Ketakwaan kepada Allah
Azzawajalla merupakan asas gelombang kekuatan, asas bagi cahaya dan asas bagi
pemberian sumbangan atau pengorbanan. Ketakwaan kepada Allah S.W.T sahajalah
yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang hak dengan yang batil.
Allah akan menjadikan satu cahaya kepada mereka yang bertakwa dan dengan cahaya
tersebut mereka berjalan dikalangan manusia seluruhnya berpandukan dengan nur
hidayah yang mereka bawa dan bersinarkan dengan nur tersebut. Di dalam
A-Quran Allah S.W.T telah berfirman :
" يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ
اتَّقُواْ اللَّهَ وَءَامِنُواْ بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِن
رَّحْمَتِهِ وَيَجْعَل لَّكُمْ نُوراً تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ
غَفُورٌ رَّحِيمٌ لِّئَلاَّ يَعْلَمَ أَهْلُ الْكِتَـبِ أَلاَّ يَقْدِرُونَ
عَلَى شَىْءٍ مِّن فَضْلِ اللَّهِ وَأَنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن
يَشَآءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ"
Maksudnya, “Wahai
orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya
Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan
bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu
dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.” (Al-Hadid: 28)
Ibadah puasa
melahirkan dan mentarbiyah seseorang yang beriman supaya menjadi orang yang
bertaqwa kepadaNya, kerana di bulan Ramadhan amalan meninggalkan
perkara-perkara yang membatalkan puasa dan membatalkan pahala puasa adalah
secara praktikal, melatih seseorang itu bertaqwa kepada Allah dengan mengikut
segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya. Taqwa kepada Allah
SWT bukan dengan berpuasa di siang hari dan sembahyang pada malam
hari, serta menyatukan diantara keduanya. Tetapi taqwa kepada Allah ialah
meninggalkan apa yang diharamkan Allah SWT dan melaksanakan apa yang
diwajibkanNya. Maka barangsiapa yang dianugerahkan kebaikan sesudah itu,
maka itulah kebaikan yang disusuli dengan kebaikan.
Keberjayaan dalam
melakukan amal ibadah di bulan ramadhan adalah yang berhasil dalam meraih
ketaqwaan dan berterusan di amalkan bukan sahaja pada bulan ramadhan tetapi
berterusan selepas berlalunya bulan ramadhan sehingga kita bertemu semula
di bulan ramadhan akan datang. Untuk mencapai kejayaan dalam istiqomah
melakukan sesuatu amalan mestilah melalui jalan atau panduan untuk menuju
ketaqwaan .
1. Perjanjian ( Mu’ahadah )
Allah telah berfirman,
“وَأَوْفُواْ بِعَهْدِ اللَّهِ
إِذَا عَـهَدتُّمْ وَلاَ تَنقُضُواْ الاٌّيْمَـنَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ
جَعَلْتُمُ اللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلاً إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ”
“Dan tepatilah
perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu
menguatkannya (dengan nama Allah) sedang kamu telah menjadikan Allah
sebagai penjamin kebaikan kamu sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan
apa yang kamu lakukan. (An-Nahl: 91)
Kaifiat (cara)
perjanjian
Seorang mukmin itu
berkhalwat disuatu tempat di mana wujud di sana hanya Allah S.W.T dan dirinya
sahaja. Di dalam munajat tersebut ada ikrar atau perjanjian manusia dengan
Allah iaitu tidah mengabdikan diri melainkan kepada Allah S.W.T, tidak meminta
pertolongan selain Allah S.W.T, beriltizam di atas jalan Allah yang lurus dan
tidak ada sebarang padanya kebengkokan (jalan yang lurus) serta tidak akan
melampaui batasan jalan-jalan mereka yang sesat dan di murkai Allah S.W.T.
Di dalam perjanjian
ini Allah S.W.T. memberi peringatan supaya manusia sentiasa berwaspada dari
sebarang amalan yang boleh membawa kepada kekufuran setelah ianya beriman,
daripada kesesatan setelah mendapat petunjuk serta fasik setelah ia beriltizam.
Peringatan Allah
S.W.T. kepada hambanya yang mengingkari perjanjian tersebut akibatnya segala
kesesatan dan dosa ditanggung sendiri. Allah S.W.T tidak akan mengazab hambanya
sebelum Allah mengutuskan Rasul kepada mereka untuk member petunjuk jalan yang
benar dan batil.
2. Muraqabah
Firman Allah S.W.T ,
“الَّذِى يَرَاكَ حِينَ تَقُومُ
وَتَقَلُّبَكَ فِى السَّـجِدِينَ “
“(Allah) Yang
melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan) sembahyangdan (melihat) gerak gerimu di antara orang-orang yang sujud.” (as-Syu’ara: 218 -219)
Pengertian muraqabah
sepertimana dalam al-Quran dan Hadith ialah menghadirkan (merasakan) kebesaran
Allah disetiap waktu dan mendampinginya ketika tersembunyi atau secara
terang-terangan.
Kafiat (cara)
Muraqabah
Seorang mukmin
memastikan dirinya sebelum memulakan pekerjaan dan dipertengahan amalanya.
Adakah segala amalan ketaatannya semata-mata untuk kepentingan dirinya atau
mencari kepujian untuk ekmasyuran atau semata-mata beramal untuk mencari
keredhaan Allah dan mengharapkan balasanNya. Sekiranya amalan yang dilakukan
semata-mata kerana Allah S.W.T ia akan terus melakukannya tetapi sebaliknya
jika semata-mata untuk kepentingan hawa nafsunya ia tidak akan
melakukannya.
Terdapat beberapa
jenis muraqabah kepada Allah iaitu:
1) Muraqabah kepadaNya ketika melakukan ketaatan,
iaitu dengan melakukan sesuatu amalan dengan kesungguhan dan keikhlasan.
2) Muaraqabah dalam meninggalkan maksiat, iaitu
dengan bertaubat, penyesalan dan terus meninggalkannya.
3) Muraqabah dalam melakukan perkara harus, iaitu
dengan memelihara tatasusila dan bersyukur atas segala nikmatNya.
4) Muraqabah ketika menimpa musibah, iaitu
menerima musibah dengan kerelaan dan menerimanya dengan redha dan sabar.
3. Muhasabah
Firman Allah S.W.T ,
“يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ
اتَّقُواْ اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُواْ اللَّهَ
إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai orang-orang
yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah
tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah lepas dari
amalan-amalannya untuk hari esok (akhirat) dan sekali lagi diingatkan,
bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan
akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr: 18)
Muhasabah ialah
seorang mukmin menghitung dirinya setelah melakukan sesuatu amalan. Dalam
melakukan amalan harian sebagai mukmin mestilah menyediakan satu waktu khusus
yang mana ia berjanji pada dirinya untuk diperbetulkan niatnya berterusan
disetiap waktu dalam ketaatan, menunaikan kewajipan dan jauh dari
perasaan riak. Selain dari itu hendakalh bermuhasabah jika amalan kebaikkannya
banyak hendaklah memuji Allah dan memohon kepada Allah untuk ditetapkan hatinya
untuk terus melakukan ketaatan dan meningkatkan amalan. jika ia sedari bahawa
amalannya sedikit hendaklah bertaubat, menyesali dan memohon keampunan kepada
Allah S.W.T agar memelihara diri dari melakukan dosa dan mengahkiri
kehidupannya dengan husnul khotimah.
4. Mu’aqobah ( Balasan )
Firman Allah S.W.T ,
“وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ
يأُولِي الالْبَـابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ “
“Dan dalam hukuman
qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 179)
Mu’aqobah adalah
seorang mukmin apabila ia meneliti dan menghisab dirinya lalu ia dapati
kekurangan pada amalannya atau telah melakukan dosa, tidak sepatutnya ia
membiarkan dosa-dosa yang telah dilakukan dibiarkan begitu sahaja. Ini
kerana dengan sifat menganggap mudah terhadap dosa yang dilakukannya akan
rnendorongnya untuk kembali melakukan dosa
serta menyukarkannya
untuk meninggalkan kemaksiatan. Bahkan kewajipan sebagai hamba mestilah
menerima hukuman (deraan) keatas diri sendiri dengan hukuman yang sesuai dengan
kesalahan yang dilakukan. Dengan hukuman ini bertindak sebagai penghalang dan
memberi kesedaran terhadap perbuatannya seterusnya membawa kepada
ketaqwaan dan kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
Hukuman yang dilakukan
mestilah tidak sampai kepada yang haram seperti mengazab satu anggota badan
dengan menggunakan api, menghalang diri dari makan dan minum kerana kesemua
contoh hukuman ini boleh memberi kemudharatan. Sepertimana Allah S.W.T telah
berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu
mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan “.
5. Mujahadah
Firman Allah S.W.T,
وَالَّذِينَ جَـهَدُواْ فِينَا
لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang yang
berusaha dengan ber sungguh-sungguh kerana memenuhi
kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan
kami (yang menjadikan mereka bergembira dan beroleh keredaan)
dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta
orang-orang yang berusaha memper baiki amalannya.” (Al-Ankabut: 69)
Pengertian mujahadah
sepertimana ayat di atas pabila seorang mukmin di selubungi perasaan malas dan
cenderong kepada keduniaan serta gagal untuk melakukan amalan sunat dan
ketaatan di waktunya, maka mestilah berusaha agar dapat menunaikan
perkara-perkara sunat lebih banyak daripada sebelumya. Memaksa serta mewajibkan
dirinya dengan penuh semangat untuk berterusan melakukan amalan tersebut
sehingga kesemua amalan ketaatan yang terpaksa dilakukan pada awalnya akan
menjadi suatu kebiasaan dan sebati dalam dirinya.
Contoh mujahadah yang
dilakukan oleh Rasululullah S.A.W melalui hadithnya:
Sepertimana
diriwayatkan daripada ‘Aisyah bahawa Baginda Rasululullah S.A.W berdiri
di waktu malam (beribadat) sehinggakan bengkak-bengkak kaki baginda, lalu
Aisyah bertanya:
“Untuk apakah ini
semua sedangkan engkau sesungguhnya telah diampunkan Allah terhadap apa yang
telah dan akan engkau lakukan. Lalu baginda menjawab; “Bukankah aku merupakan
seorang hamba yang bersyukur.” (Riwayat As-Syaikhan : Bukhari dan Muslim)
Dan berkata Aisyah
sepertimana yang diriwayatkan oleh As-Syaikhan: “Adalah Rasulullah s.a.w.,
apabila masuk sepuluh hari (dari bulan Ramadhan), maka baginda menghidupkan
malam (sembahyang malam) dan membangunkan keluarganya serta bersungguh-sungguh
beribadat dan tidak mencampuri isteri isterinya.”
Mujahadah dalam
menghambakan diri kepada Allah dengan mengerjakan amalan sunat dan
ketaatan kepada Nya adalah merupakan suruhan baginda Rasulullah S.A.W
supaya para pendakwah serta para ulamak dan para pewaris nabi, merekalah
yang mula-mula sekali mengamalkan serta sentiasa melakukannya.
Dalam kita
bermujahadah kepada Allah S.W.T hendaklah menelita dua perkara yang penting,
antaranya:
1. Janganlah dalam melakukan ibadah sunat kita
melalaikan hak-hak orang lain. Seperti seseorang menunaikan kewajipan kepada
Allah dalam perkara-perkara sunat tetapi mengabaikan nafkah kepada ahli
keluarganya dan hak-hak terhadap dirinya sepertimana sabda Rasulullah S.A.W
yang bermaksud :
“Sesungguhnya di atas
diri engkau ada kewajipan kepada Allah, begitu juga engkau berkewajipan ke atas
diri engkau sendiri dan ahlikeluarga engkau. Oleh itu berikanlah hak-hak kepada
mereka yang berhak.” (Riwayat Bukhari)
2. Seseorang mukmin tidak memberatkan dirinya
dalam mengerjakan perkara sunat melebihi tahap kemampuannya.
Oleh yang demikian,
jalan untuk menyucikan roh ketakwaan, menyuburkannya dalam hati dan jiwa para
mukmin dapat disebatikan didalam perasaan dan kesedaran melalui lima jalan
menuju ketaqwaan iaitu perjanjian, muraqabah, muhasabah, mu’aqobah dan
mujahadah.
Mudah-mudahan
keseluruhan jalan yang kita ikuti akan meninggkatkan iman dan taqwa kita
kepada Allah S.W.T di bulan Ramadhan ini, kerana ketaqwaan merupakan satu
langkah untuk sampai mengikut kehendak Allah S.W.T dengan naungan kemuliaannya,
kemuncak kebaikkan dan setinggi martabat.
Wallahu ‘alam…
Di sediakan oleh:
Hanisah bt Hj. Muslim
Felo MANHAL PMRAM 2012
RUJUKAN
1. AL-QURAN AL-KARIM
2. HADITH SOHIH BUKHARI DAN MUSLIM
3. KITAB RUHANIYYAH AD-DA’IAH- oleh ABDULLAH
NASIH ULWAN
4. KITAB MUKHTASAR MINHAJ AL-QASIDIN
No comments:
Post a Comment