Thursday, December 9, 2010
Hijrah : Transformasi Perubahan Buat PMRAM
SIRI PENGHIJRAHAN BAGINDA S.A.W DAN PARA SAHABAT
Mengungkap sirah-sirah perjuangan Baginda s.a.w yang berjuang untuk memartabatkan agama yang benar ini ternyata penuh mehnah dan tribulasi. Namun, keyakinan Baginda s.a.w dan para sahabat atas pertolongan Allah s.w.t untuk terus mendaulatkan Islam tercinta ke pelusuk dunia membuatkan mereka berdiri teguh di atas tunjang keimanan dan ketaqwaan.
Siri-siri penolakan dan penentangan kaum Musyrikin Mekah terhadap Baginda s.a.w dan para pengikutnya diiuji dengan penyiksaan yang dahsyat dan hampir tidak tertanggung sehingga para sahabat ketika itu meminta izin kepada Baginda s.a.w untuk berhijrah dari tanah air mereka. Lantas melalui petunjuk wahyu Allah taala, mereka berpindah ke Madinah.
Justeru, bermulalah episod penghijrahan agung Baginda Rasulullah s.a.w bersama para sahabat radiyallahu ‘anhum ke Madinah demi untuk menyelamatkan akidah suci mereka disamping meneruskan perjuangan menegakkan panji Islam tanpa sebarang gangguan.
Dari tanah Tayyibah itu, Islam mula bertapak kukuh sebagai sebuah daulah Islam yang pertama. Syariat Islam yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah mula menjadi asas kepada pembentukan daulah tersebut.
Setelah berkorban meninggalkan tanah air yang sangat mereka cintai iaitu Mekkah, Kaum Muhajirin dan Ansar dengan dipimpin oleh Rasulullah s.a.w begitu berhasil mengamalkan ajaran Islam dengan bebas. Lebih daripada itu, mereka berjuang dengan meluaskan dakwah Islam ke luar Kota Madinah dan akhirnya cahaya kebenaran itu menyusup masuk ke sempadan dan meruntuhkan tembok kejahilan negara-negara bukan Islam. Akhirnya, bersinarlah di tanah-tanah timur tengah itu dengan cahaya wahyu dari tuhan.
Ternyata berkat dari peristiwa hijrah Baginda s.a.w dan para sahabat serta penerimaan tulus Kaum Ansar kepada saudara mereka telah membuahkan kejayaan dan keberhasilan dakwah yang telah mereka pikul.
PELAJARAN BERHARGA DARI PERISTIWA HIJRAH NABI S.A.W
Sesungguhnya tiap-tiap ketentuan Allah s.w.t itu mempunyai nilai hikmah dan pengajaran yang cukup besar kepada mereka yang mahu mencari kebenaran dan berfikir. Demikian Allah menjelaskan dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman”. (QS. Yusuf: 111)
Antara pelajaran berharga yang pertama ialah hijrah mengajar kaum Muslimin untuk mempertahankan tauhid dan keimanan mereka dengan mengorbankan apa yang mereka miliki.
Islam telah meletakkan kesucian agama dan akidah itu melebihi kepentingan lain. Justeru, mengorbankan kepentingan diri demi mempertahankan agama itu sangat-sangat dituntut. Berdasarkan peristiwa hijrah ini, kita dapat melihat pengorbanan yang cukup besar telah dilakukan oleh para sahabat semata-mata untuk mempertahankan akidah suci mereka.
Hijrah yang mereka lakukan didorong oleh kekuatan iman. Tanpa kecekalan dan kekuatan iman, belum tentu mereka sanggup untuk meninggalkan keluarga, sanak-saudara, harta-benda dan tanah air tercinta.
Firman Allah taala :
“orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (QS. Attaubah: 20)
Di dalam kitab Fiqh Sirah karangan Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti mengenai hijrah Baginda s.a.w, penulis ada menyebut tentang apalah ertinya pada harta kekayaan, pangkat kebesaran dan tanah air sekiranya akidah dan syiar agama terancam dan musnah. Justeru, Allah ‘Azza wajallah telah mewajibkan dasar mengorbankan harta dan negara demi kepentingan akidah dan agama sekiranya keadaan memaksa.
Perngajaran kedua ialah hijrah membangunkan masyarakat penuh peradaban. Ini dapat dilihat melalui tindakan Baginda Nabi s.a.w ketika mula-mula sampai di Madinah iaitu mendirikan masjid yang merupakan pusat kegiatan pembinaan dan pengembangan sumber daya manusia. Sehingga mampu melahirkan manusia yang luar biasa, berakhlak mulia, manusia berilmu dan dekat dengan penciptanya.
