasallam. Kullu ’Am Wa Antum Bikhair.


Disediakan oleh:
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan 
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2012/2013


Eidul Adha 1433 H

Saturday, October 13, 2012

Peringatan buat Sahabat...

Jangan Lupa Membaca al-Quran Walaupun Satu Ayat.
     

ISLAMOPHOBIA: Benarkah Ia Membelenggu Negara-Negara Barat?


Ø¥ِÙ†َّ الدِّÙŠْÙ†َ عِÙ†ْدَ اللهِ الإِسْلاَÙ…
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah adalah Islam”
Surah Ali Imran: ayat 19

Apakah yang dimaksudkan dengan Islamophobia??
Merujuk kepada http://en.wikipedia.org, Islamophobia ialah suatu perasaan sangsi atau kebencian atau takut terhadap orang-orang Islam. Perkataan ‘Islamophobia’ kian meluas semenjak berlakunya peristiwa serangan 11 September 2001 ke atas negara Amerika.

Pelbagai andaian timbul berkenaan agama Islam semenjak itu. Antara persepsi negatif ‘non-muslim’ terhadap Islam ialah:

1)    Islam adalah agama yang menggalakkan keganasan.
2)    Islam mengamalkan diskriminasi terhadap wanita.
3)    Islam merupakan agama yang ketinggalan zaman.

Persepsi-persepsi buruk ini berleluasa kerana peranan media barat yang sering memburuk-burukkan agama Islam, sedangkan agama Islam adalah agama yang mencintai keamanan. Malah, agama Islam juga yang membela kaum wanita. Sebagaimana kisah pada zaman jahiliyyah yang membunuh anak-anak perempuan kerana menganggap anak perempuan adalah satu keaiban bagi mereka. Kemudian, kemunculan agama Islam mengubah amalan tersebut dengan menaikkan martabat seorang wanita.

Hadis Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa “syurga itu berada dibawah telapak kaki ibu”. Bukankah ibu itu seorang wanita?. Betapa mulianya Islam kerana mengangkat martabat wanita. Terdapat banyak lagi hadis yang mengangkat martabat wanita. 

Diketahui umum, benua Eropah adalah antara lubuk sentimen Islamophobia. Namun, kebelakangan ini Islam makin bersinar di lubuk tersebut. Sebagai contoh, rakyat negara Britain menerima baik penyebaran Islam di sana. Daripada pemerhatian, kebanyakan rakyat Britain tidak menganut agama atau aties. Selain itu, kemasukan rakyat dari negara-negara Islam juga menjadi faktor Islam diterima di sana.

Terdapat sebuah wilayah di Britain menerima muallaf hampir setiap minggu. Namun, tidak dinafikan terdapat negara-negara yang prejudis terhadap agama Islam. Malah, pemakaian juga telah mengundang perasaan prejudis tersebut.

Serangan 11 September 2001 sebenarnya memiliki negatif dan positifnya. Walaupun istilah Islamophobia meluas digunakan namun, kerana serangan tersebut jugalah, ‘non-muslim’ kian  mendekati Islam.

Jika dahulu, sesetengah negara Eropah menolak sepenuhnya pemakaian hijab. Kini, hijab diterima dengan baik di sesetengah negara. Isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan Islam juga membuka mata dunia bahawa Islam bukan seperti yang di uar-uarkan.


Menurut data yang diambil daripada The Pew Forum on Religion & Public Life pada tahun 2010, sepuluh negara yang memiliki majoriti rakyat Islam adalah:

1.  Indonesia : 182,570,000 orang
2.  Pakistan : 134,480,000 orang 
3.  India : 121,000,000 orang
4.  Bangladesh : 114,080,000 orang
5.  Turki : 65,510,000 orang
6.  Iran : 62,430,000 orang
7.  Mesir : 58,630,000 orang
8.  Nigeria : 53,000,000 orang
9.  Algeria (Al-Jazair) : 30,530,000 orang
10.  Maroko : 28,780,000 orang

Walaupun majoriti rakyat Islam bukanlah daripada negara barat, namun kebanyakan mereka kini bersikap terbuka terhadap Islam dan tidak lagi seperti ‘katak dibawah tempurung’ yang menerima bulat-bulat persepsi negatif sesetengah pihak.

Wallahua’lam


Manchester Central Mosque



Rujukan:  1) al-Quran
                 2) http://en.wikipedia.org/wiki/Islamophobia
                 3) http://en.wikipedia.org/wiki/Islam_in_England
                 4) The Pew Forum on Religion & Public Life


“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

Disediakan oleh:
Unit Penerangan dan Penerbitan
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2012/2013