KAHERAH, 15 Feb – Satu program khusus yang menghimpunkan seluruh kepimpinan PMRAM di Mesir sama ada peringkat cawangan BKAN dan DPM telah sempurna dilaksanakan semalam.
Program yang berlangsung di dua tempat berasingan itu iaitu di Mukhayyam Daim untuk kepimpinan ikhwah dan Nadi Syabab, Musallas untuk kepimpinan akhawat.
Program yang bermula pada jam 9.00 pagi itu dirasmikan oleh Saudara Shahrizan Bin Mohd Hazime, yang juga merupakan anggota penasihat PMRAM 2011.
Bertemakan “ Teguh Wahdah Atasi Mehnah “ program kali ini lebih menekankan aktiviti outdoor yang bertujuan menanamkan fikrah dan kefahaman yang jitu di kalangan para pimpinan terhadap perjuangan sebagai seorang pemimpin yang sebenar.
“ Pemimpin merupakan tonggak utama yang membentuk kekuatan sesebuah organisasi. Sikap tidak bersungguh-sungguh dan meringan-ringankan tanggungjawab serta amanah selaku kepimpinan tidak memungkinkan sesebuah organisasi ataupun persatuan dapat meyampaikan agenda dakwah dan kebajikan yang lebih berkesan “ujar Saudara Shahrizan Mohd Hazime ketika merasmikan program tersebut.
Selain daripada itu, Satu Hati ’12 kali ini menampakkan sedikit kelainan apabila kita menyelitkan beberapa pengisian berbentuk luar dewan atupun lebih dikenali dengan konsep ukhuwwah berpeluh.
Antaranya ialah talian karat, karpet merah dan perbincangan dan pembentangan penyelesaian masalah PMRAM dalam slot GKB 2.
Program kali ini juga turut tidak ketinggalan daripada melaksanakan konsep denda ataupun iqab terhadap pemimpin yang gagal melaksanakan tugasan dengan baik ataupun tidak dapat memenuhi taklifan yang telah ditentukan.
“ Respon yang diterima daripada seluruh kepimpinan memuji konsep program Satu Hati ’12 tahun ini. bahkan ada di kalangan pemimpin PMRAM cawangan BKAN dan DPM mencadangkan agar konsep sebegini diteruskan untuk sesi yang akan datang disamping memperkasakan modul GKB agar lebih menarik" ujar Saudara Abdul Aziz Bin Ali, selaku pengarah program Satu Hati ’12 ketika ditemui sejurus selepas program berakhir.
“ Apa yang kita harapkan agar seluruh sahabat kepimpinan dapat mempertingkatkan lagi akhlak serta karakter sebagai seorang pemimpin agar ia selari dengan hasrat yang dikendaki PMRAM sekaligus memperkuatkan pengaruh dan kebersamaan antara pimpinan dalam menjayakan slogan ‘ Kita PMRAM ‘ yang dicanang-canangkan oleh seluruh barisan kepimpinan PMRAM “ tambah beliau lagi.
( sumber : PMRAM )
No comments:
Post a Comment