Monday, June 7, 2010
Pendirian Turki Wajar Dicontohi
Dunia menyaksikan kezaliman dan keangkuhan satu-satunya rejim yang mengganas tanpa belas ehsan. Rejim Zionis Israel yang sejak dulu tidak pernah henti membuat kerosakan di muka bumi, kini membuktikan kezalimannya bukan hanya pada rakyat Palestin.
Kelakuan zalim yang takkan diterima oleh mana-mana kepercayaan dan anutan agama di dunia ini, apatah lagi agama Islam yang sama sekali menolak sebarang unsur perpecahan dan penindasan kepada sesama manusia dan makhluk Allah. Misi Pelayaran Kemanusiaan yang menghimpunkan pelbagai latar belakang bangsa yang punya hati dan semangat persaudaraan dicabuli dengan sewenang-wenangnya.
Apakah hak bangsa ini untuk menafikan bantuan kemanusiaan yang memang sepatutnya sudah lama diberikan kepada rakyat Palestin yang cukup lama menderita dengan keganasan rejim zionis ini.
Bantuan kemanusiaan yang dirancang untuk diberikan kepada rakyat Palestin dinafikan. Baru-baru ini, Mavi Marmara telah diserang oleh tentera Israel hingga menyebabkan 19 terbunuh dan puluhan lagi cedera. Ia adalah salah satu daripada konvoi beberapa buah kapal yang membawa kira-kira 700 sukarelawan dari 50 buah negara.
Misi tersebut kebanyakkannya dari negara Eropah, selebihnya dari Turki, Indonesia, Malaysia dan negara lain. Ini menunjukkan bahawa misi tersebut benar-benar untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang terkepung.
Amerika Syarikat dilihat seolah-olah memberikan ‘lampu hijau’ kepada tentera Israel untuk menyerang sebuah misi kemanusiaan ini. Meskipun pentadbiran Amerika Syarikat berpura-pura hendak menyiasat serangan tentera Israel terhadap konvoi kapal Mavi Marmara yang membawa misi kemanusiaan menuju ke Gaza, tetapi laporan yang diterima menyatakan bahawa Israel telah lebih dulu memberitahu pihak perisikan Amerika beberapa ketika sebelum serangan itu diancarkan.
Maknanya di sini, Amerika lebih dulu mengetahui bahawa tentera Israel dalam perjalanan untuk merampas dan menyerang konvoi kapal Flotilla walaupun masih di perairan antarabanga. Inilah realiti yang sebenarnya, apabila segala tindakan Israel disokong secara senyap oleh Amerika Syarikat yang dikenali sebagai kuasa besar dunia.
Sementara itu, Hamas dan negara Arab dan Islam menuntut PBB supaya mengutuk Israel dan mengadakan siasatan terbuka mengenai serangan biadap Israel itu.Namun amat menyedihkan, Washington sedang berlengah-lengah untuk mengarahkan wakilnya di PBB mengutuk Israel.
Tindakan negara sekutu Israel ini memang telah diduga, mengingat sepanjang sejarahnya, Amerika lebih dari 10 kali menggunakan kuasa vetonya menentang keputusan mengutuk Israel.
Kewibawaan Turki terserlah
Turki sebuah Negara yang dilihat cukup memberikan keperihatinan dan kesediaan dalam membantu rakyat Palestin. Peristiwa baru-baru ini menyerlahkan kewibawaan negara Turki yang dipimpin oleh Presiden Abdullah Gul dan Perdana Menterinya,
Recip Tayyip Erdogan kerana berjaya mengusahakan misi kemanusiaan yang penuh cabaran ini bersama NGO negara Eropah dan negara lain. Walaupun bantuan kemanusiaan itu dirampas oleh Israel dan tidak sampai kepada rakyat Gaza, namun usaha mereka ini sangat mulia dan sangat dituntut oleh Islam.
Tindakan mereka berjaya membuka mata dunia, khususnya pemerintah negara Arab dan pemerintah negara umat Islam bahawa masih tetap ada insan yang sangat perihatin membela kemanusiaan di dunia ini.
Tindakan berani Perdana Menteri Turki, Erdogan yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dengan cara menghalau pulang duta Israel yang berada Turki tersebut merupakan suatu serangan balas ke atas Israel ekoran serangan yang dilakukan oleh rejim zionis Israel ke atas kapal LL4G dalam menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin. Ini membuktikan pendirian yang jelas telah ditunjukkan oleh pemimpin ini.
Persedian Turki untuk menyerang dan diserang
Turki mempersiapkan diri untuk membalas serangan Israel bagi menyekat bantuan kapal-kapal Turki yang mengibarkan bendera-Gaza di perairan antarabangsa. Ia sebagai satu isyarat agar akur kepada undang-undang antarabangsa dan bagi hak-hak kemanusiaan, berikutan keputusan kecaman dari organisasi-organisasi antarabangsa.
Jurucakap Jabatan Luar Negeri Turki, Burak Ozugergin mengatakan Israel jelas melanggar semua undang-undang antarabangsa, undang-undang perang, undang-undang kemanusiaan dan marin, sama seperti serangan rampasan geng lanun laut Somalia.Ini adalah hakikat yang berlaku, sememangnya Israel tidak pernah tunduk dengan mana-mana undang-undang dunia, bahkan setakat ini, tidak ada undang-undang yang akan dipatuhi oleh zionis ini.
Ozugergin berkata: "Hukum Kemanusiaan melarang menyerang orang awam bahkan pada masa perang. Ini bukan kapal perang. Menurut undang-undang antarabangsa, ini adalah kapal awam, jadi mereka yang bertanggung jawab untuk operasi ketenteraan harus memberikan perhatian kepada orang awam "
Ozugergin lebih banyak mengatakan hal yang dilakukan Israel menyalahi undang-undang antarabangsa. Beliau menambah: "Tidak ada yang harus mendakwa bahawa ini adalah kebuntuan Muslim-Yahudi. Tidak ada yang harus mendakwa kita sedang Anti-Semit. Orang-orang dari semua agama yang berada di atas kapal ketika serangan itu. Mereka berangkat untuk sesuatu yang mereka percaya, untuk menamatkan ketidakadilan dan menarik perhatian awam dunia. "
Pendirian yang ditunjukkan oleh Turki membuktikan keberanian mereka berhadapan dengan Israel. Keberanian pimpinan dan warga Turki wajar dicontohi oleh semua negara di dunia ini, terutama negar-negara Islam dan Arab.
Demontrasi yang ditunjukkan oleh warga Turki yang melibatkan lelaki dan perempuan adalah satu tindakan yang menunjukkan kesungguhan warga Turki dari segenap peringkat.
Nasib dan penderitaan rakyat Palestin adalah tanggungjawab semua manusia yang cintakan kedamaian, terutama orang Islam.
Justeru, umat Islam sepatutnya terkehadapan bagi memberi sokongan kepada Palestin, sama ada dalam apa jua bentuk usaha seperti berdoa, solat hajat, bacaan yasin, qunut nazilah, memboikot barangan Israel dan sebagainya.
"Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah"
"Kesatuan Ukhuwah Manifestasi Tarbiah"
Hurriyyah Abdul Mokti,
Naib Pengerusi HEWI II (Unit Dakwah dan Pembangunan Insan),
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
sumber:www.pmram.org
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment