Keterbukaan pemikiran dunia hari ini, sedikit
sebanyak telah mempengaruhi budaya dan hubungan sosial manusia tidak kira
dimana sahaja samada lelaki mahupun wanita.
Kepelbagaian teknologi serba canggih dewasa kini
menjadi satu senario baru kepada wanita untuk bersaing dengan lelaki agar
dilihat setaraf daripada pelbagai aspek merangkumi pendidikan, pangkat, idea
dan seumpamanya.
Realiti masa kini memungkinkan peranan wanita sedikit
berbeza berbanding satu masa dahulu, namun begitu kemuliaan wanita dalam Islam
adalah diletakkan ditempat sangat istimewa.
Ini kerana pengorbanan wanita dalam memastikan tahap
kualiti modal insan dapat dijana dengan pendidikan awal bermula daripada rumah.
Kepayahan wanita untuk melahirkan dan membesarkan bakal pemimpin akan datang
merupakan satu perkara yang tidak dapat disangkal.
Oleh yang demikian, kemuliaan wanita semakin lama
semakin cuba dipudarkan dengan pelbagai alternatif songsang yang sama sekali
menyimpang daripada landasan sebenar syariat Islam. Pemikiran wanita telah
diracuni oleh budaya barat sehingga diekpresikan melalui penampilan dan gaya
hidup seakan-akan hidup dalam ruang lingkup keseronokan semata-mata.
Kebebasan telah menjadi sandaran kepada mereka untuk
menuruti segala keinginan yang akhirnya menatijahkan kekecewaan dan penyesalan
yang tidak berpenghujung.
Bagaimanakah kita mampu untuk mengulangi sejarah
kegemilangan serikandi Islam yang berjuang diatas kefahaman dan pengorbanan demi
menegakkan Islam seantero dunia. Andai senario ini berterusan berlaku tanpa
difikirkan penawarnya tidak mustahil satu masa nanti kemuliaan wanita terus
pudar, akhirnya tiada nilai dimata manusia apatah lagi agama.
Kita perlu hayati bersama beberapa tokoh serikandi
Islam agar membuka paradigma pedusi untuk memikirkan apakah peranan wanita yang
sebenarnya. Dengan kemahiran dan kebolehan
yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka lantas
digunakan sebaiknya demi perjuangan Islam. Mereka adalah :
UMMU ATIYAH : Bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di
Madinah, merawat pejuang-pejuang Islam yang cedera di medan perang dan
menyediakan makanan untuk mereka.
RUFAYDAH AL-ASLAMIYYAH :
Doktor wanita Islam pertama, Nabi Muhammad SAW sediakan sebuah khemah khas di
Masjid Nabawi untuk tujuan rawatan bagi pejuang-pejuang Islam yang cedera
ketika Perang Khandaq.
AS-SHIFA' BINTI ABDULLAH :
Bertugas sebagai guru yang mengajar muslimah membaca dan menulis ketika Nabi
Muhammad SAW masih hidup.
AS-SHIFA' : Dilantik oleh Umar Al-Khattab
sebagai auditor syariah di pasar ketika itu bagi memastikan segala urusan yang
dijalankan menepati landasan syariah Islam.
Tokoh-tokoh ini mampu menempa nama mereka dalam
lembaran sejarah Islam kerana memperanankan kemahiran yang ada bukan untuk
kepentingan dunia dan keseronokan semata-mata tetapi demi meninggikan syiar
Islam sekaligus meninggikan kemuliaan wanita yang sememangnya diiktiraf oleh
Islam.
Martabat wanita yang diangkat oleh Islam satu masa
dahulu perlu dipertahankan agar ia tidak pudar dek kerana pemikiran negatif,
kini menjadi satu budaya yang bakal membunuh posisi wanita dalam masyarakat
satu masa nanti.
Seperti ada kata-kata berbunyi "Tangan
yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia". Maka sewajarnya kita
perlu memastikan, keizzahan wanita bukan dilihat pada kelembutannya tetapi
ketegasan untuk mempertahankan integriti muslimah agar terus dihormati dunia.
Gagasan pembawaan HEWI PMRAM "Julang Keilmuan
Jana Keizzahan" ini bertepatan dengan kehendak semasa untuk mengembalikan
kemuliaan wanita berlandaskan syariat Islam.
Oleh yang demikian, wanita perlu bersedia menyiapkan
diri dengan segala bentuk kemahiran untuk membantu perjuangan Islam. Mana
mungkin sejarah tidak mampu berulang andai semaksima usaha yang diberikan,
mampu untuk direalisasikan.
"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"
ATIYQAH YUSOFF
Naib Pengerusi I
( Unit Perancang & Panitia HEWI )
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012
No comments:
Post a Comment