Friday, October 7, 2011
Motivasi Kecemerlangan dan Pelancaran Jom Ke Kuliah sesi 2011/2012 DPM Iskandariah
ISKANDARIAH, 7 OKTOBER 2011 : Pada hari Khamis, 6 Oktober 2011 Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah di bawah Unit Pendidikan telah mengadakan Program Motivasi Kecemerlangan dan Pelancaran Jom Ke Kuliah sesi 2011/2012. Program yang bertemakan ‘Kecemerlangan Dicipta Islam Terpelihara’ tidak lain tidak bukan merupakan satu medium untuk mempertingkat kecemerlangan di kalangan mahasiswi Iskandariah.
Program yang bermula seawal jam 7.00 pagi dengan kehadiran peserta seterusnya dirasmikan oleh Saudari Norliza Mat Salleh, Penasihat I DPM Iskandariah 2011/2012 dan telah berakhir sekitar jam 4.00 petang mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ahli DPMI dan juga UMI. Antara agenda utama program adalah Talkshow di bawah tajuk “ Bagaimana Mencipta Kecemerlangan “ yang menampilkan dua orang ahli panel terkemuka iaitu Saudara Mohd Ilyas bin Yusop, Pengerusi DPM Tanta dan Saudara Zulfadli bin Zakariah, Penasihat DPM Dumyat . Slot tersebut telah dikendalikan dengan jayanya oleh gandingan mantap dua orang moderator iaitu Saudari Qudsiyyah binti Amanah dan Saudari Maryam binti Md. Roffie.
Para peserta kelihatan bersemangat mendengar pengisian yang disampaikan dan turut memberi respon yang baik apabila tiba sesi soal jawab. Memetik kandungan perbincangan serta perkongsian yang diberikan oleh kedua-dua ahli panel, dapatlah disimpulkan di sini bahawa kecemerlangan yang hakiki menurut pandangan Islam ialah cemerlang di dunia dan akhirat iaitu diredhai oleh Allah Taala. Selain itu, kecemerlangan juga bergantung kepada diri individu itu sendiri. Peserta-peserta juga menerima beberapa petua kecemerlangan berdasarkan pengalaman kedua-dua ahli panel yang mana berjaya dalam akademik juga persatuan.
Majlis diserikan dengan penyampaian watikah perlantikan Ketua Fakulti setiap tahun dan syu’bah yang telah disempurnakan oleh Saudara Sumaiyah binti Zakaria selaku Pengerusi DPMI 2011/2012.
Program Motivasi Kecemerlangan diteruskan dengan Slot Gerak Kerja Berkumpulan (GKB ) .Para peserta dikehendaki menulis harapan masing-masing di atas sehelai kertas menggunakan sebelah tangan yang mana tidak biasa digunakan seharian. Modul kedua pula ialah para peserta dikehendaki membentangkan beberapa persoalan berdasarkan pengisian yang diterima sebelum ini.
Pada sebelah petang, Program Motivasi Kecemerlangan menerima kunjungan tetamu istimewa iaitu Dr. Syeikh Muhammad Muhammad Abu Sayyid Ahmad , wakil pensyarah Universiti Al-Azhar Kaherah yang merupakan mantan pensyarah di Kolej Insaniah selama hampir 10 tahun dan juga Sheikh Ala’ Muhammad Mustafa Al-Azhari , guru di Masjid Amru Assofirah, Iskandariah. Slot tersebut telah dipengerusikan oleh Saudara Akli bin Ahmad iaitu wakil Unit Mutazawwijin Iskandariah. Tetamu jemputan tersebut telah mnyampaikan ceramah yang bertajuk ‘ Peranan Pelajar dan Kepentingan Menuntut Ilmu’. Sesi soal jawab bermula sejurus selesai ceramah dan para peserta tidak melepaskan peluang untuk melontarkan persoalan kepada kedua-dua penceramah.
Majlis bertambah lengkap apabila disusuli dengan gimik pelancaran Jom Ke Kuliah sesi 2011/2012 yang menyaksikan kedua-dua tetamu menurunkan tanda tangan di atas simbol pelancaran yang disediakan oleh pihak penganjur. Sekitar jam 4.00 petang, program berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada jemputan. Semoga usaha yang kecil ini dapat memberikan impak yang maksima terhadap kecemerlangan akademik di kalangan mahasiswi Iskandariah. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak dalam menganjurkan Program Motivasi Kecemerlangan dan Pelancaran Jom Ke Kuliah DPM Iskandariah 2011/2012. Sekian.
Disediakan oleh :
Unit Pendidikan DPMI 2011/2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment