Labels

Pages

Saturday, August 17, 2013

HIKMAH-HIKMAH AIDILFITRI

HIKMAH-HIKMAH AIDILFITRI




Pendahuluan

Eidul fitri adalah salah satu perayaan umat Islam yang terbesar dan paling meriah disambut di Malaysia khasnya dan di setiap negara umat Islam amnya. Memahami hikmah-hikmah pensyariatannya, amalan-amalan yang dianjurkan padanya sudah semestinya menjadi satu kewajipan bagi setiap individu muslim. 

Realitinya, masih ramai yang tidak mengetahui makna disebalik Eidul fitri itu selain hanya menganggapnya sebagai hari memuaskan nafsu perut yang dikekang selama sebulan pada bulan Ramdhan. Ramai juga yang menjadikan Eidul fitri sebagai masa memperagakan fesyen pakaian yang terkini tanpa mengambil kira aspek aurat dan sebagainya dalam pemakaian. Perkara-perkara songsang seumpama ini mungkin disebabkan kejahilan terhadap erti Eidul fitri dalam Islam di samping faktor-faktor lain yang turut menyumbang ke arah kesongsangan tersebut.


Sejarah Hari Raya Dalam Islam

Sebelum kedatangan Islam, manusia sudahpun mengenal erti perayaan dan mengadakan perayaan. Setiap masyarakat di dunia ketika itu mempunyai perayaan yang tersendiri. Sewaktu ketibaan Rasulullah S.A.W ke kota Madinah, Baginda S.A.W mendapati masyarakatnya menyambut dua jenis perayaan. Lalu kedua-dua jenis perayaan tersebut telah digantikan dengan hari raya puasa dan hari raya korban. 

Hari raya pertama yang diraikan di dalam Islam ialah Eidul fitri iaitu pada tahun kedua Hijrah. Bermula dari detik itu, umat Islam semakin memiliki imej yang tersendiri sebagai masyarakat yang bertamadun.

Anas bin Malik meriwayatkan: Setibanya Rasulullah S.A.W ke kota Madinah, mereka - iaitu penduduk Madinah - mempunyai kebiasaan meraikan dua jenis hari dalam setahun. Baginda S.A.W bertanya: "Apakah dua hari ini? Mereka menjawab: " Kami selalu bersuka ria padanya sejak zaman jahiliah lagi". Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhhya Allah S.W.T telah menggantikan buat kamu dengan dua hari yang lebih mulia daripada kedua-dua hari tersebut iaitu hari al-Adha dan hari  al-Fitr".       
[Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, Kitab Solat, Bab Solat Dua Hari Raya, jil:1, m/s:295, no:1134].

Sebahagian ulamak berpendapat, dua hari yang digantikan dengan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji itu ialah Hari Mihrijan dan Hari Nairuz. Mihrijan adalah hari-hari pada awal bulan Oktober dan Nairuz pula adalah hari-hari pada permulaan tahun dalam kalendar-kalendar yang berasaskan peredaran matahari. Dikatakan, cuaca pada kedua-dua hari tersebut adalah sederhana sementara waktu siang dan malamnya juga adalah seimbang sama seperti di negara-negara beriklim khatulistiwa. 

Justeru, para cendekiawan silam menjadikan kedua-duanya sebagai perayaan tahunan. Perbuatan ini kemudiannya diikut oleh orang awam dengan sangkaan apa yang dilakuakan oleh para cendekiawan itu sudah tentu berdasarkan pertimbangan akal yang sempurna. Apabila para nabi dan rasul diutuskan, perayaan-perayaan seumpama itu telah dihapuskan dan digantikan dengan perayaan-perayaan yang syar`ie seperti Eidul Adha dan Eidul fitri.


Maksud Eidul fitri

Eidul fitri adalah gabungan dua perkataan Arab yang biasa diterjemahkan sebagai hari raya puasa. Apakah maksud perkataan ini sebenarnya? Eid (عيد) berasal daripada suku kata (عاد يعود عودا) yang bermaksud kembali. Disebabkan sesebuah perayaan itu sentiasa berulang setiap kali bergantinya tahun dan ia datang membawa kegembiraan kepada manusia, maka ia dinamakan Eid

Fitr (فطر) pula merujuk kepada perkataan iftar (إفطار) yang bermaksud berbuka puasa. Disebabkan pada hari raya puasa tidak dibenarkan berpuasa, bahkan digalakkan pula bersarapan sebelum menunaikan solat, maka ia dinamakan fitr iaitu perayaan berbuka puasa.


Maqasid  Atau Hikmah di Sebalik Eidul fitri

Ada beberapa nilai utama yang tersurat dan tersirat disebalik pensyariatan Eidul fitri itu dan ianya seperti berikut:


Hikmah Pertama: Penghambaan atau Ubudiyyah

Inilah nilai terbesar sebuah perayaan dalam Islam. Bagi seorang muslim yang mukmin, tingkatan ubudiyyah adalah setinggi-tinggi tingkatan. Ia merupakan tujuan asal mengapa kita semua dijadikan di dunia ini. Allah S.W.T berfirman:

"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menghambakan diri kepadaKu..." [ Az-Zariyat, ayat 56 ]

Tingkatan ubudiyyah membawa seseorang itu bebas dan merdeka dari cengkaman perhambaan sesama hamba dan seterusnya menjadikannya seorang insan yang tinggi dan mulia.

