Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Rabbul ‘Izzati, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW dalam menyempurnakan misi dan visi penyebaran Ad-Din kepada seluruh manusia. Dengan melaungkan takbir, melafazkan tasbih dan mengucapkan tahmid kerana masih lagi menganugerahkan kepada kita nikmat Iman dan Islam mampu menyempurnakan kewajipan serta dapat mengharungi bulan tarbiyah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT . Dengan nikmat tersebut, terbukti pada hari ini kita mampu meraikan satu kemenangan bagi umat Islam serata dunia, yang berbilang bangsa, keturunan, warna kulit dan sebagainya. Madrasah ramadhan yang lalu banyak mengajar kita selaku hamba Allah yang diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan. Maha suci Allah, Tuhan sekalian Alam.
Sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir, bertahmid, bertahlil dan bertasbih”.
Sampai saatnya ramadhan al-mubarak meninggalkan kita, lalu bulan syawal menggantinya. Berlalunya bulan ramadhan mencetuskan rasa sayu dan sedih dihati para solihin. Mereka sedih dan menangisi kerana peluang untuk mendapat pahala beribadah yang berlipat ganda sudah tiada lagi. Kesedihan ini bukan sahaja dirasai oleh manusia, malah turut ditangisi oleh para malaikat dan makhluk Allah SWT yang lain.
Riwayat daripada Jabir r.a yang bermaksud: “Sabda Rasulullah SAW: Menjelang akhir malam Ramadhan , maka menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan para malaikat, kerana dengan berlalunya ramadhan, maka berlalunya fadhilatnya. Ini merupakan musibah bagi umatku. Ditanya seseorang, apakah musibah itu ya Rasulullah? Jawab Rasulullah SAW “dalam bulan itu segala doa mustajab, sedekah termakbul, segala kebajikan digandakan pahalanya dan seksaan kubur dikecualikan, maka adakah musibah yang terlebih besar apabila semuanya itu sudah berlalu”
Marilah bersama-sama memohon kepada Allah agar memanfaatkan kita dengan bulan ramadhan dan bekalan puasa. Kita juga memohon semoga Allah mengembalikan kemenangan Islam dan menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan reformasi untuk saling mengislah diri dan memperelokkan amalan kita serta menguatkan kesatuan yang kita nikmati kini. Sedarlah, sesungguhnya kita sesekali tidak akan dikalahkan kerana sedikit bilangan kita, tidak juga lemahnya peralatan kita dan juga kerana ramainya musuh kita, akan tetapi kita akan dikalahkan apabila rosaknya hati dan apabila tiadanya kesatuan hati, serta kesatuan fikrah.
Imam Hasan Al-Banna menyebutkan di dalam artikelnya “sesungguhnya kekuatan yang paling utama adalah kekuatan kesatuan”.
Islam tidak pernah mengajar umatnya hanya berfikir tentang diri sendiri tanpa menghiraukan saudara-mara di sekeliling.Sempena hari yang berbahagia ini, kami ingin menyeru kepada sahabat-sahabat dan diri yang kerdil ini untuk menguatkan ukhuwah dan kefahaman dan ketinggian agama Islam dengan cara kita semua kembali kepada budaya hidup Islam yang sebenar. Buang yang keruh dan ambillah yang jernih. Kita bina kembali jati diri sebagai penganut ajaran agama yang dipilih Allah iaitu, agama Islam. Satukan Ukhuwwah Islamiah dan laksanakan Tarbiyah dalam segenap aspek kehidupan.
Buat akhirnya saya mewakili barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tadbir serta seluruh mahasiswi PMRAM Cawangan Iskandariah mengucapkan Salam Eidulfitri kepada kepimpinan PMRAM pusat, Taakhi Zon B serta seluruh ahli PMRAM Cawangan menyusun sepuluh jari memohon jutaan kemaafan andainya di sana ada kesalahan dan terkasar budi bicara ataupun ada hak-hak yang tidak tertunai. Sama-samalah kita berdoa agar kesatuan yang kita bina atas dasar takwa kepada Allah SWT akan berterusan demi memastikan survival Islam terus agung di atas muka bumi Allah ini.
“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”
“KESATUAN UKHUWWAH MANIFESTASI TARBIYAH”
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin
Sirru a’la barakatillah
Norliza Binti Mat Salleh,
Pengerusi,
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2010/2011
No comments:
Post a Comment