Berfirman Allah Taala :
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللّهِ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ سورة التوبة: الآية: 18.
“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”. at-Taubah : 18
Solat jemaah amat dituntut di dalam islam. Ia merupakan salah satu syiar islam. Sehinggakan ada ulama’ yang mengatakan untuk melihat sesuatu kampung itu baik atau tidak, maka lihatlah solat jemaah di masjid kampung tersebut. Rasulullah juga pernah bersabda :-
عن أبي الدرداء رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول : (( ما من ثلاثة في قرية و لا بدو لا تقام فيهم الصلاة .. إلا قد اسحوذ عليهم الشيطان, فعليكم با لجماعة, فإنما يأكل الذئب من الغنم القاصية )) رواه أبو داود.
Maksudnya : Daripada Abu Darda' r.a berkata: aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampong atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan)”.-riwayat Abu Daud-
Di dalam solat berjemaah banyak mengajar atau melatih kita untuk menjadi ummah yang berdisiplin. Antaranya ialah :-
• Menepati masa. Untuk kita solat jemaah di masjid tidak dapat tidak kita perlu mematuhi masa yang telah ditetapkan dalam setiap waktu solat.
• Galakkan untuk datang awal dari waktu yang ditetapkan. Kita digalakkan untuk hadir ke masjid sebelum masuk waktu solat dan menantikan sehingga masuk waktu solat. Begitu juga kita perlu mempraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Contohnya bagi mereka yang hendak menghadiri mesyuarat atau program-program dakwah perlu datang lebih awal dari waktu yang ditetapkan.
• Sentiasa berada di barisan hadapan. Di dalam solat kita digalakkan untuk berada di saf yang awal. Begitu juga dengan urusan dakwah atau ibadah yang lain kita perlu menjadi orang yang pertama untuk melakukannya.
• Taat pada ketua (السمع و الطاعة). Di dalam solat jemaah sebagai makmum kita tidak boleh bercanggah atau bersalahan dengan imam. Begitu juga dengan hidup dalam berjamaah. Kita perlu memberikan keta’atan yang sepenuhnya pada kepimpinan selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.
• Konsep ukhuwah. Dalam solat berjemaah kita perlu merapatkan bahu-bahu kita dengan saudara-saudara islam kita dengan tidak mengira warna kulit, bangsa, negara dan apa jua perbezaannya. Kerana kita sebagai umat islam semuanya adalah saudara.
Dan banyak lagi tarbiyah yang kita dapat terima dan belajar dari solat berjemaah. Solat berjemaah amat penting untuk kita menerima tarbiyah agar kita menjadi ummah yang cemerlang dan ummah yang gemilang yang pernah menguasai dunia suatu ketika dahulu.
Akhirnya, marilah kita sama-sama menjalankan peranan kita masing-masing agar sentiasa memperingati keluarga dan sahabat-sahabat kita untuk solat berjemaah. Kerana kita diutuskan diatas muka bumi sebagai khalifah.
Jadi, masih tidak sempurna kita sebagai seorang muslim boleh mendirikan solat jemaah sedangkan sahabat-sahabat disekeliling kita masih culas dalam solat berjemaah. “Amar Makruf Nahi Mungkar” untuk kita menjadi ummat yang terbaik
( sumber : UBS PMRAM )
No comments:
Post a Comment