Labels

Pages

Sunday, June 17, 2012

Perbincangan Mengenai Jika Pilhanraya Berlaku Pada Musim Haji


Persoalan mengenai mana prioriti yang perlu diutamakan apabila melibatkan pertembungan ibadah Haji dan juga kewajipan mengundi sekiranya pilihanraya berlaku pada musim Haji dapat dilihat kepada beberapa aspek yang penting sebelum kesimpulan dibuat. Aspek-apek yang penting ialah mengetahui bentuk kewajipan ibadah Haji dan kewajipan mengundi dalam pilihanraya serta memahami kaedah feqh muwazanat dan feqh aulwiyat.

HUKUM MENGERJAKAN HAJI

Haji merupakan rukun kelima dalam rukun Islam. Hal ini jelas berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :

“Dibina Islam itu atas 5 perkara (rukun), penyaksian tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad merupakan utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan puasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” – Bukhari dan Muslim

Bermula musim untuk umat Islam mengerjakan haji dengan ihram haji ialah pada bulan Syawal, Zulkaedah dan sehingga 10 Zulhijjah. Maka inilah ibadah Haji yang mempunyai waktu-waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“(Masa untuk mengerjakan ibadah) Haji itu ialah beberapa bulan yang tertentu.” – Surah Al-Baqarah : 197

Para ulama’ sepakat bahawa kewajipan haji adalah sekali sahaja bagi yang berkemampuan. Adapun kali yang kedua dan selebihnya merupakan ibadah tambahan yang dilakukan oleh individu tersebut sahaja, bukan atas dasar kewajipan. Hal ini dilihat kepada Nabi SAW tidak melaksanakan haji melainkan sekali sahaja iaitu Haji Wada’.[1]

Syarat wajib Haji ialah :

1- Islam
2- Baligh
3- Berakal
4- Merdeka
5- Berkemampuan

Berkemampuan di sini dimaksudkan dengan cukup bekalan untuk melaksanakan ibadah Haji serta perjalanan yang ingin dilalui selamat ke atas jiwanya dan hartanya. Jika seseorang muslim tersebut tidak mencukupi salah satu syarat ini maka Haji tidak wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab As-Syafie, kewajipan Haji tidak wajib melaksanakannya di awal waktu, bahkan terpulang kepada seseorang muslim untuk melaksanakannya pada bila-bila masa (ketika mencukupi syarat-syarat wajib) sebelum luput kewajipan tersebut iaitu kematian dan sakit sehingga menyebabkannya tidak mampu.

Sehubungan itu, sekiranya seseorang muslim tersebut mengetahui walau secara sangkaan yang kuat (zhan) akan seperti kematiaan dan sakit yang teruk maka haram baginya untuk melewatkan kewajipan haji sehingga menyebabkan luput kewajipan haji ke atasnya. Namun jika ia tidak mengetahui walau secara sangkaan yang kuat maka hukum kewajipan Haji kembali kepada asal iaitu terpulang kepadanya untuk melaksanakan kewajipan Haji pada bila-bila masa (apabila mencukupi syarat-syarat wajib).

Justeru, berdasarkan ilmu usul feqh berkenaan dengan kewajipan Haji ini, ia termasuk dalam kategori wajib muwassa’[2] (luas) iaitu wajib melakukan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan tersebut sebelum luput kewajipan itu.

Maka kesimpulan mengenai kewajipan Haji dapat dibuat beberapa perkara :

- Wajib dan merupakan salah satu rukun Islam
- Kewajipan hanya sekali sahaja
- Kewajipan apabila mencukupi 5 syarat wajib
- Termasuk dalam wajib muwassa’ (luas) iaitu boleh melaksanakan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan sebelum luput kewajipan dengan sebab kematian atau sakit yang teruk

Hukum Mengundi

Majoriti ulama’ menyatakan bahawa hukum mengundi wajib dan ia dikira berdasarkan kepada konsep penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.

Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.

Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat dengannya.

Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”

Hal ini demikian kerana mengundi mengundikan wasilah bagi memilih tampuk kepimpinan Islam dalam konteks mendirikan Negara Islam untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Sehubungan itu mengundi merupakan wajib kerana ia termasuk dalam wasilah bagi tujuan yang wajib iaitu mendirikan Negara Islam. Maka ini termasuk dalam kaedah :

ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب
Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.

Imam Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa jihad tidak hanya tertumpu kepada satu jenis sahaja iaitu menganngkat senjata berhadapan dengan musuh di medan perang. Sehubungan itru, Imam Ibnu Qayyim membahagikan jihad kepada 13 peringkat[3] iaitu :

- Jihad menentang nafsu sebanyak 4 peringkat
- Jihad menentang syaitan sebanyak 2 peringkat
- Jihad menentang golongan kafir sebanyak 4 peringkat
- Jihad menentang golongan zalim, bid’ah dan fasik sebanyak 3 peringkat

Maka segala perbuatan yang dilakukan bagi memenangkan Islam atau menaikkan Islam merupakan jihad dan ketaatan kepada Allah SWT serta mendapat pahala di hari akhirat. Sekiranya membuang benda yang menyakiti di tengah jalan atau laluan manusia juga dikira dalam Islam sebagai perkara yang mendatangkan pahala serta salah satu cabang daripada iman sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

“Iman itu lebih 70 cabang atau lebih 60 cabang, yang paling afdhal (tinggi) ialah (mengucap) penyaksian ‘tiada tuhan yang disemnbah melainkan Allah’ dan peringkat yang terendah ialah membuang perkara yang menyakiti (benda kotor dan sebagai) yang berada di tengah jalan. Malu itu satu cabang daripada iman”[4]

Justeru apakah menentang serta menolak kezaliman (dengan cara mengundi kepada pihak yang adil dalam pilihanraya) tidak termasuk dalam berjihad di jalan Allah SWT? Maka sudah tentu ia juga termasuk dalam konteks berjihad, melihat kepada beberapa hujah iaitu :

1- Ia merupakan seruan dakwah yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai seruan yang berbentuk hikmah dan peringatan yang baik
2- Waktu, masa, tenaga serta harta yang dibelanjakan bagi memenangkan pihak yang adil dan menarik masyarakat kepada perjuangan Islam dan menerima perundangan Islam merupakan jihad sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan Allah SWT membeli jiwa serta harta mereka dengan bayaran syurga
3- Termasuk juga dalam konteks menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia menyeru masyarakat dalam memilih perjuangan Islam dan menolak pihak yang zalim. Pihak yang tidak melaksanakan Islam adalah pihak yang zalim
4- Undi juga dikira sebagai salah satu konsep nasihat iaitu menasihati pemimpin. Ia termasuk dalam seruan Islam berkenaan agama sebagai konsep nasihat.
5- Termasuk dalam kewajipan masa kini iaitu menentang kerajaan yang zalim. Mengalahkan pihak dengan undian sebagaimana mengalahkan pihak musuh di medan perang. Tuntutannya mengalahkan pihak kezaliman dan memenangkan Islam walau dalam bentuk yang berbeza.

Sehubungan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :

1- “Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :

2- “Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”

3- Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :

4- “Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”

5- Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :

6- “Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”[5]

Justeru berkaitan hukum mengundi, dapat disimpulkan kepada beberapa perkara :

- Mengundi merupakan satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah bagi memilih kepimpinan Islam dalam mendirikan Negara Islam
- Mengundi dalam pilihanraya termasuk dalam konteks jihad kerana menentang kezaliman dan menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi memenangkan pihak Islam atau gerakan yang membawa perjuangan Islam
- Dalam ilmu usul feqh, kewajipan mengundi termasuk dalam wajib mudhaiyaq (sempit) iaitu mesti dilaksanakan pada waktu itu juga. Iaitu tempoh mengundi bagi pilihanraya Malaysia adalah 5 5 tahun sekali, maka kewajipan mengundi adalah pada waktu pilihanraya sahaja iaitu dalam tempoh 5 tahun sekali
- Kewajipan mengundi adalah setiap kali berlakunya pilihanraya

Feqh Muwazanat Dan Feqh Aulawiyat

Feqh muwazanat ialah pemahaman bagi sesuatu perkara yang bertembung samada pertembungan di antara maslahat dengan mudharat atau pertembungan maslahat dengan maslahat, mudharat dengan mudharat.

