Labels

Pages

Tuesday, December 27, 2011

Bagaimana Membuat Nota Yang Terbaik




Dalam meghadapi tempoh peperiksaan, persiapan yang rapi amat penting. Hal ini demikian, tanpa persiapan, kekalutan yang timbul akan menyebabkan mahasiswa hilang fokus bahkan lebih teruk gugup ketika di dalam dewan peperiksaan.

Antara persiapan yang patut diberikan perhatian yang lebih oleh mahasiswa ialah nota bagi peperiksaan. Ramai di kalangan mahasiswa yang merasakan mereka membuat nota peperiksaan namun sebaliknya adalah mereka tersilap.
Mahasiswa mengarang semula ayat serta isi penting dalam bentuk rangka nota namun akhirnya ia menjadi jemu untuk mengulangkaji akan nota tersebut. Konklusinya, ia bukanlah nota.

Nota peperiksaan yang menjadi alat penting di saat akhir sebelum memasuki dewan peperiksaan adalah di antara alat penyelamat bagi mengimbas kembali segala pelajaran yang difahami serta dihafal supaya memori di dalam otak lebih kuat.

Justeru, dalam membuat nota peperiksaan, beberapa perkara yang mesti diambil perhatian oleh mahasiswa:-

- Tajuk Yang Jelas

Adalah amat penting dalam sesebuah nota supaya menjadikan tajuk atau bab sebagai 'header' nota serta pemisah di antara tajuk-tajuk yang lain. Mungkin ramai yang mahu menjadikan nota mereka yang paling ringkas sehingga setiap tajuk dalam satu subjek dicampur atau disempitkan dalam muka surat yang sama.

Perkara sebegini akan memberikan kesan yang besar terutama ketika mahasiswa gugup atau terluka apabila ingin menjawab di dalam dewan peperiksaan. Hasilnya, ingatan atau memori mahasiswa akan terkeliru dengan isi penting yang cuba diingati semula, namun tidak yakin isi tersebut bagi tajuk yang mana.

Nota peperiksaan yang ringkas, bukanlah ringkas semata-mata sehinggakan tidak penyusunan yang cantik dalam rangka nota tersebut. Justeru, pastikan setiap tajuk ditulis atau dilukis dengan jelas dan sebaik-baik menjadi pemisah antara isi-isi penting bagi setiap tajuk atau bab.

- Banyakkan Isi Penting, Bukan Syarahan

Tidak perlu di dalam nota peperiksaan yang dibuat, dimuatkan dengan contoh-contoh atau syarahan-syarahan serta huraian-huraian yang terdapat di dalam buku kuliah. Apa yang penting ialah isi penting sahaja. Huraian serta syarahan hanya perkara yang perlu difahami bukan hafalan. Sebab itu, huraian yang terbaik adalah berdasarkan daripada kefahaman yang berkait dengan isi penting.

Mahasiswa perlu kreatif iaitu tidak menjadikan contoh atau huraian adalah 100% sama sebagaimana di dalam buku kuliah. Bahkan semakin banyak syarahan yang mampu diolah sendiri menjadikan secara tidak langsung mahasiswa tadi mampu mengingati isi penting dengan baik dan kuat.

Tidak mengapa memperbanyakkan isi-isi penting di dalam nota. Itu yang terbaik. Hal ini demikian, isi penting menjadi pemarkahan asas, manakala huraian adalah pemarkahan yang subjektif yang terpulang kepada kesesuaian maksud dengan isi penting yang diberikan.

- Penggunaan ayat ringkasan atau simbol istimewa

Nota bukanlah sebagaimana buku catatan biasa. Nota yang terbaik ialah nota yang membantu menguatkan hafalan atau memudahkan ulangkaji walau di mana berada. Bagi memudahkan nota mudah untuk dibawa ke mana-mana dan mudah menjadi perangsang kepada imbasan memori, nota tersebut semesti menggunakan ayat yang paling ringkas dan juga terdapat padanya simbol-simbol istimewa yang menggambarkan sesuatu.

Penggunaan ringkasan dan simbol istimewa adalah sebagai tanda sahaja. Justeru, tidak memerlukan kepada pengamatan bagi satu-satu isi penting dengan tempoh yang panjang. Maka apabila kita melihat simbol istimewa tertentu dalam tempoh masa yang singkat, kita akan dapat mengingati isi penting yang terkandung. Begitu juga dengan penggunaan ringkasa.

Apabila begitu, nota yang dibuat tidaklah terlalu tebal atau besar sehingga menyukarkan kepada mahasiswa untuk bawa ke mana-mana dan tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mengingati kesemua isi-isi penting.

Apa yang penting, penggunaan ringkasan atau simbol istimewa merupakan kata kunci bagi pembuat nota dalam memahami sesuatu yang penting dan panjang.

- Terangkan perkara yang difokuskan

Mungkin sesuatu tajuk mempunyai isi penting yang banyak, maka pembuat nota mestilah bijak memilih atau menyusun isi-isi penting yang menjadi prioriti utama yang mesti diingati. Mahasiswa mesti ada sasaran perkara apa yang ingin difokuskan dalam kebanyakkan isi-isi penting. Justeru, perlu ada teknik tersendiri bagaiamana ia dapat memberikan fokus yang lebih kepada perkara tersebut.

Bahkan, perkara yang perlu difokuskan boleh dilakukan dengan bantuan warna-warna yang tertentu digunakan ke atas isi-sis penting yang fokuskan. Begitu juga dengan tajuk-tajuk yang dirasakan paling penting atau yang perlu diulangi acap kali berbanding dengan yang lain. Maka gunakan warna-warna yang pelbagai yang telah ditetapkan penggunaannya dalam memberikan perhatian yang terang kepada mahasiswa apabila membaca nota.

- Jadikan nota itu cantik dan kemas

Perkara sebegini juga membantu kepada kuatnya ingatan apabila membaca nota. Nota yang tidak kemas serta kurang menarik akan menyebabkan sel-sel otak bagi pembaca tidak terangsang dengan lebih aktif.

Secara hakikatnya, sel-sel otak akan lebih mudah terangsang apabila sesuatu maklumat yang didapati, berada dalam keadaan yang menyenangkan pemandangan. Sebab itulah mata menjadi saluran utama kepada otak. Nota yang cantik dan kemas akan menimbulkan ketenangan atau rangsangan nyang lebih kepada pandangan mata

Justeru, di atas merupakan beberapa teknik untuk membuat nota yang terbaik. Hal ini penting walaupun ia nampak seakan remeh. Mahasiswa yang pintar semestinya mempunyai nota peperiksaan tersendiri bagi memudahkan ulangkaji dilakukan lebih kerap dan di mana sahaja ia berada. Semoga artikel ringkas ini dapat membantu mahasiswa untuk persiapan ke arah peperiksaan.

(sumber : pmram)

No comments:

Post a Comment