Labels

Pages

Wednesday, July 25, 2012

MERAIH KETAQWAAN DI BULAN RAMADHAN





Ketakwaan kepada Allah Azzawajalla merupakan asas gelombang kekuatan, asas bagi cahaya dan asas bagi pemberian sumbangan atau pengorbanan. Ketakwaan kepada Allah S.W.T sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang hak dengan yang batil. Allah akan menjadikan satu cahaya kepada mereka yang bertakwa dan dengan cahaya tersebut mereka berjalan dikalangan manusia seluruhnya berpandukan dengan nur hidayah yang mereka bawa dan bersinarkan dengan  nur tersebut. Di dalam A-Quran Allah S.W.T telah berfirman :

" يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اتَّقُواْ اللَّهَ وَءَامِنُواْ بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِن رَّحْمَتِهِ وَيَجْعَل لَّكُمْ نُوراً تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ  لِّئَلاَّ يَعْلَمَ أَهْلُ الْكِتَـبِ أَلاَّ يَقْدِرُونَ عَلَى شَىْءٍ مِّن فَضْلِ اللَّهِ وَأَنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ" 

Maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.” (Al-Hadid: 28)

Ibadah puasa melahirkan dan mentarbiyah seseorang yang beriman supaya menjadi orang yang bertaqwa kepadaNya, kerana di bulan Ramadhan amalan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa dan membatalkan pahala puasa adalah secara praktikal, melatih seseorang itu bertaqwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya. Taqwa kepada Allah SWT  bukan dengan berpuasa di siang hari dan sembahyang pada malam hari, serta menyatukan diantara keduanya. Tetapi taqwa kepada Allah ialah meninggalkan apa yang diharamkan Allah SWT dan melaksanakan apa yang diwajibkanNya. Maka  barangsiapa yang dianugerahkan kebaikan sesudah itu, maka itulah kebaikan yang disusuli dengan kebaikan.

Keberjayaan dalam melakukan amal ibadah di bulan ramadhan adalah yang berhasil dalam meraih ketaqwaan dan berterusan di amalkan bukan sahaja pada bulan ramadhan tetapi berterusan selepas  berlalunya bulan ramadhan sehingga kita bertemu semula di bulan ramadhan akan datang. Untuk mencapai kejayaan dalam istiqomah melakukan sesuatu amalan mestilah melalui jalan atau panduan untuk menuju ketaqwaan .

1.    Perjanjian ( Mu’ahadah )

Allah telah berfirman,

 “وَأَوْفُواْ بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا عَـهَدتُّمْ وَلاَ تَنقُضُواْ الاٌّيْمَـنَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ اللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلاً إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ”

“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah) sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan. (An-Nahl: 91)

Kaifiat (cara) perjanjian

Seorang mukmin itu berkhalwat disuatu tempat di mana wujud di sana hanya Allah S.W.T dan dirinya sahaja. Di dalam munajat tersebut ada ikrar atau perjanjian manusia dengan Allah iaitu tidah mengabdikan diri melainkan kepada Allah S.W.T, tidak meminta pertolongan selain Allah S.W.T, beriltizam di atas jalan Allah yang lurus dan tidak ada sebarang padanya kebengkokan (jalan yang lurus) serta tidak akan melampaui batasan jalan-jalan mereka yang sesat dan di murkai Allah S.W.T.

Di dalam perjanjian ini Allah S.W.T. memberi peringatan supaya manusia sentiasa berwaspada dari sebarang amalan yang boleh membawa kepada kekufuran setelah ianya beriman, daripada kesesatan setelah mendapat petunjuk serta fasik setelah ia beriltizam.

Peringatan Allah S.W.T. kepada hambanya yang mengingkari perjanjian tersebut akibatnya segala kesesatan dan dosa ditanggung sendiri. Allah S.W.T tidak akan mengazab hambanya sebelum Allah mengutuskan Rasul kepada mereka untuk member petunjuk jalan yang benar dan batil.

2.    Muraqabah

Firman Allah S.W.T ,

“الَّذِى يَرَاكَ حِينَ تَقُومُ وَتَقَلُّبَكَ فِى السَّـجِدِينَ “

“(Allah) Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan) sembahyangdan (melihat) gerak gerimu di antara orang-orang yang sujud.” (as-Syu’ara: 218 -219)

Pengertian muraqabah sepertimana dalam al-Quran dan Hadith ialah menghadirkan (merasakan) kebesaran Allah disetiap waktu dan mendampinginya ketika tersembunyi atau secara terang-terangan.

Kafiat (cara) Muraqabah

Seorang mukmin memastikan dirinya sebelum memulakan pekerjaan dan dipertengahan amalanya. Adakah segala amalan ketaatannya semata-mata untuk kepentingan dirinya atau mencari kepujian untuk ekmasyuran atau semata-mata beramal untuk mencari keredhaan Allah dan mengharapkan balasanNya. Sekiranya amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah S.W.T ia akan terus melakukannya tetapi sebaliknya jika semata-mata untuk kepentingan hawa nafsunya  ia tidak akan melakukannya.

Terdapat beberapa jenis muraqabah kepada Allah iaitu:

1)   Muraqabah kepadaNya ketika melakukan ketaatan, iaitu dengan melakukan sesuatu amalan dengan kesungguhan dan keikhlasan.
2)  Muaraqabah dalam meninggalkan maksiat, iaitu dengan bertaubat, penyesalan dan terus meninggalkannya.
3)    Muraqabah dalam melakukan perkara harus, iaitu dengan memelihara tatasusila dan bersyukur atas segala nikmatNya.
4) Muraqabah ketika menimpa musibah, iaitu menerima musibah dengan kerelaan dan menerimanya dengan redha dan sabar.

3.    Muhasabah

     Firman Allah S.W.T ,

 “يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اتَّقُواْ اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah lepas dari amalan-amalannya untuk hari esok (akhirat) dan sekali lagi diingatkan, bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr: 18)

Muhasabah ialah seorang mukmin menghitung dirinya setelah melakukan sesuatu amalan. Dalam melakukan amalan harian sebagai mukmin mestilah menyediakan satu waktu khusus yang mana ia berjanji pada dirinya untuk diperbetulkan niatnya berterusan disetiap waktu dalam ketaatan, menunaikan kewajipan  dan jauh dari perasaan riak. Selain dari itu hendakalh bermuhasabah jika amalan kebaikkannya banyak hendaklah memuji Allah dan memohon kepada Allah untuk ditetapkan hatinya untuk terus melakukan ketaatan dan meningkatkan amalan. jika ia sedari bahawa amalannya sedikit hendaklah bertaubat, menyesali dan memohon keampunan kepada Allah S.W.T agar memelihara diri dari melakukan dosa dan mengahkiri kehidupannya dengan husnul khotimah.

4.    Mu’aqobah ( Balasan )

Firman Allah S.W.T ,

 “وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يأُولِي الالْبَـابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ “

“Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 179)

Mu’aqobah adalah seorang mukmin apabila ia meneliti dan menghisab dirinya lalu ia dapati kekurangan pada amalannya atau telah melakukan dosa, tidak sepatutnya ia membiarkan dosa-dosa yang telah dilakukan dibiarkan begitu sahaja.  Ini kerana dengan sifat menganggap mudah  terhadap dosa yang dilakukannya akan rnendorongnya untuk kembali melakukan dosa
serta menyukarkannya untuk meninggalkan kemaksiatan. Bahkan kewajipan sebagai hamba mestilah menerima hukuman (deraan) keatas diri sendiri dengan hukuman yang sesuai dengan kesalahan yang dilakukan. Dengan hukuman ini bertindak sebagai penghalang dan memberi kesedaran  terhadap perbuatannya seterusnya membawa kepada ketaqwaan dan kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.

Hukuman yang dilakukan mestilah tidak sampai kepada yang haram seperti mengazab satu anggota badan dengan menggunakan api, menghalang diri dari makan dan minum kerana kesemua contoh hukuman ini boleh memberi kemudharatan. Sepertimana Allah S.W.T telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan “.

5.    Mujahadah

Firman Allah S.W.T,

 وَالَّذِينَ جَـهَدُواْ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ 

“Dan orang-orang yang berusaha dengan ber sungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memper baiki amalannya.” (Al-Ankabut: 69)

Pengertian mujahadah sepertimana ayat di atas pabila seorang mukmin di selubungi perasaan malas dan cenderong kepada keduniaan serta gagal untuk melakukan amalan sunat dan ketaatan di waktunya, maka mestilah berusaha agar dapat menunaikan perkara-perkara sunat lebih banyak daripada sebelumya. Memaksa serta mewajibkan dirinya dengan penuh semangat untuk berterusan melakukan amalan tersebut sehingga kesemua amalan ketaatan yang terpaksa dilakukan pada awalnya akan menjadi suatu kebiasaan dan sebati dalam dirinya.

Contoh mujahadah yang dilakukan oleh Rasululullah S.A.W melalui hadithnya:
  
Sepertimana  diriwayatkan daripada ‘Aisyah bahawa Baginda Rasululullah S.A.W berdiri di waktu malam (beribadat) sehinggakan bengkak-bengkak kaki baginda, lalu Aisyah bertanya: 

“Untuk apakah ini semua sedangkan engkau sesungguhnya telah diampunkan Allah terhadap apa yang telah dan akan engkau lakukan. Lalu baginda menjawab; “Bukankah aku merupakan seorang hamba yang bersyukur.” (Riwayat As-Syaikhan : Bukhari dan Muslim)

Dan berkata Aisyah sepertimana yang diriwayatkan oleh As-Syaikhan: “Adalah Rasulullah s.a.w., apabila masuk sepuluh hari (dari bulan Ramadhan), maka baginda menghidupkan malam (sembahyang malam) dan membangunkan keluarganya serta bersungguh-sungguh beribadat dan tidak mencampuri isteri isterinya.”

Mujahadah dalam menghambakan diri kepada  Allah dengan mengerjakan amalan sunat dan ketaatan kepada Nya adalah merupakan  suruhan baginda Rasulullah S.A.W  supaya para pendakwah serta para ulamak dan para pewaris nabi, merekalah  yang mula-mula sekali mengamalkan serta sentiasa melakukannya.

Dalam kita bermujahadah kepada Allah S.W.T hendaklah menelita dua perkara yang penting, antaranya: 

1. Janganlah dalam melakukan ibadah sunat kita melalaikan hak-hak orang lain. Seperti seseorang menunaikan kewajipan kepada Allah dalam perkara-perkara sunat tetapi mengabaikan nafkah kepada ahli keluarganya dan hak-hak terhadap dirinya sepertimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Sesungguhnya di atas diri engkau ada kewajipan kepada Allah, begitu juga engkau berkewajipan ke atas diri engkau sendiri dan ahlikeluarga engkau. Oleh itu berikanlah hak-hak kepada mereka yang berhak.” (Riwayat Bukhari)

2.   Seseorang mukmin tidak memberatkan dirinya dalam mengerjakan perkara sunat melebihi tahap kemampuannya.

Oleh yang demikian, jalan untuk menyucikan roh ketakwaan, menyuburkannya dalam hati dan jiwa para mukmin dapat disebatikan didalam perasaan dan kesedaran melalui lima jalan menuju ketaqwaan iaitu perjanjian, muraqabah, muhasabah, mu’aqobah dan mujahadah.

Mudah-mudahan keseluruhan jalan yang kita ikuti  akan meninggkatkan iman dan taqwa kita kepada Allah S.W.T di bulan Ramadhan ini, kerana ketaqwaan merupakan  satu langkah untuk sampai mengikut kehendak Allah S.W.T dengan naungan kemuliaannya, kemuncak kebaikkan dan setinggi martabat.