Selaku umat Islam, kita menyambut lebaran pada satu Syawal disebabkan ia merupakan ketetapan syarak. Bukan disebabkan kita mendapat cuti pada hari itu. Realitinya ramai yang tidak mendapat cuti pada hari tersebut tetapi tetap beraya. Bukan juga kerana dilahirkan pada hari tersebut. Realitinya ramai manusia yang lahir pada hari lain namun tetap menyambut lebaran pada satu Syawal. Bukan juga kerana hari itu kita bergembira. 

Realitinya ramai yang bersedih pada hari raya di atas musibah yang menimpanya atau orang yang tersayang. Walau bagaimanapun hari raya tetap jatuh pada satu Syawal. Inilah yang dinamakan pengaruh ubudiyyah.

Kita meraikan Eidul fitri dengan adab-adab tertentu disebabkan oleh tuntutan syarak. Begitu juga sebelum Eidul fitri, kita berpuasa selama sebulan kerana tuntutan syarak. Semua yang dilakukan dalam menjayakan Eidul fitri bertitik tolak daripada ajaran dan perintah syarak. Maka kita melakukannya di atas kesederan sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Inilah tujuan terbesar Eidul fitri diraikan.


Larangan Berpuasa

Sebagai menyempurnakan maksud ubudiyyah pada hari Eidul fitri, Kita dilarang sama sekali berpuasa pada hari tersebut. Seorang tabi`ie yang bernama Abu Ubaid berkata: "Aku menyaksikan hari raya bersama Umar bin al-Khattab R.A, lalu beliau berkata: "Dua hari ini adalah hari-hari yang dilarang oleh Rasulullah S.A.W daripada berpuasa, hari kamu berbuka setelah berpuasa. Manakala hari yang kedua ialah hari kamu memakan binatang sembelihan kamu padanya".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Puasa, Bab Puasa Hari Aidil Fitri, jil. 2, m/s 702, no.1889].

Imam al-Bahgawi R.H (516 H) berkata: " Ulamak sepakat mengatakan tidak harus berpuasa pada hari raya. Jika seseorang itu bernazar untuk berpuasa pada hari tersebut, nazarnya itu tidak sah di sisi kebanyakan ulamak. Ahlu ra`yi (gelaran yang lazim bagi ulama Iraq) berpendapat, nazarnya itu sah tetapi dia mesti berpuasa pada hari lain".      [Syarh as-Sunnah, jil. 6, m/s 349].


Bersarapan Sebelum Keluar ke Masjid atau Musalla

Sunnah ini menguatkan lagi larangan berpuasa pada hari lebaran. Anas bin Malik R.A berkata: "Biasanya Rasulullah S.A.W tidak akan keluar pada pagi Eidul fitri melainkan setelah Baginda S.A.W bersarapan dengan buah tamar. Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil".              
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Dua hari Raya, Bab Bersarapan Pada Hari raya al-Fitri Sebelum Keluar, jil. 1, m/s 325, no.910].

Justeru, kebanyakan ulamak di kalangan sahabat R.A dan tabi`in berpandangan sunat menjamah makanan sebelum berangkat ke musalla atau ke masjid bagi mengerjakan solat sunat raya. Sesetengah mereka berpendapat, hikmah disebalik amalan ini ialah supaya tidak disangka orang bahawa puasa itu berterusan hukumnya sehinggalah selesai mengerjakan solat sunat raya.


Hikmah Kedua: Kegembiraan dan Kesyukuran

Puasa merupakan salah satu petua yang diturunkan oleh Allah S.W.T berguna bagi mengekang hawa nafsu dan melawan pujuk rayu iblis dan konco-konconya. Selama sebulan kita menahan diri daripada perkara-perkara yang harus (المباحات) akhirnya kita diberi bonus meraikan perjuangan sebulan kita itu dengan menyambut Eidul fitri. Eidul fitri adalah hari kemenangan kita ke atas musuh tradisi dan hawa nafsu yang sering membuatkan kita menyimpang dari landasan yang betul.

Oleh yang demikian, sewajarnya kita menyambut Eidul fitri dengan rasa bersyukur dan gembira atas nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Inilah antara nilai yang mahu ditonjolkan di dalam sunnanul eid (سنن العيد).

Bersyukur satu tuntutan agama. Dalam hal ini, Allah S.W.T berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik, yang telah Kami kurniakan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembah-Nya". [al-Baqarah, ayat 172]

Rasulullah S.A.W bersabda: "Barang siapa yang tidak berterima kasih kepada manusia bererti dia tidak bersyukur kepada Allah S.W.T".                 
[Hadis riwayat at-Tirmizi di dalam Sunannya, Kitab Berbuat baik dan Menghubungkan Silatur rahim, Bab Berkaitan Dengan Berterima Kasih Kepada Orang Yang Berbuat Baik Kepadamu, jil. 4, m/s 339, no.1954]

Ada banyak cara kita melahirkan kesyukuran dan kegembiraan kita sewaktu menyambut Eidul fitri. Berikut adalah sebahagian daripada cara bersyukur dan bergembira yang dianjur Islam:


Mandi di Pagi Raya

Imam Ibnu al-Mulaqqan R.H (804 H) menyatakan hadis-hadis berkaitan dengan mandi pada hari raya semuanya daif dan terdapat atsar melalui jalur yang elok daripada para sahabat mengenainya[1]. Imam asy-Syaukani R.H (1250 H) pula menyebut di dalam Nailul Autsar, bahawa tiada satu hadispun yang boleh dijadikan hujah bagi sebarang hukum mengenai mandi pada hari raya sama ada wajib mahupun sunat[2]. Pun begitu, Imam as-Syafi`ie R.H (204 H) di dalam al-Umm menyatakan, mazhab Said bin Musayyab dan Urwah bin Zubair bahawa mandi pada hari raya itu sunat disebabkan ia lebih elok, lebih dikenali, lebih bersih di samping ia dilakukan oleh beberapa orang yang soleh. Ia bukan disebabkan ia adalah sunnah Rasulullah S.A.W[3].

