Persoalan
mengenai mana prioriti yang perlu diutamakan apabila melibatkan pertembungan
ibadah Haji dan juga kewajipan mengundi sekiranya pilihanraya berlaku pada
musim Haji dapat dilihat kepada beberapa aspek yang penting sebelum kesimpulan
dibuat. Aspek-apek yang penting ialah mengetahui bentuk kewajipan ibadah Haji
dan kewajipan mengundi dalam pilihanraya serta memahami kaedah feqh muwazanat
dan feqh aulwiyat.
HUKUM
MENGERJAKAN HAJI
Haji
merupakan rukun kelima dalam rukun Islam. Hal ini jelas berdasarkan kepada
sabda Nabi SAW :
“Dibina
Islam itu atas 5 perkara (rukun), penyaksian tiada tuhan melainkan Allah dan
Muhammad merupakan utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan puasa
di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” – Bukhari dan
Muslim
Bermula
musim untuk umat Islam mengerjakan haji dengan ihram haji ialah pada bulan
Syawal, Zulkaedah dan sehingga 10 Zulhijjah. Maka inilah ibadah Haji yang
mempunyai waktu-waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT
yang bermaksud :
“(Masa untuk
mengerjakan ibadah) Haji itu ialah beberapa bulan yang tertentu.” – Surah
Al-Baqarah : 197
Para ulama’
sepakat bahawa kewajipan haji adalah sekali sahaja bagi yang berkemampuan.
Adapun kali yang kedua dan selebihnya merupakan ibadah tambahan yang dilakukan
oleh individu tersebut sahaja, bukan atas dasar kewajipan. Hal ini dilihat
kepada Nabi SAW tidak melaksanakan haji melainkan sekali sahaja iaitu Haji
Wada’.[1]
Syarat wajib
Haji ialah :
1- Islam
2- Baligh
3- Berakal
4- Merdeka
5-
Berkemampuan
Berkemampuan
di sini dimaksudkan dengan cukup bekalan untuk melaksanakan ibadah Haji serta
perjalanan yang ingin dilalui selamat ke atas jiwanya dan hartanya. Jika
seseorang muslim tersebut tidak mencukupi salah satu syarat ini maka Haji tidak
wajib ke atasnya.
Dalam Mazhab
As-Syafie, kewajipan Haji tidak wajib melaksanakannya di awal waktu, bahkan
terpulang kepada seseorang muslim untuk melaksanakannya pada bila-bila masa
(ketika mencukupi syarat-syarat wajib) sebelum luput kewajipan tersebut iaitu
kematian dan sakit sehingga menyebabkannya tidak mampu.
Sehubungan
itu, sekiranya seseorang muslim tersebut mengetahui walau secara sangkaan yang
kuat (zhan) akan seperti kematiaan dan sakit yang teruk maka haram baginya
untuk melewatkan kewajipan haji sehingga menyebabkan luput kewajipan haji ke
atasnya. Namun jika ia tidak mengetahui walau secara sangkaan yang kuat maka
hukum kewajipan Haji kembali kepada asal iaitu terpulang kepadanya untuk
melaksanakan kewajipan Haji pada bila-bila masa (apabila mencukupi
syarat-syarat wajib).
Justeru,
berdasarkan ilmu usul feqh berkenaan dengan kewajipan Haji ini, ia termasuk
dalam kategori wajib muwassa’[2] (luas) iaitu wajib melakukan pada bila-bila
masa dalam tempoh kewajipan tersebut sebelum luput kewajipan itu.
Maka
kesimpulan mengenai kewajipan Haji dapat dibuat beberapa perkara :
- Wajib dan
merupakan salah satu rukun Islam
- Kewajipan
hanya sekali sahaja
- Kewajipan
apabila mencukupi 5 syarat wajib
- Termasuk
dalam wajib muwassa’ (luas) iaitu boleh melaksanakan pada bila-bila masa dalam
tempoh kewajipan sebelum luput kewajipan dengan sebab kematian atau sakit yang
teruk
Hukum
Mengundi
Majoriti
ulama’ menyatakan bahawa hukum mengundi wajib dan ia dikira berdasarkan kepada
konsep penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah
baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.
Pendapat ini
digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang
dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad
Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.
Justeru
warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan
penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak
boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul
tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia
mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa
kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat
dengannya.
