Labels

Pages

Saturday, June 18, 2011

Kenyataan Rasmi MANHAL PMRAM Terhadap Karikatur Utusan ‘Kekeliruan Kes Rogol’

Merujuk karikatur yang dimuat di dalam dada akhbar Utusan bertarikh 15 Jun 2011, ia dilihat sebagai usaha mempersenda agama Islam. Konten karikatur tersebut menggambarkan bahawa Islam tidak sedikit pun membela hak dan maruah manusia. Di dalam surah al-Taubah ayat 65 dan 66, Allah telah mencela golongan yang mempersenda-senda agama Islam:

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu) tentulah mereka akan menjawab : sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah : Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu mempersendakan? (65) Tidak perlu kamu beralasan kerana kamu telah kufur setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa”.(66)


Berdasarkan ayat ini, terbit hukum terbatal keIslaman seseorang apabila dia melancarkan sendaan terhadap Islam, samada dengan hati, kata-kata atau perbuatan. Pelaku kesalahan tersebut kekal dengan kekufurannya sehingga taubat nasuhanya diterima oleh Allah SWT.

Bahkan kefahaman pelukis yang bertanggungjawab atas karikatur tersebut dengan agama Islam ternyata amat dangkal. Beliau keliru antara pensabitan jenayah zina dan jenayah rogol. Zina tiada unsur paksaan manakala rogol pula sebaliknya. Islam telah memperuntukkan jenayah rogol dengan cara pensabitan yang cukup berbeza dengan jenayah zina. Rogol tidak memerlukan empat orang saksi yang adil sebagaimana zina. Sebaliknya jenayah rogol hanya memerlukan qarinah untuk sabit kesalahan ke atas pesalah.

Menurut Imam al-Jurjani di dalam ensiklopedianya ‘al-Ta’irifat’, qarinah merupakan bukti jelas yang difikirkan logik bagi membantu siasatan kes. Qarinah mestilah sesuatu sumber maklumat yang diketahui umum yang difikirkan relevan untuk dijadikan bahan bukti. Dengan itu, ia mampu merungkai persoalan tersirat terhadap sesuatu kes. Autoriti qarinah dalam mengadili sesuatu dakwaan telah disebut di dalam al-Quran melalui surah Yusuf ayat 27 dan 28;

“Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: Sesungguhnya kejadian itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar”

Nabi Yusuf terbukti tidak bersalah dengan dakwaan rogol apabila didapati terdapat kesan koyak di belakang bajunya. Pada zaman tersebut, ia dianggap qarinah yang cukup jelas menggambarkan situasi antara perogol dan mangsa rogol.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam karyanya ‘al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah’ menyebutkan bahawa para sahabat telah menjadikan hamil sebagai qarinah kepada jenayah zina. Bahkan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad yang mewakili majoriti ulama’ berpendapat bahawa qarinah yang cukup jelas amat berautoriti menjadi pelengkap bagi bahan bukti.

Adapun qarinah bagi kes rogol yang relevan diguna pakai di zaman sekarang, ia termasuk DNA, rakaman video, gambar, cop jari dan sumber-sumber lain mengikut peredaran semasa. Justeru MANHAL PMRAM mencadangkan beberapa inisiatif bersama:

1) Pelukis karikatur dan pihak-pihak yang terlibat diminta bertaubat kerana mempersenda hukum agam Islam. Mereka juga perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam. Ini demi memelihara sensitiviti umat Islam tehadap cara hidup anutan mereka.

2) Kajadian ini membuktikan kekeliruan masyarakat Islam Malaysia terhadap agama anutan mereka sendiri. Ahli akademik Islam perlu mengadakan usaha bersepadu ke arah penerangan dan pemahaman terhadap hukum hakam Islam.

Rujukan:
1) Tafsir Ayat al-Ahkam, Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni.
2) Al-Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah al-Zuhaili.
3) Majmu’ Syarah Muhazzab, Imam Nawawi disempurnakan oleh Syeikh Najib Muthi’iy.
4) Feqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Zuhaili.
5) Feqh al-Sunnah, Sayyid Sabiq.
6) Al-Nizam al-Qadha’ie Fi al-Feqh al-Islami, Dr. Muhammad Ra’fat Uthman.

Fellow MANHAL yang terlibat:

1) Mohamad Hanif Bin Haron.
2) Abdul Mu’izz Bin Muhammad.
3) Shahrizan Bin Mohd Hazime.

No comments:

Post a Comment