Labels

Pages

Wednesday, March 7, 2012

LAGENDA PUSAKA KHILAFAH




Sepanjang sejarah Islam, institusi Khilafah ialah lambang kesatuan umat, kesepakatan antara negara-negara di bawah tampuknya dan termartabatnya perundangan yang mengikut syariat Islam.

Walaupun ada masanya ketuanan khilafah ini kuat pengaruhnya dan juga ada masanya ia melemah, tetapi ‘identiti’ ini tetap diusaha-pertahankan oleh insan-insan yang berjiwa Islam samada berupa rekonstruksi terhadap perlaksanaan Islam yang sedia ada atau bersikap konservatif dengannya..

Ketika tentera Salib, Tattar dan Syi’ah bekerjasama mengguling khilafah Abbasiah di Baghdad (656H/ 1258M), ketuanan ini diselamatkan dan dipindahkan ke Kaherah, Mesir oleh golongan Mamluk bagi memelihara hayatnya sekaligus memastikan keberterusan hubungan para muslimin dengan ketuanan ini.

Tetapi, tahun 1342 Hijrah bersamaan tahun 1924 Masihi menyaksikan bid’ah yang paling durjana tajaan Mustafa Kamal Ataturk yang langsung melenyapkan ketuanan ini untuk pertama kali sepanjang sejarah Islam!

Akibatnya, ‘racun-racun’ Barat menembusi benak fikiran muslimin, melenyapkan kesucian Islam di mata mereka dan berani pula memperlecehkan persoalan-persoalan yang suci dalam klasifikasi Islam.

Rupa-rupanya, semangat kebangsaan melampau yang dijaja oleh dakyah-dakyah Barat buat para muslimin yang berada di bawah tampuk khilafah Usmaniah di Turki ialah dadah yang membawa kepada konsekuensi ini.

Maka lahirlah doktrin memisahkan Islam daripada politik sepertimana kandungan tulisan Syeikh Ali Abdul Raziq setahun selepas jatuhnya khilafah. Begitu juga munculnya idea berbahaya yang membuat keraguan terhadap kesahihan fakta-fakta yang dibawa oleh Al-Quran sepertimana kandungan tulisan Dr. Husain Haikal. Tersentak dengan itu, terbitlah berpuluh-puluh tulisan membantai dakwaan ini dan umat Islam mula celik terhadap bencana ini sehingga tertubuhnya Ikhwanul Muslimin pada tahun 1928 Masihi.

Bermula dari Jamaluddin Al-Afghani (1838-1897M) sebagai manusia muslim pertama yang meniup semboyan jihad pemikiran terhadap dakyah-dakyah Barat, Muhammad Abduh sebagai penyusun kepada wawasan ini (1849-1905M), Rasyid Redha sebagai hulubalang yang menentang sekularisme, Abdul Aziz Jawisy (1876-1929M), Abdul Rahman Al-Kawakibi (1854-1902M) dan seumpamanya, mereka mewakili kelompok muslim yang menjadikan rekonstruksi (tajdid) sebagai kunci bagi mengembalikan ketuanan khilafah.

Sementara yang lain pula memilih untuk bersikap konservatif iaitu berasa cukup dengan perlaksanaan Islam sedia ada. Kelompok ini tidak memandang usaha-usaha golongan tajdid sebagai jawapan kepada persoalan khilafah.

Dengan itu, berlakulah pro-kontra yang berpanjangan antara kedua-dua kelompok ini sehingga kesannya mungkin masih lagi dirasai oleh para muslimin yang berada di beberapa banyak tempat dalam ruang lingkup dunia ilmu Islam ini.

Walau apapun, semuanya ke arah mempertahankan ketuanan khilafah yang sudah zaman berzaman menaungi para muslimin serta kebajikan Islam. Antara mereka ada yang berjuang di medan ilmu-pembelajaran islam, politik, perundangan, kemasyarakatan, gerakan, jasmani, rohani hatta bersenjata.

Seterusnya mereka ‘diberi penghargaan’ berupa sekatan dari menyampaikan ilmu, bergiat dalam politik hatta disekat dari bersama dengan masyarakat, dibuang negeri, dituduh sebagai pengkhianat negara mahupun diakhirkan hayatnya di tali gantung!

Begitulah gigihya tokoh-tokoh Islam walaupun pada era senja khilafah atau selepasnya. Perjuangan yang berterusan. Tidak pernah mengenal erti putus asa. Tidak pernah luntur semangatnya. Tidak mempersiakan peluang-peluang yang tersedia. Sanggup menjadi pelarian di negara lain demi hayat perjuangan mereka. Tidak pernah serik. Tidak pernah jemu. Tidak pernah berpaling kerana menyedari tanggung jawab yang terpundak di bahu manusia yang begelar muslim.

Episodnya masih berlanjutan hingga ke hari ini. Pancurannya mengalir deras dalam jiwa-jiwa yang masih teguh meletakkan Islam sebagai masa depan umat ini dan maju bersama roda Islam yang sentiasa berputar. Beruntunglah mereka yang menemukan ‘warisan’ ini berkat petunjuk dan izin Allah S.W.T. dan rugilah mereka yang masih lagi dikabui dengan tipu daya syaitan, dunia serta hawa nafsu.
Maralah bersama warisan ini.

" Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar "



Sumbangan artikel oleh :
Mohd Fadhlan bin Mohd Fadzil
Kuliah Usuluddin, Jabatan Hadith, Kaherah (3)

Disemak oleh :
Felo MANHAL PMRAM

No comments:

Post a Comment