Berkata
Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian,
manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka
putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan
jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang
baik (serta amanah)”
Hal ini
demikian kerana mengundi mengundikan wasilah bagi memilih tampuk kepimpinan
Islam dalam konteks mendirikan Negara Islam untuk melaksanakan syariat Islam
secara menyeluruh. Sehubungan itu mengundi merupakan wajib kerana ia termasuk
dalam wasilah bagi tujuan yang wajib iaitu mendirikan Negara Islam. Maka ini
termasuk dalam kaedah :
ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب
Sesuatu
kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia
menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan negara Islam
adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak
mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya,
gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.
Imam Ibnu
Qayyim menyebutkan bahawa jihad tidak hanya tertumpu kepada satu jenis sahaja
iaitu menganngkat senjata berhadapan dengan musuh di medan perang. Sehubungan
itru, Imam Ibnu Qayyim membahagikan jihad kepada 13 peringkat[3] iaitu :
- Jihad
menentang nafsu sebanyak 4 peringkat
- Jihad
menentang syaitan sebanyak 2 peringkat
- Jihad
menentang golongan kafir sebanyak 4 peringkat
- Jihad
menentang golongan zalim, bid’ah dan fasik sebanyak 3 peringkat
Maka segala
perbuatan yang dilakukan bagi memenangkan Islam atau menaikkan Islam merupakan
jihad dan ketaatan kepada Allah SWT serta mendapat pahala di hari akhirat.
Sekiranya membuang benda yang menyakiti di tengah jalan atau laluan manusia
juga dikira dalam Islam sebagai perkara yang mendatangkan pahala serta salah
satu cabang daripada iman sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan
oleh Abu Hurairah :
“Iman itu
lebih 70 cabang atau lebih 60 cabang, yang paling afdhal (tinggi) ialah
(mengucap) penyaksian ‘tiada tuhan yang disemnbah melainkan Allah’ dan
peringkat yang terendah ialah membuang perkara yang menyakiti (benda kotor dan
sebagai) yang berada di tengah jalan. Malu itu satu cabang daripada iman”[4]
Justeru
apakah menentang serta menolak kezaliman (dengan cara mengundi kepada pihak
yang adil dalam pilihanraya) tidak termasuk dalam berjihad di jalan Allah SWT?
Maka sudah tentu ia juga termasuk dalam konteks berjihad, melihat kepada
beberapa hujah iaitu :
1- Ia
merupakan seruan dakwah yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai seruan yang
berbentuk hikmah dan peringatan yang baik
2- Waktu,
masa, tenaga serta harta yang dibelanjakan bagi memenangkan pihak yang adil dan
menarik masyarakat kepada perjuangan Islam dan menerima perundangan Islam
merupakan jihad sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan Allah SWT
membeli jiwa serta harta mereka dengan bayaran syurga
3- Termasuk
juga dalam konteks menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia
menyeru masyarakat dalam memilih perjuangan Islam dan menolak pihak yang zalim.
Pihak yang tidak melaksanakan Islam adalah pihak yang zalim
4- Undi juga
dikira sebagai salah satu konsep nasihat iaitu menasihati pemimpin. Ia termasuk
dalam seruan Islam berkenaan agama sebagai konsep nasihat.
5- Termasuk
dalam kewajipan masa kini iaitu menentang kerajaan yang zalim. Mengalahkan
pihak dengan undian sebagaimana mengalahkan pihak musuh di medan perang.
Tuntutannya mengalahkan pihak kezaliman dan memenangkan Islam walau dalam
bentuk yang berbeza.
Sehubungan
itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :
1- “Sesiapa
yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki
tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang
memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman
Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :
2- “Dan
jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”
3- Maka
sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti
kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah
melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi
kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada
firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :
4- “Dan hendaklah
kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”
5- Dan
sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak
(dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan
dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :
6- “Dan
janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan
penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”[5]
Justeru
berkaitan hukum mengundi, dapat disimpulkan kepada beberapa perkara :
- Mengundi
merupakan satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah bagi memilih
kepimpinan Islam dalam mendirikan Negara Islam
- Mengundi
dalam pilihanraya termasuk dalam konteks jihad kerana menentang kezaliman dan
menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi memenangkan pihak Islam atau
gerakan yang membawa perjuangan Islam
- Dalam ilmu
usul feqh, kewajipan mengundi termasuk dalam wajib mudhaiyaq (sempit) iaitu
mesti dilaksanakan pada waktu itu juga. Iaitu tempoh mengundi bagi pilihanraya
Malaysia adalah 5 5 tahun sekali, maka kewajipan mengundi adalah pada waktu
pilihanraya sahaja iaitu dalam tempoh 5 tahun sekali
- Kewajipan
mengundi adalah setiap kali berlakunya pilihanraya
Feqh
Muwazanat Dan Feqh Aulawiyat
Feqh
muwazanat ialah pemahaman bagi sesuatu perkara yang bertembung samada
pertembungan di antara maslahat dengan mudharat atau pertembungan maslahat
dengan maslahat, mudharat dengan mudharat.