Antara golongan terdahulu yang mengamalkan mandi di pagi raya ialah Ali bin Abu Talib R.A, Abdullah bin Umar R.A dan Salamah bin al-Akwa` R.A seperti yang disebut oleh Imam al-Baghawi[4].

Sebahagian ulamak menyatakan, sunat mandi pada pagi raya berdasarkan hukum mandi pada pagi jumaat. Ia disamakan dengan hukum mandi pada pagi jumaat dengan kaedah qias. Menurut mereka, kedua-duanya bertujuan untuk solat berjemaah di masjid.

Sebahagian buku-buku Mazhab Syafi`ie pula menyebut, mandi pada pagi raya tujuannya adalah untuk berhias dan menzahirkan kegembiraan.[5] Justeru ia bukan sahaja digalakkan kepada orang yang menghadiri Solat Raya, bahkan orang yang tidak menghadirinya juga digalakkan mandi dan membersihkan diri bagi tujuan tersebut. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Imam as- Syafi`ie dengan katanya "lebih elok, lebih dikenali, lebih bersih".


Berpakaian Baru

Umar bin al-Khattab R.A telah mengambil sehelai baju sutera yang dijual di pasar, lalu beliau membawanya kepada Rasulullah S.A.W dan berkata: "Wahai Rasulullah! Belilah baju ini agar engkau dapat berhias dengannya pada hari raya dan ketika menerima rombongan tetamu". Rasulullah S.A.W bersabda: "Ini adalah pakaian orang yang tidak bernasib baik di akhirat kelak". Setelah berlalu beberapa ketika, Rasulullah mengutuskan seseorang untuk membawa pakaian sutera kepada Umar. Lalu Umar membawa pakaian tersebut menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: "Wahai Rasulullah S.A.W! Engkau telah mengatakan sebelum ini bahawa pakaian ini adalah pakaian orang yang tidak bernasib baik di akhirat kelak tetapi engkau telah menghantarkannya kepadaku". Rasulullah S.A.W bersabda: " Kamu boleh menjualnya dan membeli keperluan mu dengan harganya".                     
[Hadis Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Dua Hari Raya, Bab Berkaitan Dengan Dua Hari Raya dan Berhias Padanya, jil. 1, m/s 323, no.906].

Dalam hadis di atas, Rasulullah S.A.W tidak mengingkari maksud Saidina Umar R.A yang mahu Rasulullah S.A.W memakai baju yang cantik dan baru pada hari raya. Tetapi Baginda S.A.W hanya mengingkari jenis baju yang dicadangkan oleh Saidina Umar R.A. Hal ini disebabkan kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian sutera yang hanya dibenarkan untuk kaum wanita. Selain itu, pakaian yang dicadangkan tersebut mengandungi dua unsur lain yang menyebabkan ia tidak syar`ie iaitu pembaziran dan kesombongan.

Nafi` R.H, seorang tabi`ie, (117 H) berkata: " Biasanya Ibnu Umar akan mandi pada hari raya seperti mandi junub. Kemudian beliau akan memakai wangian sekiranya ada dan pakaian yang paling bagus yang beliau miliki".[6]


Bertakbir

Pada hari Eidul fitri, disunatkan bertakbir di dalam solat sunat raya sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua sebelum membaca al-Fatihah. Takbir-takbir ini tidak termasuk Takbiratul Ihram dan Takbiratul Intiqal. Bentuk solat sebegini merupakan amalan sebahagian sahabat nabi R.A dan mazhab sebahagian ulamak seperti Imam-imam Malik bin Anas R.H (179 H), as-Syafi`ie R.H dan Ahmad bin Hanbal R.H (241 H). 

Walau bagaimanapun jika seseorang itu terlupa melakukannya, solatnya tetap sah. Amalan ini berdasarkan hadis Amru bin Auf R.A yang berbunyi: "Bahawa Nabi S.A.W bertakbir dalam solat sunat raya sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama sebelum membaca surah. Pada rakaat kedua pula, baginda S.A.W bertakbir sebanyak lima rakaat sebelum membaca surah".           
[ Hadis riwayat at-Tirmizi di dalam Sunannya, kitab Solat, Bab Yang Berkaitan Dengan Takbir Pada Dua Hari Raya, jil. 2, m/s 416, no.536 ].

Sebahagian ulamak berpendapat, sunat bertakbir pada malam dan pagi raya ketika berjalan ke musalla atau masjid sehinggalah solat sunat raya mahu didirikan. Pendapat ini berdasarkan beberapa hujah, antaranya ayat ke 185 daripada Surah al-Baqarah dan hadis daif yang diriwayatkan secara mursal oleh az-Zuhri (124 H), salah seorang tabi`ie yang masyhur. Ia juga disokong oleh amalan sesetengah sahabat seperti Abdullah bin Umar R.A. 

Selain itu, ia juga berdasarkan dalil bertakbir pada hari Eidul Adha. Dalil bertakbir pada hari tersebut turut dijadikan dalil bagi amalan bertakbir pada pagi Eidul fitri berdasarkan kaedah qias. Mereka berhujah, kedua-duanya merupakan hari raya yang digalakkan padanya membesarkan Allah S.W.T. Jika bentuk solat sunat raya pada Eidul fitri sama seperti solat sunat Eidul Adha dari segi jumlah rakaat dan takbir, maka dalam soal takbir ketika menuju ke masjid atau musalla juga begitu. 