Wallahu ‘alam…

Di sediakan oleh:

Hanisah bt Hj. Muslim
Felo MANHAL PMRAM 2012



RUJUKAN
1.    AL-QURAN AL-KARIM
2.    HADITH SOHIH BUKHARI DAN MUSLIM
3.    KITAB RUHANIYYAH AD-DA’IAH- oleh ABDULLAH NASIH ULWAN
4.    KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL-QASIDIN

ZIKRAYAT JULAI 2012



3,4 & 5 Julai 2012

 Alexandria Foods Court (AFC ‘12) di bawah anjuran Jabatan Bendahari DPMI telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari berturut-turut yang mana telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM 2012, saudari Nurul Hasanah Yahuza. Bertemakan ‘Ekonomi Menjana Kekuatan Ummah’, AFC’12  berjalan dengan lancar dan lebih meriah dengan penyertaan warga Indonesia dan Thailand yang turut serta menjadi peniaga dalam AFC’12 kali ini. Pelbagai juadah menjadi santapan para pengunjung yang mana terdiri daripada mahasiswi Pengajian Islam dan juga Perubatan sama ada warga Iskandariah sendiri mahupun muhafazah lain. Majlis Penutup telah dirasmikan oleh Penasihat I DPMI, saudari Norliza Mat Salleh. Hasil undian para pengunjung dan mesyuarat, piha penganjur telah menobatkan Penender Terbaik kepada Gerai 3 yang diketuai oleh saudari Mashitah Abd Aziz.



14 Julai 2012

Jaulah Ath-Thaqafi 2012 anjuran Unit Sambutan & Rehlah DPMI ke sekitar Mansurah telah berjaya diadakan. Rombongan jaulah seramai 54 orang yang menaiki 2 buah bas telah bertolak dari Iskandariah seawal jam 8.00pagi. Antara tempat yang dilawati adalah seperti Maqam Imam Sya’rawi dan beberapa maqam di sekitar Mansurah. Rombongan jaulah turut berpeluang singgah ke Markaz DPM Mansurah. Bertemakan ‘Menyoroti Jejak Ilmuan Islam’, Jaulah Ath-Thaqafi 2012 dilihat memberikan kesan yang positif kepada para peserta yang mana menghayati kisah-kisah para ulama’ Islam di sini.

17 Julai 2012

Muslimah’s Video Talent telah berlangsung dengan jayanya. Program yang mengajar para peserta kaedah menghasilkan video menggunakan Sony Vegas di bawah anjuran MICYS dan juga Unit Penerangan & Penerbitan DPMI telah disampaikan oleh Ustaz Aubidullah Fahim bin Ibrahim yang mana dijemput khas dari DPM MAQAZ Shoubra. Penyertaan ahli seramai 20 orang telah berjalan dengan lancar.

Hukum Tidak Melaksanakan Hudud Dan Non-Muslim Yang Menghalang Perlaksanaan Hudud





Hudud

Hudud dari sudut bahasa ialah sempadan, batasan atau larangan. Sehubungan itu istilah hudud adalah luas, kesemua yang disuruh serta larangan dalam Islam merupakan hudud Allah SWT iaitu batasan yang manusia tidak boleh melampaui serta mencerobohnya. Disebabkan itu mereka yang tidak mengikut batasan-batasan dalam Islam disebut sebagai orang yang melampaui batas. Firman Allah SWT yang bermaksud :

 “Demikianlah hudud (yang dinyatakan oleh) Allah maka jangan kamu melampauinya.” - Surah Al-Baqarah : 229

Hudud dari sudut syarak ialah sebagaimana menurut majoriti ulama ialah hukuman yang telah ditentukan oleh syarak, samada ia melibatkan hak Allah atau hak hamba. Menurut Mazhab Hanafi pula ialah hukuman yang ditentukan bersifat wajib dilaksanakan kerana ia merupakan hak Allah SWT.

Namun begitu, kedua-dua pihak bersepakat bahawa hudud merupakan hukuman yang telah ditentukan oleh syarak. Dan penentuan tersebut merupakan tetap dan wajib dilaksanakan tanpa mengubahnya serta menggantikan dengan hukuman yang lain.

Pihak yang berautoriti dan mempunyai kuasa untuk menjalankan serta mengizinkan perlaksanaan hudud adalah merupakan tanggungjawab ketua negara.