Feqh Aulwaiyat ialah memahami keutamaan bagi sesuatu perkara dalam mendahulukan apa yang sepatutnya didahulukan. Maka kedua-dua feqh ini mempunyai kaitan yang sangat rapat kerana dalam permasalahan yang timbul iaitu yang melibatkan pertembungan 2 perkara maka kita mesti memahami pertembungan yang berlaku sebelum mendahulukan atau mengutamakan sesuatu perkara tersebut.

Antara contoh yang disebutkan dalam Al-Quran ialah, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji dan memakmurkan MAsjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah.”

Maka dalam ayat tersebut perbuatan memberi minum dan memakmurkan Masjid Al-Haram merupakan kebajikan namun ia bukanlah aulawiyat yang dikehendaki oleh Allah sehingga mereka tidak mahu beriman serta berjihad. Maka aulawiyat yang patut diutamakan ialah beriman serta berjihad. Sebab itu Allah menyebut 2 golongan tersebut tidak sama martabat mereka di sisi Allah.

Justeru, dalam konteks jika pilihanraya berlaku pada musim Haji, maka kita mesti mengambil kira dari sudut feqh muwazanat dan feqh aulawiyat. Penilaian ini dapat dilihat kepada :

Feqh Muwazanat : –

1- Haji merupakan kewajipan dan ia adalah termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu rukun Islam. Mengundi merupakan kewajipan dan ia juga termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu wasilah bagi mendirikan agama.
2- Hasil kewajipan menunaikan Haji adalah kembali kepada individu yang melakukan Haji tersebut. Hasil kewajipan mengundi adalah kembali kepada umum iaitu pemerintah Islam yang diundi dan menang akan membawa maslahat umum dalam pemerintahannya.
3- Kesan tidak melaksanakan Haji pada tahun tersebut akan memberikan mudharat individu tersebut sahaja (iaitu masih belum melaksanakan kewajipan Haji) dan kewajipan tersebut boleh diganti dengan peluang pada tahun-tahun yang akan datang. Kesan tidak mengundi akan memberikan kesan yang umum (apabila pihak Islam dikalahkan oleh pihak yang menolak perjuangan Islam) dan kesannya adalah sepanjang tempoh 5 tahun iaitu Islam tidak dapat memerintah dan kezaliman akan memerintah sepanjang tempoh tersebut.

Justeru, ibadah Haji dan mengundi merupakan pertembungan di antara maslahat dan maslahat, maka konsep yang dilihat adalah kepada 3 perkara[6] sebagaimana yang dibentangkan di atas, iaitu

- Martabat maslahat. Haji (agama) dan mengundi (agama)
- Kadar menyeluruh samada umum atau individu. Haji (individu) dan mengundi (umum)
- Kesan waktu mudharat samada pasti atau tidak. Haji (pasti berlaku mudharat tetapi tahun tersebut sahaja) dan mengundi (pasti berlaku mudharat tetapi untuk tempoh 5 tahun)

Feqh Aulawiyat : -

- Haji merupakan penting iaitu tahap wajib. Mengundi merupakan penting iaitu tahap wajib.
- Haji tidak segera iaitu termasuk dalam konteks wajib muassa’ (luas), tempoh melaksanakannya sebelum luput kewajipan iaitu kematian atau sakit teruk. Mengundi termasuk dalam konteks wajib mudhaiyyaq (sempit), tempoh melaksanakannya ialah dalam waktu kewajipan tersebut ketika dalam pilihanraya.