Demikian antara sandaran bagi pendapat yang memandang sunat bertakbir pada pagi Eidul fitri.


Mengerjakan Solat Sunat Raya

Solat Raya hukumnya adalah sunat yang dituntut. Ia mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Ia disunatkan kepada orang yang bermuqim dan bermusafir mengikut pendapat mazhab Syafi`ie. Sebahagian ulamak berpendapat, sunat dikerjakan solat sunat raya di kawasan yang terbuka (musalla). Waktu solat sunat raya bermula setelah terbit matahari sehinggalah ia tergelincir dari dada langit. 

Solat sunat raya sedikit berbeza daripada solat-solat sunat yang lain yang mana setelah diangkat takbiratul ihram, disunatkan bertakbir sebanyak tujuh kali. Antara satu takbir dengan yang lain dipisahkan dengan senyap seketika (saktah). Pada rakaat yang kedua pula, setelah mengangkat takbiratul intiqal, disunatkan bertakbir sebanyak lima kali dengan cara yang sama pada rakaat pertama.

Solat sunat raya merupakan agenda utama pada hari Eidul fitri. Semua orang Islam sama ada lelaki atau perempuan, besar atau kecil, tua atau muda, malah yang uzur syar`ie seperti kedatangan haid juga digalakkan berhimpun di kawasan berhampiran musalla bagi meninggikan syiar Islam pada hari tersebut.

Abu said al-Khudri R.A (63 H) berkata: " Kebiasaanya Rasulullah S.A.W akan keluar ke musalla pada hari Eidul fitri dan Eidul Adha. Perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda S.A.W adalah solat. Kemudian Baginda S.A.W akan berdiri berhadapan dengan orang orang ramai dalam keadaan mereka semua duduk dalam saf masing-masing, lalu menasihati mereka, berpesan dan memberi arahan kepada mereka. Jika Rasulullah S.A.W mahu mengutuskan pasukan tentera, Baginda akan lakukan ketika itu atau mahu mengarahkan sesuatu, Baginda akan memberikan arahan ketika itu juga. Kemudian Baginda S.A.W akan pulang ke rumah".
[ Hadis riwayat Imam al-Bukhari, kitab Solat Dua Hari Raya, Bab Keluar ke Tempat Solat Tanpa Mimbar, jil1, m/s326, no913 ].


Memeriahkan Solat Raya
Dalam hadis sebelum ini Abu said al-Khudri R.A berkata: " Kebiasaanya Rasulullah S.A.W akan keluar ke musalla pada hari Eidul fitri dan  Eidul adha. Perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda S.A.W adalah solat.

Maksud asal musalla ialah tempat solat. Namun, ulamak menyebut, musalla yang dimaksudkan di dalam hadis di atas ialah kawasan lapang yang dapat dilihat oleh semua orang. Sementara masjid pula ialah tempat yang tertutup yang mungkin tidak dapat dilihat oleh sebahagian orang[7].

Sebahagian ulamak menyebut, tujuan diadakan solat sunat raya di kawasan terbuka adalah supaya dapat menampung jemaah yang lebih ramai berbanding di masjid. Boleh jadi, keluasan masjid yang terbatas menyebabkan ramai orang tidak dapat mengerjakan solat sunat raya bersama dengan imam. Namun, jika sesebuah masjid itu mampu menampung seluruh jemaah dalam satu-satu kawasan, tidak mengapa jika dilakukan solat sunat raya di dalamnya.


Bersuka Ria
Aisyah R.A (57 H) berkata: "Abu Bakar R.A (13 H) masuk ke rumahku dan bersamaku ketika itu dua orang wanita Ansar sedang menyanyikan lagu kaum Ansar pada hari Buath". Aisyah R.A meneruskan lagi: "Kedua-duanya bukanlah penyanyi. Lalu Abu Bakar R.A berkata: " Nyanyian Syaitan di dalam rumah Rasulullah S.A.W? Ketika itu adalah hari raya. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: " Wahai Abu Bakar! Setiap kaum itu mempunyai perayaannya dan ini adalah perayaan kita".
[Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitab Solat Dua Hari Raya, Bab Kelonggaran Dalam Berhibur Yang Tidak Berunsur Maksiat Pada Hari-Hari Perayaan, jil. 2, m/s 607, no.892 ].

Hari Buath merujuk kepada peperangan yang melibatkan suku Aus dan Khazraj pada zaman jahiliyah. Pada asalnya, ia adalah nama salah sebuah kubu milik suku Aus.

Lagu yang didendangkan oleh dua wanita Ansar itu adalah rangkap-rangkap syair yang menonjolkan sifat keberanian dan kepahlawanan. Ia bukan dari jenis lagu yang menaikkan nafsu dan memuji-muji wanita sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi pada waktu itu. Justeru, Aisyah menyifatkan, kedua-duanya bukanlah penyanyi. Maksudnya, kedua-dua mereka bukanlah pandai menyanyi dan hanya melagukan syair-syair kepahlawanan yang lazimnya tidak dinamakan lagu di sisi masyarakat arab tetapi ia lebih sinonim dengan nama nasyid.

Oleh itu, Rasulullah S.A.W tidak mengingkari perbuatan tersebut disebabkan ia tidak bertentangan dengan lunas-lunas Islam dan semangat Eidul fitri. Mungkin kita harus menilai semula lirik-lirik lagu yang selalu didendangkan pada masa kini setiap kali menjelangnya Syawal. Lagu-lagu yang mengundang kesedihan, yang menggalakkan percampuran lelaki dan perempuan tanpa batasan, yang memancing nafsu ke arah pembaziran dan kemaksiatan tidak sepatutnya dimainkan pada hari raya.

