Labels

Pages

Friday, October 26, 2012

“Lambang Sebuah Kecintaan”


Puji dan syukur kita panjatkan kembali kepada Allah SWT yang telah banyak memberikan kenikmatan  kepada kita sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Lantaran itu, kewajipan kita adalah memanfaatkan segala kenikmatan dari Allah untuk mengabdikan diri kepada-Nya sebagai manifestasi dari rasa syukur itu. Antaranya adalah ibadah korban pada Hari Raya Aidil Adha iaitu 10 Zulhijjah saban tahun dan hari-hari tasyrik.

Takbir, tahlil dan tahmid bergema di seluruh muka bumi Allah SWT tika hari itu tiba sekaligus menyertai saudara-saudara kita yang pergi menyahut panggilan agung ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji.

 Ketika umat Islam melaksanakan ibadah haji di Baitullahil Haram, kita disini juga melaksanakan ibadah yang berkait dengan ibadah mereka  iaitu puasa pada hari Arafah, penyembelihan binatang korban setelah solat sunat Aidil Adha, dan melaungkan takbir,tahlil dan tahmid selama hari tasyrik. Apa yang dilakukan itu maqasidnya adalah sama iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Aidil Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

 Nabi Ibrahim diuji untuk memilih antara melaksanakan perintah Allah atau mempertahankan putera kesayangannya. Ketika dua insan agung ini pasrah dan redha dengan perintah Tuhan mereka, akhirnya digantikan dengan seekor kibas.

Kalau difikirkan, sebagai seorang manusia yang waras akalnya, mana mungkin sanggup mengorbankan seorang anak kalau bukan kerana perintah Allah SWT. Justeru, banyak ibrah yang dapat dikutip dalam  peristiwa agung ini.

 Antaranya untuk mendapatkan kebahagiaan dan keharmonian dalam kehidupan dunia dan akhirat, kita memerlukan sebuah pengorbanan.

Berkorban adalah memberikan sesuatu untuk membuktikan kecintaan kepada orang lain meskipun kadang-kadang kita terpaksa menderita. Nabi Allah, Ibrahim sanggup mengorbankan puteranya Ismail a.s demi mencapai kecintaan kepada Khaliqnya sehingga baginda digelar khalilullah (kekasih Allah).

 Peristiwa agung ini juga mengingatkan kepada kita semua yang bergelar ibadullah bahawasanya kehidupan dunia ini akan hancur binasa pada suatu masa yang dirahsiakan. Kadang-kadang Allah berikan kepada kita sesuatu yang kita cintai, namun cepat pula Allah mengambilnya semula. Kadang-kadang Allah berikan kita sesuatu yang tidak disukai walaupun kita sering berdoa agar Allah jauhkannya.

Tidakkah pernah kita mendengar firman Allah yang bermaksud: “ boleh jadi apa yang kamu benci itu baik untuk kamu dan apa yang kamu suka itu buruk untuk kamu.”  Maka sama-samalah kita bermuhasabah agar diri kita semakin hari semakin dekat dengan Allah SWT. moga kita semua digolongkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh, amin...

Selamat menyambut Aidil Adha 1433H buat seluruh umat Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wasallam. Kullu ’Am Wa Antum Bikhair.


Disediakan oleh:
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan 
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2012/2013


No comments:

Post a Comment