Ramadan Yang
Intensif Dan Insentif
Ramadan adalah sebagai sebuah kilang pembinaan rohani yang
intensif, dipenuhi dengan insentif-insentif khas buat memperteguhkan binaan
dalaman setiap Mukmin agar mereka keluar daripadanya sebagai pahlawan agama
yang begitu perkasa dan penuh dengan semangat juang yang tinggi. Apabila kita
menjenguk kepada sirah Baginda dan bagaimana Baginda menyusun kehidupan di kota
Madinah sepanjang bulan Ramadan, kita akan melihat bagaimana ia telah menjadi
satu medan tarbiyah para sahabat yang begitu solid untuk sebuah projek dakwah.
Bulan Al-Quran
Di dalam Al-Quran, secara jelas Allah telah menyatakan kelebihan
bulan Ramadan adalah kerana peristiwa penurunan Al-Quran kepada manusia. Ia
diturunkan pada satu malam yang penuh barakah daripada malam-malam Ramadan. Ia
adalah Lailatul Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan. Demi kemuliaan dan
keagungan, maka bulan Ramadan diangkat tarafnya menjadi bulan anugerah khas
buat umat Muhammad S.A.W, umat akhir yang diturunkan kepada mereka kitab dari
langit.
Maka difardhukan ibadah puasa adalah kerana kesannya yang
begitu mendalam di dalam memperteguh rasa cinta dan tanggungjawab mensyukuri
dan mengamalkan Al-Quran. Ertinya kefardhuan ibadah puasa bukanlah semata-mata
pemenjaraan dan hukuman terhadap nafsu perut dan syahwat, juga bukan sekadar
bertujuan melaparkan perut agar diingati nikmatNya yang banyak oleh orang-orang
kaya dan dikasihani pula golongan yang miskin, bahkan ia mempunyai hikmah dan
matlamat yang lebih besar iaitu memandu diri untuk mengenali, merasai dan
menikmati keagungan Al-Quran sebagai panduan hidup duniawi.
Jalan Menuju Taqwa
Kesan pensyariatan ibadah puasa di bulan Ramadan mempunyai
matlamat yang jelas sebagaimana dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran iaitu agar orang-orang yang beriman mencapai
darjat taqwa. Ia adalah satu seruan yang nyata agar setiap yang berpuasa di
bulan Ramadan agar memberi tumpuan kepada proses pembinaan hati yang ikhlas
dan berada di tahap yang paling tinggi demi kejayaan hidup di dunia dan
akhirat.
Taqwa adalah mengambil sesuatu yang dapat mengelak murka
Allah dan azabNya dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya.
Apabila ia dikaitkan dengan Al-Quran di bulan Ramadan, maka adalah jelas
betapa Al Quran-lah sebaik-baik jalan dan petunjuk buat mencapai darjat taqwa.
Bulan Kesabaran
Puasa disebut oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadisnya
sebagai bulan sabar. Sabar adalah kunci yang membuka segala kesukaran dan
memperoleh kejayaan. Ia adalah di antara sifat-sifat mulia yang paling tinggi
nilainya di sisi Allah kerana pengaruhnya yang besar di dalam melaksanakan
matlamat agung manusia di dunia ini iaitu beribadah dan berdakwah di jalan
Allah.
Melalui puasa, seseorang Mukmin akan melatih diri mengawal
nafsu dan dorongannya yang kuat untuk mencapai keseronokan yang dekat dan
segera. Ia menjadi punca yang menyekat seseorang Muslim untuk melakukan
ketaatan kepada Allah yang kelihatan jauh hasilnya dan menjauhi maksiat yang
manis pada pandangan zahirnya.
Agama Yang Mudah
Ramadan mempromosikan Islam sebagai agama yang mudah dan
tidak membebankan. Dengan pandangan zahir bahawa ibadah puasa adalah cukup
berat untuk dilaksanakan, Allah menegaskan sebaliknya dengan mengulangi hakikat
bahawa Islam tidak pernah mendorong penganutnya untuk melakukan perkara yang
sukar dan tidak terpikul, bahkan akan menyalurkannya kepada jalan-jalan yang
mudah.
Allah juga telah menegaskan konsep keringanan dan kemudahan
di dalam agama dengan menyebutnya secara jelas di dalam ayat puasa bahawa, “Dia
mahukan kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahukan kepayahan untuk kamu”.
Begitulah penekanan yang ditunjukkan agama bahawa agama ini sesekali tidak
memberatkan para penganutnya.
Adalah menjadi kewajiban para du'at di jalan Allah untuk
memperhalusi konsep keringanan di dalam agama ini dengan betul dan sempurna.
Ini akan cukup membantu medan dakwah kepada Allah di dalam mengajak umat Islam
kembali kepada Islam. Antara punca ketakutan mereka adalah serangan musuh yang
berusaha menggambarkan Islam sebagai agama yang sukar dan membebankan dengan
kewajiban dan larangan yang menyekat kebebasan manusia.
Kekuatan Rohani Yang
Unggul
Kekuatan rohani lebih agung daripada kekuatan fizikal. Ini
dilihat secara nyata melalui peristiwa perang Badar yang berlaku di bulan
Ramadan pada tahun kedua Hijriah yang juga merupakan tahun pertama kefardhuan
ibadah puasa ke atas umat Islam. Jika puasa itu bererti keletihan dan
kerehatan, sudah pasti agama yang sifatnya memudahkan dan meringankan itu tidak
akan mensyariatkan al-jihad di bulan para sahabat Ar-Rasul berpuasa untuk kali
pertamanya.
Para sahabat memasuki medan Badar dengan persiapan fizikal
yang cukup lemah apabila mereka tidak pun mempersiapkan diri dengan senjata dan
peralatan perang disebabkan tujuan asal keluar dari Madinah adalah bukan untuk
menghadapi peperangan yang begitu sengit seperti di medan Badar. Ditambah pula
dengan jumlah para sahabat yang sedikit, adalah mustahil untuk tentera Islam
memenangi pertempuran di medan Badar.
Tetapi, perang Badar akhirnya menjadi batu tanda yang
bersinar buat membina keyakinan bahawa kekuatan rohani yang antara sebabnya
adalah hasil binaan madrasah Ramadan sebagai faktor terulung di dalam menjamin
kemenangan kepada Islam dan umatnya. Semoga aura kehebatan ahli Badar mampu diresapi
ke dalam jiwa kita dalam membangkitkan roh kemenangan berlandaskan taqwa kepada
Yang Agung. Justeru, lembaran Ramadhan yang kita lalui ini menjadi satu titik tolak
ke arah perubahan taqwa yang lebih solid. InsyaAllah.
-Petikan daripada ruangan Fokus Iskandariah Intelectual Student edisi Ramadan.