Tuesday, December 13, 2011
Tip-tip Cemerlang Di Dalam Pembelajaran
Kondisi sebagai mahasiswa/wi Islam di Mesir samada pengajian Islam atau perubatan, keberjayaan di dalam pembelajaran sudah tentu menjadi matlamat penting dalam kehidupannya. Hal ini demikian, mahasiswa/wi Islam yang sinonim dengan idealisme dalam mencetuskan pembaharuan, maka keberjayaannya di dalam pembelajaran menjadi pendangan awal bagi masyarakat.
Mahasiswa/wi Islam yang berjaya adalah mahasiswa/wi yang mampu mengimbangi segala aspek dari sudut pembelajaran, persatuan, pengurusan serta gerak kerja bermasyarakat.
Justeru, di peringkat PMRAM, pencapaian akademik menjadi satu subtajuk penting dalam ucapan dasar Presiden PMRAM 2010 iaitu "Kecemerlangan Akademik Sebagai Senjata Utama". Bahkan penekanan terhadap pembelajaran juga diberikan sejak awal permulaan pembelajaran di kuliah dan kemuncak ketika tempoh tawaqquf program.
Maka ketika itulah fokus menggerakkan suasana pembelajaran diperhebatkan agar mahasiswa/wi Islam tidak lalai dengan tanggungjawabnya dengan kecemerlangan akademik.
Namun, ramai mahasiswa/wi Islam yang masih kurang secara teknikal bagi meraih keberjayaan di dalam pembelajaran, mungkin disebabkan teknik pembelajaran yang tanpa berdisplin diamalkan di Malaysia menjadi kayu ukur untuk berjaya di peringkat universiti.
Apa yang pasti piawaian bagi teknikel pembelajaran adalah lebih tinggi di peringkat universiti, justeru memerlukan kepada displin pembelajaran yang baik dan teratur.
Dalam artikel ringkas ini akan dinyatakan beberapa tip-tip yang boleh digunakan bagi membantu teknik pembelajaran yang sudah sedia pakai. Antaranya ialah :-
1) Reading by eagle's eye
Ini satu kaedah paling awal digunakan dalam memulakan pembelajaran. Kaedah ini adalah untuk menerapkan minat kepada mahasiswa/wi Islam untuk membaca buku kuliah tersebut. Kaedah ini tidak memerlukan kepada kefahaman secara 100% dalam setiap patah perkataan, ia hanya untuk bagi mengetahui apakah isi yang ingin disampaikan oleh pensyarah universiti di dalam setiap perenggan.
Kaedah ini digunakan dengan cara mahasiswa/wi Islam membaca buku kuliah dari awal sehingga habis tanpa perlu berhenti mencari makna bagi setiap patah perkataan. Bahkan kaedah yang dipanggil bacaan menggunakan mata helang perlu digunakan dengan laju. Maksudnya mahasiswa/wi Islam membaca buku secara berterusan sehingga habis.
Kemudian menyimpulkan apakah isi kandungan penting yang ingin diterangkan di dalam buku tersebut. Secara tidak langsung, mahasiswa/wi Islam akan terasa minat untuk mendalami pemahaman dengan membacanya kali kedua dengan lebih teliti serta mendapat gambaran awal mengenai kandungan buku tersebut.
2) Learning point by summary
Peringkat ke-2 selepas pembacaan oleh mata helang iaitu sepintas lalu, kaedah yang boleh digunakan ialah memahami tajuk-tajuk yang dibentangkan berdasarkan kefahaman setiap perenggan. Iaitu meneliti apakah isi penyampaian bagi setiap perenggan. Hal ini demikian kerana bukan semula perenggan yang menerangkan isi penting.
Terdapat juga perenggan yang hanya menerangkan isi penting bagi perenggan yang sebelumnya. Justeru, dalam kaedah ini, mahasiswa/wi Islam perlu mengasingkan setiap perenggan dengan mencari apa isi penting dalam perenggan. Mungkin dalam 7 perenggan hanya 2 perenggan sahaja yang menerangkan isi-isi penting, berbaki ialah menerangkan atau syarahan kepada isi-isi tadi sahaja.
Maka dalam kaedah yang ke-2 ini iaitu learning point by summary ialah memahami isi penting secara kesimpulan. Iaitu dapatkan dahulu berapakah isi penting bagi satu-satu tajuk, kemudian dengan kefahaman awal yang telah digunakan melalui kaedah reading by eagle's eye akan membantu sedikit sebanyak apakah yang ingin disampaikan melalui isi-isi penting yang disampaikan dalam satu tajuk tersebut.
3) Schedule and target
Selepas itu, mahasiswa/wi Islam akan mendapati bagi setiap buku kuliah, manakah buku yang paling dia mendapat kefahaman yang paling sedikit selepas kaedah pertama dan ke-2 digunakan. Justeru, susun jadual untuk menetapkan baca buku kuliah mengikut kesukaran dalam mendapat kefahaman, maka letakkan buku kuliah tersebut untuk kerap dibaca walaupun sedikit. Hal ini demikian kerana buku kuliah yang susah untuk difahami mestilah dibaca dengan lebih kerap untuk tidak menjemukan mahasiswa/wi Islam untuk menghabiskan bacaan serta supaya tidak mudah hilang kefahaman apabila tidak kerap membaca.
