Labels

Pages

Monday, May 21, 2012

REJAB BULAN MULIA




    Ahlan buat bulan Allah yang mulia...dengan izinNya,hari esok,maka bermulalah hari yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam iaitu (1 REJAB 1433 H bersamaan 22 MEI 2012 M).

APA ITU BULAN REJAB???

  Rejab ertinya “Mulia”. Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini.

   Sebagaimana yang kita tahu bulan Rejab  merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram di dalam Islam. 

     Allah berfirman yang bermaksud :  “ Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (Surah  At-Taubah: 36)

Bulan Haram yang dihormati itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagai ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.

PERISTIWA HEBAT DI BULAN REJAB

   Pada bulan ini, berlakunya peristiwa Isra’ Mikhraj yang berlaku pada 27 Rejab. Tahun berlakunya Isra’ Mikhraj dipanggil Tahun Dukacita kerana pada tahun itu, Rasulullah s.a.w kehilangan dua insan yang disayangi iaitu isteri baginda, Siti Khadijah dan bapa saudara baginda, Abu Talib. Maka Allah menceriakan Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam melalui peristiwa Isra’ Mikhraj.

   Dari peristiwa Isra’ Mikhraj itu, maka bermulalah pensyariatan solat 5 waktu kepada umat Islam sebagaimana yang  didirikan  sehingga ke hari ini.

   Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah Solallahu Alaihi Wasallam.

ANTARA AMALAN YANG DISARANKAN :

  v BERDOA
   Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami bahawa Imam Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”


   Jadi,perbanyakkanlah berdoa pada malam ini.Moga-moga segala permohonan kita dikabulkan oleh Allah.


  Berbunyi satu hadis yang diriwayatkan daripada Sayyiduna Anas bin Malik رضي الله عنه beliau berkata: Adalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم berdoa:  
                                          “ اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. (HR Imam Ahmad, ath-Thabarani dan lain-lain)

Selitkan lah doa yang Nabi tuturkan ini  di dalam doa harian kita.

  v BERPUASA
   Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi Solallahu Alaihi Wasallam menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”

Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)


v  ISTIGHFAR
Sabda Rasullullah Solallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
“ Siapa yang membiasakan istighfar, Allah akan menjadikan setiap kesempitan menjadi lapang,dan setiap kesukaran menjadi mudah.Dan Allah memberikan kepadanya rezeki yang tidak terhitung atau disangka-sangka " ( Hadis Riwayat Abu Daud )

 vBERSEDEKAH
Terdapat satu hadis Nabi yang berbunyi : “sedekah dapat menolak bala dan dapat memanjangkan umur " 

 vBERZIKIR
FIRMAN ALLAH TAALA DALAM SURAH AL-AHZAB AYAT 41  YANG BERMAKSUD :
“ Wahai orang-orang yang beriman,berzikirlah dengan menyebut nama Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya.”

 v SOLAT MALAM( QIAMUNLAIL)
Sabda Rasulallah yang ertinya :
“  Hendaklah kamu semua rajin bangun malam ( bertahajud ). Sebab hal itu telah menjadi kebiasaan para solihin sebelummu.Dan menyebabkan kamu dekat dengan Allah.Di samping itu dosa-dosa kamu dihapuskanNya,sekaligus dapat menghilangkan penyakit di tubuhmu” (Hadis Riwayat Tarmizi)

    Selain daripada amalan yang disebutkan di atas,banyak lagi amalan dan ibadah lain yang boleh kita lakukan.Jadi, Ambillah peluang keemasan yang Allah berikan ini  supaya kita dapat menambahkan amalan dan amal kebajikan dengan penuh keikhlasan sebagai bekalan menuju akhirat.Semoga kita memperolehi syurgaNya kerana redhaNya....Wallahu  ‘alam...

Wan Nurhidayah Binti Wan Fadhil
Ketua Unit Dakwah & Pembangunan Insan DPMI 2011/2012

No comments:

Post a Comment