Feqh
Aulwaiyat ialah memahami keutamaan bagi sesuatu perkara dalam mendahulukan apa
yang sepatutnya didahulukan. Maka kedua-dua feqh ini mempunyai kaitan yang sangat
rapat kerana dalam permasalahan yang timbul iaitu yang melibatkan pertembungan
2 perkara maka kita mesti memahami pertembungan yang berlaku sebelum
mendahulukan atau mengutamakan sesuatu perkara tersebut.
Antara
contoh yang disebutkan dalam Al-Quran ialah, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Adakah kamu
sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji dan
memakmurkan MAsjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah
dan Hari Akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi
Allah.”
Maka dalam
ayat tersebut perbuatan memberi minum dan memakmurkan Masjid Al-Haram merupakan
kebajikan namun ia bukanlah aulawiyat yang dikehendaki oleh Allah sehingga
mereka tidak mahu beriman serta berjihad. Maka aulawiyat yang patut diutamakan
ialah beriman serta berjihad. Sebab itu Allah menyebut 2 golongan tersebut
tidak sama martabat mereka di sisi Allah.
Justeru,
dalam konteks jika pilihanraya berlaku pada musim Haji, maka kita mesti
mengambil kira dari sudut feqh muwazanat dan feqh aulawiyat. Penilaian ini
dapat dilihat kepada :
Feqh
Muwazanat : –
1- Haji
merupakan kewajipan dan ia adalah termasuk dalam konteks maslahat dan martabat
dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu rukun Islam. Mengundi merupakan
kewajipan dan ia juga termasuk dalam konteks maslahat dan martabat
dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu wasilah bagi mendirikan agama.
2- Hasil
kewajipan menunaikan Haji adalah kembali kepada individu yang melakukan Haji
tersebut. Hasil kewajipan mengundi adalah kembali kepada umum iaitu pemerintah
Islam yang diundi dan menang akan membawa maslahat umum dalam pemerintahannya.
3- Kesan
tidak melaksanakan Haji pada tahun tersebut akan memberikan mudharat individu
tersebut sahaja (iaitu masih belum melaksanakan kewajipan Haji) dan kewajipan
tersebut boleh diganti dengan peluang pada tahun-tahun yang akan datang. Kesan
tidak mengundi akan memberikan kesan yang umum (apabila pihak Islam dikalahkan
oleh pihak yang menolak perjuangan Islam) dan kesannya adalah sepanjang tempoh
5 tahun iaitu Islam tidak dapat memerintah dan kezaliman akan memerintah
sepanjang tempoh tersebut.
Justeru, ibadah
Haji dan mengundi merupakan pertembungan di antara maslahat dan maslahat, maka
konsep yang dilihat adalah kepada 3 perkara[6] sebagaimana yang dibentangkan di
atas, iaitu
- Martabat
maslahat. Haji (agama) dan mengundi (agama)
- Kadar
menyeluruh samada umum atau individu. Haji (individu) dan mengundi (umum)
- Kesan
waktu mudharat samada pasti atau tidak. Haji (pasti berlaku mudharat tetapi
tahun tersebut sahaja) dan mengundi (pasti berlaku mudharat tetapi untuk tempoh
5 tahun)
Feqh
Aulawiyat : -
- Haji
merupakan penting iaitu tahap wajib. Mengundi merupakan penting iaitu tahap
wajib.
- Haji tidak
segera iaitu termasuk dalam konteks wajib muassa’ (luas), tempoh
melaksanakannya sebelum luput kewajipan iaitu kematian atau sakit teruk.
Mengundi termasuk dalam konteks wajib mudhaiyyaq (sempit), tempoh
melaksanakannya ialah dalam waktu kewajipan tersebut ketika dalam pilihanraya.
