Labels

Pages

Wednesday, July 25, 2012

Hukum Tidak Melaksanakan Hudud Dan Non-Muslim Yang Menghalang Perlaksanaan Hudud





Hudud

Hudud dari sudut bahasa ialah sempadan, batasan atau larangan. Sehubungan itu istilah hudud adalah luas, kesemua yang disuruh serta larangan dalam Islam merupakan hudud Allah SWT iaitu batasan yang manusia tidak boleh melampaui serta mencerobohnya. Disebabkan itu mereka yang tidak mengikut batasan-batasan dalam Islam disebut sebagai orang yang melampaui batas. Firman Allah SWT yang bermaksud :

 “Demikianlah hudud (yang dinyatakan oleh) Allah maka jangan kamu melampauinya.” - Surah Al-Baqarah : 229

Hudud dari sudut syarak ialah sebagaimana menurut majoriti ulama ialah hukuman yang telah ditentukan oleh syarak, samada ia melibatkan hak Allah atau hak hamba. Menurut Mazhab Hanafi pula ialah hukuman yang ditentukan bersifat wajib dilaksanakan kerana ia merupakan hak Allah SWT.

Namun begitu, kedua-dua pihak bersepakat bahawa hudud merupakan hukuman yang telah ditentukan oleh syarak. Dan penentuan tersebut merupakan tetap dan wajib dilaksanakan tanpa mengubahnya serta menggantikan dengan hukuman yang lain.

Pihak yang berautoriti dan mempunyai kuasa untuk menjalankan serta mengizinkan perlaksanaan hudud adalah merupakan tanggungjawab ketua negara.

Jenayah-jenayah Yang Dikenakan Hukuman Hudud

Berdasarkan kepada definisi hudud mengikut syarak, majoriti ulama meletakkan 8 kategori jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu :

1-   Zina
2-   Peminum arak
3-   Qazaf (melemparkan tuduhan zina)
4-   Mencuri
5-   Menyamun
6-   Murtad
7-   Pelampau (kumpulan yang keluar melawan pemerintah yang adil dan tidak melaksanakan kewajipan kerana mentakwil hukum berkaitan secara menyeleweng serta  mempunyai kekuatan)
8-   Qisas (bunuh balas ke atas pembunahan secara sengaja)

Adapun dalam Mazhab Hanafi, hudud dikenakan ke atas 5 kategori jenayah berikut :

1-   Zina
2-   Qazaf
3-   Peminum arak
4-   Peminum minuman yang memabukkan
5-   Mencuri

Mazhab Hanafi tidak memasukkan hukuman ke atas jenayah murtad, qisas dan pelampau kerana ia mempunyai ruang pengampunan. Justeru, jika terdapat pengampunan maka hukuman hudud tidak dikenakan. Adapun bagi jenayah menyamun pula, Mazhab Hanafi memasukkan ia dalam kategori mencuri. Dan Mazhab Hanafi membezakan hukuman hudud bagi peminum arak dengan minuman yang memabukkan kerana mereka mengkhususkan arak bagi perahan dari anggur manakala air yang memabukkan selain perahan dari anggur bukan dalam kategori arak namun ia diasingkan ke dalam kategori minuman yang memabukkan.

Pembahagian Golongan Kafir

Perkataan non-Muslim merupakan sinonim ke atas golongan kafir iaitu mereka yang bukan beragama Islam. Non-Muslim ini terbahagi kepada 4 golongan iaitu :

1-    Harbi iaitu golongan kafir yang memusuhi Islam dan memerangi Islam. Termasuk dalam konteks memerangi Islam ialah menghalang gerak kerja Islam dan menyekat agenda Islam. Maka umat Islam wajib memeranginya dan mempertahankan Islam daripada serangan-serangan yang dilakukan. Maka mereka diperangi disebabkan mereka melakukan kezaliman dan memerangi Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

 “Diizinkan berperang kerana mereka itu dizalimi dan sesungguhnya Allah mempunyai kuasa ke atas kemenangan. Mereka yang dizalimi tersebut ialah mereka yang dihalau dari rumah-rumah mereka tanpa hak.” – Surah Al-Haj : 39-40

2-   Zimmi iaitu golongan kafir yang menetap di negara Islam dan mereka bernaung di bawah pemerintahan Islam. Golongan ini diberikan hak perlindungan dan mendapat keistimewaan sebagaimana masyarakat Islam selama mana mereka menjalankan tanggungjawab mereka dan tidak memberikan ketaatan kepada musuh Islam.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

 “Sesiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka seolah-olah dia telah menyakiti ke atas aku.”[1]

3-    Mu’ahad iaitu golongan kafir yang mengadakan perjanjian dengan pihak Islam. Maka dijaga hak mereka selama mana mereka tidak mencabuli perjanjian yang telah dipersetujui. Sebagaimana perjanjian Hudaibiyah antara pihak Islam dengan pihak musyrikin Mekah.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

 “Wahai orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” – Surah Al-Maidah : 1

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang kafir dengan azab yang pedih. Melainkan orang yang kamu mengadakan perjanjian daripada kalangan orang muyrik kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikit pun, dan mereka tidak menolong seorang pun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga habis tempoh perjanjian.” – Surah At-Taubah : 3-4

4-    Musta’man ialah golongan kafir yang datang meminta perlindungan daripada pihak Islam. Maka sepanjang persetujuan diadakan dan mereka tidak berpaling tadah, maka hak-hak mereka dijaga.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
 “Dan jika ada seseorang daripada kalangan musyrik yang datang meminta pertolongan dan perlindungan kepadamu, maka berikanlah perlindungan kepadanya.” – Surah At-Taubah : 6

Hukum Tidak Melaksanakan Hukuman Yang Ditetapkan Oleh Allah SWT

Allah SWT menyifatkan mereka yang tidak melaksanakan hukuman berdasarkan apa yang telah diperintahkan adalah golongan kafir, zalim dan fasik. Hal ini dinyatakan secara jelas dalam 3 ayat berikut.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
 “Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” - Surah Al-Maidah : 44

Firman Allah SWT yang bermaksud :
 “Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” - Surah Al-Maidah : 45

Firman Allah SWT yang bermaksud :
 “Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik. - Surah Al-Maidah : 47
Berdasarkan kepada 3 ayat di atas maka ulama telah meletakkan batasan terhadap permasalahan mengenai hukum tidak melaksanakan syariat Islam atau hanya melaksanakan sebahagian sahaja. Batasan-batasan[2] tersebut ialah :
-      Ingkar bahawa wajibnya melaksanakan syariat Islam. Mempercayai bahawa hukum Allah tidak wajib untuk dilaksanakan.
-      Melaksanakan hukum selain Allah kerana untuk menentang syariat Islam.
-      Yakin serta pasti bahawa melaksanakan undang-undang selain hukum Allah SWT adalah lebih relevan dan sesuai dengan zaman berbanding dengan syariat Islam
-      Yakin bahawa menjalankan hukum selain Allah adalah sama taraf dengan syariat Islam. Merujuk kepada pluralisme yang menganggap semua agama sama. Maksudnya tidak ada masalah samada hendak laksanakan syariat Allah atau selain syariat Allah, kerana yang penting ialah maslahat bagi manusia.
-      Mempercayai bahawa harus atau tidak haram melaksanakan undang-undang yang bercanggah dengan syariat Islam.
Maka, mana-mana pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah SWT disebabkan salah satu daripada batasan-batasan di atas maka dia dihukum kafir iaitu telah terkeluar daripada Islam. Hal ini demikian kerana batasan-batasan jelas bercanggah dengan akidah Islam. Adapun jika tidak melaksanakan syariat Islam disebabkan perkara selain daripada batasan-batasan yang digariskan di atas, maka ia tergolongan dari kalangan orang yang zalim dan fasik, bukan kafir.

Maka inilah pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama dalam membezakan tahap golongan yang kafir, zalim serta fasik dalam permasalahan tidak melaksanakan syariat Islam.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka pihak MANHAL PMRAM menegaskan beberapa perkara :

1-   Hukuman jenayah hudud merupakan hak Allah SWT dan ia wajib dilaksanakan. Ketua Negara wajib membenarkan dan mengizinkan perlaksanaan hukuman jenayah hudud. Semua pihak wajib membantu melaksanakannya.
2-   Hubungan Umat Islam dengan non-Muslim adalah dilihat kepada sikap mereka. Non-Muslim yang termasuk dalam golongan kafir harbi adalah wajib diperangi. Dengan erti kata ialah haram bekerjasama dengan mereka dan tidak memberikan mereka kuasa (dengan mengundi mereka) untuk mereka memerintah. Hal ini demikian kerana mereka merupakan musuh Islam dan menghalang gerak kerja Islam.
3-    Allah SWT menjelaskan 3 jenis bagi mereka yang tidak melaksanakaan perlaksanaan hukuman Allah SWT antaranya hukuman jenayah hudud samada termasuk dalam golongan kafir, zalim atau fasik. Maka kategori tersebut dilihat kepada batasan-batasan yang telah dinyatakan di atas.
4-   Ketua negara bertanggungjawab di hadapan Allah SWT sekiranya negara yang mereka pimpin tidak melaksanakan hukuman Allah SWT.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :

Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1-   Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, jilid ke-7, oleh Dr Wahbah az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
2-   Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, oleh Dr Yusuf al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3-   Ar-Riddah Wa ‘Uqubatuha, oleh Dr Yusuf al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
4-   Al-Khilafah al-Islamiyah Wa Qadhiyah al-Hukm Bima Anzala Allah, oleh Dr Shadiq Syeif Nukman, cetakan Dar as-Salam


[1]  Riwayat at-Tabrani dalam Ausat الأوسط  dengan sanad martabat hasan
[2]  Dr Shadiq Syeif Nukman, al-Khilafah al-Islamiyah Wa Qadhiyah al-Hukm Bima Anzala Allah, cetakan Dar as-Salam, m/s 319

No comments:

Post a Comment