Berbeza dengan buku yang senang mendapatkan kefahaman melalui kaedah pertama dan kedua, maka buku kuliah tersebut dijadualkan walaupun tidak kerap, tetapi banyakkan target muka surat yang ingin dihabiskan bagi setiap pembacaan. Hal ini demikian, biar buku yang mudah difahami dihabiskan lebih awal supaya boleh memberikan ruang yang banyak untuk tumpu buku kuliah yang agak sedikit payah untuk difahami.
Selain itu, buku kuliah yang mudah difahami perlu dihabiskan dengan lebih awal adalah supaya mahasiswa/wi Islam terus mendapatkan gambaran sepenuhnya terhadap subjek tersebut dan hanya perlu mengingati secara berulang-ulang apa yang telah dibaca dan difahami.
Maka kesimpulannya, buku yang susah difahami mestilah dijadualkan agar lebih kerap membaca walaupun sedikit target muka surat yang mesti dihabiskan bagi setiap bacaan. Manakala buku yang mudah difahami perlulah dihabiskan dengan segera dan setip kali pembacaan mestilah baca dengan lebih banyak supaya mendapat pemhaman dengan lebih banyak dalam satu-satu masa.
4) Study Group
Kaedah ini juga banyak membantu untuk lebih memahami serta menjimatkan masa. Belajar secara berkumpulan semestikan menjadikan tenaga pembelajaran lebih besar. Bahkan dapat membantu mahasiswa/wi Islam untuk menampung setiap kelemahan yang ada. Namun begitu, sebaik-baiknya mahasiswa/wi Islam sudah membaca dahulu buku kuliah tanpa mengharapkan untuk mula membaca dengan bermulanya pembelajaran secara berkumpulan.
Pembelajarn secara berkumpulan juga, adalah medium untuk memastikan apa yang kita faham melalui pembacaan secara individu kita adalah betul. Hal ini demikian kerana, segelintir mahasiswa/wi Islam yang belajar secara berseorangan merasakan apa yang difaham adalah begitu, namun hakikat yang sebenar adalah sebaliknya sehingga menyebabkan ia kecundang di dalam peperiksaan.
Pembelajaran secara berkumpulan yang terbaik juga adalah memastikan tempoh untuk menghabiskan semua kitab kuliah dengan tempoh yang lebih awal agar ulangkaji dapat dijalankan lebih awal.
5) Revision
Maka selepas habis pembacaan buku kuliah, mahasiswa/wi Islam mesti mengulangkaji semula apa yang telah difahami, isi-isi penting yang telah digariskan serta menguatkan hafalan mengenai apa yang dibentangkan di dalam buku tersebut.
Tempoh ulangkaji bukanlah apabila dekat dengan peperiksaan, namun ulangkaji yang terbaik ialah dilaksanakan selepas mempelajari dan membaca buku. Hal ini demikian kerana antara kesilapan mahasiswa/wi Islam iailah selepas tamat pembacaan, maka mereka akan berehat panjang dan melaksanakan ulangkaji apabila tempoh peperiksaan sudah tidak lama menjelang.
6) Examination's Note
Nota ringkas bagi peperiksaan juga adalah penting untuk memastikan mahasiswa/wi Islam dapat menghafal dengan lebih cepat serta dapat mengulangkaji subjek dengan lebih kerap. Nota ringkas ini boleh dilakukan samada ketika ulangkaji pertama dilakukan atau selepas selesai ulangkaji yang pertama.
Nota ringkas juga akan membantu mahasiswa/wi Islam mengingati isi-isi penting secara tidak langsung, kerana apabila ingin membuat nota ringkas maka tidak dapat tidak mahasiswa/wi Islam mesti membaca serta meneliti apa isi-isi penting yang sesuai diletakkan sebagai nota ringkas.
Bahkan nota ringkas amat penting bagi menjamin persediaan mahasiswa/wi Islam di saat akhir peperiksaan sebelm memasuki dewan peperiksaan.
Maka 6 kaedah yang telah dibentangkan di atas merupakah salah satu teknik pembelajaran secara berdisplin. Namun begitu, asas-asas penting dalam pembelajaran perlulah diperkasakan bagi menjamin keberjayaan di dalam pembelajaran. Antara asas-asas penting ialah:-
- menghadiri kuliah
- bertanya soalan kepada pensyarah serta rakan kelas
- mendapatkan motivasi yang dianjurkan oleh persatuan supaya menambahkan semangat untuk belajar
- berdoa kepada Allah agar diberikan keberkatan dalam pembelajaran dan kejayaan di dalam peperiksaan
Semoga apa yang dibentangkan di atas dapat membantu mahasiswa/wi Islam dalam mencapai kejayaan seterusnya menjayakan subtajuk "Kecemerlangan Akademik Sebagai Senjata Utama".
" Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah "
Disediakan oleh :
Unit Pengkuliahan dan Tutorial
Badan Pendidikan & Komunikasi Bahasa
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011.
(SUMBER : PMRAM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment