Labels

Pages

Friday, March 23, 2012

Ucapan Presiden PMRAM 2012


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat dan para sahabat baginda, seterusnya seluruh pejuang agama Islam yang bertebaran di atas muka bumi yang sentiasa bekerja meyebarkan risalah Islam demi memastikan agama Islam terus mekar dalam sanubari manusia.

Perjuangan PMRAM sebagai NGO yang berdaftar dan persatuan induk mahasiswa Malaysia di bumi Mesir diteruskan dalam memastikan agenda kebajikan dapat disampaikan kepada seluruh ahli. Putaran kehidupan dunia tidak pernah terhenti. Ada ketikanya kita berada di atas dan ada ketikanya kita berada di bawah. Begitu juga dalam konteks kepimpinan, yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti.

Para mahasiswa Islam yang dikasihi sekalian,

Tanggal 14 Mac 2012 menyaksikan tampuk pentadbiran PMRAM bertukar ganti. Inilah sunnatullah yang telah ditetapkan dalam sesuatu organisasi.

Perjuangan membawa risalah Islam sentiasa diperbaharui dan pembawa obor perjuangan akan silih bertukar. Kehebatan PMRAM pada hari ini yang masih gagah bertapak di bumi anbia' ini adalah disebabkan oleh kekuatan kesatuan yang ada pada seluruh ahli PMRAM ditambah pula dengan kesungguhan para pimpinan di seluruh cawangan yang bernaung di bawah PMRAM yang terdiri daripada 12 buah Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan 8 buah Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) yang sentiasa memberi komitmen terbaik dan selari dengan kehendak di peringkat PMRAM pusat. Kekuatan kesatuan inilah yang

Tahun 2012 genap usia PMRAM 82 tahun. pada tahun ini menyingkap kembali sejarah suka duka PMRAM dalam arena perjuangan mahasiswa Islam Mesir. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-2o penubuhan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) beerti selama 20 tahun ini jugalah kebajikan seluruh ahli-ahli PMRAM di Muhafazah dijaga dengan baik.

Penganjuran konvensyen PMRAM kali ke-4 pada 29 Februari yang lalu menunjukkan PMRAM begitu optimis dalam meneruskan dan memperkasakan usaha penghantaran mahasiswa baru ke cawangan-cawangan al-Azhar di seluruh Muhafazah.

Para pemuda dan pemudi idaman Ummah sekalian,

Sedar ataupun tidak, tahun ini jugalah genap 20 tahun PMRAM dihalau daripada rumahnya sendiri iaitu Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA). Suatu sejarah hitam yang sentiasa segar dalam memori ingatan pendokong-pendokong PMRAM dan akan terus diwarisi kepada generasi mendatang.

Tanggal 16 Mac 1992 menjadi tarikh keramat dan sentiasa diingati dalam sejarah PMRAM apabila pihak PMRAM telah menerima sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia meminta supaya PMRAM keluar daripada ARMA. Hal ini berpunca daripada pendirian PMRAM yang tidak bersetuju di atas penubuhan persatuan baru iaitu Persatuan Pelajar Malaysia Mesir (PPMM) pada tahun 1992 untuk menggantikan PMRAM yang dikatakan tidak mampu menyatukan suara anak-anak Melayu yang belajar di Mesir pada waktu itu.

Hasilnya seluruh mahasiswa bangkit menyatakan pendirian mereka yang sesekali tidak bersetuju dalam perkara tersebut yang dilihat boleh menimbulkan perpecahan dikalangan mahasiswa Malaysia di Mesir.

Ini antara sebahagian kisah duka yang dihadapi oleh PMRAM. Selain daripada itu PMRAM pada sesi 2011tidak ketinggalan berhadapan dengan ujian yang cukup besar apabila ada usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengharamkan dan melenyapkan PMRAM daripada muka bumi Mesir ini.

Begitu juga isu yang berlaku sekitar cawangan-cawangan PMRAM antaranya penarikan pengiktirafan PMRAM cawangan Melaka (BKKIMM) oleh Kerajaan negeri Melaka, isu penafian hak terhadap PMRAM cawangan Johor (BKPJM) dan isu penarikan pinjaman 9 orang mahasiswa PMRAM cawangan Terengganu (KPT) yang melibatkan 7 orang mahasiswa Pengajian Islam dan 2 orang mahasiswa Pengajian Sains Kesihatan.

Kesemua isu yang disebut ini melibatkan hak dan maruah yang perlu dipertahankan oleh seluruh mahasiswa Islam sama ada pengajian islam mahupun sains kesihatan.

Para mahasiswa Islam sekalian,

Bertemakan " Memartabat keilmuan, Memimpin Kesatuan " Pentadbiran PMRAM sesi 2012 akan terus memacu momentum seluruh mahasiswa ke arah

kecemerlangan dari sudut keilmuan dan juga akademik disamping tidak meninggalkan gerak kerja terhadap pembentukan fikrah dan syakshiah yang baik. Selain itu, kebersamaan dan kesatuan di kalangan ahli PMRAM seluruh cawangan BKAN dan DPM akan terus diperkasakan dengan tindakan-tindakan yang akan disusun dan diselaraskan selepas daripada ini demi memastikan perjuangan PMRAM sebagai persatuan induk mahasiswa Malaysia di Mesir dapat dilaksanakan dengan sehabis baik.

Tiga usul yang telah diperbahaskan dan diterima sebulat suara oleh seluruh perwakilan pada Muktamar Sanawi PMRAM

kali ke-79 iaitu :

1. Mengembalikan Hak PMRAM di ARMA

2. Memperkasa hubungan baik antara mahasiswa Pengajian Islam dan Sains Kesihatan dengan tindakan ;

- Kempen di seluruh cawangan

- Perkongsian idea

3. Bersama menjayakan slogan " Kita PMRAM " dengan tindakan :

- Mempertahankan hak mahasiswa Islam

- Memperkasakan kesatuan di seluruh peringkat.

Kesemua usul yang disenaraikan ini merupakan perkara yang amat besar dan memerlukan kerjasama yang baik daripada semua pihak untuk sama-sama menjayakannya.

Kitalah yang bertanggungjawab,

Justeru, PMRAM menyeru semua mahasiswa/wi Islam untuk bersama-sama dengan PMRAM yang merupakan gerakan mahasiswa/wi Islam dalam melaksanakan semua agenda yang diperjuangkan. PMRAM bukanlah milik Badan Pengurus dan HEWI PMRAM, akan tetapi PMRAM adalah amanaha ke atas semua mahasiswa/wi Islam yang mengakui memperjuangkan Islam.

Bangkit wahai generasi berintegriti!

Laksanakan tugas dan jalankan amanah bersama. Akhir bicara, pastikan tiga usul yang telah disepakati bersama dalam muktamar yang lalu digerakkan oleh semua pihak agar perbahaskan yang telah dijalankan tidak menjadi tin kosong. Usah dilupai hak kita dan jasa mereka kerana kita adalah penyambung kesinambungan generasi terdahulu bagi melahirkan pelapis generasi hadapan untuk memperjuangkan Islam.

" MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN "

ABDUL AZIZ BIN ALI

PRESIDEN,

PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR 2012.

No comments:

Post a Comment