Labels

Pages

Sunday, May 29, 2011

Mahasiswa Nyaris Ditikam Pemandu Teksi


28 Mei, Camp Caesar – Seorang mahasiswa perubatan tahun dua Universiti Iskandariah, Mohammad Naim bin Ismail nyaris ditikam oleh pemandu teksi yang dinaikinya. Kejadian ini berlaku pagi semalam semasa mangsa dalam perjalanan pulang daripada rumah rakannya yang terletak berhampiran Hospital Mowasah menuju ke rumahnya di Ibrahimiyah.

Kejadian bermula ketika teksi melepasi kawasan Istad Gamaah, pemandu teksi tersebut meminta supaya pelajar tersebut membayar tambang sebanyak LE10. Mangsa enggan membayar harga tersebut kerana harga biasa tidak melebihi LE5, tambahan pula destinasi yang dituju masih belum kelihatan. Pemandu teksi tersebut mula bertindak agresif dengan memasukkan tangannya kedalam beg sandang pelajar terbabit dan memaksa mangsa menyerahkan semua wang dan juga telefon bimbitnya.

Mangsa lantas menarik semula begnya dan meminta pemandu teksi tersebut supaya berhenti dengan mengugut untuk membuka pintu teksi. Pemandu tersebut walaubagaimanapun enggan berhenti, malah menambahkan lagi kelajuan teksi itu manakala tangannya mencapai pisau dari bawah tempat duduk pemandu lalu mengacukannya ke arah mangsa dan cuba merampas beg mangsa.

Bimbang pemandu teksi tersebut akan menikamnya, mangsa bertindak berani dengan terjun daripada teksi tersebut menyebabkan kecederaan pada tangannya akibat terseret dan kepalanya pula terhantuk. Pemandu teksi itu masih belum berpuas hati bertindak mengundurkan teksinya untuk melanggar mangsa. Mangsa yang cedera dan hampir pengsan berusaha untuk menyelamatkan diri dengan berlari menuju ke arah Camp Ceasar dan menggunakan laluan bertangga supaya pemandu teksi tersebut tidak dapat mengekorinya.

Menyangkakan pemandu teksi tersebut tidak mengekorinya, mangsa meneruskan perjalanan pulang dengan berjalan kaki ke arah Syari’ Port Said. Apabila sampai berhampiran jalan tersebut, rupa-rupanya pemandu teksi tersebut masih lagi meninjau-ninjau kelibat mangsa. Mangsa kemudiannya bersembunyi di sebalik kenderaan berhampiran, apabila yakin pemandu tersebut tidak melihatnya, mangsa terus menuju kerumah rakannya yang berhampiran untuk bersembunyi.

“Saya tak ingat nombor pendaftaran teksi itu. Perwatakan pemandu teksi tu biasa saja, nampak macam baik. Pemandu tu muda lagi, kulit gelap dan berbadan kurus. Teksi dia ada gantung banyak benda pelik-pelik macam dadu la, benda-benda macam itulah” ujar mangsa. Tambahnya lagi “Kalau naik teksi kalau boleh, jangan naik berseorangan, terutamanya akhawat. Kalau terpaksa juga, duduk di tempat duduk belakang, jangan duduk di depan sebab kalau duduk depan lagi tinggi risiko untuk dicederakan”.

Muhammad Amir Hakimi, Exco Akademik PERUBATAN Cawangan Iskandariah ketika diminta memberi ulasan menyatakan, “Apabila berada didalam teksi, janganlah mengeluarkan atau menunjukkan barang-barang berharga seperti Iphone, laptop, duit yang banyak dan sebagainya”. Beliau juga menekankan keselamatan para akhawat dan menasihati mereka agar menggunakan khidmat musyrif.

sumber : perubatan cawangan iskandariah

No comments:

Post a Comment