Jenayah-jenayah Yang Dikenakan Hukuman Hudud

Berdasarkan kepada definisi hudud mengikut syarak, majoriti ulama meletakkan 8 kategori jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu :

1-   Zina
2-   Peminum arak
3-   Qazaf (melemparkan tuduhan zina)
4-   Mencuri
5-   Menyamun
6-   Murtad
7-   Pelampau (kumpulan yang keluar melawan pemerintah yang adil dan tidak melaksanakan kewajipan kerana mentakwil hukum berkaitan secara menyeleweng serta  mempunyai kekuatan)
8-   Qisas (bunuh balas ke atas pembunahan secara sengaja)

Adapun dalam Mazhab Hanafi, hudud dikenakan ke atas 5 kategori jenayah berikut :

1-   Zina
2-   Qazaf
3-   Peminum arak
4-   Peminum minuman yang memabukkan
5-   Mencuri

Mazhab Hanafi tidak memasukkan hukuman ke atas jenayah murtad, qisas dan pelampau kerana ia mempunyai ruang pengampunan. Justeru, jika terdapat pengampunan maka hukuman hudud tidak dikenakan. Adapun bagi jenayah menyamun pula, Mazhab Hanafi memasukkan ia dalam kategori mencuri. Dan Mazhab Hanafi membezakan hukuman hudud bagi peminum arak dengan minuman yang memabukkan kerana mereka mengkhususkan arak bagi perahan dari anggur manakala air yang memabukkan selain perahan dari anggur bukan dalam kategori arak namun ia diasingkan ke dalam kategori minuman yang memabukkan.

Pembahagian Golongan Kafir

Perkataan non-Muslim merupakan sinonim ke atas golongan kafir iaitu mereka yang bukan beragama Islam. Non-Muslim ini terbahagi kepada 4 golongan iaitu :

1-    Harbi iaitu golongan kafir yang memusuhi Islam dan memerangi Islam. Termasuk dalam konteks memerangi Islam ialah menghalang gerak kerja Islam dan menyekat agenda Islam. Maka umat Islam wajib memeranginya dan mempertahankan Islam daripada serangan-serangan yang dilakukan. Maka mereka diperangi disebabkan mereka melakukan kezaliman dan memerangi Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

 “Diizinkan berperang kerana mereka itu dizalimi dan sesungguhnya Allah mempunyai kuasa ke atas kemenangan. Mereka yang dizalimi tersebut ialah mereka yang dihalau dari rumah-rumah mereka tanpa hak.” – Surah Al-Haj : 39-40

2-   Zimmi iaitu golongan kafir yang menetap di negara Islam dan mereka bernaung di bawah pemerintahan Islam. Golongan ini diberikan hak perlindungan dan mendapat keistimewaan sebagaimana masyarakat Islam selama mana mereka menjalankan tanggungjawab mereka dan tidak memberikan ketaatan kepada musuh Islam.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

 “Sesiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka seolah-olah dia telah menyakiti ke atas aku.”[1]

3-    Mu’ahad iaitu golongan kafir yang mengadakan perjanjian dengan pihak Islam. Maka dijaga hak mereka selama mana mereka tidak mencabuli perjanjian yang telah dipersetujui. Sebagaimana perjanjian Hudaibiyah antara pihak Islam dengan pihak musyrikin Mekah.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

 “Wahai orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” – Surah Al-Maidah : 1

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang kafir dengan azab yang pedih. Melainkan orang yang kamu mengadakan perjanjian daripada kalangan orang muyrik kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikit pun, dan mereka tidak menolong seorang pun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga habis tempoh perjanjian.” – Surah At-Taubah : 3-4

4-    Musta’man ialah golongan kafir yang datang meminta perlindungan daripada pihak Islam. Maka sepanjang persetujuan diadakan dan mereka tidak berpaling tadah, maka hak-hak mereka dijaga.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
 “Dan jika ada seseorang daripada kalangan musyrik yang datang meminta pertolongan dan perlindungan kepadamu, maka berikanlah perlindungan kepadanya.” – Surah At-Taubah : 6

