Facebook, Blog, Handphone 3g,
dan seumpamanya adalah bentuk-bentuk kemudahan yang dihasilkan oleh manusia
untuk mengindahkan dan memudahkan lagi kehidupan seharian kita di abad ini.
Banyak perkara menjadi pantas dan segera dengan adanya pelbagai gadjet yang ada
di pasaran.
Walaupun kedudukan seorang
berada di selatan, beribu batu jaraknya dan seorang laginya berada di utara,
dengan kecanggihan yang ada kedua-duanya dapat berhubung dengan mudah tanpa
perlu bersusah payah menempah tiket untuk sebuah pertemuan. Murah dan
cepat!
Alhamdulillah,
pada mereka yang memilihnya sebagai ruang berdakwah kepada manusia lain,
meluaskan hubungan dan jaringan (network), merapatkan ukhwah yang jauh
dan berkasih sayang sesama manusia. Namun , adalah amat mengecewakan apabila
kecanggihan teknologi ini lebih menjadikan penggunanya banyak membuang masa, chatting yang
tiada hadnya dengan isi perbincangan yang lebih ke arah 'merapuh' dan sia-sia.
Hanya 'borak kosong' sebagai kesimpulan dan point ceritanya.
Hal ini, sebenarnya meragut nilai-nilai murni dan kesedaran sivik
pengguna yang mejoritinya banyak berlaku di kalangan anak-anak muda.
Di sebalik kebaikan padanya
juga ada keburukan. Semuanya terletak pada diri pengguna itu sendiri sejauh
mana ianya digunakan. Teknologi ini adakalanya membunuh fitrah manusia, kerana
semakin ianya mudah untuk menghubungkan seseorang dengan seseorang yang lain,
maka semakin besarlah cabaran yang tersedia.
Dengan kemudahan komunikasi
yang semakin meluas, ianya juga seakan memberi ruang kepada 'syaitan' untuk
menyelinap di hati, membakar-bakar emosi dan nafsu yang pada mereka yang suka
mencuba. Daripada cubaan 'berkenal-kenalan' sehinggalah cubaan ke fasa yang
lebih menyeronokkan. Pada mulanya 'bersendirian' dan apabila adanya 'pertemuan'
demi 'pertemuan', maka tidak mustahil akan ada pula adengan yang mungkin sahaja
lebih 'berani' dilakukan.
Bagi yang mempunyai laman
sosial facebook, dialog dialog ini tidak berhenti di sini. Dihiasi dengan
pameran kemesraan yang diterjemahkan dalam gambar intim berdua sebagai tanda
kesaksian percintaan mereka untuk dikongsi bersama dengan kenalan-kenalan
facebook yang ada. Laman sosial yang sepatutnya digunakan untuk perkara-perkara
yang baik dan perkongsian ilmu lebih digunakan sebagai 'mewarwarkan' kemesraan
dan keintiman bagi pasangan belum ada apa-apa ikatan menghalalkannya.
Selain itu, ada juga yang menjadi model-model yang tidak
dibayar oleh mana-mana syarikatmodeling . Menjadi model pada photographer tidak bertauliah dengan memberikan
aksi-aksi istimewa untuk paparan umum. Pelbagai gaya manja, cantik,
senyuman menggoda dari pelbagai sudut di paparkan tanpa batasan di uploadkan
tanpa sekelumit perasaan sedangkan ianya hanyalah merugikan diri sendiri dan
menjadi asbab bertambahnya dosa dan noda mazmumah dalam diri. Rasanya kalau
ditonton pada keluarga mesti ada yang mengucap panjang.
Umumnya, aurat itu di
dalam bahasa arab membawa maksud 'aib' atau 'malu' iaitu lebih merujuk
kepasa sesuatu yang memalukan. Sesuatu yang 'aib' fitrahnya melibatkan
perkara-perkara yang membawa maksud kepada 'kekurangan', 'kelemahan' dan
sesuatu perkara yang boleh 'memalukan' seseorang.
Maka,
memperlihatkan 'aurat' di kalayak ramai walaupun secara maya samalah
seolah-olah dengan rela hati memperlihatkan ' kelemahan' dan 'kekurangan' diri
sendiri yang mana ianya boleh memalukan diri sendiri. Walaupun, adakalanya
dengan sepuluh orang yang memuji/ like gaya gedik
mereka, membuatkan mereka terasa di awang-awangan, namun tanpa mereka sedari
seribu orang malah lebih pula yang merasa geli dan jijik dengan tingkah
mereka.
Semua ini tidak mungkin terjadi
jika iman mendahului emosi. Ya, tanpa pengawasan ibu bapa juga , kalian
sewenang-wenangnya menekan keyboard tanpa berfikir akan membawa imej keluarga
dan agama bersama. Namun segala-galanya bermula dari hati sendiri. Hati yang
bersih akan menterjemahkan perilaku yang bersih. Demikianlah dinding-dinding
facebook yang ada sebagai 'petunjuk' kepada diri seseorang itu. Andai imannya
mendahului emosi, sudah pastilah dinding-dinding (wall) itu dipenuhi dengan
perkongsian yang bermanfaat.
Rasulullah SAW bersabda;
"Sebaik-baik
manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain "
(Hadis Riwayat Ahmad,Thabrani, Daruqutni. Dishahihkan Al Albani dalam As-Silsilah As-Shahihah)
(Hadis Riwayat Ahmad,Thabrani, Daruqutni. Dishahihkan Al Albani dalam As-Silsilah As-Shahihah)
Kesimpulannya, berhati-hatilah
dengan kemudahan yang ada. Manfaatkanlah kebaikan di ruang maya supaya dapat
memberikan kebaikan berterusan pada diri kita dan kepada orang yang membacanya.
Hiasilah akhlak dengan perasaan malu untuk memelihara tingkah laku mahupun
aurat kerana hanya orang tertentu sahaja layak melihatnya.
Firman Allah yang berbunyi;
"Dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung
kepala mereka..."
(Surah an-Nur ayat 31)
(Surah an-Nur ayat 31)
Ayuh! Sama-sama kita manfaatkan
kemudahan ke arah yang lebih baik demi maruah agama dan keluarga, ke arah
menjadi mukmin yang berjaya! Ketika azan berkumandang, tinggalkanlah dahulu
'kemudahan-kemudahan' dunia yang mengasyikkan kerana ianya hanyalah bersifat
sementara.
Jangan hanya kemudahan itu
dapat memberikan kemudahan untuk kita di dunia sahaja, tetapi 'menyusahkan'
diri kita apabila berada di alam yang lebih abadi nanti asbab diri kita sendiri
yang 'kurang bijak' menggunakannya.
"Telah
nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu'
mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka
menghindarkannya"
(Surah al-Mukminun ayat 1-3)
(Surah al-Mukminun ayat 1-3)
Disediakan oleh:
Unit Penerangan dan Penerbitan
Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah
No comments:
Post a Comment