Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Taala Tuhan sekalian alam di atas kurniaan nikmat yang tidak terhitung iaitu nikmat iman dan Islam serta nikmat kesihatan dan kelapangan waktu. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W penghulu sekalian umat, para sahabat yang dirahmati Allah s.w.t, para tabi’ dan tabi’in yang dimuliakan serta seluruh manusia yang menjadi penerus kesinambungan perjuangan Islam hingga ke akhir zaman.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Mesyuarat Agung Tahunan ( MAT ) merupakan satu agenda tahunan yang menjadi medan muhasabah antara ahli dan kepimpinan. Dewan Perwakilan Mahasiswsi Iskandariah juga tidak ketinggalan dalam mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-19 yang mana telah berjaya dilangsungkan pada 8 Ramadhan 1432H bersamaan 8 Ogos 2011M. Para perwakilan telah menggunakan kesempatan yang ada dengan sebaik mungkin dalam memberikan kritikan yang membina kepada barisan kepimpinan AJKT DPMI sesi 2010/2011 disamping respon yang diterima memuaskan hati semua pihak.
Mesyuarat Agung Tahunan DPMI kali ke-19 yang dirasmikan oleh Al-fadhil Al-ustaz Mohamad Zuhaili bin Saiman berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah. Ahli mesyuarat sebulat suara bersetuju menerima usul yang dibawa oleh Ustazah Nur Amnani Faten Paiman. Matan usul yang dibawa oleh beliau berbunyi :
“ Menaikkan Yuran Perumahan DPMI Bagi Meneruskan Lagi Kelangsungan Survival DPMI Dan PMRAM “
Diantara hujah yang dikemukakan oleh beliau ialah : Hak kebersamaan dalam menyediakan tempat bagi ahli berkumpul untuk menjayakan aktiviti-aktiviti DPMI, kenaikan harga sewa markaz DPMI serta masalah kekurangan ahli disebabkan tiada pentauziqkan mahasisiwi baru ke Iskandariah.
Sidang mesyuarat juga bersetuju meneruskan usul yang dibawa pada Mesyuarat Agung Tahunan ( MAT ) kali ke-18, “Memperkasa HISBAH, Biah Solehah dan Bait Muslim di Semua Peringkat “. Kepimpinan DPMI 2011/2012 berazam untuk terus komited menjayakan usul ini kerana ianya penting demi menjaga kemaslahatan akhawat disamping bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kepada mahasiswi-mahasiswi Islam khususnya di Iskandariah. DPMI juga turut memberi penekanan mengenai tema PMRAM, ‘ Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah ’ dan tema HEWI PMRAM, ‘ Kesatuan Ukhuwwah Manifestasi Tarbiah ‘ yang mana memerlukan peranan bersama untuk merealisasikannya.
Firman Allah Taala, “ Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘ Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim ( yang berserah diri )?” ( Fussilat : 33 ) Kepimpinan adalah amanah dan bukannya kemuliaan. Harus diingatkan bahawa setiap amanah yang ditaklifkan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Menjadi kewajipan kepada seluruh kepimpinan untuk melaksanakan amanah dengan sebaiknya dengan ikhlas kerana Allah Taala dalam meneruskan kesinambungan kepimpinan lalu yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar. Dalam menjalankan amanah, kepimpinan perlu menjauhi al-isti’jal bagi mengelakkan berlakunya al-futur. Firman Allah Taala, "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan dan ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkata Rasul dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat". (Al-Baqarah: 214)
Sesungguhnya kesatuan yang mengorbankan aqidah Islam adalah tertolak, kesepakatan yang mengorbankan Islam juga tertolak dan kesatuan barisan di bawah panji selain Islam juga tertolak. Semoga kepimpinan Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah 2011/2012 dapat menerajui bahtera DPMI dengan jayanya dan sentiasa dalam bimbingan dan rahmat kasih sayang Allah Taala. Selamat menjalankan amanah. PMRAM dan DPMI terus maju ke hadapan.
“ Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah ”
“ Kesatuan Ukhuwwah Manifestasi Tarbiah “
Beramal dan berbakti,
SUMAIYAH BINTI ZAKARIA,
Pengerusi,
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah,
Sesi 2011/2012.
No comments:
Post a Comment