Maka dalam
penilaian feqh aulawiyat dilihat kepada sesuatu kondisi perkara tersebut samada
penting atau tidak, dan segera atau tidak. Hasilnya sebagaimana yang telah
dibentangkan di atas.
Kesimpulan
Berdasarkan
kepada pembentangan di atas mengenai hukum Haji dan mengundi dalam pilihanraya
serta pemahaman mengenai feqh aulwaiyat dan feqh muwazanat, dapat kita ketahui
bahawa :
1- Haji dan
mengundi merupakan kewajipan dan maslahat serta martabat dharuriyatnya adalah
peringkat agama kerana Haji merupakan salah satu rukun Islam manakala mengundi
merupakan kewajipan dalam mendirikan agama.
2- Haji
lebih fokus kepada individu yang melakukan ibadah Haji terseut iaitu maslahat
dan mudharat adalah ke atas individu sahaja. Adapun mengundi lebih fokus kepada
umum iaitu maslahat atau mudharat yang bakal terima menyebabkan pihak yang
ramai dan umum.
3- Haji dan
mengundi merupakan penting kerana ia merupakan kewajipan namun Haji tidak
termasuk dalam konteks yang perlu diselesaikan segera (wajib muwassa’) manakala
mengundi mesti dilaksanakan segera iaitu dalam tempoh tersebut juga (wajib
mudhaiyyaq).
4- Kewajipan
haji adalah sekali sepanjang hayat manakala kewajipan mengundi adalah setiap
kali pilihanraya.
Sehubungan
itu hasil perbincangan di atas menjelaskan beberapa perkara :
1- Pihak
kerajaan (mana-mana negara terutama Negara-negara Islam), elakkan daripada
berlakunya pertembungan tarikh antara pilihanraya dan ibadah Haji bagi meraikan
syiar Islam iaitu Haji agar umat Islam dapat fokus untuk melaksanakan ibadah
Haji sepenuhnya.
2- Jika
terdesak seperti tidak ada tarikh yang lain melainkan terpaksa bertembung maka
umat Islam mesti peka dan faham terhadap aulawiyat antara 2 kewajipan ini.
3- Individu
yang sudah melakukan Haji sebelum ini, tidak menjadi keutamaannya lagi untuk
melakukan ibadah Haji ketika itu, kerana Haji wajib sekali sahaja. Maka apabila
bertembung perkara wajib (mengundi) dengan sunat (Haji kali ke-2 dan
seterusnya) didahulukan perkara wajib (mengundi).
4- Jika
bertembung antara 2 kewajipan iaitu ibadah Haji dan mengundi maka sebagaimana
perbincangan di atas, diutamakan mengundi. Sirah menunjukkan bahawa jenazah
Nabi SAW dikebumikan selepas para sahabat berbincang melantik ketua pemimpin.
Besarnya kewajipan melantik pemimpin sehingga dilewatkan pengebumikan jenazah
baginda SAW.
5- Jika
individu yang sudah mendapat peluang mengerjakan Haji, akan tetapi berasa berat
untuk menangguhkan ibadah Haji tersebut kerana bimbang berlaku mudharat besar
yang dirasakan, maka jangan niat larikan diri daripada kewajipan mengundi, akan
tetapi wajib ke atasnya ketika itu berdoa di depan Kaabah agar diberikan
kemenangan kepada pihak Islam. Namun perlu ingat, walaupun begitu, keutamaan
yang sebenar ialah mengundi (berdasarkan perbincangan di atas).
6- Umat
Islam perlu memahami kaedah bahawa menanggung mudharat yang kecil (wang dan
masa kerana terpaksa tunggu giliran untuk ibadah Haji) supaya menghilangkan
mudharat yang lebih besar (pihak zalim memerintah disebabkan pihak Islam hilang
undi).
Wallahu
a’lam….
Disediakan
oleh :
Muhamad
Zuhaili Saiman
Pengerusi
Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1-
Al-Intikhabat Ahkam Wa DHawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam
2- Min Fiqh
Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Sharouq
3- Al-Qawaid
Al-Fiqhiyyah, Dr Abdul Aziz Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah
4- Dhawabit
Al-Maslahat, Dr Muhamad Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr
5- Nihayah
As-Sul Syarh Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, cetakan Dar Ibnu Hazm
6- Hasyiah
Baijuri, cetakan Dar Al-Maktab Al-Islami
No comments:
Post a Comment