Labels

Pages

Friday, December 16, 2011

TAHNIAH PMRAM! : SUARA MAHASISWA MASIH DIDENGARI



Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wa Barakatuh..Alhamdulillah, pertama-tama dan selama-lamanya setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan kepada Rabbul Izzati atas kurniaan nikmat yang tidak terhitung nilainya, masih lagi bernafas selaku hamba kepada Yang Maha Esa. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W , para ahli keluarga Baginda, para sahabat , tabi’ tabi’in seterusnya seluruh penyambung risalah suci Islam di seluruh dunia.

Walaupun masa dan ruang begitu mencemburui, namun ianya bukanlah suatu halangan bagi persatuan induk yang menaungi anak-anak Melayu di bumi Mesir iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) untuk meneruskan tanggungjawab kepada ahli-ahli yang disayangi.
Ini jelas terbukti apabila pada 12 Disember 2011, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)yang diketuai saudara Muhammad Zuhaili bin Saiman selaku Presiden PMRAM, bersama 4 orang Yang Di Pertua BKAN dan 4 orang Pengerusi DPM telah mengadakan kunjung hormat ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah iaitu TYT Dato’ Dr. Fakhruddin bin Abdul Mokti.

Menurut sumber , Badan Pengurus PMRAM yang turut serta dalam perjumpaan tersebut ialah Saudara Abdul Aziz Ali, Timbalan Presiden dan Saudara Mohd Solehuddin Mohd Safien, Naib Presiden II. Manakala wakil YDP BKAN yang terlibat ialah Johor, Perak, Melaka dan Selangor. Sementara DPM pula dihadiri oleh Pengerusi DPM Zaqaziq, Mansurah, Damanhur dan Tanta.

Kunjungan tersebut merupakan kunjungan kali pertama PMRAM bersama YDP dan Pengerusi sejak pertukaran tampuk kepimpinan peringkat BKAN mahupun DPM untuk sesi 2011/2012.

Antara perkara yang disuarakan dalam pertemuan tersebut adalah berkaitan dengan pembayaran yuran pelajar Markaz Bahasa Arab sebanyak LE 480 untuk satu mustawa yang dilihat membebankan para pelajar. Selain itu, Pihak PMRAM juga mengemukakan pandangan dan harapan para pelajar berhubung isu penghantaran semula pelajar-pelajar pengajian Islam ke cawangan-cawangan Al-Azhar di seluruh Mesir termasuk juga ke cawangan Iskandariah.

Dalam perjumpaan tersebut itu juga, beberapa orang YDP BKAN turut meminta penjelasan berkaitan isu pendaftaran persatuan dengan Education Malaysia of Egypt (EME) selain meminta pandangan TYT Dato’ Duta berhubung isu pengguguran Badan Kebajikan keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) daripada senarai persatuan-persatuan yang berdaftar di bawah EME.

Pihak PMRAM menerusi ucapan Presiden, saudara Muhammad Zuhaili bin Saiman merakamkan penghargaan kepada pihak TYT Dato’ Duta selaku wakil Kerajaan Malaysia di Mesir atas kesudian pihak kedutaan untuk berbincang dan mendengar luahan serta rungutan daripada para pelajar berkaitan permasalahan yang berlaku selain mengharapkan tindakan segera diambil bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Kami di barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tadbir Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah sesi 2011/2012 merakamkan ucapan tahniah dan sekalung penghargaan buat semua yang terlibat dalam kunjung hormat ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah iaitu TYT Dato’ Dr. Fakhruddin bin Abdul Mokti bagi mewakili seluruh ahli PMRAM di semua peringkat atas keberjayaan menjalankan tugas sebagai wadah kepada suara anak-anak Melayu di bumi Mesir. Semoga segala usaha yang dicurahkan dikira sebagai suatu ibadah oleh Allah S.W.T. Kami di PMRAM Cawangan Iskandariah akan terus komited menyokong dan mendokong usaha murni seperti ini demi menjamin kelangsungan survival PMRAM umumnya dan ISLAM khususnya.



KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH
KESATUAN UKHUWWAH MANIFESTASI TARBIAH


SUMAIYAH BINTI ZAKARIA
PENGERUSI
DEWAN PERWAKILAN MAHASISWI ISKANDARIAH
SESI 2011/2012

No comments:

Post a Comment