Maka dalam penilaian feqh aulawiyat dilihat kepada sesuatu kondisi perkara tersebut samada penting atau tidak, dan segera atau tidak. Hasilnya sebagaimana yang telah dibentangkan di atas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pembentangan di atas mengenai hukum Haji dan mengundi dalam pilihanraya serta pemahaman mengenai feqh aulwaiyat dan feqh muwazanat, dapat kita ketahui bahawa :

1- Haji dan mengundi merupakan kewajipan dan maslahat serta martabat dharuriyatnya adalah peringkat agama kerana Haji merupakan salah satu rukun Islam manakala mengundi merupakan kewajipan dalam mendirikan agama.

2- Haji lebih fokus kepada individu yang melakukan ibadah Haji terseut iaitu maslahat dan mudharat adalah ke atas individu sahaja. Adapun mengundi lebih fokus kepada umum iaitu maslahat atau mudharat yang bakal terima menyebabkan pihak yang ramai dan umum.

3- Haji dan mengundi merupakan penting kerana ia merupakan kewajipan namun Haji tidak termasuk dalam konteks yang perlu diselesaikan segera (wajib muwassa’) manakala mengundi mesti dilaksanakan segera iaitu dalam tempoh tersebut juga (wajib mudhaiyyaq).

4- Kewajipan haji adalah sekali sepanjang hayat manakala kewajipan mengundi adalah setiap kali pilihanraya.

Sehubungan itu hasil perbincangan di atas menjelaskan beberapa perkara :
1- Pihak kerajaan (mana-mana negara terutama Negara-negara Islam), elakkan daripada berlakunya pertembungan tarikh antara pilihanraya dan ibadah Haji bagi meraikan syiar Islam iaitu Haji agar umat Islam dapat fokus untuk melaksanakan ibadah Haji sepenuhnya.

2- Jika terdesak seperti tidak ada tarikh yang lain melainkan terpaksa bertembung maka umat Islam mesti peka dan faham terhadap aulawiyat antara 2 kewajipan ini.

3- Individu yang sudah melakukan Haji sebelum ini, tidak menjadi keutamaannya lagi untuk melakukan ibadah Haji ketika itu, kerana Haji wajib sekali sahaja. Maka apabila bertembung perkara wajib (mengundi) dengan sunat (Haji kali ke-2 dan seterusnya) didahulukan perkara wajib (mengundi).

4- Jika bertembung antara 2 kewajipan iaitu ibadah Haji dan mengundi maka sebagaimana perbincangan di atas, diutamakan mengundi. Sirah menunjukkan bahawa jenazah Nabi SAW dikebumikan selepas para sahabat berbincang melantik ketua pemimpin. Besarnya kewajipan melantik pemimpin sehingga dilewatkan pengebumikan jenazah baginda SAW.

5- Jika individu yang sudah mendapat peluang mengerjakan Haji, akan tetapi berasa berat untuk menangguhkan ibadah Haji tersebut kerana bimbang berlaku mudharat besar yang dirasakan, maka jangan niat larikan diri daripada kewajipan mengundi, akan tetapi wajib ke atasnya ketika itu berdoa di depan Kaabah agar diberikan kemenangan kepada pihak Islam. Namun perlu ingat, walaupun begitu, keutamaan yang sebenar ialah mengundi (berdasarkan perbincangan di atas).

6- Umat Islam perlu memahami kaedah bahawa menanggung mudharat yang kecil (wang dan masa kerana terpaksa tunggu giliran untuk ibadah Haji) supaya menghilangkan mudharat yang lebih besar (pihak zalim memerintah disebabkan pihak Islam hilang undi).

Wallahu a’lam….

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1- Al-Intikhabat Ahkam Wa DHawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam
2- Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Sharouq
3- Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Dr Abdul Aziz Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah
4- Dhawabit Al-Maslahat, Dr Muhamad Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr
5- Nihayah As-Sul Syarh Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, cetakan Dar Ibnu Hazm
6- Hasyiah Baijuri, cetakan Dar Al-Maktab Al-Islami

Darah Syria Masih Mengalir




9 Jun 2012 Jawatankuasa Kempen Prihatin Syria (KPS) melihat situasi Syria kebelakangan inidengan penuh kebimbangan dan kekecewaan. Ini kerana pembunuhan yang berlaku sejak tercetusnyarevolusi telah melebihi 15, 000 nyawa, namun dunia terus berdiam diri terutama Liga Arab dan MajlisKeselamatan PBB yang 'bisu'  apatah lagi 'blok penyokong kuat' Syria iaitu Iran dan Hizbullah yangmeneruskan sokongan kepada rejim tanpa henti. 
Dalam tempoh tidak sampai sebulan telah berlaku dua penyembelihan beramai-ramai iaitu di Haulahpada 25 Mei dan El-Qobair pada 8 Jun yang kedua-duanya mengorbankan lebih 200 nyawa,sebahagiannya kanak-kanak dan wanita. 

Menurut saksi, askar rejim Syria memasuki kampung dan membakar rumah kediaman penduduk menyebabkan sebahagian mangsa meninggal duniaakibat terperangkap dalam kebakaran manakala sebahagian yang lain disembelih menggunakan pisau. 

Hati dan sanubari umat Islam bagai disiat dan dihiris apabila rejim Syria terus menafikan penglibatannya dalam pembunuhan di Haulah. BahkanPresiden Syria, Basyar Al-Assad berjanji akan memperhebatkan kempen perang ke atas tentera bebas Syria yang disifatkan sebagai 'pengganas' yangmemudaratkan keselamatan negara. 

Pada 4 Jun lalu, beberapa hari sebelum penyembelihan di El-Qobair berlaku, Presiden Syria,  Basyar Al-Assad melantik Perdana Menteri baru RiyadhHijab, yang merupakan penyokong kuat parti pemerintah untuk menubuhkan kerajaan baru menggantikan kerajaan 'Adil Safar. 

Serangan dan pembunuhan kecil saban hari terus berlaku di seluruh Syria. Lebih membimbangkan lagi apabila kes penculikan wanita dan beberapaorang yang menyertai demonstrasi aman anti kerajaan turut terjadi. Majlis Kebangsaan Syria, sebuah pertubuhan pembangkang adalah dilaporkansebagai menyatakan, kebanyakan mereka terdedah kepada pembunuhan seperti nasib yang menimpa Zainab Al-Husni dan mangsa lain sebelum ini.

Untuk itu, Kempen Prihatin Syria (KPS) menyeru:

1) Seluruh mahasiswa dan mahasiswi Mesir cakna dan meneruskan doa masing-masing walaupun dalam tempoh peperiksaan pada waktu ini. Memang tidak dapat dinafikan, fokus terhadap peperiksaan dan sesekali terhadap politik semasa di Mesir menyebabkan kita terlepas pandang berkaitan isu di Syria.

2) Menyemarakkan semangat kempen di bulan Rejab yang mulia ini bagi pembebasan Palestin dan Syria. Kedua-dua tempat ini dirakam dalam sejarahIslam yang mana terletak dalam lingkungan negara Syam seperti disebut dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat pertama surah Al-Isra'.

3) Jawatankuasa KPS akan menggerakkan semula kempen bagi fasa kedua selepas peperiksaan nanti dan mengharapkan sokongan dari seluruh mahasiswa dan mahasiswi sekalian. 

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada saudara kita di Syria untuk terus thabat.

"Mahasiswa Mendepani Isu Sejagat"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Muhammad Abdul Malik Hj. Abdul Karim
Koordinator Kempen Prihatin Syria / Penasihat PMRAM 2012


10 Wasiat Imam As-Syafie





Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:
"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA: HAK KEPADA KUBUR
Iaitu: Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.

KELIMA: HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu: Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu: Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu: Menangis lantaran takutkan Allah swt, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu: Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN: HAK KEPADA NABI SOLLALLAHU ALAIHI WASALLAM
Iaitu: Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu: Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Monday, June 11, 2012

Kemuliaan Wanita Dari Kacamata Agama



Keterbukaan pemikiran dunia hari ini, sedikit sebanyak telah mempengaruhi budaya dan hubungan sosial manusia tidak kira dimana sahaja samada lelaki mahupun wanita.

