Labels

Pages

Tuesday, October 2, 2012

TOLAK PENGHINAAN TERHADAP RASULULLAH SAW



Penghinaan terhadap Baginda Nabi Muhammad SAW bukan suatu perkara yang baru, malah ia telah berlaku sejak awal Baginda SAW diutuskan lagi.

Pelbagai cacian, dan penghinaan yang dilakukan musuh Islam dalam cubaan untuk menjatuhkan satu-satunya agama yang diredhai Allah SWT.

Bentuk-bentuk mengeji Baginda SAW berlaku mengikut peredaran zaman. Bermula daripada zaman Baginda SAW sehingga kini.

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan kebiadaban seorang penerbit filem berbangsa Yahudi Amerika, Sam Bacile yang telah menerbitkan filem yang berjudul “Innocence of Muslims” yang mana filem itu telah dihasilkan sepenuhnya dengan tujuan untuk menghina Baginda SAW sekaligus menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Antara kandungan filem tersebut ialah, dengan mewatakkan Baginda SAW sebagai ‘womaniser’ iaitu seorang lelaki yang gilakan wanita, kejam dan tidak adil terhadap isteri-isterinya. Bukan itu sahaja, bahkan filem itu turut menghina sumber perundangan Islam, iaitu al-Quran dan Sunnah, serta para sahabat Baginda SAW.

Jika diteliti sejarah semasa zaman perutusan, Baginda SAW telah dihina dengan pelbagai cara. Antaranya, dicerca dan dituduh dengan pelbagai tuduhan yang menghina dan mengeji batang tubuh kekasih Allah.

    Antara bentuk tuduhan tersebut ialah :

•    Baginda SAW dituduh sebagai seorang penyair yang mereka-reka qasidah (al-Quran) yang indah untuk memikat masyarakat Quraisy pada masa itu.
•    Dituduh sebagai seorang yang tidak waras. Abu Jahal telah mengupah para samseng dan pencaci untuk menghina Baginda SAW melalui medium seni, di antaranya ialah An Nadhar Bin Al Harith.
•    Dituduh sebagai seorang tukang sihir.
•    Didakwa bahawasanya Baginda SAW tidak layak untuk menjadi wakil Tuhan.

Walaupun banyak kejadian yang menyakiti dan menghina Baginda SAW, kasih sayang Allah SWT sentiasa mengiringi Baginda SAW. Melalui pengajaran atas kebiadaban musuh-musuh Islam, sebagai contoh, kisah Ummu Jamil binti Harb bin Umayyah,isteri Abu Lahab yang selalu mencela dan menyakiti Baginda Sallallahua’laihiwasallam dengan meletakkan duri-duri di jalanan dan di laman rumah Baginda, sehingga diturunkan ayat al-Quran yang mencela suaminya, Abu Lahab.
Setelah penurunan ayat yang mencela dirinya dan Abu Lahab tersebar, bergegas Ummu Jamil mencari Nabi dengan niat untuk melontar batu ke arah Baginda SAW. Akan tetapi, dengan kuasa Allah s.w.t , tertutup pandangan Ummu Jamil dari melihat Baginda SAW,sedangkan dia telah berada berhadapan dengan Baginda SAW, yang mana ketika itu Baginda telah ditemani Saidina Abu Bakar r.a.

Kata Saidina Abu Bakar r.a ,”Wahai Rasulullah, apakah dia (Ummu Jamil) melihatmu?’
Sabda Baginda s.a.w ,”Dia (Ummu Jamil) tidak melihatku. Sesungguhnya Allah SWT telah menutup pandangannya terhadapku”

    Dengan kisah tadi, terbuktilah kecintaan  Allah SWT pada kekasihNYA dan betapa hinanya golongan yang mencerca Baginda Sallallahua’laihiwasallam..

Selaku mahasiswa/wi Islam kita seharusnya mendalami sirah, sunnah dan hadithnya. Demi memartabatkan ketinggian Islam, juga sebagai bukti cinta kita selaku umat Baginda SAW,umat akhir zaman.
   
    Ingatlah, sekiranya kita berpaling, nescaya Allah SWT akan menggantikan kaum yang lain, jauh lebih baik untuk memperjuangkan agamaNya, dan kaum yang bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kehormatan Baginda SAW, keluarga dan para sahabat.

    Sesungguhnya, mulianya kita kerana perbuatan dan kepercayaan dalam menjaga adab dalam Islam, dan hinanya kita apabila luntur keyakinan dan pegangan kepada agama Islam.



Disediakan oleh
Unit Penerangan dan Penerbitan
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2012/2013

No comments:

Post a Comment