Hukum Tidak Melaksanakan Hukuman Yang Ditetapkan Oleh Allah SWT

Allah SWT menyifatkan mereka yang tidak melaksanakan hukuman berdasarkan apa yang telah diperintahkan adalah golongan kafir, zalim dan fasik. Hal ini dinyatakan secara jelas dalam 3 ayat berikut.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
 “Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” - Surah Al-Maidah : 44

Firman Allah SWT yang bermaksud :
 “Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” - Surah Al-Maidah : 45

Firman Allah SWT yang bermaksud :
 “Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik. - Surah Al-Maidah : 47
Berdasarkan kepada 3 ayat di atas maka ulama telah meletakkan batasan terhadap permasalahan mengenai hukum tidak melaksanakan syariat Islam atau hanya melaksanakan sebahagian sahaja. Batasan-batasan[2] tersebut ialah :
-      Ingkar bahawa wajibnya melaksanakan syariat Islam. Mempercayai bahawa hukum Allah tidak wajib untuk dilaksanakan.
-      Melaksanakan hukum selain Allah kerana untuk menentang syariat Islam.
-      Yakin serta pasti bahawa melaksanakan undang-undang selain hukum Allah SWT adalah lebih relevan dan sesuai dengan zaman berbanding dengan syariat Islam
-      Yakin bahawa menjalankan hukum selain Allah adalah sama taraf dengan syariat Islam. Merujuk kepada pluralisme yang menganggap semua agama sama. Maksudnya tidak ada masalah samada hendak laksanakan syariat Allah atau selain syariat Allah, kerana yang penting ialah maslahat bagi manusia.
-      Mempercayai bahawa harus atau tidak haram melaksanakan undang-undang yang bercanggah dengan syariat Islam.
Maka, mana-mana pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah SWT disebabkan salah satu daripada batasan-batasan di atas maka dia dihukum kafir iaitu telah terkeluar daripada Islam. Hal ini demikian kerana batasan-batasan jelas bercanggah dengan akidah Islam. Adapun jika tidak melaksanakan syariat Islam disebabkan perkara selain daripada batasan-batasan yang digariskan di atas, maka ia tergolongan dari kalangan orang yang zalim dan fasik, bukan kafir.

Maka inilah pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama dalam membezakan tahap golongan yang kafir, zalim serta fasik dalam permasalahan tidak melaksanakan syariat Islam.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka pihak MANHAL PMRAM menegaskan beberapa perkara :

1-   Hukuman jenayah hudud merupakan hak Allah SWT dan ia wajib dilaksanakan. Ketua Negara wajib membenarkan dan mengizinkan perlaksanaan hukuman jenayah hudud. Semua pihak wajib membantu melaksanakannya.
2-   Hubungan Umat Islam dengan non-Muslim adalah dilihat kepada sikap mereka. Non-Muslim yang termasuk dalam golongan kafir harbi adalah wajib diperangi. Dengan erti kata ialah haram bekerjasama dengan mereka dan tidak memberikan mereka kuasa (dengan mengundi mereka) untuk mereka memerintah. Hal ini demikian kerana mereka merupakan musuh Islam dan menghalang gerak kerja Islam.
3-    Allah SWT menjelaskan 3 jenis bagi mereka yang tidak melaksanakaan perlaksanaan hukuman Allah SWT antaranya hukuman jenayah hudud samada termasuk dalam golongan kafir, zalim atau fasik. Maka kategori tersebut dilihat kepada batasan-batasan yang telah dinyatakan di atas.
4-   Ketua negara bertanggungjawab di hadapan Allah SWT sekiranya negara yang mereka pimpin tidak melaksanakan hukuman Allah SWT.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :

Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1-   Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, jilid ke-7, oleh Dr Wahbah az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
2-   Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, oleh Dr Yusuf al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3-   Ar-Riddah Wa ‘Uqubatuha, oleh Dr Yusuf al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
4-   Al-Khilafah al-Islamiyah Wa Qadhiyah al-Hukm Bima Anzala Allah, oleh Dr Shadiq Syeif Nukman, cetakan Dar as-Salam


[1]  Riwayat at-Tabrani dalam Ausat الأوسط  dengan sanad martabat hasan
[2]  Dr Shadiq Syeif Nukman, al-Khilafah al-Islamiyah Wa Qadhiyah al-Hukm Bima Anzala Allah, cetakan Dar as-Salam, m/s 319

Ops Bersih Tarik Perhatian Akhbar Soutul Azhar Dan Rektor Al-Azhar




KAHERAH, 15 JULAI 2012 -- Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) hari inimelancarkan kempen Ops Bersih Mesir '12 secara serentak di Kaherah dan seluruh cawangan-cawangan pengajian yang menempatkan pelajar Malaysia di seluruh Mesir iaitu Iskandariah,Damanhur, Tanta, Dumyat, Mansurah, Zaqaziq dan Shoubra.
Kempen yang dilancarkan itu sebagai menyahut seruan manifesto Presiden Mesir 2012, Dr. Muhammad Mursi yang telah menggariskan 5 perkara yang akan diselesaikan di bawahpentadbirannya dalam tempoh 100 hari setelah diisytiharkan sebagai Presiden Mesir baru, iaitu :

-Keselamatan yang adil dan undang-undang
-Memastikan kelancaran lalu lintas
-Membersihkan sampah sarap di jalanan dan memulihkan keadaan biologi
-Memberikan royalti roti yang berkualiti dan sihat untuk rakyat
-Mendapat bantuan bahan bakar daripada sumbangan republik

PMRAM sebagai sebuah NGO yang berdaftar di bawah Kementerian Perpaduan dan Kemasyarakatan Mesir tidak ketinggalan untuk bersama-sama dalam menjayakan manifesto ini sebagai menyokong hasrat Presiden yang telah dipilih secara sah oleh warga Mesir dalam pilihan raya Presiden yang lepas.

Kempen yang bermula seawal jam 6 pagi dan tamat sekitar jam 8 pagi itu dimulai dengan ucapan daripada wakil Badan Pengurus PMRAM di setiap premis BKAN yang berada di sekitar Hayyu Thamin, Hayyu Sabie' dan Hayyu 'Asyir. Walaupun sibuk dengan aktiviti di peringkat masing-masing, kempen ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada seluruh mahasiswa Malaysia.

Turut hadir dalam kempen tersebut adalah wartawan daripada akhbar Soutul Azhar, En. Hamad Saad yang merupakan Ketua editor bahagian berita Akhbar Soutul Azhar bersama dekan Fakulti Dirasat Islamiah Universiti al-Azhar untuk membuat liputan berkaitan kempen tersebut. 

Semalam Presiden PMRAM, Saudara Abdul Aziz bin Ali sempat menghubungi Rektor Universiti al-Azhar, Dr. Usamah al-Abd selepas diminta menghubunginya daripada wakil wartawan untuk menerangkan berkaitan kempen tersebut. Beliau mengucapkan tahniah kepada PMRAM dan seluruh mahasiswa mahasiswi Malaysia atas kesungguhan dan keprihatinan mereka untuk sama-sama menjayakan manifesto yang telah dibawa oleh Dr Muhammad Mursi. Bahkan, Dr. Usamah juga memohon agar PMRAM menjalankan aktiviti tersebut di Universiti al-Azhar, Hayyu Sadis dan bersedia bersama-sama PMRAM dalam memastikan perkara tersebut dapat direalisasikan dalam waktu terdekat.

"PMRAM mengucapkan terima kasih kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi yang bersama-sama PMRAM dalam menjayakan kempen Ops Bersih Mesir hari ini. Sesungguhnya penyertaan kita dalam aktiviti seumpama ini pastinya akan mengukuhkan dan memperkuatkan lagi ikatan ukhuwah di kalangan kita. Semoga dengan kebersamaan kita dalam aktiviti ini dapat menjadi benteng terampuh kepada usaha pihak-pihak tertentu yang cuba melemahkan kesatuan di antara kita". Ujar Presiden PMRAM 2012, Saudara Abdul Aziz Bin Ali..

(sumber: pmram.org)