Batuk adalah tindakan refleks pertahanan yang terjadi apabila berlaku iritasi atau penyumbatan pada saluran pernafasan. Ia bertujuan untuk melegakan saluran pernafasan agar pernafasan menjadi seperti biasa. Kebanyakan batuk yang berlaku di kalangan masyarakat disebabkan oleh radangan pada saluran pernafasan atas yang biasanya diakibatkan oleh jangkitan virus (contoh : selsema) atau peningkatan penghasilan mukus semasa selsema.
1. Jenis :
A. Tidak berkahak (‘Unproductive’)
Batuk jenis ini adalah kering, dalam atau keras. Tiada kahak yang dihasilkan dan ia biasanya disebabkan oleh jangkitan virus serta boleh sembuh dengan sendiri.
B. Berkahak (‘Productive’)
Batuk jenis ini mengeluarkan kahak. Kahak biasanya dicirikan sebagai mukus yang kehijauan, kekuningan atau keperangan. Kadangkala terdapat darah pada kahak. Ini mungkin menandakan berlakunya jangkitan pada dada seperti bronkitis atau pneumonia. Dalam keadaan ini, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.
C. Krup (‘Croup’)
Batuk ini menghasilkan bunyi yang kuat dan kasar. Ia biasanya berlaku pada kanak-kanak dan dikaitkan dengan kesukaran bernafas.
2. Simptom-simptom :
A. Rasa gatal-gatal dan sakit pada kerongkong serta selsema juga dikaitkan dengan batuk.
B. Penyingkiran udara dari paru-paru yang berlaku secara tiba-tiba disertai dengan bunyi dan kadang-kadang berkahak.
C. Radangan, mengakibatkan gangguan saluran pernafasan contohnya: asma.
D. Pengeluaran kahak yang berlebihan disebabkan jangkitan saluran pernafasan atau penyakit ( selsema, radangan bronkus, radangan laring ).
3. Bila anda perlu berjumpa doktor ?
A. Apabila batuk berlanjutan selama 2 minggu atau lebih.
B. Anda mengadu sakit dada.
C. Kahak berwarna kekuningan, kehijauan, keperangan atau mengandungi darah.
D. Kesukaran bernafas.
E. Batuk yang berulang-ulang pada waktu malam.
F. Kegagalan rawatan menggunakan ubat.
4. Rawatan:
1. Selsema
Terdapat 4 kelas utama ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat simptom selsema iaitu dekongestan, ekspektoran, ‘cough suppressants’ dan antipiretik (antipyretic) atau analgesik. Dekongestan dan ekspektoran merupakan kumpulan ubat yang membantu membuka laluan hidung tersumbat. Oleh itu, pengeluaran mukus dan pengedaran udara akan membantu meningkatkan pernafasan. Ubat ‘cough suppressant’ pula digunakan untuk mengurangkan kekerapan batuk manakala antipiretik (antipyretic) atau analgesik digunakan untuk melegakan demam dan sakit kepala. Antihistamin (anti-alahan) juga boleh menolong mengurangkan sesetengah simptom selsema seperti hidung berair dan bersin.
2. Batuk
Pemilihan rawatan batuk bergantung kepada jenis batuk. Penekan batuk adalah berkesan untuk merawat batuk tidak berkahak (kering), manakala ekspektoran pula digunakan untuk merawat batuk berkahak (basah). Gula-gula lozenges juga digunakan untuk membantu melegakan batuk kering, manakala agen mukolitik (mucolytic) membantu mencairkan mukus untuk memudahkan pengeluaran kahak.
Kesimpulan:
Penggunaan meluas ubat-ubatan tanpa preskripsi dalam rawatan selsema dan batuk adalah bertujuan supaya ubat-ubat berkenaan boleh diperolehi dengan mudah. Perkara ini dibantu pula dengan pengiklanan secara meluas produk-produk tersebut kepada orang awam.
Dalam sesetengah keadaan, kombinasi dua atau lebih ubat-ubat ini diperlukan untuk menghasilkan dos yang sesuai untuk merawat pesakit yang mengalami pelbagai simptom selsema dan batuk. Walau bagaimanapun, kombinasi produk biasanya lebih mahal, terhad kepada dos yang telah ditetapkan dalam sediaan itu sahaja dan kemungkinan mempunyai kesan sampingan. Oleh itu, anda perlu mendapatkan nasihat dari ahli farmasi sebelum membeli ubat-ubatan tersebut.
Sebelum anda membuat keputusan untuk pengubatan kendiri, perlu diingat bahawa ahli farmasi adalah golongan profesional kesihatan yang harus dihubungi untuk mendapatkan khidmat nasihat. Anda tidak seharusnya hanya bergantung kepada bahan bacaan, kefahaman sendiri dan mengikuti arahan penggunaan ubat semata-mata. Pemilihan produk bukan hanya berdasarkan keberkesanan ubat tersebut tetapi juga harus mengambil kira kesan sampingan yang mungkin berlaku.
Setelah memilih produk, anda perlu mendapatkan nasihat ahli farmasi untuk memastikan anda tahu cara penggunaan, jangkamasa pengambilan, kesan terapi serta kesan sampingan yang dijangkakan. Akhir sekali, anda perlu sentiasa datang berjumpa atau menghubungi semula ahli farmasi anda sekiranya masih terdapat sebarang kemusykilan atau masalah dalam pengubatan sendiri.
No comments:
Post a Comment