Labels

Pages

Thursday, February 16, 2012

MAHASISWI ISKANDARIAH DITIMPA MUSIBAH


ISKANDARIAH, 16 FEBRUARI : Seorang mahasiswi tahun 3 Syariah Islamiah, Nur Fatin Adilah binti Azizan yang berasal dari negeri Johor telah dimasukkan ke Hospital Al-Imam, Assofirah semalam apabila mengadu kurang sihat sejak pagi. Beliau yang ditemani sahabat serumah bergegas ke hospital setelah keadaan kesihatan dilihat semakin membimbangkan.

Setibanya di hospital, beliau dimaklumkan oleh doktor yang merawat bahawa beliau perlu segera dibedah kerana disahkan mengalami komplikasi di bahagian apendiks. Setelah mendengar penerangan daripada pihak hospital, beliau bersetuju untuk dibedah. Pengerusi DPM Iskandariah, saudari Sumaiyah binti Zakaria yang ditemani Timbalan Setiausaha (Unit Kebajikan & Kemanusiaan) saudari Syakirah binti Muslim sempat bersua dengan beliau sebelum dibedah. Turut hadir, Exco Dakwah UMI saudara Mohd Hafifi bin Abdullah.

Sekitar jam 11.00 malam, beliau telah dimasukkan ke dewan pembedahan. Tempoh masa pembedahan yang dianggarkan mengambil masa 1 jam telah berlanjutan sehingga 3 jam apabila beliau perlu dibedah untuk kali kedua setelah dikenalpasti mengalami komplikasi di bahagian ovari.

Dengan izin Allah S.W.T , beliau selamat dibedah sekitar jam 2.00 pagi dan ditempatkan di wad pesakit luar. Kos rawatan bagi kedua-dua pembedahan tersebut mencecah LE 2500. Alhamdulillah, walaupun masih belum dibenarkan pulang, keadaan beliau berada dalam keadaan stabil. Seluruh kepimpinan PMRAM Cawangan Iskandariah menyeru kepada sahabat-sahabat untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga diberi kesembuhan dan perlindungan daripada Allah S.W.T. Justeru, pesanan buat seluruh ahli supaya mengambil cakna berkenaan kesihatan dan keselamatan di mana jua berada.

Isu Syria : SMATT Selaras Solat Hajat Dan Kempen Prihatin Syria


KAHERAH, 16 Feb - Berhubung isu kemanusiaan di Syria yang melihatkan pembunuhan umat Islam di Syria oleh tentera di bawah pemerintahan Rejim Bassar Asad, maka SMATT (Solidariti Mahasiswa Timur Tengah) menyatakan pendirian mengecam tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan tersebut.

SMATT yang terdiri daripada Malaysia, Jordan, Yaman, Syria, Morocco, Sudan dan Arab Saudi berdiri teguh di belakang para ulama dalam mendesak agar negara Islam dan Liga Arab agar membuat sesuatu tindakan yang serius agar dapat menghentikan perbuatan zalim tersebut.

SMATT juga menyeru agar semua mahasiswa/wi Islam agar sama-sama cakna dengan isu yang berlaku di Syria.

SMATT telah menghubungi persatuan-persatuan di peringkat Malaysia dan antarabangsa yang lain agar turut sama untuk mengambil tindakan agar isu Syria ini mendapat perhatian oleh semua mahasiswa/wi di dunia.

Dan hasil perbincangan yang telah dilakukan, SMATT akan menyelaraskan beberapa perkara iaitu :

1- Solat hajat untuk umat Islam di Syria pada 16 Februari ini.

2- Pelancaran Kempen Prihatin Syria dan kutipan sumbangan bermula pada 16 Februari ini.

3- Memberikan penerangan semasa berkaitan isu Syria kepada mahasiswa/wi Islam

4- Bersiap sedia untuk menghulurkan sebarang bantuan

Justeru, SMATT menjadi medium suara bagi mahasiswa/wi di Timur Tengah dalam menggerakan sebarang agenda yang berkaitan dengan sensitiviti Islam dan mahasiswa/wi Islam. Dengan isu yang berlaku ini, SMATT juga akan menyusun perancangan lagi demi menghulurkan bantuan kepada umat Islam di Syria yang dizalimi.

Muhamad Zuhaili Saiman

Pengerusi

SMATT (Solidariti Mahasiswa Timur Tengah)2011/2012 Presiden Persekutuan

Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2011

( sumber : PMRAM )

CINTA SEJATI




Seorang hamba sahaya bernama Tsauban amat menyayangi dan merindui Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam. Sehari tidak berjumpa Baginda, dia rasakan seperti setahun. Kalau boleh dia hendak bersama Nabi setiap masa, setiap ketika. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia berasa amat sedih, murung dan seringkali menangis. Rasulullah juga demikian terhadap Tsauban. Baginda mengetahui betapa hebatnya kasih sayang Tsauban terhadap dirinya.

Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam. Katanya, "Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas, takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala saya belum tentu. Kemungkinan di syurga paling bawah atau paling membimbangkan langsung tidak dimasukkan ke dalam syurga. Ketika itu saya tentu tidak dapat bersua muka denganmu lagi ya Rasulullah."

Mendengar kata Tsauban, Baginda amat terharu. Namun Baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah. Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah Sollallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud, "Barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu nanti akan bersama insan yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para Nabi, syuhada, orang-orang soleh dan mereka yang sebaik-baik teman." Mendengarkan jaminan Allah ini, Tsauban menjadi gembira semula.

Benarkah sudah terbukti kecintaan kita kepada Baginda Nabi???

Sunnah Nabi hanya sekadar diketahui tanpa dipraktik!

Akhlak Nabi tidak dijadikan hiasan peribadi!

Selawat ke atas Nabi jarang sekali!

Adakah itu yang dinamakan cinta sejati???

KOREKSI DIRI SEBELUM DISERU ILAHI

اللهم صلى على سيدنا محمد

Satu Hati ’12 : Medium Lestarikan Pimpinan


KAHERAH, 15 Feb – Satu program khusus yang menghimpunkan seluruh kepimpinan PMRAM di Mesir sama ada peringkat cawangan BKAN dan DPM telah sempurna dilaksanakan semalam.

Program yang berlangsung di dua tempat berasingan itu iaitu di Mukhayyam Daim untuk kepimpinan ikhwah dan Nadi Syabab, Musallas untuk kepimpinan akhawat.

Program yang bermula pada jam 9.00 pagi itu dirasmikan oleh Saudara Shahrizan Bin Mohd Hazime, yang juga merupakan anggota penasihat PMRAM 2011.

Bertemakan “ Teguh Wahdah Atasi Mehnah “ program kali ini lebih menekankan aktiviti outdoor yang bertujuan menanamkan fikrah dan kefahaman yang jitu di kalangan para pimpinan terhadap perjuangan sebagai seorang pemimpin yang sebenar.

“ Pemimpin merupakan tonggak utama yang membentuk kekuatan sesebuah organisasi. Sikap tidak bersungguh-sungguh dan meringan-ringankan tanggungjawab serta amanah selaku kepimpinan tidak memungkinkan sesebuah organisasi ataupun persatuan dapat meyampaikan agenda dakwah dan kebajikan yang lebih berkesan “ujar Saudara Shahrizan Mohd Hazime ketika merasmikan program tersebut.

Selain daripada itu, Satu Hati ’12 kali ini menampakkan sedikit kelainan apabila kita menyelitkan beberapa pengisian berbentuk luar dewan atupun lebih dikenali dengan konsep ukhuwwah berpeluh.

Antaranya ialah talian karat, karpet merah dan perbincangan dan pembentangan penyelesaian masalah PMRAM dalam slot GKB 2.

Program kali ini juga turut tidak ketinggalan daripada melaksanakan konsep denda ataupun iqab terhadap pemimpin yang gagal melaksanakan tugasan dengan baik ataupun tidak dapat memenuhi taklifan yang telah ditentukan.

“ Respon yang diterima daripada seluruh kepimpinan memuji konsep program Satu Hati ’12 tahun ini. bahkan ada di kalangan pemimpin PMRAM cawangan BKAN dan DPM mencadangkan agar konsep sebegini diteruskan untuk sesi yang akan datang disamping memperkasakan modul GKB agar lebih menarik" ujar Saudara Abdul Aziz Bin Ali, selaku pengarah program Satu Hati ’12 ketika ditemui sejurus selepas program berakhir.

“ Apa yang kita harapkan agar seluruh sahabat kepimpinan dapat mempertingkatkan lagi akhlak serta karakter sebagai seorang pemimpin agar ia selari dengan hasrat yang dikendaki PMRAM sekaligus memperkuatkan pengaruh dan kebersamaan antara pimpinan dalam menjayakan slogan ‘ Kita PMRAM ‘ yang dicanang-canangkan oleh seluruh barisan kepimpinan PMRAM “ tambah beliau lagi.

( sumber : PMRAM )

KENYATAAN RASMI SOLIDARITI MAHASISWA ASIA TENGGARA DI MESIR BERHUBUNG KRISIS KEMANUSIAAN DI SYRIA

Pihak Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara dan dunia seluruhnya telah melihat dan memerhatikan isu keganasan dan penindasan kerajaan Basyar Al-Asad membunuh dan menyembelih rakyatnya sendiri tanpa belas kasihan sejak lebih 10 bulan lalu seakan-akan tiada kesudahan.

Jumlah kematian sudah mencecah lebih 7,000 nyawa termasuk dari kalangan kanak-kanak, bayi yang baru lahir, wanita dan warga tua manakala lebih 10 ribu yang lain menjadi pelarian ke sempadan negara jiran, Turki dan Jordan.

Pendirian pihak kami dalam isu ini amat jelas iaitu menentang kezaliman adalah kewajipan bagi semua muslim sekalipun jika berlaku terhadap musuh.

Firman Allah dalam Surah Maidah ayat ke 8 yang bermaksud:

((Janganlah kebencian kamu terhadap satu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil, berlaku adil kerana ia amat hampir kepada taqwa))

Tegahan Allah untuk kita tidak cenderung atau memberikan apa jua sokongan terhadap kezaliman seperti firmanNya dalam Surah Hud ayat 113:

((Jangan kamu cenderung kepada kezaliman nescaya kamu akan disambar oleh api neraka))

Sudah tentu mereka yang mempunyai sifat perikemanusiaan akan tidak dapat menerima apa yang berlaku di Syria pada waktu ini.

Negara Syria yang terkenal dengan pusat penyebaran ilmu Islam sejak ratusan tahun terutama masjidnya yang bersejarah, Masjid Umawi dan Damsyik, ibu negara Syria yang pernah melalui zaman kegemilangan apabila Khilafah ketika itu, Muawiyah bin Abu Sufian r.anhu menjadikannya sebagai pusat pentadbiran khilafah ketika itu.

Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara juga memberikan amaran bahawa pembunuhan yang berterusan setiap hari ini terutama di wilayah Homs bakal mengulangi sejarah hitam yang pernah dilakukan bekas Presiden Hafiz Al-Asad sebelum ini di wilayah Hamah pada pembunuhan beramai-ramai bermula 2 Februari 1982 yang mengorbankan lebih 40 ribu umat Islam.

Wilayah Homs dikenali kerana di sana juga terdapat maqam dan masjid sahabat yang masyhur lagi gagah berani iaitu Saidina Khalid Al-Walid r.anhu.

Oleh itu, pihak Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara menegaskan:

1) Perlunya bantuan segera berupa kewangan dan ubat-ubatan bagi dihulurkan kepada rakyat Syria yang kini berada dalam kepungan tentera rejim.

2) Menyokong tindakan negara-negara Teluk yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria dengan memanggil pulang duta masing-masing termasuk Parlimen Mesir yang mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Parlimen Syria.

3) Berdiri teguh bersama-sama para ulamak yang bersama-sama dengan kebangkitan rakyat khasnya melalui Ikatan Ulamak Syria yang dipengerusikan oleh Syeikh Dr.Muhammad Ali As-Sobuni yang begitu berani dan lantang menegur pemerintah yang zalim.

4) Menyeru semua mahasiswa dan mahasiswi untuk melakukan solat hajat dan qunut nazilah hingga Allah memberikan bantuan kepada rakyat Syria.

5) Mengutuk tindakan campur tangan asing dalam hal ehwal negara Syria apatah lagi yang menyokong rejim Syria seperti yang dilakukan oleh negara China dan Russia yang menggunakan kuasa veto bagi menghalang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meluluskan usul mendesak rejim Syria segera berundur.

Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara juga melahirkan kekesalan terhadap Liga Arab dan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang gagal mengambil tindakan cepat dan berani dalam menangani krisis berdarah ini.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada rakyat dan pendukung revolusi Syria dalam menuntut keadilan dan kebebasan yang sekian lama ditekan dan ditindas.

Muhammad Abdul Malik Hj.Abdul Karim,

Ketua Sekretariat

Solidariti Mahasiswa Asia Tenggara di Mesir/

Penasihat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM

( SUMBER : PMRAM )