Labels

Pages

Tuesday, September 13, 2011

~ MERAIH REDHA ILAHI ~

Pada keluaran Tazkiyatun Nafs sebelum ini, anda telah disajikan dengan tajuk ‘ INDAHNYA RAMADHAN MEMBENTUK KETAQWAAN’. Dan pada kali ini anda akan dihidangkan dengan hidangan yang sangat istimewa dan nikmatnya akan dirasai oleh mereka yang betul-betul menikmati dan menghayatinya…

APA ITU REDHA??

Berkata Ibnu ‘Athoillah As-Sakandari : Redha ialah hati yang meyakini qadimnya pilihan Allah Taala terhadap hambaNya iaitu meninggalkan sifat marah.
Redha ialah maqam qalbi. Apabila seseorang mukmin telah teguh pada maqam redha, dia mampu untuk berdepan dengan pelbagai tribulasi dan kesusahan dengan iman yang kental, jiwa yang tenang dan hati yang sejuk lagi damai.

ANTARA KELEBIHAN REDHA…

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Kedudukan redha lebih tinggi daripada martabat sabar. Ia merupakan kesejahteraan rohani yang mampu menyampaikan seseorang arif kepada suatu keadaan yang mana ia mencintai segala yang wujud adalah bertujuan mencapai keredhaan Rabbul ‘Izzah. Sehinggakan kepayahan dan musibah hidup dipandang redha sebagai suatu kelebihan dan keberkatan.

Cuba kita buka kembali lembaran kisah hidup Sayyidina Bilal ketika mana beliau menghadapi saat getir sakaratul maut melafazkan: “ Alangkah gembiranya! Esok aku akan berjumpa dengan kekasihku iaitu Sayyidina Muhammad dan sahabat-sahabat baginda.”

Subhanallah…kalam yang begitu menusuk kalbu! Alangkah indahnya hidup ini andai kalimah ini yang terbit dari hati nurani kita tikamana diuji Allah SWT...

Nikmat redha merupakan faktor ketenangan yang menyelubungi jiwa orang mukmin. Ia merupakan sebab yang paling kuat dalam menghapuskan sifat putus asa yang berlegar di benak fikiran kita.

Di antara petunjuk baginda SAW ialah baginda mengajar para sahabat dan menanam dalam hati mereka sifat redha dengan Allah SWT sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Sayyidina Muhammad SAW sebagai nabi serta rasul. Baginda sentiasa menyeru mereka supaya sentiasa mengulanginya.

Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang berkata pada waktu pagi dan petang: Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai Agama,dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul, menjadi hak ke atas Allah untuk meredhainya..”

Namun……

Hakikatnya pada hari ini, ramai manusia mengulangi kata-kata ini dengan lidah mereka tetapi hati mereka tetap tidak merasa tenang, tidak mengecapi maknanya yang agung, dan tidak mencapai kehendaknya yang tinggi khususnya ketika dihujani dengan musibah yang mencurah-curah dan bala secara tiba-tiba. Lalu.. hati kita diselubungi kengan kegelapan dukacita dan kekeruhan.

Sebagai konklusinya, kita lihat pengulangan lidah semata-mata tanpa diikuti oleh hati tidak sama sekali memberi manfaat kepada tuannya.

Kadang-kadang, bagi orang yang redha secara lazimnya mereka akan terasa dengan ujian yang ditanggung dan perit dengan ujian yang menimpa. Walaubagaimanapun dengan akal yang diberikan dan iman yang ada dia tetap redha kerana dia yakin dengan ganjaran yang lumayan serta pahala yang banyak di atas ujian yang menimpa.
Umpamanya seperti pesakit yang merasa sakit dengan suntikan ubat serta merasa pahit dan perit berubat, tetapi tetap redha dengannya kerana dia yakin itu adalah sebab untuk dia sembuh sehinggakan dia suka kepada orang yang memberikan ubat kepadanya walaupun ia pahit.

Sahabat-sahabatku..

Begitulah kehidupan seharian kita yang diwarnai dengan garis-garis ujian sebagai penyeri hidup duniawi.. Namun, sedarilah wahai saudaraku,disebalik ketentuan Allah, ada hikmah yang tersembunyi serta pemberian yang terlalu halus sebagaimana firmanNya di dalam surah An-Nisaa, ayat 19:

……..”فعسى ان تكرهوا شيئا ويجعل الله فيه خيرا كثيرا”
“Boleh jadi kamu benci terhadap sesuatu sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak”

Dengan demikian, kesedihan akan lenyap dan hairan yang sentiasa berlegar di benak fikiran mula tersingkir. Dia tahu bahawa hairan yang ada padanya sama seperti hairannya Nabi Musa as terhadap Nabi Khidhir as iaitu ketika Nabi Khidhir membocorkan sampan anak-anak yatim, membunuh kanak-kanak serta membina kembali tembok. Apabila Nabi Khidhir menceritakan hikmah yang diketahuinya, hilanglah kehairanan Nabi Musa as. Ketaajuban Nabi Musa adalah disebabkan baginda tidak mengetahui hikmah yang tersembunyi… Begitulah perbuatan Allah SWT yang penuh dengan kerahsiaan..

KESIMPULANNYA…

Yakinlah bahawa Allah tidak redha kepada hambaNya kecuali setelah hamba itu redha kepada Tuhannya dalam semua hukum dan perbuatanNya. Ketika itu redha berlaku silih berganti sebagaimana firmanNya:

…..”رضى الله عنهم ورضوا عنه” ……



DISEDIAKAN OLEH: UNIT DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN DPMI 2011/2012

No comments:

Post a Comment