Faedah yang dapat diambil daripada hadis di atas ialah, hiburan itu dibenarkan khususnya sewaktu perayaan asalkan ia tidak bercampur dengan maksiat.

Sebahagian ulamak menjadikan hadis di atas sebagai hujah kepada keharusan amalan berziarah pada hari raya.


Hikmah Ketiga: Persaudaraan Islam

Allah S.W.T berfirman:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Oleh itu, perdamaikanlah antara dua saudara kamu. Bertakwalah kepada Allah S.W.T, mudah-mudahan kamu dirahmati". [al-Hujurat, ayat 10]

Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi sesuatu yang baik untuk saudaranya sebagaiman dia mengasihinya untuk dirinya sendiri".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Iman, Bab Di Antara Iman Itu Ialah Mengasihi Untuk Saudaranya Sebagaimana Dia Mengasihi Untuk Dirinya Sendiri, jil. 1, m/s 14, no.13]

Hakikatnya, Eidul fitri menyemai dalam diri kita semangat persaudaran berteraskan akidah keimanan kepada Allah S.W.T, Tuhan yang telah menciptakan manusia daripada seorang bapa yang bernama Adam. Biar apa sekalipun latar bangsa dan keluarga mereka, yang menjadi ukuran di sisi Allah S.W.T hanyalah ketakwaan kepada-Nya. Kepelbagaian bahasa dan bangsa tidak lain hanyak sebagai wasilah untuk mereka saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Allah S.W.T berfirman:

"Wahai manusia! Sesungguhnya kami telah menjadikan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan. Kami juga telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan dan bersuku-suku agar kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah S.W.T ialah yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Mengetahui lagi Maha Menghalusi".


Perhimpunan Umum di Pagi Raya

Antara agenda Eidul fitri yang mampu menautkan ikatan persaudaraan Islam ialah berkumpul di masjid dan musalla bagi menunaikan solat sunat raya dan mendengar khutbah raya. Semua golongan dan lapisan masyarakat digalakkan meramaikan perhimpunan pagi ini. Mereka yang tidak mampu menunaikan solat atau tidak mencukupi syarat wajib dan sah solat juga digalakkan bertandang ke musalla bagi meramaikan perhimpunan tersebut.

Ummu Athiyyah R.A berkata: " Kami diperintah untuk membawa keluar gadis dan anak dara ( iaitu ke musalla pada hari raya ), sementara perempuan yang sedang haid hendaklah berada jauh daripada tempat solat".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, kitab Solat Dua hari Raya, Bab Perempuan Yang Suci dan Yang kedatangan Haid keluar ke Musalla, jil. 1, m/s 331, no.931]

Ibnu Abbas R.A berkata: "Aku pernah keluar bersama Rasulullah S.A.W ke Musalla pada Hari Raya Fitri dan Adha. Kemudian Rasulullah S.A.W menyampaikan khutbah. Sesudah itu Baginda S.A.W mendatangi kaum wanita lalu memberi nasihat dan peringatan kepada mereka serta memerintah mereka untuk bersedekah".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, kitab Solat Dua hari Raya, Bab Kanak-kanak Keluar ke Musalla, jil. 1, m/s 331, no.932]

Perlu diingat, Ibnu Abbas R.A tergolong di kalangan sahabat kecil atau dalam kata lain kanak-kanak sahabat ketika menyaksikan peristiwa di atas. Walau bagaimanapun, Rasulullah S.A.W tidak pernah menghalau atau mengarahkan beliau pulang ketika menghadiri upacara solat sunat raya.


Solat Berjemaah
Solat sunat raya dikerjakan secara berjemaah. Walau bagaimanapun berjemaah bukanlah syarat sah solat sunat raya sebagaimana Solat Jumaat. Justeru, barang siapa yang terlepas solat sunat raya secara berjemaah, sunat baginya mengerjakannya secara bersendirian di rumah.

Sebahagian ulamak menyatakan, tiada qadha` atau solat ganti bagi orang yang terlepas solat sunat raya bersama Imam. Ibnu Rusyd (595 H) menyatakan, hal disebabkan mereka mensyaratkan berjemaah dan imam dalam solat sunat raya. Namun, kebanyakan ulamak tidak mensyaratkan berjemaah dalam solat sunat raya[8].

Sejak awal disyariatkan solat sunat raya, Rasulullah S.A.W melakukannya secara berjemaah bersama para sahabat. Faktor jemaah dalam solat itu penting. Selain menjamin ganjaran yang lebih besar, ia mampu mengeratkan ukhuwah sesama muslim. Tindakan-tindakan seperti bersentuh bahu, memberi salam kiri dan kanan di akhir solat, mengaminkan al-Fatihah yang dibacakan imam secara serentak, mendoakan kesejahteraan untuk saudara-saudara seislam ketika tasyahhud dan sebagainya boleh menautkan hati sesama jemaah yang menghadiri solat.


Hikmah Keempat: Kebajikan Masyarakat

Islam adalah agama yang menitik beratkan kebajikan yang seimbang. Ia tidak pernah sekalipun menindas hak individu sebagaimana fahaman Komunis. Dalam masa yang sama Ia turut menjaga kepentingan awam dan tidak mengabaikannya sebagaimana fahaman Kapitalis. Dalam banyak hukum yang wujud dalam Islam, hak awam itu dinamakan sebagai hak Allah S.W.T. Hal ini bererti melanggar hak awam samalah seperti melanggar hak Allah S.W.T itu sendiri. Dalam soal pembahagian harta rampasan perang contohnya, satu perlima daripadanya dinamakan sebagai hak Allah S.W.T. Hak ini sebahagiannya diperuntukkan kepada golongan miskin, anak-anak yatim, golongan yang keputusan bekalan semasa dalam permusafiran seperti pelajar dan seumpamanya.

Begitu juga sebahagian daripada undang-undang jenayah dalam Islam seperti Hudud dan Qisas dinamakan sebagai hak Allah S.W.T. Jika diperhatikan secara halus hikmah di sebalik perlaksanaanya, ia adalah untuk menjaga kepentingan umum.


Membayar Zakat Fitrah

Antara bentuk khidmat masyarakat yang diwajibkan pada Eidul fitri ialah membayar zakat fitrah. Zakat fitrah ialah sejumlah harta daripada ketagori tertentu yang wajib dikeluarkan ketika terbenamnya matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan dengan syarat-syarat tertentu. Ia wajib ke atas setiap orang Islam sama ada besar atau kecil, lelaki atau perempuan, merdeka atau hamba. Setiap ketua keluarga wajib membayar zakat untuk dirinya dan mereka yang berada dibawah tanggungannya. Dalam hal ini Abdullah Bin Umar R.A berkata: "Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu bekas (صاع) tamar atau gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar di kalangan umat Islam. Rasulullah S.A.W memerintahkan agar ia diserahkan sebelum orang ramai mengerjakan solat (sunat raya)".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari, Kitab Zakat, Bab Kewajipan Zakat Fitrah, jil. 2, m/s 547, no.1432].

Tentang hikmah diwajibkan zakat fitrah, Abdullah Bin Abbas R.A berkata: " Rasulullah S.A.W mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa daripada perkara lagha dan keji, sebagai makanan kepada golongan miskin. Barangsiapa yang membayarnya sebelum solat, ia adalah zakat yang diterima. Barangsiapa yang membayarnya selepas solat, ia hanyalah salah satu daripada sedekah".
[Riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, Kitab Zakat, Bab Zakat Fitrah, jil. 2, m/s 111, no.1609].

Seperti solat sunat raya dan puasa bulan Ramadhan, zakat fitrah juga mula-mula disyariatkan pada tahun kedua selepas penghijrahan Rasulullah S.A.W ke bumi Madinah.

Para ulamak telah menetapkan beberapa syarat berkaitan dengan zakat fitrah. Syarat asasinya ialah Islam. Hal ini bermakna zakat fitrah tidak diwajibkan ke atas orang kafir. Ia wajib dibayar bermula pada malam raya sehingga sebelum solat raya didirikan. Namun, harus hukumnya apabila disegerakan pembayaran zakat fitrah semasa bulan Ramadhan lagi.

Seseorang itu hanya wajib membayar zakat fitrah apabila memiliki lebihan harta setelah ditolak keperluannya dan mereka yang berada di bawah tanggungannya selama sehari semalam iaitu tempoh menyambut hari Eidul fitri. Lebihan harta tersebut mestilah sekurang-kurangnya sebanyak kira-kira dua kilo empat ratus gram makanan ruji masyarakat tempatan mengikut sukatan hari ini. 

Zakat tersebut boleh dibayar dalam bentuk makanan seperti beras dan boleh juga dibayar dalam bentuk wang ringgit mengikut mazhab Imam Abu hanifah R.H. Pada hari ini, wang ringgit dilihat lebih bermanfaat bagi golongan fakir miskin. Justeru, kebanyakan umat Islam hari ini memilih untuk membayar zakat dalam bentuk wang berbanding bahan makanan seperti beras atau gandum.


Hikmah Kelima: Meninggikan Syiar Islam

Allah S.W.T berfirman:

"...barang siapa yang membesarkan syiar Allah S.W.T, maka sesungguhnya ia sebahagian daripada perbuatan orang yang memiliki hati yang penuh ketakwaan".
[Al-Hajj, ayat 32].

Sebahagian ulamak menafsirkan syiar itu sebagai ibadah-ibadah yang diperintahkan oleh Allah S.W.T bertujuan mendekatkan diri hamba kepada-Nya.

Jika demikian tafsiran syiar, maka Eidul fitri dan segala yang bersangkutan dengannya adalah sebahagian daripada syiar Islam. Membesar dan memeriahkannya dikira sebagai meninggikan syiar Islam dan ia salah satu daripada sifat orang yang bertaqwa.


Pergi dan Pulang dari Solat Raya Menggunakan Jalan yang Berbeza

Jabir bin Abdullah R.A berkata: " Kebiasaannya Rasulullah S.A.W akan menggunakan jalan yang berbeza pada hari raya ".
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, kitab Dua Hari Raya, Bab barang siapa yang menggunakan jalan yang berbeza apabila pulang dari mengerjakan Solat Raya, jil. 1, m/s 334, no.943]

Hadis yang pendek ini telah menarik perhatian ramai ulamak untuk mengulas hikmah disebalik perbuatan Rasulullah S.A.W. Lebih daripada dua puluh hikmah disebut oleh mereka seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani[9]. Berikut adalah antara yang disebut oleh para Ulamak:

  1. Menzahirkan syiar Islam.
  2. Menzahirkan zikrullah.
  3. Membuatkan golongan munafiq dan yahudi merasa marah dan sakit hati.
  4. Memberi ketakutan kepada mereka dengan menzahirkan betapa ramainya pengkut Nabi Muhammad S.A.W.

Hikmah Keenam: Jati Diri dan Identiti Islam

Sejarah membuktikan bangunnya sesebuah bangsa itu dengan sebab Islam dan jatuhnya pula disebabkan meninggalkan Islam. Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata: "Sesungguhnya kita dahulu adalah sehina-hina bangsa. Lalu Allah S.W.T memuliakan kita dengan Islam. Seandainya kita menuntut kemuliaan selain daripada yang telah dikurniakan Allah S.W.T, nescaya kita akan dihina oleh Allah S.W.T".
[Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak, Kitab Iman, jil.1, m/s 130, no.207].

Sejarah juga membuktikan tiada bangsa yang dapat lari daripada tunduk kepada agama pemerintah melainkan berpegang dengan ajaran Islam. Dengan kehebatan Islam, akhirnya tentera Monggol yang menjajah negara umat Islam memeluk agama rakyat jajahannya. Buku-buku sejarah Islam mencatatkan nama-nama pemerintah dan kerajaan Islam yang berasal daripada bangsa Monggol.

Untuk melahirkan jati diri yang kuat dan kebal seperti ini memerlukan usaha yang lama dan berterusan. Justeru, Rasulullah S.A.W sangat menitik beratkan soal jati diri ini dan secara berterusan mengarahkan para sahabat agar mengekalkan jati diri muslim mereka di dalam masyarakat Madinah yang berbilang kaum dan suku.

Antara hadis-hadis dan peristiwa-peristiwa yang mengandungi gesaaan ini adalah seperti berikut:


Menginai Rambut

"Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak menginai rambut mereka. Oleh itu, hendaklah kamu berbeza daripada mereka".
[ Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Para Nabi, Bab Cerita Berkaitan Dengan Bani Israel, jil. 3, m/s 1275, no.3275 ].


Puasa Asyura`

Abdullah bin Abbas R.A berkata: "Ketika Rasulullah S.A.W berpuasa pada hari Asyura` dan memerintah para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata: " Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ia adalah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani". Rasulullah S.A.W bersabda: "Jika diizinkan Allah pada tahun depan kita juga akan berpuasa pada hari kesembilan".
[Riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, Kitab Puasa, Bab Hari Apakah yang digalakkan berpuasa pada hari Asyura`, jil. 2, m/s 797, no.1134].


Pensyariatan Azan

Abdullah bin Umar R.A berkata: " Tatkala umat Islam tiba di Madinah, mereka biasanya akan berhimpun untuk menunggu waktu solat disebabkan tiada yang menyeru orang ramai untuk memberitahu waktu solat. Suatu hari mereka berbincang mengenainya. Setengah mencadangkan: "Gunakan loceng seperti kaum nasrani". Setengah yang lain pula mencadangkan: "Bahkan gunakan trumpet seperti kaum yahudi". Lalu Umar R.A berkata: "Kenapa kamu tidak melantik seseorang yang melaungkan kepada orang ramai tentang waktu solat? Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: "Wahai Bilal! Bangun dan serulah ( azan ) orang ramai untuk solat".
[Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Azan, Bab Permulaan Azan, jil. 1, m/s 219, no.579].

Di atas hanyalah sebahagian daripada perkara-perkara yang merujuk kepada pengukuhan Jati Diri umat Islam yang dilaksanakan di zaman Rasulullah S.A.W.


Penetapan Hari Raya Buat Umat Islam

Setibanya Rasulullah S.A.W ke Madinah, Eidul fitri antara pemulihan budaya yang dilakukan oleh Baginda S.A.W. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W bersabda seperti yang telah disebut di awal perbahasan: "Sesungguhhya Allah S.W.T telah menggantikan buat kamu dengan dua hari yang lebih mulia daripada kedua-dua hari tersebut iaitu hari al-Adha dan hari al-Fitr".        
[Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, Kitab Solat, Bab Solat Dua Hari Raya, jil. 1, m/s 295, no1134].

Sebahagian ulamak menyifatkan tindakan menggantikan dua perayaan jahiliah penduduk Madinah dengan Eidul fitri dan Eidul Adha sebagai satu langkah yang halus bagi menggantikan hiburan yang tidak direstui dengan ibadah yang menjadi tema utama Eidul fitri dan Eidul adha. Menggantikan sesuatu budaya lama dengan budaya yang baru pada hakikatnya mengandungi larangan daripada mengikuti budaya lama tersebut, meskipun tiada lafaz larangan yang jelas diucapkan.

Sebahagian ulamak berpendapat, hadis di atas tidak bermakna Islam menlarang hiburan. Bahkan Eidul fitri dan Eidul Adha juga mengandungi banyak unsur hiburan. Tetapi hiburan itu mestilah dikawal oleh syarak dan diletakkan pada tempatnya yang sesuai. Eidul fitri dan Eidul Adha adalah contoh hiburan yang seimbang yang direstui oleh Islam.

Pemilihan Eidul fitri sebagai perayaan tahunan juga telah menyerlahkan identiti tersindiri umat sebagai umat pertengahan. Perayaan disambut setelah menahan diri daripada keseronokan dunia selama sebulan. Ia dimulakan dengan zikir dan solat yang sederhana sifatnya sebagai tanda kesyukuran kepada tuhan yang telah menganugerahkan kegembiraan. 

Selepas solat umat Islam secara beramai-ramai mendengar khutbah yang mengandungi nasihat dan pesanan berkaitan isu-isu seputar Eidul fitri. Tiada tindak-tinduk yang melampau dan menjengkelkan sepanjang merayakan hari Eidul fitri dengan syarat mereka mematuhi sepenuhnya perintah agama. Ke semua ini menampakkan keseimbangan berbudaya di dalam Islam.


Penentuan Tarikh Hari Eidul fitri Berdasarkan Kaedah Rukyah

Antara perkara yang menampilkan jati diri umat Islam yang tersendiri dalam hal menyambut Eidul fitri ialah cara penentuannya. Berbeza daripada kebanyakan perayaan di dunia, Eidul fitri ditentukan melalui pencerapan anak bulan atau hisab falaki. Pencerapan anak bulan bagi menandakan awal bulan dalam Islam mestilah disaksikan oleh dua orang yang adil. Ini adalah pendapat kebanyakan ulamak. Sebahagian mereka berpendapat memadai dengan penyaksian seorang yang adil.

Hisab falaki ialah penentuan anak bulan berdasarkan kaedah ahli astronomi. Bulan-bulan dalam taqwim hijri ditentukan berdasarkan peredaran bulan dalam sebulan. Ia berbeza dengan kalendar masihi yang menjadikan peredaran matahari dalam setahun sebagai asas.

Adapun tentang penetapan Syawal dan Ramadhan berdasarkan rukyah hilal (melihat atau mencerap anak bulan), Rasulullah S.A.W bersabda: "Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan. Berbukalah (iaitu berayalah) dengan melihatnya juga. Jika ia terlindung, lengkapkanlah bulan Syaaban selama tiga puluh hari".
[Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Puasa, bab Sabda Nabi S.A.W: "Jika kamu melihat anak bulan maka berpuasalah, jil. 2, m/s 674, no.1810].


Penutup

Demikianlah beberapa nilai penting yang dapat dicungkil melalui beberapa amalan wajib dan sunat yang disyariatkan pada hari Eidul fitri. Semoga ia menjadi panduan kita dalam menyambut hari lebaran. Hakikatnya, hikmah-hikmah Eidul fitri lebih banyak lagi daripada apa yang telah disebutkan sebelum ini. Pemahaman terhadap hikmah-hikmah raya ini sedikit sebanyak dapat membetulkan cara kita merayakan Eidul fitri selari seperti yang dianjurkan oleh Islam. isu "raya sebulan kerana puasa sebulan" tidak timbul lagi jika kita benar-benar memahami erti raya sebagai mana yang diajar oleh Islam.

Eidul fitri seharusnya dijadikan hari ibadah sebagaimana kita menjadikan Ramadhan sebagai bulan ibadah. Ibadah itu bukan sahaja solat dan puasa tetapi ia meliputi segala gerak-geri, tutur kata, dan qasad di hati kita sepanjang mengharungi kehidupan. Jika kita memahami ibadah dengan sebenar-sebenarnya, ia akan menjadi hiburan yang sangat menenangkan buat kita. Itulah nilai terbesar yang mahu ditampilkan pada Eidul fitri.



[1]  Khulasoh al-Badrul Munir, 1/231
[2]  Nailul awtor, 1/297
[3]  Al-Umm, 1/232
[4]  Syarhus sunnah, 2/167
[5]  Mughnil Muhtaj, 1/312
[6]  Syarhus sunnah, 4/302
[7]  Fathul bari, 2/450
[8]  Bidayatul mujtahid, 1/159
[9]  Fathul bari, 2/473


 Rujukan:

1. Al-Quran al-Karim
2. Al-Kasyif An Haqaiqis Sunan; al-Hussain b. Abdullah at-Tibiy, Maktabah Mustafa al-Baaz, Makkah al-Mukarramah.
3. Al-Umm; Muhammad b. Idris as-Syafie, Darul Ma'rifah, Beirut
4. An-Nihayah fi Gharibul Athar; Ibnul Athir al-Jazari, al-Maktabah al-Ilmiah, Beirut.
5. Bidayatul Mujtahid; Ibn Rusyd al-Hafid al-Qurtubi, Darul Fikr, Beirut.
6. FaEidul Qadir; Muhammad Abdur Rauf al-Munawi, Maktabah at-Tijariyah al-Kubra, Mesir.
7. Fathul Bari; Ibn Hajar al-Asqalani, Darul Ma'rifah, Beirut
8. Fiqh Manhaji; Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali as-Syarbaji, Darul Qalam, Dimasyq.
9. Khulasoh al-Badrul Munir; Umar b. Ali Ibn al-Mulaqqan, Maktabah ar-Rusyd, Riyadh.
10. Mughnil Muhtaj; Muhammad al-Khatib as-Syarbini, Darul Fikr, Beirut.
11. Nailul Awtor; Muhammad b. Ali as-Syaukani, Darul Jeil, Beirut.
12. Sunan Abu Daud; Sulaiman b. al-Asy'ath as-Sijistani, Darul Fikr, Beirut.
13. Sahih al-Bukhari; Muhammad b. Ismail al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut.
14. Sahih Muslim; Muslim b. Hajaj an-Naisaburi, Dar Ihya' at-Turath al-Arabi, Beirut.
15. Sunan Tirmizi; Muhammad b. Isa at-Tarmizi, Dar Ihya' at-Turath al-Arabi, Beirut.
16. Syarhus Sunnah; al-Hussain b. Mas'ud al-Baghawi, al-Maktab al-Islami, Beirut.
17. Umadatul Qari; Badruddin al-Aini, Dar Ihya' at-Turath al-Arabi, Beirut.



Disediakan oleh:
Rabiatul Adawiyah binti Samsudin
Felo MANHAL
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
 http://www.manhal.pmram.org/2013..

No comments:

Post a Comment