Kepelbagaian teknologi serba canggih dewasa kini menjadi satu senario baru kepada wanita untuk bersaing dengan lelaki agar dilihat setaraf daripada pelbagai aspek merangkumi pendidikan, pangkat, idea dan seumpamanya.

Realiti masa kini memungkinkan peranan wanita sedikit berbeza berbanding satu masa dahulu, namun begitu kemuliaan wanita dalam Islam adalah diletakkan ditempat sangat istimewa.

Ini kerana pengorbanan wanita dalam memastikan tahap kualiti modal insan dapat dijana dengan pendidikan awal bermula daripada rumah. Kepayahan wanita untuk melahirkan dan membesarkan bakal pemimpin akan datang merupakan satu perkara yang tidak dapat disangkal.

Oleh yang demikian, kemuliaan wanita semakin lama semakin cuba dipudarkan dengan pelbagai alternatif songsang yang sama sekali menyimpang daripada landasan sebenar syariat Islam. Pemikiran wanita telah diracuni oleh budaya barat sehingga diekpresikan melalui penampilan dan gaya hidup seakan-akan hidup dalam ruang lingkup keseronokan semata-mata.

Kebebasan telah menjadi sandaran kepada mereka untuk menuruti segala keinginan yang akhirnya menatijahkan kekecewaan dan penyesalan yang tidak berpenghujung.

Bagaimanakah kita mampu untuk mengulangi sejarah kegemilangan serikandi Islam yang berjuang diatas kefahaman dan pengorbanan demi menegakkan Islam seantero dunia. Andai senario ini berterusan berlaku tanpa difikirkan penawarnya tidak mustahil satu masa nanti kemuliaan wanita terus pudar, akhirnya tiada nilai dimata manusia apatah lagi agama.

Kita perlu hayati bersama beberapa tokoh serikandi Islam agar membuka paradigma pedusi untuk memikirkan apakah peranan wanita yang sebenarnya. Dengan kemahiran dan kebolehan
yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka lantas digunakan sebaiknya demi perjuangan Islam. Mereka adalah :

UMMU ATIYAH : Bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawat pejuang-pejuang Islam yang cedera di medan perang dan menyediakan makanan untuk mereka.

RUFAYDAH AL-ASLAMIYYAH : Doktor wanita Islam pertama, Nabi Muhammad SAW sediakan sebuah khemah khas di Masjid Nabawi untuk tujuan rawatan bagi pejuang-pejuang Islam yang cedera ketika Perang Khandaq.

AS-SHIFA' BINTI ABDULLAH : Bertugas sebagai guru yang mengajar muslimah membaca dan menulis ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup.

AS-SHIFA' : Dilantik oleh Umar Al-Khattab sebagai auditor syariah di pasar ketika itu bagi memastikan segala urusan yang dijalankan menepati landasan syariah Islam.

Tokoh-tokoh ini mampu menempa nama mereka dalam lembaran sejarah Islam kerana memperanankan kemahiran yang ada bukan untuk kepentingan dunia dan keseronokan semata-mata tetapi demi meninggikan syiar Islam sekaligus meninggikan kemuliaan wanita yang sememangnya diiktiraf oleh Islam.

Martabat wanita yang diangkat oleh Islam satu masa dahulu perlu dipertahankan agar ia tidak pudar dek kerana pemikiran negatif, kini menjadi satu budaya yang bakal membunuh posisi wanita dalam masyarakat satu masa nanti.

Seperti ada kata-kata berbunyi "Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia". Maka sewajarnya kita perlu memastikan, keizzahan wanita bukan dilihat pada kelembutannya tetapi ketegasan untuk mempertahankan integriti muslimah agar terus dihormati dunia.

Gagasan pembawaan HEWI PMRAM "Julang Keilmuan Jana Keizzahan" ini bertepatan dengan kehendak semasa untuk mengembalikan kemuliaan wanita berlandaskan syariat Islam.

Oleh yang demikian, wanita perlu bersedia menyiapkan diri dengan segala bentuk kemahiran untuk membantu perjuangan Islam. Mana mungkin sejarah tidak mampu berulang andai semaksima usaha yang diberikan, mampu untuk direalisasikan.


"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"

ATIYQAH YUSOFF
Naib Pengerusi I
( Unit Perancang & Panitia HEWI )
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Keunggulan Islam Untuk Kehidupan Masyarakat




Dewasa ini Islam semakin hari semakin diterima dalam kehidupan masyarakat. Ini merupakan satu petanda yang positif bagipendokong Islam agar meningkatkan lagi kualiti amalan dan penyampaian dakwah agar manusia terus meyakini hanya denganIslam manusia beroleh gaya hidup terbaik dan sempurna.

Pengiktirafan Islam telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sekaligus memberikan gambaran awal untukmengaplikasikan Islam dalam seluruh aspek kehidupan seharian.

Keunggulan Islam dapat dilihat dengan pelbagai keadaan dan pelaksanaan Islam yang bersifat adil tanpa mengira darjat danlatar belakang kedudukan. Contohnya ibadah solat yang telah diwajibkan kepada kita sama ada di kalangan Muslim di desa dankota, lelaki mahupun perempuan, kaya ataupun miskin semua wajib melaksanakannya.

Kualiti keunggulan Islam memberikan impak besar dalam konteks masyarakat ialah "Amar maaruf nahi mungkar" kerana dengan melaksanakannya bakal menatijahkan kesempurnaan hidup dan dijanjikan keredhaan Allah SWT. 

Menurut pandangan Dr. Muhammad Imarah, tranfomasi kehidupan masyarakat hasil implikasi daripada pelaksanaan "Amar maaruf nahi mungkar" ini akan memberikan peluang untuk meneruskan beberapa langkah pembaikan kepada masyarakat, antaranya :

- Menegakkan keadilan melalui pelbagai sudut pembelajaran ataupun praktikal.

- Melaksanakan sistem syura samada dalam institusi kekeluargaan, masyarakat dan pentadbiran negara.

- Berjihad dalam membantu golongan dizalimi dan membebaskan golongan lemah yang tidak berdosa.

- Mengutamakan aktiviti kebajikan untuk membantu manusia dalam segala bentuk sama ada duniawi atau ukhrawi.

- Memberikan kefahaman nilai kebebasan berlandaskan syariat Islam, teori diasimilasikan dalam ideologi dan  pengetahuan semasa.

Ini adalah sejajar dengan kehendak Islam sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 71 yang bermaksud :  "Dan orang-orangYang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain mereka mengajak kepada kebaikan, dan melarangdaripada kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan dikurniakankerahmatan oleh Allah SWT, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Kita masih berpeluang membuka mata dunia untuk mengetahui keunggulan Islam untuk semua lapisan masyarakat. Apa yang pasti tanggungjawab ini bukan terletak pada bahu seseorang tetapi ianya diamanahkan kepada semua dalam melunaskannya.

Umpama pepatah Melayu menyebut "Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang", maka usaha gigih perlu diteruskan demi melihat generasi rabbani direalisasikan agar Islam dijulang tinggi.

Sinergi kekuatan Islam terletak pada satu senjata ampuh dikenali dengan kesatuan. Dengan senjata ini sahaja mampu menggugat segala kesempitan yang berlaku, oleh itu ada benarnya kata pepatah "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Kepentingan menjaga kesatuan ini adalah momentum unggul bagi umat Islam dipandang tinggi berbanding yang lain. Peristiwa sejarah kemenangan tentera Islam dalam beberapa siri peperangan adalah kerana kerjasama dan kebersamaan yang dibentuk atas dasar kefahaman Islam untuk berjuang.

Justeru, selagi umat Islam bersatu dengan keyakinan penuh kepada Allah SWT selagi itu Islam tertegak di bumi Allah SWT.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Ahmad Baihaki bin Rashid
Naib Presiden I
(Ketua Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012