Setiap perkara yang besar manfaatnya untuk seseorang individu itu pasti akan dihadirkan dengan cabaran yang agak sukar untuk menguji tahap kesungguhannya dalam mencapai matlamat tersebut.
Kesungguhan para ulama' terdahulu mengembara beribu batu demi menuntut ilmu dengan hanya berkenderaan unta, kuda atau hanya berjalan kaki telah memberi suatu pedoman kepada seluruh penuntut ilmu sepanjang zaman selepasnya bahawa untuk mendapatkan mutiara yang cantik, maka dasar laut yang dalam itu mesti diselami walau pelbagai mehnah dan cabaran bakal menyinggah menguji tahap kesungguhan.
Pernah suatu ketika dahulu, seorang penuntut ilmu yang tinggal di Barat (Andalus) sanggup untuk mengembara sehingga ke Timur (Baghdad ) yang jarak antara kedua tempat tersebut adalah beribu-ribu kilometer dan tanpa kemudahan pengangkutan sepertimana zaman sekarang semata-mata untuk mendapatkan ilmu hadis daripada Imam Abu Hanifah yang pada ketika itu digam oleh kerajaan dan dikenakan hukuman tidak boleh mengajar kepada sesiapa pun disebabkan beberapa fatwa beliau yang tidak sehaluan dengan kerajaan pada ketika itu.
Pada awalnya Imam Abu Hanifah berasa agak berat untuk mengajarkan ilmu kepada pemuda tersebut disebabkan bahaya dan ancaman daripada kerajaan Baghdad ketika itu, namun apabila diketahui bahawa pemuda tersebut datang dengan pelbagai cabaran dan mehnah dari jauh di Andalus semata-mata untuk mencari permata ilmu hadis, maka Imam Abu Hanifah mengarahkannya agar berpura-pura menjadi peminta sedekah yang mengetuk pintu rumahnya pada setiap pagi untuk meminta sedekah, lalu diajarkan kepadanya sepotong hadis pada setiap kali ketukan pintu pada setiap pagi sebagai langkah berjaga-jaga daripada dikesan kerajaan pada ketika itu.
Perkara yang boleh dijadikan iktibar oleh kita selaku mahasiswa dan mahasiswi di bumi Mesir ini daripada kisah tersebut adalah kesungguhan untuk mencari ilmu khususnya menghadirkan diri ke kuliah walaupun dihidangkan dengan cabaran dari sudut kemudahan pengangkutan pada ketika ini.
Signifikan dengan permasalahan mogok pekerja kenderaan awam yang berlaku di Mesir sejak sekitar dua minggu yang lalu khususnya di Kaherah, PMRAM melihatkan bahawa perkara ini adalah suatu cabaran dan ujian kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi untuk terus menghadirkan diri ke kelas-kelas pengajian dan muhadarah di kuliah masing-masing sebagai bukti kesungguhan kita dalam menuntut ilmu.
PMRAM pusat mengucapkan tahniah kepada beberapa PMRAM cawangan yang telah mengambil inisiatif menyewa van ke kuliah untuk seluruh ahli dan berharap agar langkah ini dapat menjadi contoh oleh PMRAM cawangan yang lain di atas slogan "KITA PMRAM" dan saling bantu-membantu serta prihatin terhadap PMRAM cawangan yang lain.
PMRAM mengharapkan agar mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir khususnya di Kaherah masih terus bersemangat dalam meneruskan agenda perkuliahan seiring dengan tema PMRAM pada sesi kali ini; "Memartabat Keilmuan, Memimpin Kesatuan". PMRAM begitu optimis dalam memastikan soal pendidikan mahasiswa Malaysia di Perlembahan Nil dapat diteruskan dengan baik tanpa sebarang kesulitan.
Semoga kesungguhan yang ditunjukkan oleh seluruh penuntut ilmu di Perlembahan Nil dipandang oleh Allah S. W. T. dengan pandangan rahmat dan dikurniakan ganjaran yang mulia di sisi-Nya serta dapat memberi manfaat khususnya kepada umat Islam yang lain seiring dengan hasrat kerajaan Malaysia dalam menghasilkan modal insan berkualiti dan mempunyai kemampuan daya pemikiran serta ilmu yang baik yang mampu berbakti kepada tanah air tercinta kelak.
Disediakan Oleh :
Abdul Naafiq Taqiuddin Mohd Roslan
Ketua Badan Pendidikan Dan Komunikasi Bahasa,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2012.
No comments:
Post a Comment