Bukan setakat itu, Baginda juga menyatukan saudara-saudara Muhajirin dengan Ansar sehingga melahirkan ukhuwah Islamiah yang sebenarnya, melahirkan komuniti masyarakat yang saling hormat-menghormati. Selain itu, Baginda s.a.w juga membangunkan pasar untuk kaum Muslimin kerana pada ketika itu pasar di Madinah masih dikuasai oleh Kaum Yahudi yang mengamalkan riba’ .
Pengajaran ketiga yang dapat kita hayati ialah perjalanan hijrah Rasulullah dari Mekkah ke Madinah merupakan momentum awal kebangkitan Islam dari arus jahiliyah. Kezaliman yang berleluasa dicantas dengan keadilan yang saksama. Islam hadir untuk membela dan memartabatkan maruah dan hak umatnya.
Sekiranya masyarakat menginginkan keadilan, tiada lain dan tiada bukan hanyalah dengan keadilan Islam. Sudah terbukti apabila Rasulullah s.a.w sebagai ketua negara mampu menyatukan seluruh penduduk Madinah dengan keadilan Islam walaupun penduduk Madinah terdiri dari komuniti agama yang berbeza.
PMRAM DAN TRANSFORMASI HIJRAH
Setelah merentasi hampir satu abad, tidak sedikit transformasi perubahan yang dialami oleh PMRAM. Sejak penubuhannya dari tahun 1930 M , bermula dengan nama Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) sehinggalah sekarang, dikenali dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) , PMRAM sentiasa cuba menampilkan sesuatu yang terbaik demi melihat hadafnya sebagai persatuan mahasiswa induk di Perlembahan Nil ini tercapai.
Tidak dinafikan PMRAM sering terdedah dengan transformasi semasa mengikut arus zaman. Penghijrahan itu merupakan sesuatu yang dituntut oleh agama.Ini dapat disingkap melalui sabda Baginda s.a.w yang tercinta,
Daripada Aishah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekkah,) tetapi jihad dan niat (yang baik.) Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah.” [Hadis riwayat Muslim]
Imam Nawawi juga berkata di dalam kitabnya Riyadus Solihin dengan maknanya;
“ Tidak ada hijrah dari Mekkah (selepas pembukaan Mekkah), kerana telah wujudnya sebuah negara Islam."
Penerapan nilai Islam yang sebenar pada awal 80 an menjadi titik pembaharuan kepada PMRAM dalam mengajak ahlinya untuk terus mendokongi Islam dan PMRAM selaku wadah kesatuan mahasiswa yang menampilkan wajah Islam.
Di samping itu, penghijrahan yang dilakukan PMRAM semenjak dahulu tidak sunyi dari pelbagai mehnah. Sesuai dengan hijrah Baginda s.a.w dan para sahabat yang turut dipenuhi kesulitan. Namun, atas dasar Islam yang di bawa oleh PMRAM serta berkat perjuangan dan pengorbanan yang tulus ikhlas dari golongan terdahulu , Allah s.w.t masih memelihara PMRAM sehingga ke hari ini.
Selain itu, konsep pengorbanan dari hijrah Baginda Nabi s.a.w dan para sahabat sentiasa dipraktikkan PMRAM. Sebagai contoh, perjuangan mahasiswa terdahulu yang bersusah-payah untuk mendapatkan dana bagi membina Asrama Melayu, penglibatan PMRAM dalam membantu Mesir menentang penjajah, penentangan terhadap anasir-anasir yang menjatuhkan PMRAM, pelbagai bentuk sumbangan yang dihulurkan dan lain-lain lagi ternyata hasil dari pengorbanan yang tidak sedikit.
PMRAM juga sentiasa optimis mengajak ahli kepada kesatuan dan perpaduan disamping mengelakkan perpecahan. Inilah yang diterap oleh Baginda s.a.w, setelah hijrah dilaksanakan. Tanpa kesatuan dan perpaduan dikalangan ahli, hijrah yang dilaksana tidak akan bernilai sedikitpun.
Justeru, pada hari ini, setelah 80 tahun penubuhan , pelbagai pembaharuan telah diketengahkan PMRAM selari dengan tuntutan syariat. Inilah hasil dari transformasi penghijrahan PMRAM ke arah yang lebih baik.
Oleh yang demikian, dengan kehadiran tahun baru hijrah 1432 H ini, PMRAM mengajak seluruh mahasiswa untuk mentranformasi diri menjadi manusia yang lebih berguna untuk agama, bangsa dan negara. Sentiasa mengamalkan sikap kebersamaan, persaudaraan, bersedia berkorban dan bijaksana menyusun perancangan. Inilah asas pertolongan dan kemenangan umat Islam. Akhir kata, selamat menyambut Tahun Baru Maal Hijrah 1432 H.
SUMBER:PMRAM.ORG
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment