Labels

Pages

Friday, July 30, 2010

APA ERTI 80 TAHUN PMRAM

Sedar atau sedar umur PMRAM sudah pun mencapai 80 tahun. Sekiranya PMRAM adalah seorang manusia, maka dia sudah tentu digambarkan dengan seorang yang amat tua yang tidak lagi mempunyai wajah yang menarik. Tetapi PMRAM bukanlah seorang manusia bahkan umur 80 tahun tersebut mencerminkan kematangan PMRAM sejak dahulu sehingga sekarang dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tribulasi kehidupannya untuk 'mengilangkan ' berpuluh puluh ribu graduan bumi kinanah ini supaya menjadi manusia yang berguna untuk agama dan tanah air.

Jikalau PMRAM seorang manusia, PMRAM sudah tentu akan terlantar di katil hospital kerana ditimpa pelbagai penyakit dek umurnya yang terlalu tua. Namun, PMRAM tidak sama dengan manusia kerana angka 80 tahun semakin menzahirkan kegagahan dan keperkasaannya serta kehebatannya memberikan kebajikan dan perlindungan terbaik kepada masyarakat Melayu di bumi para nabi ini.

Sepanjang 80 tahun, PMRAM telah berjaya melahirkan para mujahid, para pendakwah, para ulama, para profesional, para pemikir, tokoh-tokoh kemerdekaan, tokoh-tokoh politik dan kalau mahu sebutlah apa jua bidang pun nescaya akan ada kaitannya dengan PMRAM kerana PMRAM-lah yang memberikan 'roh' kepada ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh para ilmuan lepasan Mesir dan selainnya. Tanpa roh itu mereka akan gagal menjadi golongan yang memainkan peranan besar dalam membentuk corak pemikiran dan kesedaran sebagai khalifah Allah s.w.t dalam jiwa masyarakat.

Angka 80 tahun itu sebenarnya wajar mengangkat nama PMRAM sebagai GERAKAN MAHASISWA ISLAM PALING LAMA DI PERINGKAT ANTARABANGSA. Tidak usah kita berbangga dengan gerakan-gerakan Islam yang lain di dunia pada abad ini. Cukuplah PMRAM buat kita. Kalau tidak kerana kekangan politik atau lain-lain sebab nescaya PMRAM akan disenaraikan dalam world book of record kerana sejarahnya itu. Tetapi bukan itu yang PMRAM mahukan sebenarnya. PMRAM bukan gilakan nama. PMRAM hanya mahu melihat ahli-ahlinya menjadi seorang mahasiswa Islam yang tahu dan faham peranannya. Mahasiswa yang celik dan sedar akan tanggungjawab menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w.

Moga-moga Allah s.w.t memanjangkan umur PMRAM tercinta. Semoga lebih ramai lagi anak-anaknya yang lahir sebagai 'insan' sebenar dan yang 'kamil' dengan didikannya. Semoga para penyokong dan pendokongnya diangkat amalan mereka seumpama amalan para mujahidin..Amin Ya Rabbal Alamin.

*Penulis merupakan Presiden PMRAM 2008, Saudara Khairul Anwar Ismail. Rencana ini diambil dari blog beliau http://www.ibnubarqi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment