Alhamdulillah. Segala puji dan syukur bagi Allah s.w.t, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, penghulu kepada segala nabi dan rasul.
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir merupakan sebuah gerakan mahasiswa Islam yang berorientasikan program dan aktiviti untuk mentarbiyah ahli menjadi mahasiswa Islam yang bertaqwa. Bahkan PMRAM juga merupakan medium untuk melahirkan petugas-petugas Islam. Oleh sebab itu, terdapat beberapa hadaf dan matlamat yang diletakkan oleh PMRAM pada program yang dilaksanakan. Antaranya ialah dakwah dan tarbiyah, akademik dan thaqafah serta kebajikan dan hak mahasiswa.
Apabila melihat kepada suasana dan keadaan mahasiswa kini, maka PMRAM memilih tema “KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH” sebagai pembawakan bagi sesi ini. Ketidakseimbangan ilmu dan fikrah yang berlaku di kalangan mahasiswa, memanggil PMRAM untuk mengatasi masalah yang berlaku. PMRAM melihat bahawa untuk membentuk peribadi muslim yang berintegriti serta mempunyai jatidiri maka seseorang itu perlu memberi perhatian yang seimbang antara ilmu thaqafah dan fikrah pemikiran.
Ramai di kalangan mahasiswa yang mengaji dan menggeledah kitab, tetapi tidak ramai di kalangan mereka yang menghayati ilmu dan kefahaman yang dipelajari. Kegiatan aktiviti harian yang disusun khusus untuk diri sendiri tanpa menghiraukan keadaan jiran di sebelah. Melihat kepada faktor ini maka PMRAM ingin membawa satu perubahan kearah yang lebih seimbang. Sebab itulah antara perlaksanaan pada sesi ini ialah penghayatan ilmu di kalangan mahasiswa serta berlakunya proses pencernaan minda. Tanggungjawab dan tugasan sebagai seorang pimpinan dianggap fardhi ain dan wajib ditunaikan. Akhlak Islam dikenali dan betul-betul difahami ketika terlibat dengan sesebuah organisasi.
Selain itu, PMRAM juga berhasrat untuk melihat setiap PMRAM Cawangan saling bantu membantu antara satu sama lain. Tidak ada lagi di sana istilah ‘BKAN ini hebat dan DPM ini kuat’. Hal ini kerana sikap mementingkan diri sendiri serta tidak hirau keadaan orang lain akan menimbulkan bibit pertelingkahan serta kelemahan di kalangan umat Islam. Oleh itu dengan bahasa realitinya, PMRAM melaksanakan konsep taakhi serta sering melaungkan slogan keramat iaitu ‘Satu Fikrah Satu Amal’. Setiap PMRAM cawangan merasai roh perjuangan yang dimainkan oleh PMRAM Pusat.
Apabila disebut maruah dan jatidiri, Islam mengajar umatnya supaya mempertahankan hak kebenaran dan meruntuhkan yang batil. Oleh itu, PMRAM yang menjadikan dasar pembawakannya adalah al-quran dan sunnah bergiat mendidik serta mentarbiyah ahli-ahlinya supaya mempunyai prinsip dan pegangan yang teguh. Mereka yang mempunyai jatidiri yang kental tidak akan mudah mengalah dan berputus asa apabila berhadapan dengan mehnah dan tribulasi. Jatidiri inilah yang PMRAM istilahkan sebagai mahasiswa yang profesional dan berintegriti.
Program dan aktiviti yang dianjurkan oleh PMRAM, dijadikan sebagai medium untuk mentarbiyah ahli supaya memiliki jiwa yang kental, sanggup berkorban, serta istiqamah dalam perjuangan. Justeru dengan tujuan dan matlamat yang diletakkan PMRAM berusaha untuk menyediakan aktivis-aktivis Islam. Mereka ini sanggup menawarkan jiwa, masa, tenaga dan kewangan demi untuk memperjuangkan kalimah Allah. Bukan sahaja sanggup bekerja di Mesir bahkan mereka ini terus istiqamah menjadi petugas-petugas Islam apabila pulang ke Malaysia kelak. Kepentingan Islam diutamakan daripada kepentingan diri peribadi.
Pada hakikatnya semua gerak kerja dan usaha yang bersungguh ini memerlukan keazaman yang kuat daripada semua pihak sama ada PMRAM Pusat mahupun PMRAM Cawangan. Waktu tidur sudah berakhir dan menjadi kewajipan bagi kita semua untuk bekerja tanpa mengenal erti penat dan lelah. PMRAM juga berhasrat semoga slogan ‘Kita PMRAM’ bukan hanya sekadar laungan bahkan diaplikasikan dalam segala gerak kerja persatuan.
KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH
Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.
Sumber : http://pmram.org
No comments:
Post a Comment